Sunday, February 16, 2014

MENTERI PENDIDIKAN HARUS LEBIH BERTANGGUNGJAWAB

Terlalu banyak aku dengar sungutan orang ramai yang berkaitan dengan sistem pendidikan negara kita yang dikatakan dalam keadaan amat membimbangkan. Amat ‘tenat’. Maknanya kemajuan pendidikan kita sudah semakin merosot. Bukan sahaja diperkatakan oleh bijak pandai di Lembah Kelang tetapi sudah menjalar ke kampung-kampung. Dan persepsi ini amat merbahaya kepada kerajaan yang memerintah. Dan yang paling malangnya pula ialah seolah-olah pihak kerajaan tidak begitu mengambil berat tentang keadaan pendidikan di negara ini. Seolah-olah Menteri Pendidikan kita selalu mengambil jalan mudah dalam melaksanakan dasar pendidikan di negara ini. Semacam begitu keadaannya. Mungkin aku tersilap memberikan persepsi yang sebegini.

Rakyat umum melihat bahawa kerajaan atau khususnya Menteri Pendidikan sentiasa dalam dilemma. Orang Perak kata‘ SURUNG-SENTAP’. Maknanya ‘ cakap pagi tidak boleh pakai petang’. Maknanya ‘berdolak-dalik’. Maknanya tidak tegas dalam melaksanakan sesuatu dasar. Maknanya sesuatu dasar yang hendak diperkenalkan kepada umum itu tidak dibuat kajian secara terperinci. Lantas berlakulah ‘surung-sentap’ di mana dasar yang kononnya ‘hebat’ terpaksa dikaji semula.

TS Muhyiddin Yassin telah menyatakan bahawa pelaksanaan Penilai Berasaskan Sekolah (PBS) yang diperkenalkan pada tahun lepas dan pelaksanaannya yang sepatutnya dijalankan pada tahun ini terpaksa dikaji semula. Ini yang aku namakan ‘surung-sentap’. Sepatutnya PBS yang dikatakan amat baik dan berkesan itu ( di negara-negara seperti Australia dan negara-negara maju lain) dikaji sehalus-halusnya sebelum dilaksanakan di negara ini. Apakah tidak difikirkan tentang pelaksanaannya di kawasan pendalaman dimana masalah pencapaian internet merupakan perkara yang sangat rumit. Atau apakah tidak difikirkan tentang kualiti guru kita di Malaysia yang akan melaksanakan program itu secara berkesan. Apakah tidak terlintas di kepala perancang pendidikan ini tentang ‘validity’ dan ‘reliability’ ujian yang diperkenalkan itu.


Kononnya sistem ini telah dijalankan di negara-negaar maju seperti di Australia, Hong Kong, Finland dll. Inilah hujah yang sentiasa digunakan oleh pihak kementerian apabila hendak melaksanakan sesuatu projek. Selalu sangat menggunakan alasan bahawa ‘negara-negara maju telah menggunakannya’. Dan kebiasaannya sesuatu idea baru yang hendak diperkenalkan di negara ini biasanya ‘dibawa’ oleh para pegawai yang menghadhiri kursus di luar negara. Lantas mereka cuba mempraktikkan di negara ini tanpa melihat ‘kiri-kanan’ sama ada pelaksanaannya sesuai atau tidak dengan keadaan dan ‘iklim’ masyarakat di negara ini.

Aku teringat pada suatu keadaan yang berlaku pada awal tahun-tahun 1980an di mana kementerian Pelajaran telah mengambil keputusan untuk memansuhkan matapelajaran Sejarah dan menggantikannya dengan pelajaran “kajian Tempatan ‘ ( sekiranya aku tidak tersilap) Mata pelajaran Kajian Tempatan adalah gabungan matapelajaran Sejarah dan Geografi. Kertas soalan yang disediakan oleh Lembaga Peperiksaan pada ketika itu adalah atas nama ‘Kajian Tempatan’ ( maaf sekiranya tersilap)

Itu merupakan satu contoh bagaimana idea dari luar negara digunakan di negara kita. Kononnya telah begitu berjaya dilaksanakan di Amerika Syarikat, maka perlulah dilaksanakan di negara kita. Sekiranya aku tidak silap, ‘umur’ kertas ‘Kajian Tempatan’itu hanya dua tahun.YB Saudara Anwar Ibrahim Menteri (Pendidikan Malaysia ketika itu’ yang menamatkan ‘riwayat’ matapelajaran Kajian Tempatan itu. Tindakannya yang paling awal ialah meletakkan semula pembelajaran matapelajaran Sejarah ditempat yang sewajarnya. Ini merupakan antara sumbangan penting Saudara Anwar ketika menerajui Kementerian Pendidikan pada ketika itu walaupun berbagai-bagai perkara baru dilakukakannya untuk memajukan sistem pendidikan negara.

Saudara Anwar Ibrahim juga bertanggungjawab untuk memperkenalkan Falsafah Pendidikan Negara yang mana sebelum itu tidak wujud keadaan sedemikian. Sehingga kini negara masih menggunakan falsafah pendidikan negara yang digubal ketika beliau meneraju pendidikan negara. Malangnya penggunaan Bahasa Baku yang diperkenalkannya ‘terpaksa’ dimansuhkan oleh Menteri Pelajaran selepasnya yang merasakan bahawa penggunaan Bahasa Baku disekolah tidak perlu diteruskan disebabkan oleh sebab-sebab tertentu yang hanya diketahui oleh menteri pelajaran itu sendiri.

Dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diperkenalkan pada tahun 2003 telah diumumkan mengenai pemansuhannya pada tahun 2009 yang mana pemansuhan sepenuhnya dalam masa tiga tahun bermula pada tarikh itu. Lagi menampakkan dasar ‘surung-sentap’ kerajaan yang membuatkan rakyat keliru dan tidak tahu ke manakah arah tuju sistem pendidikan di negara ini.

Disamping itu rakyat di negara ini sering ‘dihantui’ oleh berita yang kurang mengembirakan berkaitan dengan hal pendidikan ( walaupun ada juga kejayaan yang dicapai oleh negara) PISA  (Program for International Student Assessment ) umpamanya adalah ujian untuk menguji kebolehan pelajar-pelajar yang berumur sekitar 15 dan 16 tahun dikalangan negara-negara OECD (Organization for Economic Coperation and Development) dalam mata pelajaran Matematik, Sains dan Pembacaan.

Jelas menunjukkan bahawa negara-negara Asia seperti Shanghai, Hong Kong, Singapore, Japan, Korea Selatan telah begitu maju dari segi pencapaian mereka dalam mata pelajaran Matematik, Sains dan Pembacaan. Malah telah dikatakan bahawa pencapaian pelajar-pelajar di negara-negara Asia berkenaan adalah tiga tahun terkehadapan berbanding dengan negara-negara lain yang mundur termasuklah Malaysia. Maknanya negara kita terkebelakang lima tahun berbanding dengan negara-negara yang menduduki tempat yang ke 20 teratas. Berbanding dengan Vietnam sekali pun kita masih mundur. Jangankan kita mahu menandingi negara-negara China, Hong Kong, Singapore, Jepun dan lain-lain.

Rakyat Malaysia tentunya mengharap sangat agar Menteri Pendidikan memberikan perhatian yang lebih terhadap perkembangan pendidikan negara. Aku yakin bahawa pegawai-pegawai yang berada di Kementerian Pendidikan adalah terdiri dari pegawai yang cekap dan berkaliber dan penuh dedikasi. Yang diperlukan oleh mereka pastinya kepimpinan yang berkesan dari pihak politik untuk membolehkan mereka merangka satu dasar yang betul-betul konkrit berkaitan dengan pendidikan negara.

Yang pastinya jangan terlalu banyak sangat campurtangan politik dalam menguruskan pendidikan negara.

abuhassanadam
16 Februari 2014


No comments:

Post a Comment