Tuesday, February 11, 2014

JATI DIRI MELAYU YANG SEMAKIN LUNTUR

Aku terpanggil untuk memperkatakan isu jati diri Melayu kerana aku sudah agak keliru mengenai orang Melayu itu sendiri. Kadang-kadang aku sendiri ‘keliru’ dan sering menyoal diri aku samada aku masih ‘orang Melayu tulin’ ataupun sudah berubah menjadi ‘orang lain’. Maknanya apakah aku masih merupakan orang Melayu tulin. Apakah aku masih orang Melayu berketurunan ‘sakai’ yang merupakan peribumi sebenar di Tanah Melayu dan bukan golongan pendatang dari Indonesia atau dari India atau dari Pakistan.

Aku juga kerapkali memikirkan bahawa apakah manusia yang menggelarkan dirinya  ‘Melayu’ yang berada disekeliling aku masih merupakan orang Melayu tulin ataupun sudah bertukar menjadi ‘orang lain’. Aku sebenarnya amat keliru.

Terlintas aku untuk menjenguk tentang apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan ‘Jati diri’. Mengikut kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka’  jati diri ialah sifat atau ciri yang unik dan istimewa (dari segi adat, bahasa, budaya, agama dan sebagainya) yang menjadi teras dan lambang keperibadian seseorang individu, sesuatu bangsa dan sebagainya, atau disebut jua identiti.

Bahasa merupakan teras untuk menunjukkan identiti seseorang itu. Bahasa menunjukkan bangsa seseorang itu. Bahasa jiwa bangsa. Terlalu lunak menyuarakannya tetapi apakah betul-betul dipraktikkan oleh orang Melayu khususnya. Aku perhatikan bahawa Bahasa Melayu yang merupakan teras bangsa Melayu ( bangsa Malaysia) seolah-olah sudah dipandang ringan oleh orang Melayu sendiri. Apatah lagi oleh golongan bukan Melayu walaupun Bahasa Melayu termaktub dalam perlembagaan Malaysia sebagai Bahasa kebangsaan.

Aku tidak menyalahkan orang bukan Melayu yang tidak begitu peduli tentang penggunaan Bahasa Melayu. Yang aku penting dan yang aku agak ‘keliru’ ialah tentang orang Melayu sendiri yang tidak memandang berat terhadap Bahasa Melayu. Ini termasuklah juga pemimpin Melayu yang hanya cakap ‘berdegar-degar’ tetapi sebenarnya ‘cakap tak selupa bikin’. Kononnya untuk mendaulatkan Bahasa Melayu tetapi dari segi praktiknya tidak pun ternampak usaha yang bersungguh-sungguh.Lantas bagaimanakah kita ( orang Melayu) hendak menyuruh orang bukan Melayu menggunakan bahasa Melayu secara meluas sedangkan orang Melayu sendiri tidak mengambil berat tentang kedudukan bahasanya.

Setelah setengah abad berlalu, Malaysia masih ‘merangkak’ untuk mendaulatkan Bahasa Melayu. Aku masih terbayang tentang usaha gigh pemimpin bahasa yang terdahulu seperti Syed Nasir Ismail, Usman Awang, Keris Mas, Hassan Ahmad yang bersungguh-sungguh benar untuk mendaulatkan Bahasa Melayu. Namun semacam usaha mereka itu seperti mencurahkan air di daun keladi. Kedudukan Bahasa Melayu masih berada di takuk lama. Mati segan hidup tak mahu.

Yang paling mengelirukan aku ialah apabila melihatkan yang orang Melayu yang berkedudukan mengabaikan penggunaan Bahasa Melayu. Lihat sahaja tentang penggunaan bahasa Melayu yang digunakan oleh para pemimpin kita ( termasuklah pemimpin korporat)  kita apabila memperkatakan sesuatu di TV. Sembilan puluh peratus dari mereka pasti akan menggunakan bahasa Inggeris. Pasti. Ini yang aku amat keliru dan amat susah untuk aku memahaminya. Dan yang anihnya pula ialah apabila yang menggunakan bahasa Inggeris itu masih ‘tergagap-gagap’ dengan ‘Nahu’ yang lintang pukang tetapi masih mahu menggunakan bahasa Inggeris. Mengapa terjadi begitu?. Aku tak faham….

Apakah pada anggapan golongan elit perniagaan ini bahawa akan menjadi ‘hina’ bagi mereka apabila menggunakan Bahasa Melayu? Apakah begitu pada anggapan mereka. Apakah hanya dengan menggunakan bahasa Inggeris sahaja yang akan menaikkan imej mereka di mata rakan kongsi perniagaan mereka. Apakah begitu pendapat para tokoh korporat Melayu kita?

Berbanding dengan bangsa lain seperti Jepun, Cina, bangsa Thai yang masih teguh berpaut kepada bahasa mereka ketika mengadakan rundingan atau berbicara sesuatu di peringkat antarabangsa. Dan bangsa-bangsa ini masih dihormati dan mereka tetap unggul dalam perniagaan dan dihormati oleh bangsa-bangsa lain di dunia berbanding dengan bangsa Melayu yang kononya amat ‘fasih’ berbahasa Inggeris tetapi masih ketinggalan jauh di arena antarabangsa sekiranya diukur dari segi apa pun.

Mendewa-dewakan bangsa asing (dan bahasa asing) sudah merupakan amalan dan ‘pakaian’ orang Melayu semenjak dari zaman dahulu lagi. ‘Penyakit’ yang dihidapi oleh orang Melayu secara umum ialah terlampau  memandang terlalu tinggi kepada bangsa asing. Orang Melayu mendewakan bangsa Arab apabila mereka datang untuk berdagang dan menyebarkan agama Islam ke sini. Orang Melayu merasa megah sekiranya dapat anak dara mereka berkahwin dengan Arab ‘berketurunan Nabi Muhammad’ itu. Orang Melayu mendewakan saudagar dari India sehinggakan dibenarkan memegang jawatan penting dalam pentadbiran kerajaan Melayu Melaka. Pendek kata orang Melayu sanggup menghambakan diri mereka kepada orang asing.

Tidak usah disebutlah tentang bagaimana orang Melayu mendewakan orang Inggeris. Sehingga kini orang Melayu masih terus mendewa-dewakan orang Inggeris dan bangsa-bangsa asing. Orang Melayu mungkin masih merasakan dirinya masih kerdil berbanding dengan bangsa asing. Jati diri orang Melayu seolah-olah tidak menunjukkan penigkatan yang drastik walaupun telah setengah abad mencapai kemerdekaan.

Kadang-kadang aku terfikir seolah-olah orang Melayu masih mencari-cari identiti diri. Ataupun seolah-olah orang Melayu sedang mengalami kelunturan jati diri. Ataupun lebih parah lagi apakah orang Melayu masih ada jati diri.  Tolonglah carikan jawapannya.

abuhassanadam

11 Februari 2014

3 comments:

  1. Saya seorang tabib Cina yg pernah mempelajari perubatatan Akupunktur dan ubat Cina di Beijing,tetapi rakan pelajar saya dari China masih menganggapkan saya seorang Melayu, walaupun datuk saya berasal dari Canton China.Jadi ini merupakan Tanah Melayu,kita rakyat Malaysia harus mermatabatkan Bahasa Melayu selaku bahasa Malaysia selain menguasai bahasa-bahasa yang lain.

    ReplyDelete