Monday, February 3, 2014

KEHADIRAN PENGANALISIS POLITIK  DI TV

Menjelangnya PRK Dun Kajang, bermula jugalah kemunculan penganalisis politik yang pastinya akan muncul saban malam di TV arus perdana untuk memberikan komennya mengenai  keadaan politik semasa. Bukan dikaca TV arus perdana sahaja, malah akhbar-khbar milik UMNO juga akan menyiarkan komen-komen mereka yang dikatakan amat ‘bernas’ itu. Yang anihnya ‘tokoh-tokoh’ ini akan sentiasa diberikan ruang olek media arus perdana untuk memberikan komen mereka memandangkan pandangan mereka yang dikira amat ‘bernas’ agaknya berbanding dengan penganalisis lain yang ada di Malaysia. Tetapi kadang-kadang idea yang disampaikan oleh mereka itu boleh diibaratkan seperti ‘idea kangkung’…..

Sekiranya aku tidak silap Allahyarham Prof Syed Hussein Alattas yang pernah pmenulis mengenai  "bebalisma" dan beliau juga yang memberikan gelaran "profesor kangkung" kepada para cendiakawan yang bertaraf ‘kangkung’ ia itu yang tidak langsung menonjolkan sifat kencediakawanan dalam tulisan-tulisan dan hujah yang mereka kemukakan.

Kebanyakan yang memberikan analisis politik itu nampaknya hebat-hebat juga. Bertaraf profesor dan Profesor Madya. Dan tidak mudah (zaman dulu-dulu ler) untuk mendapatkan jawatan sedemikian. Dan pada ketika itu tidak ramai pula yang memegang gelaran itu. Yang dapat gelaran sedemikian mestilah tokoh yang betul-betul berwibawa yang telah menerbitkan buku ilmiah atau pun telah banyak kali membentangkan kertaskerja ilmiah di peringkat antarabangsa. Dan kebiasaannya akan dihormati oleh masyarakat antarabangsa disebabkan kajian ilmiah mereka.

Mungkin juga ‘professor kangkung’ yang muncul di TV arus perdana  itu telah memenuhi syarat-syarat sebagaimana yang aku katakan tadi. Ataupun mungkin mereka memperolehi ijazah Sarjana atau Phd mereka dari Stanford atau Harvard atau Oxford atau Cambridge.

Sekiranyalah mereka adalah lulusan dari university-university yang aku senaraikan itu, maka pasti university yang memberikan ijazah itu juga merasa ‘terhina’ memandangkan ‘produk’ yang mereka lahirkan tidak sebagaimana yang diharapkan oleh university berkenaan. Mungkin aku tersilap sekiranya aku katakan bahawa analisis yang disampaikan oleh ‘penganalisis kangkung’ ini amat dangkal dan tidak membayangkan bahawa analisis itu merupakan hasil karya ilmiah.

Sebagai contoh mereka menggunakan berbagai andaian dan ‘teori’ tentang mengapa DS Anwar Ibrahim memilih untuk bertanding di DUN Kajang. Sayangnya mereka tidak memberikan sebab-sebab yang munasabah mengapa hal itu berlaku. Dengan demikian menampakkan kedangkalan mereka dalam menghujahkan sesuatu isu. Disebabkan mereka diberikan ‘kebebasan’ untuk menyatakan sesuatu maka tentulah tidak timbul perbincangan dan persoalan. Hanya syok sendiri.

Misalnya ada yang diantara mereka yang mengatakan bahawa mengadakan PRK Dun Kajang merupakan pembaziran. Dan tentulah jari akan menuding ke arah DS Anwar Ibrahim yang merupakan ‘penyebab’ mengapa PRK diadakan. Dan akhirnya hujah sedemikian amat senang untuk ‘dipatahkan’ dengan merujuk PRK yang pernah diadakan oleh Barisan Nasional pada tahun 1997 di DUN Matang di Selangor juga untuk memberi laluan kepada Dato’ Abu Hassan Omar menjadi Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Muhammad bin Muhammad Taib. Lantas mereka ‘terkedu’.

Jelas menunjukkan bahawa golongan penganalisis ini tidak membuat ‘home work’ secara teliti sebelum mengemukakan sesuatu hujah. Lantas menampakkan juga kedangkalan fikiran hujah mereka, apabila ‘dipatahkan’ dengan fakta yang tidak dapat ‘ditepis-tepis’ lagi. Kadangkalan buah fikiran mereka dapat juga dilihat apabila ada penganalisis ‘kangkung’ yang cuba merasionalkan tentang kesediaan DS Anwar Ibrahim bertanding di DUN Kajang.

Antara hujah yang dikemukakannya ialah hasrat DS Anwar untuk senang berhubung dengan Sultan dan Menteri-Menteri Besar yang lain disamping untuk menunjukkan kepada yang lain betapa efisennya pentadbiran negeri Selangor di bawah pentadbirannya. Alangkah dangkalnya hujah yang dikemukakan dan tidak sepatutnya dilaporkan dalam media. Sampai begitu sekali ‘rendahnya’ mentaliti para profesor penganalisis politik di Malaysia kini sehingga sanggup ‘melacurkan’ kencediakawanan mereka demi untuk mendapatkan sesuatu.

Tidak berapa lama dahulu, masih kedengaran ‘sayup-sayup’ suara ‘profesor’ yang dianggap ‘kangkung’ ini mengeluarkan hujah mengatakan bahawa negara kita tidak pernah dijajah!...Ramai golongan yang tidak pandai terkejut mendengar hujah sedemikian. Dan yang anihnya pula saluran media arus perdana dengan ‘bangga’ menyiarkan pandangan semedemikian.

Persoalan yang ingin aku timbulkan juga ialah tentang prestasi pelajar yang ‘diajar’ oleh professor yang sebegini. Sekiranya begitulah taraf pemikiran ‘guru’nya maka kita akan dapat lihat ‘hasil’ yang diterima oleh anak muridnya. Mungkinkah dengan sebab itu agaknya taraf university-univeristy di Malaysia begitu menurun kedudukannya di mata dunia. Mungkin…..

Aku rasa university-university yang berada di Malaysia kini akan lebih berkesan peranannya sekiranya perdebatan-perdebatan dan percambahan fikiran kerap diadakan di kampus-kampus membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan politik dan negara Malaysia. Berilah kebebasan kepada anak-anak muda ini untuk melahirkan hasrat dan harapan mereka. Biarkan mereka ‘berkelana’ dengan pemikiran ‘jalang’ mereka. Berikan mereka peluang untuk ‘menendang dan menerajang’ agar mereka dapat ‘berpencak’ dan ‘bersepak–terajang’ bukan sahaja di Malaysia tetapi di arena antara bangsa.

Mahasiswa Malaysia seharusnya bertindak segera untuk bergerak maju ke hadapan.

abuhassanadam
3 Januari 2014



No comments:

Post a Comment