Friday, March 14, 2014

MH 370: SUDAH DAPAT "BOMOH" BERTUAH, SATELLITE TIDAK BERGUNA LAGI……”

Aku amat yakin bahawa tidak ada rakyat Malaysia khususnya dan rakyat di negara lain umumnya yang tidak simpati dengan nasib malang yang menimpa penumpang MH 370. Semuanya berperasaan ‘empathy’ terhadap pihak yang malang. Takut kalau-kalau peristiwa malang begini menimpa diri kita pula.

Dan adanya komen-komen dari sosial media berkaitan dengan misi mencari kapal terbang yang hilang adalah berkaitan cara dan tindakan pihak tertentu dalam menangani krisis berkenaan yang pada pandangan setengah orang menampakkan keadaan yang tidak berapa kena. Walaupun usaha kerajaan itu patut dipuji namun terdapat juga tindakan-tindakan yang amat memalukan negara. Dan keadaan yang menjatuhkan imej negara ini yang mendapat perhatian dan kritikan dari seluruh dunia. Kadang-kadang ditertawakan sebagai bahan jenaka. Tidak pula bermakna bahawa mereka tidak bersimpati dengan mangsa MH 370.

Mula-mula aku semacam tidak peduli apabila ada rakan-rakan yang mengatakan bahawa Malaysia menggunakan tenaga bomoh untuk mencari kapal terbang yang hilang MH 370. Berita itu langsung tidak menarik perhatian aku walau sedikitpun disebabkan peristiwa kehilangan MH 370 bukan berita untuk dipersendakan. Tetapi setelah ‘seantero’ dunia hebuh dengan berita berkenaan barulah aku mula ‘terjaga dari tidurku’, terutama apabila anak aku dari London menceritakan tentang ‘kehebuhan’ warga London memperkatakan tentang ‘kehebatan’ bomoh Malaysia yang kononnya boleh melakukan sesuatu ‘keajaiban’ mencari dimana MH 370.

Yang menarik perhatian aku ialah tentang kononnya Presiden Obama juga sedang mengikuti perkembangan Bomoh di Malaysia melalui computernya (yang merupakan berita palsu akhirnya). Gambar palsu itu tersebar dengan begitu luas sekali ke seluruh dunia dengan caption yang berbunyi,’ "now the country is an international joke and Malaysia is now officially the laughing stock of the world."
YB Khairi Jamaluddin dalam kenyataannya mengatakan bahawa perkhidmatan Bomoh 1 Malaysia bukan atas arahan kerajaan Malaysia. Namun DS Anwar Ibrahim mempersoalkan pula tentang bagaimana Bomoh 1 Malaysia boleh ‘berleluasa’ menjalankan tugasnya di KLIA dan beliau juga mahu tahu pihak mana yang bertanggungjawab menggunakan ‘perkhidmatan’ bomoh berkenaan dan siapakah pula yang membayar perkhidmatan berkenaan. Dan sebagaimana yang dilaporkan oleh akhbar The Star (13 Mac 2014) bahawa, Datuk Seri Anwar Ibrahim during a Parliament session, jokingly, said that even Obama must have been amazed with "our stupidity.He even had a 1Malaysia tag on him. This is bomoh 1Malaysia,"

Sebenarnya sejarah Bomoh dan ‘kebomohan’ ini memang rapat dengan pemimpin-pemimpin lama. Pernah satu ketika dulu kita dikejutkan dengan kisah bomoh Mona Fandi yang dituduh membunuh Datuk Mazlan Idris. Kisahnya ialah bagaimana pada Julai 1993, Datuk Mazlan Idris telah menghampiri seorang bomoh wanita Mona Fandey untuk bantuan ghaib untuk meningkatkan kerjaya politik beliau dan mendaki tangga parti. Beliau telah dipelawa oleh Mona Fandey dan pasangannya, untuk mengambil bahagian dalam satu upacara ilmu hitam di rumah Mona Fandey tersebut. Datuk Mazlan Idris telah diminta baring di lantai dengan matanya tertutup sambil menunggu wang untuk "jatuh dari langit." (seperti yang diberitahu oleh bomoh tersebut). Datuk Mazlan Idris dilaporkan hilang pada 2 Julai, 1993 selepas dia telah keluarkan RM300,000 daripada beberapa buah bank di Kuala Lumpur.
( Sumber Wikipedia)
Berpandukan kisah ini dan kisah-kisah bagaimana setengah ahli politik menggunakan khidmat bomoh untuk memenangi jawatan dalam parti, maka tentulah tidak menghairankan sekiranya khidmat bomoh juga digunakan untuk mencari kapal terbang yang hilang. Dan berkemungkinan juga bahawa sekiranya Mona Fendi masih hidup pasti khidmat beliau juga mungkin diperlukan untuk mencari kepal yang hilang itu.
Dikalangan masyarakat Melayu Kurun ke 20 dan sebelumnya,  Bomoh adalah sebahagian hidup orang Melayu, terutama yang berada di kampung-kampung. Malah bagi mereka yang sudah berhijrah ke bandar dan mendapat pendidikan tinggi pun masih menggunakan khidmat bomoh untuk mendapatkan berbagai bentuk pertolongan. Bukan sahaja untuk mengubati penyakit tetapi untuk memudahkan mendapat sesuatu yang diidamkan, seperti mana yang pernah digunakan oleh kebanyakan pemimpin di negara ini. Ini bukan rahsia….
Cuma penggunaan khidmat bomoh telah dipersendakan oleh masyarakt Malaysia kini dan msayarakt dunia umumnya adalah disebabkan Bomoh sudah tidak diperlukan lagi oleh anak-anak muda yang berada dalam Kurun ke 21.  Generasi YB Khairi Jamaluddin, Rafizi Ramli, Nurul Izzah dll. Mereka sudah didedahkan dengan berbagai-bagai pendedahan yang bersifat intelek dan memandang perkhidmatan bomoh itu sebagai sesuatu yang diluar orbit pemikiran mereka. Dan pemikiran mereka ini selari dengan pemikiran masyarakat dunia lain yang telah maju.
Justeru perkhidmatan Bomoh di Malaysia yang bertujuan untuk mencari kapal terbang MH370 ditertawakan oleh seluruh dunia adalah disebabkan oleh cara berfikir yang diamalkan oleh setengah pemimpin di Malaysia itu amat jauh berbeza dan ketinggalan dari pemikiran masyarakat dunia yang lain.
Semoga dapat difikirkan bersama.

Abuhassanadam
15 Mac 2014 

No comments:

Post a Comment