Saturday, March 22, 2014

REFORMASI 1 LAHIRKAN RIBUAN ‘NURUL IZZAH’ DAN ‘RAFIZI RAMLI’

Mulai tahun 1998, anak-anak semenjak dari sekolah rendah lagi  di Malaysia telah ‘diajar’ dan ‘diasuh’ dengan perkataan ‘LIWAT’. Sehingga kini anak-anak masih ‘diasuh’ dengan perkataan itu dan ditambah pula dengan perkataan ‘SEKS’. Yang mengajar perkataan berkenaan adalah golongan tua, para pemimpin negara yang tidak segan silu menyebut perkataan berkenaan di khalayak ramai tidak kira dihadapan anak-anak ataupun dihadapan kaum ibu. ‘LIWAT’ dan ‘SEKS’ sudah menjadi sebutan biasa.

Anak-anak pada tahun 1998 sudah didedahkan bahawa DS Anwar Ibrahim dikaitkan dengan perkataan ‘liwat’. Pada mulanya mungkin anak-anak ini cuba mempercayainya, kesan daripada ‘asuhan’ sebahagian kecil ibu bapa di Malaysia yang telah ‘dipaksa’ untuk meyakini bahawa sebanranya DS Anwar melakukan perbuatan sedemikian. Lama kelamaan anak-anak yang dulunya (1998) masih di sekolah, kini sudah menjadi manusia dewasa, menjadi anak muda yang berpengetahuan luas, yang boleh berfikir secara rasional disamping dapat melihat dan membandingkan yang mana betul dan yang mana salah.

Selama lima belas tahun lebih kurang anak-anak muda ini cuba disogok oleh media arus perdana dengan perkataan liwat dan cuba ‘memaksa’ anak muda agar mempercayai bahawa sebenarnya DS Anwar Ibrahim melakukan perbuatan terkutuk itu. Sebilangan kecil masih percaya. Namun sebahagian besar anak-anak muda di Malaysia, bukan sahaja tidak mempercayai apa yang dikatakan tetapi telah mula mengorak langkah untuk bersama-sama ‘menafikan’ kenyataan itu. Dan kesannya dapat dilihat apa yang telah ditunjukkan oleh mereka pada majlis pelancaran Gelombang Reformasi 2 di Kajang  pada 21 Mac 2014.

Aku masih ingat tentang perhimpunan besar-besaran yang diadakan di Masjid Negara sebelum DS Anwar ditangkap (1998). Perhimpunan berkenaan merupakan perhimpunan yang aku rasa tidak dapat ditandingi oleh mana-mana perhimpunan selepas itu. Yang ingin aku tekankan di sini bahawa sebahagian besar yang hadir pada perhimpunan adalah terdiri daripada ‘anak-anak  muda’ tahun 1960an dan 1970an. Maknanya peserta perhimpunan pada ketika itu terdiri daripada pejuang dalam lingkungan umur 50an dan 60an. Berbanding dengan peserta yang hadir dalam pelancaran gelombang Reformasi 2 di kajang semalam yang aku perhatikan terdiri daripada anak-anak muda yang telah sedar tentang ketidakadilan dan kepincangan yang berlaku kini.

Boleh dikatakan bahawa penglibatan anak muda dalam Reformasi terdahulu amat berkurangan. Gambaran yang boleh aku berikan yang menyebabkan keadaan terjadi demikian adalah disebabkan para belia pada ketika itu sentiasa berada dalam zon selesa. 1980an dan awal 1990an adalah merupakan zaman yang agak tenang di Malaysia. Mungkin ada ‘kocakan’ dan krisis dalam negara pada ketika itu, namun dapat ‘dipadamkan’ dengan segera oleh media arus perdana yang dikawal oleh kerajaan dan juga disebabkan ketiadaan internet dan media sosial seperti yang ada sekarang. Lantas anak-anak muda sentiasa hidup dalam keadaan selesa dan seolah-olah mereka tidak peduli tentang apa yang berlaku dalam negara pada ketika itu. Seolah-olah tugas membina dan memajukan negara diletakkan sepenuhnya kepada golongan dewasa.

Berbeza sekali dengan anak muda Pasca Reformasi (1998). Dengan jelas kita telah melihat kebangkitan golongan ini yang ‘diwakilkan’ kepada Rafizi Ramli, Nurul Izzah, Tony Pua, Nik Nazmi, Cikgu Bad dan ramai lagi. Hanya YB Khairi yang agak ‘menyimpang’ dan mengikut ‘haluan’ yang tersendiri. Perlu juga aku tegaskan disini bahawa sebenarnya negara telah kehilangan sebutir ‘bintang’ yang diharapkan menerangi negara pada ketika itu. ADELAN BENAN BIN OMAR. Rupa-rupanya Allah lebih menyanyangi beliau. Dipanggilnya lebih awal dalam usia hanya 31 tahun.

Aku sememangnya rapat dengan arwah Adelan Benan ketika beliau menuntut di Cambridge University, UK. Begitu jugalah dengan Rafizi Ramli. Malah Rafizi tidak segan dan silau mengatakan bahawa Allahyarham Adelan adalah mentornya. Aku setuju dengan kenyataan itu kerana kedua-dua mereka adalah merupakan orang kuat UKEC pada tahun-tahun 1995 sehingga 1998. Dan aku yakin dan pasti sekiranya Adelan Benan masih ada senario politik di Malaysia tentu akan berubah dengan lebih cepat.

Tidak usah ditangisi yang telah tiada. Bak kata peribahasa Melayu, ‘patah tumbuh hilang berganti’. Kini sudah ada pengganti yang cukup kuat dan teguh. Nurul Izzah adalah puteri reformasi. Beliau ‘lahir’ dan ‘membesar’ bersama-sama gelombang reformasi. Tentulah tidak ada pemimpin yang lebih ‘kredibel’ dalam mendukung perjuangan ini selain daripada Nrul Izzah. Dan aku percaya bersama-sama dengan gelombang kedua ini ribuan ‘Nurul Izzah’ akan lahir. Dan sekiranya pemimpin-pemimpin muda ini mula ‘bersepak-terajang’ maka pasti senario politik tanah air akan berubah.

Seharusnyalah anak muda tampil kehadapan membentuk generasi masa hadapan di Malaysia. Negara ini adalah milik mereka . Anak-anak muda kini yang akan mewarisi kepimpinan negara pada masa hadapan. Dan seharusnyalah anak-anak muda berada di medan hadapan mencorakkan keadaan itu.

Anwar Ibrahim masih gagah dan bersemangat dan mampu menggugat kini. Tetap selama mana? Namum demikian ‘Anwar Ibrahim’ akan tetap berada di setiap hati dan sanubari anak-anak muda di Malaysia. Akan lahir ratusan ribu ‘Anwar Ibrahim’ yang akan memperjuangakn idelaisme yang diperjuangkanya selama ini. Kita akan tetap mendoakannya.

Abuhassanadam
22 Mac 2014



3 comments:

  1. Di zaman dunia menuju kemajuan serta ketamadunan yang gemilang, seharusnya tidak ada tempat lagi bagi pemimpin yang rasuah, menyalahguna kuasa, tidak telus berfikiran kotor serta tamak haloba ........

    ReplyDelete
  2. Apabila mereka semua sudah tewas, kita akan hadapkan mereka kemuka Pengadilan dan pastikan mereka rasai apa yang di rasa olih DSA selama ini.

    Aku pernah berkumpul di Mesjid Negara, di Padang Selangor Club, berkejar, berlari dihujani air asid. Aku tidak pernah menyesal.
    Kini dalam persaraan, aku tidak berdaya lagi, namun semangat maseh ada. Kerana aku yakin pehak yang benar.

    ReplyDelete
  3. Memang liat sekali untuk memperlinkupkan UMNO, ada beberapa ketika yang UMNO pasti jatuh tapi boleh bernafas walaupun dengan 42 % undi minoriti dan ini tentunya membuat para pejuang reformasi ( untuk keadilan, demokrasi yang tidak mendekriminasi golongan minoriti dan kebebasan) pasti terkilan atau berdukacita kerana masih merasa 'terlalu dekat tapi masih jauh lagi' untuk kelompok reformasi untuk ke Putrajaya namun itulah hakikat pahit bahawa kuasa UMNO masih bagaikan rimau berantai. Tetapi akhirnya dengan pakatan padu DAP/PAS/PKR dan bertambah cerdiknya rakyat khasnya di luar bandar maka Putrajaya pasti dalamm genggaman PR. Pegang pada pantun " Nyiur gading puncak mahligai, Sayang ketupat berisi inti, Hancur daging tulang berkecai, Belum berjaya belum berhenti"

    ReplyDelete