‘LANGKAH KAJANG’ – RAKYAT
MENUNGGU DESTINASINYA
‘Langkah kajang’ yang mencetuskan PRK kajang adalah
merupakan titik mula sejarah pembentukan negara ‘Malaysia moden’. Itu merupakan
suara hati kecilku. Hati kecil seorang insan yang amat dahaga untuk melihat
satu bangsa Malaysia yang maju seperti negara lain di dunia. Hati ini sentiasa
mencemburui apa yang dicapai oleh negara-negara yang berada di sekeliling kita.
Kita tahu bahawa negara-negara yang telah pun
maju ini adalah pada asalnya sebuah negara yang lebih lemah pencapaiannya
berbanding dengan negara kita. Kita tahu bahawa negara-negara ini tidak
mempunyai sumber ekonomi yang lumayan sebagaimana yang dimiliki oleh negara
kita. Tetapi mengapa kita masih lemah dan tidak berdaya. Mengapa penduduk
pribumi (orang Melayu) masih lemah dan tidak bermaya. Mengapa orang Melayu
masih mempersoal dan menitikberatkan perkara yang remeh dan tidak seperti
bangsa lain yang telah maju. Hati kecil ini sentiasa bertanya.
Terus terang aku katakan bahawa perasaan ramai
rakyat Malaysia agak mula terubat pada awal 1980an apabila Saudara Anwar
Ibrahim tergerak hati untuk bersama-sama dengan Dr.Mahathir memimpin rakyat
Malaysia. Ramai yang agak lega dengan perkembangan itu,walaupun ada yang kurang
senang dengan tindakan Saudara Anwar ‘bersekongkol’ dengan UMNO. Mereka
merasakan bahawa UMNO akan mempergunakan Saudara Anwar demi untuk mencapai
cita-cita mereka yang ‘tersembunyi’ itu.
Namun telah terbukti bahawa negara Malaysia telah
mengalami ‘zaman emasnya’ pada tahun-tahun 1990an (sebelum 1998) dimana bukan
sahaja Malaysia menjadi sebuah negara yang dihormati oleh negara-negara jiran
tetapi juga telah juga dihormati oleh negara-negara dunia yang lain. Kita telah
sampai ke tahap itu. Malangnya kini
ngara kita adalah dalam keadaan yang amat menurun terutama dari segi pencapaian
pendidikannya.
Apabila Park Chung Hee menjadi Presiden Korea
Selatan pada tahun 1961, pendapatan per-capita hanya US 100 dan pastinya Korea
Utara lebih kuat daripada Korea Selatan pada ketika itu yang memiliki sumber
asli yang lumayan. Hanya selepas
‘menaiki takhta’ dalam masa tidak sampai satu bulan beliau telah menubuhkan
badan penasihat ekonomi untuk membantu pentadbiran beliau. Menyedari betapa
pentingnya kemasukan modal asing beliau dengan tidak segan silu mengadakan
hubungan diplomatik dengan Jepun.
Kejayaan Park Chung Hee mendapat pengiktirafan
banyak pihak sehingga Presiden Kim Dae Jung sendiri memberikan pujian tentang
peranannya mengubah Korea dari sebuah negara yang mundur kepada sebuah negara
maju. Dan antara tindakan yang dilakukannya ialah mendakwa pemimpin perniagaan
yang mendapat keuntungan dari kegiatan yang tidak halal – rasuah. Ramai yang
ditangkap termasuklah, orang kuat Samsung. Lee Byung Chull terlepas kerana pada
ketika itu beliau berada di luar negara.
Mungkin semangat ‘Reformasi’ yang merupakan ‘rallying
cry’ DS Anwar Ibrahim yang tidak pernah padam itu akan terus dinyalakan di
Kajang yang kemudiannya ‘bercahaya’ di Selangor dan berkemungkinan juga
‘menerangi’ Puterajaya dalam masa terdekat. DS Anwar pasti ingat
kata-kata Al Gore , Vice President Amerika pada persidangan APEC 1998 di Kuala
Lumpur dimana belia mengatakan,"Democracy confers a stamp of legitimacy that reforms must
have in order to be effective.And so, among nations suffering economic crises, we continue
to hear calls for democracy, calls for reform, in many languages - People Power, doi moi, reformasi. We hear them today - right here, right now - among
the brave people of Malaysia."
Apabila Lee Kuan Yew menjadi Perdana Menteri
Singapura pada tahun 1959, pendapatan per-capita Singapura hanya US 400 dan
kini sudah meningkat kepada US60,000. Satu perubahan yang cukup besar. Dan mengikut
katanya, “ governance distinguished Singapore from its neighbors. They are not
clean systems; we run clean systems. Their rule of law is wonky; we stick to
it. We become reliable and credible to investors."
Bagi Lee Kuan Yew kejayaannya adalah
berpunca "The quality of a nation's manpower resources is the single most
important factor determining national competitiveness. It is the people's
innovativeness, entrepreneurship, team work, and their work ethic that gives
them that sharp keen edge in competitiveness."
Lee Kuan Yew terus menekankan tentang
pentingnya pendidikan sebagai langkah ke arah kemajuan negara.Begitu juga
dengan langkah-langkah yang diambil oleh negara Korea. Aku amat mengharapkan
‘Langkah Kajang ‘ akan berjaya menelurkan sesuatu untuk kemajuan bangsa
Malaysia. Aku mengimpikan kewujudan sebuah bangsa Malaysia yang menjadi
kebanggaan kita bersama. Dalam hal ini aku yakin bidang pendidikanlah yang akan
ditekankan oleh DS Amwar Ibrahim sekiranya beliau berjaya bersama-sama
menerajui Selangor. Dan walaupun ada usaha yang dilakukan oleh pentadbiran
Selangor kini dalam bidang pendidikan, namun masih banyak yang perlu dilakukan
demi untuk memajukan bidang ini.
Langkah memperkasakan bidang pendidikan ini
amat tepat pada masanya dalam keadaan sistem pendidikan negara yang berada
dalam keadaan flip flop. Rakyat sememangnya amat runsing mengenangkan tentang
hal pendidikan negara kini. Rakyat seolah-olah tidak tahu arah tuju kerajaan
dalam menangani isu pendidikan negara. Seolah-olah mereka kehilangan arah. Dan
dalam hal yang sebegini rakyat akan melihat apa yang akan dilakukan oleh
Selangor di bawah kepimpinan baru yang diterajui oleh DS Anwar Ibarhim untuk
dijadikan bahan rujukan mereka.
“Langkah Kajang’ adalah merupakan ‘garis
pemisah’ antara dua zaman. Zaman sebelum dan zaman selepas. Rakyat akan
sentiasa memerhatikan apa yang akan berlaku di Selangor di bawah kepimpinan
baru. Dan rakyat akan mula sedar tentang betapa pentingnya mereka mengubah
paradigma. Rakyat akan sedar dan faham tentang betapa pentingnya mereka
menentukan arah tuju negara sebelum PRU 14.
Langkah Kajang akan menentukan
segala-galanya, Insyallah….
Abuhassanadam
1 Mac 2014
No comments:
Post a Comment