Monday, March 3, 2014

17,000  MENOLAK BR1M – APA YANG TAK KENA?

Di England ada juga bantuan wang untuk rakyat seperti BRIM di Malaysia. Di California USA juga ada. CalWORKs ( California Work Opportunity to Kids) namanya yang bertujuan untuk membantu keluarga yang berpendapatan rendah untuk memenuhi keperluan asas mereka. Disamping itu ada juga program-program bantuan seperti ‘ Child Care Help”, Electronic Benefit Transfer (EBT), The Cash Assistance Program for Immigrants dll. Maknanya setiap kerajaan yang perihatin akan memberikan perhatian dan bantuan yang sepatutnya untuk rakyat mereka.

Yang nampak perbezaan antara bantuan yang diberikan di California dengan BRIM di Malaysia ialah syarat-syarat golongan yang menerima bantuan itu. Di California penerimanya kebayakannya terdiri dari golongan miskin yang kurang upaya yang termasuk jugalah warga emas yang memerlukan penjagaan yang rapi. Berbanding dengan BRIM di Malaysia, syarat-syarat yang dikenakan adalah terlalu longgar. Bermakna bahawa kerajaan BN adalah kerajaan yang amat ‘pemurah’ yang meletakkan syarat yang paling minima untuk penerima BRIM.
Syarat Kelayakan BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia  2014) adalah Warganegara Malaysia, berumur 21 Tahun Keatas , Isi Rumah Berpendapatan Bulanan RM3,000 dan Kebawah, Isi Rumah Berpendapatan Bulanan RM3,000- RM4,000, Individu Bujang yang Berpendapatan Bulanan RM2,000 dan kebawah. Itu saja. Dan sesiapa yang tergolong dalam kategori demikian adalah layak untuk menerima BRIM.
Namun ada juga golongan yang menolak BRIM 2014. Mengikut kenyataan seorang Menteri ada terdapat 17,000 penerima di Ipoh yang menolak pemberian BRIM. Itu merupakan satu angka yang besar. Mengikut pandangan peihak-pihak tertentu, penolakan itu merupakan ‘ a sign of maturity’ dikalangan rakyat Malaysia dan menunjukkan bahawa rakyat Malaysia sudah mula terkeluar dari garis kemiskinan yang membolehkan mereka menerima BRIM.
Aku agak sangsi dengan alasan yang demikian, tetapi aku tidak mempunyai bukti untuk menjelaskan sebaliknya. Yang aku dapat rasakan bahawa ramai juga rakyat yang merasakan bahwa pemberian BRIM ini adalah seperti memberikan sogokan kepada mereka untuk menyokong parti BN (UMNO). Ini juga merupakan persepsi kebanyakan yang menolak pemberian BRIM. Mereka juga mempunyai alasan tertentu untuk mereka berkata begitu dan salah satu alasan yang diketengahkan oleh mereka ialah tentang penglibatan ahli UMNO yang merupakan penyampai wang BRIM itu. Sekiranya wang itu adalah pemberian kerajaan persekutuan mengapa pula ada di tempat-tempat tertentu, wang itu disampaikan oleh orang politik (UMNO).
Hasrat kerajaan membantu rakyat itu adalah sesuatu yang patut dipuji. Yang aku persoalkan ialah tentang bentuk bantuan yang diberikan. Agak ‘primitif’. Tidak banyak beza dengan cara si ayah memberikan ‘duit raya’ kepada anak pada musim hari raya. Kerajaan menyediakan wang untuk disampaikan kepada rakyat melalui BRIM. Dan wang berkenaan diperolehi oleh kerajaan melalui pendapatan yang diperolehi dari sumber negara. Terutamanya dari hasil minyak. Dan ‘tugas’ kerajaan hanyalah membahagi-bahagikan wang berkenaan. Tidak nampak jerih payah pihak pemerintah untuk menyediakan wang sebanyak itu.
Aku terfikir juga. Mengapakah kerajaan tidak memikirkan sesuatu yang kreatif untuk membantu rakyat selain daripada memberikan BRIM. Tentu banyak cara lain lagi yang boleh menyukakan hati rakyat dan boleh dimanfaatkan dengan cara berkesan. Aku teringat bagaimana pihak kerajaan Brtiish dan negara-negara maju lain menyediakan berbagai-bagai kemudahan kepada rakyatnya. Di England misalnya, pelajar-pelajar sekolah tidak perlu membayar tambang jika menaiki bas di London. Percuma. Warga emas mendapat berbagai kemudahan dari kerajaan, termasuklah potongan harga apabila menaiki teksi berwarna hitam. Dan banyak lagi kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.
Dulu ada diurakan oleh kerajaan bahawa harga minyak dinaikkan untuk membolehkan kerajaan membina sistem pengangkutan moden di Kuala Lumpur. Untuk mengatasi kesesakan lalu lintas kata yang ‘empunya cerita’. Rakyat di Kuala Lumpur tentunya amat gembira. Ia pasti boleh dilaksanakan sekiranya kerajaan bersungguh-sungguh untuk melaksanakannya. Kerajaan dapat menyediakan 3.5 billion ringgit untuk memberi BRIM kepada 7 juta orang. Dan sekiranya wang BRIM dinaikkan kepada RM 1200, maka kosnya akan meningkat kepada 8.4 billion ringgit ( kata Tun Mahathir). Mungkin merupakan langkah ke arah memajukan sistem pengangkutan negara.
Sudah dua penggal DS Najib menerajui kerajaan Malaysia. Rakyat tentunya mahu melihat kejayaan-kejayaan yang boleh dicapai oleh negara selain daripada pemberian BRIM kepada rakyat.Apabila Park Chung Hee menjadi Presiden Korea Selatan pada tahun 1961, pendapatan per-capita hanya US 100 dan pastinya Korea Utara lebih kuat daripada Korea Selatan pada ketika itu yang memiliki sumber asli  yang lumayan. Hanya selepas ‘menaiki takhta’ dalam masa tidak sampai satu bulan beliau telah menubuhkan badan penasihat ekonomi untuk membantu pentadbiran beliau. Menyedari betapa pentingnya kemasukan modal asing beliau dengan tidak segan silu mengadakan hubungan diplomatik dengan Jepun.
Kejayaan Park Chung Hee mendapat pengiktirafan banyak pihak sehingga Presiden Kim Dae Jung sendiri memberikan pujian tentang peranannya mengubah Korea dari sebuah negara yang mundur kepada sebuah negara maju. Dan antara tindakan yang dilakukannya ialah mendakwa pemimpin perniagaan yang mendapat keuntungan dari kegiatan yang tidak halal – rasuah. Ramai yang ditangkap termasuklah, orang kuat Samsung. Lee Byung Chull terlepas kerana pada ketika itu beliau  berada di luar negara.

Begitu juga keadaanya apabila Lee Kuan Yew menjadi Perdana Menteri Singapura pada tahun 1959, pendapatan per-capita Singapura hanya US 400 dan kini sudah meningkat kepada US60,000. Satu perubahan yang cukup besar. Dan mengikut katanya, “ governance distinguished Singapore from its neighbors. They are not clean systems; we run clean systems. Their rule of law is wonky; we stick to it. We become reliable and credible to investors."

Bagi Lee Kuan Yew kejayaannya adalah berpunca "The quality of a nation's manpower resources is the single most important factor determining national competitiveness. It is the people's innovativeness, entrepreneurship, team work, and their work ethic that gives them that sharp keen edge in competitiveness."

Aku yakin penerima BRIM yang berjumlah 17000 orang itu ( yang menolak pemberian kerajaan itu )  sebenarnya mengharapkan kerajaan berbuat sesuatu yang konstruktif yang boleh betul-betul memberikan manfaat kepada rakyat. Mereka tidak mengharapkan kerajaan akan terus memberi ‘ikan’ kepada mereka tetapi mereka mengharapkan supaya kerajaan berusaha memberi ‘pancing’ kepada mereka dan rakyat Malaysia lain supaya mereka dapat menggunakan pancing untuk memancing lebih banyak ‘ikan’.

Itu sebenarnya harapan mereka.

abuhassanadam
3 Mac 2014


No comments:

Post a Comment