Monday, February 10, 2014

“MEMERANGI” POLITIK SAMSENG

Kenyataan Menteri Dalam Negeri yang mengatakan bahawa ‘there was nothing to investigate as it is not a threat….slapping is not a threat…..If they say murder, then it is a threat’ sebagaimana yang dilaporkan oleh Malaysiakini telah memberikan gambaran bahawa seolah-olah rakyat Malaysia kini berada dalam keadan yang tidak selamat. Seolah-olah kerajaan negara kita sudah tidak dapat menjamin keselamatan rakyatnya. Maknanya bila-bila masa kita boleh ‘ditampar’ dan dipukul. Kerajaan hanya akan bertindak sekiranya terdapat ancaman bunuh sahaja.

Aku cuba meninjau peristiwa dalam sejarah negara kita dimana keadaan sedemikian wujud. Aku terjumpa ‘peristiwa’ sedemikian dalam jenaka ‘orang Perak’ terutama apabila tiba musim durian berguguran. Musim durian bermakna bahawa kehidupan penduduk di sekitar Kuala Kangsar agak mewah yang boleh ‘menampar’ sesiapa sahaja kerana ‘mempunyai wang untuk membayar denda ekoran daripada perbuatan berkenaan’. Itu pun hanya sebagai bahan jenaka dan senda gurauan sahaja. Bukan sebenarnya keadaan begitu.

Rakyat Malaysia terutamanya orang  Melayu merasa agak hairan dengan sikap ‘orang Melayu’ yang berkelakuan tidak sebagaimana yang dianjurkan oleh datuk nenek kita. Datuk nenek kita sentiasa menganjurkan sifat lemah lembut dan bersopan santun disamping sentiasa menghormati orang lain. Jadi apabila ada dikalangan orang Melayu itu sendiri yang bertindak diluar cara orang Melayu umum bertindak tentulah kita merasa hairan. Tentulah kita mempersoalkan dari mana agaknya datangnya pengaruh yang memyebabkan orang Melayu bersikap demikian.

Aku kadang-kadang bertanya diriku. Apakah betul dan ikhlas hasrat para pemimpin kita di Malaysia pada hari ini, mahukan perpaduan yang betul-betul utuh dikalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum?. Atau hanya sekadar cakap-cakap kosong. Aku mengatakan demikian berdasarkan pemerhatian bahawa semacam tidak ikhlas pengucapan dan tindakan setengah pemimpin di negara ini apabila berbicara mengenai soal perpaduan. Tindakan mereka tidak selari dengan hasrat Perdana Menteri.

Dalam keadaan ‘kegawatan’ yang berbagai-bagai di negara kini terlalu payah rasanya untuk rakyat mempercayai pengucapan setengah pemimpin terutama yang berkaitan dengan usaha menyatukan kaum.  Ibarat kata orang tua-tua kita, ‘ cakap pagi tidak boleh pakai petang’. Maknanya apa yang diucapkan tidak selari dengan tindakan yang dilakukan. ‘cakap tak selupa bikin’.

Ada juga terdapat pemimpin ( tidak pasti samada boleh ditakrifkan sebagi pemimpin atau tidak) di Malaysia yang begitu ghairah memperkatakan sesuatu yang boleh menimbulkan perasaan curiga mencurigai antara satu kaum dengan kaum lain. Aku tidak dapat memahami sikap setengah pemimpin yang sedemikian. Semacam satu hobinya pula untuk menyakiti hati sesuatu kaum yang boleh mendatangkan kemarahan kaum yang lain. Apakah sebenarnya hasrat mereka bertindak sedemikian rupa?

Kadang-kadang aku perhatikan ramai pemimpin kita yang langsung tidak tahu menjaga hati dan mengambil hati  sesuatu kaum. Dan apabila timbul keadaan sedemikian timbul pula pertanyaan di kepala aku, apakah perbuatan menyakit hati sesuatu kaum itu disengajakan? Apakah itu merupakan satu provokasi semata-mata untuk menimbulkan pergaduhan kaum di Malaysia. Tetapi untuk apa?

Golongan yang tidak bertanggungjawab ini tidak pernah agaknya memikirkan tentang usaha dan kesusahan yang dilalui oleh pemimpin terdahulu dalam menyatukan bangsa-bangsa di Malaysia ini. Tunku Abduk Rahman dalam tulisannya ‘Looking Back’ bertarikh 3 Februari 1975 menulis, “ By far the most important issue was achieving complete understanding between the three major elements of the Alliance –UMNO,MCA and MIC – the Malays, the Chinese and the Indians working in harmonious trinity, one for all and all for one. The goals should be harmony within each party and untiy in the Alliance’

Rakyat Malaysia harus sedar bahawa syarat yang dikenakan oleh British untuk memberikan kemerdekaan kepada negara ini adalah perpaduan tiga kaum terbesar di negara ini ia itu Melayu, Cina dan India. British amat sedar bahawa pada anggapannya adalah merupakan tugas yang begitu sukar bagi tiga kaum ini untuk berpadu sebagaimana yang dapat dilihat hari ini. Mungkin British merasakan bahwa adalah ‘mustahil’ tiga bangsa ini akan bekerjasama antara satu sama lain. Mustahil. Apatah lagi apabila British melaksanakan dasar ‘Pecah dan Perintah’nya dengan amat berkesan. Mungkin pada anggapan British mereka akan terus menerus menguasai Tanah Melayu selagi ‘ perpaduan tiga kaum’ itu tidak tercapai.

Harapan British itu meleset. Tiga kaum berpadu satu. Dan itulah merupakan satu kejayaan besar pemimpin kita terdahulu disamping mendapatkan kemerdekaan negara. Oleh hal yang demikian, apakah ‘peranan’ pemimpin generasi kini untuk ‘meruntuhkan’ perpaduan ini. Apakah para pemimpin kini tidak langsung mahu mengenang jasa pemimpin terdahulu yang telah menyemaikan benih perpaduan ini.

PRK Kajang akan mendatang. Diharapkan setiap pemimpin parti yang bertanding perlu menjadikan agenda perpaduan sebagai initpati perjuangan parti masing-masing. Semua parti hendaklah jangan bertolak ansur tentang hal yang berkaitan dengan perpaduan ini. Seharusnya diperangi secara habis-habisan. Semua kaum Melayu, Cina, India dll hendaklah bersatu menentang dan ‘memerangi’ poltik samseng ini. Semua rakyat hendaklah berganding bahu mendukung hasrat mewujudkan bangsa Malasyia sebenarnya.

Rakyat Malaysia dari semua kaum harus bertekad bahawa perjuangan mewujudkan bangsa Malaysia adalah merupakan perjuangan tulin dan berterusn.

Membujur lalu melintang patah.

abuhassanadam
10 Februari 2014


No comments:

Post a Comment