Saturday, February 22, 2014

‘LANGKAH KAJANG’ MENGORAK LANGKAH  KE  PUTERAJAYA

Laungan ‘REFORMASI’ yang bergema semenjak tahun 1998 itu belum lagi padam malah terus membara dan ‘menyala’. Tentulah tidak akan padam sekiranya tidak berlaku ‘reform’ atau pembaharuan yang diidamkan. Sebenarnya sudak dimulakan ‘reform’ itu di Selangor dan Pulau Pinang, namun dirasakan bahawa terlalu banyak lagi pembaharuan-pembaharuan yang perlu dilakukan bukan sahaja di Selangor dan Pulau Pinang tetapi juga di Kelantan, negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat.

Langkah Kajang adalah juga merupakan ‘langkah’ ke arah memertabatkan konsep ‘Reformasi’ dalam ertikata sebenarnya di Selangor. Mungkin dirasakan selama ini bahawa gerakan ‘Reformasi’ yang mula berkumandang di Malaysia pada tahun 1998, belum dapat lagi bertapak di Malaysia disebabkan kegagalan  Pakatan Rakyat untuk menguasai keseluruhan negara ini. Lantas gerakan Reformasi itu seolah-olah ‘tenggelam’ dan tidak dapat dilaksanakan sebagaimana yang diimpikan oleh pejuang-pejuang reformasi. Hanya laungan dan slogan yang dapat dijeritkan kepada rakyat.

Ada pembaharuan yang dapat dilihat berlaku di negeri-negeri yang ditadbirakn oleh Pakatan Rakyat khsusunya negeri Pulau Pinang dan Selangor. Namun masih perlu banyak pembaharuan yang perlu dilakukan demi untuk mengisi hasrat ‘Reformasi’ sepertimana yang dilaungkan pada tahun 1998 dahulu. Dan sememangnya disedari bahawa untuk melakukan pembahruan yang dikira drastik bukanlah merupakan sesuatu yang mudah. Disedari juga bahawa ia memerlukan satu komitmen yang bukan kecil.

Rakyat Malaysia yang sudah celik dan dapat merasakan ‘denyut nadi’ alam sekeliling merasakan bahawa melihatkan kepada perkembangan negara Malaysia kini menampakkan bahawa BN (UMNO) telah gagal dalam menangani banyak masalah dan apatah lagi untuk mengangkat negara ini ke suatu tahap kebanggaan dunia. Jauh panggang dari api. Sekiranya begini cara pergerakan negara Malaysia kini aku amat sangsi tentang pencapaian wawasan 2020 yang dirangka pada awal 1990an dulu.

Aku amat sedih apabila kelihatan yang pemerintah Malaysia gagal menguruskan pendidikan negara. Aku tidak tahu sekiranya ada lagi rakyat Malaysia yang mengatakan bahawa sistem pendidikan kita hari ini adalah antara yang terbaik di negara ini. Berdasarkan kepada beberapa petunjuk jelas memperlihatkan bahawa sistem pendidikan negara kita dalam keadaan tenat. Biarkan aku paparkan beberapa contoh:

·      Dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diperkenalkan pada tahun 2003 telah diumumkan mengenai pemansuhannya pada tahun 2009 yang mana pemansuhan sepenuhnya dalam masa tiga tahun bermula pada tarikh itu.
·      PISA  (Program for International Student Assessment ) umpamanya adalah ujian untuk menguji kebolehan pelajar-pelajar yang berumur sekitar 15 dan 16 tahun dikalangan negara-negara OECD (Organization for Economic Coperation and Development) dalam mata pelajaran Matematik, Sains dan Pembacaan.Jelas menunjukkan bahawa negara-negara Asia seperti Shanghai, Hong Kong, Singapore, Japan, Korea Selatan telah begitu maju dari segi pencapaian mereka dalam mata pelajaran Matematik, Sains dan Pembacaan. Malah telah dikatakan bahawa pencapaian pelajar-pelajar di negara-negara Asia berkenaan adalah tiga tahun terkehadapan berbanding dengan negara-negara lain yang mundur termasuklah Malaysia. Maknanya negara kita terkebelakang lima tahun berbanding dengan negara-negara yang menduduki tempat yang ke 20 teratas. Berbanding dengan Vietnam sekali pun kita masih mundur. Jangankan kita mahu menandingi negara-negara China, Hong Kong, Singapore, Jepun dan lain-lain.
·      Pelaksanaan Penilai Berasaskan Sekolah (PBS) yang diperkenalkan pada tahun lepas dan pelaksanaannya yang sepatutnya dijalankan pada tahun ini terpaksa dikaji semula. Ini yang aku namakan ‘surung-sentap’.
·      Kedudukan ‘ranking’ universiti-universiti  kita jauh terkebelakang berbanding dengan universiti-universiti di negara lain. Berbanding dengan Singapura misalnya, kita ketinggalan amat jauh

Cukup rasanya aku mengemukakan contoh yang menyedihkan itu yang berlaku kini di negara kita Malaysia yang tercinta. Aku tidak mahu menyentuh tentang lapangan lain kerana bagi aku lapangan pendidikan adalah merupakan ‘kunci’ segala kemajuan yang hendak dicapai. Kini sistem pendidikan kita adalah dalam suasana yang amat ‘huru-hara’ dan berkemungkinan kita akan hilang satu generasi  golongan cendekiawan sekiranya tidak ditangani segera dan dengan cara berkesan.

Sehubungan dengan ini, aku pasti bahawa rakyat yang sedar dan peka dengan keadaan negara yang sedang ‘berdarah dan menanah’ kini sedang meletakkan harapan yang begitu tinggi kepada DS Anwar Ibrahim. ‘Langkah Kajang’ adalah permulaannya. Mungkin ada yang merasakan bahawa adalah mustahil untuk beliau melakukan sesuatu demi untuk merealisasikan impiannya. ‘Reform’ dan Reformasinya.

Kita jangan harus lupa bahawa, ‘ the journey of one thousand miles begins with the first step’. Bermula dengan Kajang, akan melakar sejarah untuk bergerak ke arah Puterajaya. Mahu tak mahu keadaan pendidikan di negara kita perlu diselamatkan dengan segera.

Aku merasa agak hairan mengapa pemimpin BN (UMNO) di negara ini  seolah-olah tidak begitu ambil peduli tentang perkembangan sistem pendidikan negara. Apakah mereka tidak membaca dan peduli tentang bagaimana negara maju kini mencapai kejayaan bermula dengan sistem pendidikan yang mantap. Bacalah sejarah negara mana pun. Sejarah Islam ke, sejarah peradaban Cina ke, peradaban India ke, Great Britain ke, kesemuanya menitikberatkan tentang sistem pendidikannya.

‘Tegak’ bulu roma aku apabila membaca tentang kisah bagaimana Park Chung Hee, Lee Kuan Yew dan beberapa orang pemimpon dunia lain seperti di Jepun, Taiwan, Hong Kong memperkenalkan berbagai pembaharuan negara mereka yang mana sistem pendidikan diutamakan.Dan kesannya terserlah sebagaimana yang dapat kita saksikan sekarang. Berbanding dengan negara kita yang ‘berbangga’ dapat melahirkan pelajar yang berjaya memperolehi banyak ‘Pangkat A’ dalam peperiksaan tetapi kualiti yang masih dipersoalkan.

Langkah Kajang bukan sahaja akan menyelesaikan masalah di Selangor tetapi akan berhadapan dengan masalah yang lebih besar ia itu untuk merealisasikan laungan ‘REFORMASI’. Semoga berjaya. Insyallah.

Abuhassanadam
22 Februari 2014



No comments:

Post a Comment