Tuesday, March 25, 2014

PRK KAJANG – ‘WATERSHED’ DALAM SEJARAH POLITIK TANAH AIR

PRK kajang akan menjadi ‘watershed’ dalam sejarah politik di Malaysia. Boleh juga dikatakan sebagai pemangkin (catalyst) ke arah mengubah senario politik negara. Jikalau ramai yang mengatakan bahawa langkah Kajang adalah merupakan langkah ke arah Puterajaya, maka aku seakan-akan mahu bersetuju dengan pendapat sedemikian. Apatah lagi apabila memikirkan kata-kata Lao Tzu yang mengatakan bahawa ‘ a journey of one thousand miles begins with a single step’. Dan PRK Kajang bukan merupakan langkah pertama tetapi bagi aku sebagai langkah penyudah. ‘Final touches’ ke arah melengkapkan sesuatu.

Aku mengatakan PRK Kajang sebagai penyudah berasakan pendapat ramai yang mengatakan bahawa ada dua faktor penting yang berlaku dalam PRK ini yang boleh dijadikan sebagai ‘langkah penyudah’

·      Penglibatan golongan muda yang begitu aktif menyokong Pakatan Rakyat dalam PRK Kajang akan menjadi faktor penentu dalam PRU atau PRK yang akan datang.
·      Perubahan cara berfikir yang mendadak dikalanagan pengundi Melayu. Ada beberapa kawasan pengundi Melayu yang dahulunya penyokong kuat UMNO (BN) telah bertukar haluan untuk memberikan kepercayaan kepada Pakatan Rakyat.

Jikalau Langkah Kajang sebagai langkah penyudah, maka sudah tentu ada langkah mulanya. Bagi aku langkah pertama bermula pada tahun 1998 apabila rakyat Malaysia khususnya orang Melayu  dikejutkan dengan satu ‘malapetaka’ yang membabitkan pertuduhan liwat ke atas DS Anwar Ibrahim. Orang Melayu dikejutkan juga dengan beberapa tindakan pemimpin UMNO yang sanggup melucutkan jawatan DS Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan juga sebagai ahli UMNO.

Orang Melayu khususnya ‘terperanjat’ dengan peristiwa demikian. Dan apabila berlakunya Pilihan Raya Umum pada 1999, orang Melayu melahirkan kekecewaan mereka terhadap tindakan kerajaan menganiaya DS Anwar Ibrahim. Orang Melayu merasakan apa yang berlaku ke atas DS Anwar Ibrahim itu tidak sepatutnya berlaku. Ramai yang mengatakan sebagai zalim tindakan pihak tertentu berkenaan. Orang Melayu juga tahu untuk melahirkan penentangan mereka terhadap kerajaan.

Barisan Nasional nyaris tewas dalam PRU 1999 jika tidak diselamatkan oleh kaum Cina dan India. Simpati terhadap DS Anwar Ibrahim  tidak meluas dikalangan kaum bukan Melayu pada ketika itu dan tidak sebagaimana yang berlaku kini. Mungkin juga mereka tidak mendapat penjelasan yang jelas tentang peristiwa berkenaan disebabkan ketiadaan hebahan media sosial seperti sekarang.

Keputusan PRU 1999 memberikan gambaran bahawa negeri-negeri yang majoritinya orang Melayu telah dapat memenangi banyak kerusi Parilemen dan begitu juga kerusi Dewan Undangan Negeri. Maknanya orang Melayu begitu ‘marah’ dengan apa yang telah dilakukan ke atas DS Anwar Ibrahim itu.

Keputusan PRU 12 dan PRU 13 telah memberikan satu gambaran yang agak berlainan sedikit. Walaupun BN tidak dapat mempertahankan kedudukan 2/3 dalam parlimen, namun mereka telah dapat ‘diselamatkan’ oleh orang Melayu. UMNO (BN) telah memberikan tumpuan istemewa kepada orang Melayu pada ketika itu. Isu-isu yang membabitkan soal perkauman dan agama terus menerus dimainkan untuk menambat hati orang Melayu (yang boleh ‘ditambat’ hati mereka). UMNO (BN) agak berjaya  dalam erti kata masih dapat ‘bernafas’ memerintah negara ini walaupun dalam keadaan ‘nyawa-nyawa’ ikan. Orang Melayu (yang masih ‘berselimut’ dan berada ‘di bawah tempurung’) yang menyelematkan keadaan itu.

Kini pemikiran orang Melayu yang berkeadaan demikian sudah hampir lenyap. Hanya orang Melayu yang ‘berkepentingan’ sahaja  yang masih merasakan bahawa UMNO (BN) masih relevan mentadbirkan negara Malaysia sedangkan sudah ramai orang Melayu yang merasakan sebaliknya. PRK Kajang telah memberikan gambaran jelas tentang perubahan sikap pengundi Melayu. Jikalau dalam PRU 13 yang lepas, beberapa kawasan pengundi Melayu telah dimenangi oleh BN, tetapi pada PRK Kajang yang lepas trend ini telah berubah.

Maknanya orang Melayu telah sedar dan faham bahawa pentadbiran kerajaan BN sudah tidak relevan. Sudah tidak dapat menjaga kesejahteraan rakyat dengan kenaikan harga barang dan berbagai penyelewengan yang telah dilakukan. Ekoran dari berbagai-bagai penerangan yang diberikan kepada mereka orang Melayu kini sudah sedar tentang berbagai penyelewengan yang dilakukan. Dan yang paling penting ialah orang Melayu tidak akan membiarkan kezaliman yang berterusan dilakukan ke atas DS Anwar Ibrahim. Orang Melayu patuh kepada keputusan hakim tetapi hati kecil mereka merasakan tidak rela membiarkan ‘orang tua’ yang sudah berumur 68 tahun dipenjarakan  lima tahun di atas ‘kesalahan’ yang mungkin ‘dicipta’ semata-mata untuk ‘menutup mulut’ beliau. Simpati orang Melayu terhadap DS Anwar akan berterusan dan ‘dendam’ ini akan terus ‘merebak’ dalam hati dan perasaan orang Melayu sehinggalah ke suatu ketika apabila ia dapat ‘diubati’.

Dan jangan dilupakan juga bahawa kebangkitan orang muda merupakan satu trend dan ‘watershed’ dalam sejarah politik tanah air. Amat jelas  dilihat pada PRK Kajang. Orang muda sudah betul-betul komited dalam perjuangan untuk menegakkan kebenaran. Penglibatan mereka adalah luar biasa. Dan yang menyokong Pakatan Rakyat adalah golongan belia yang terpelajar yang terdiri dari mahasiswa univeristy yang amat sedar tentang peranan mereka untuk memajukan negara tercinta. Golongan ini sudah tidak dapat ‘digula-gula’ dan tidak mudah disogok lagi.

Ini juga merupakan perkembangan yangl luar biasa berbanding dengan tahun 1999 dulu di mana kaum belia seolah-olah sentiasa berada di zon selesa. Ramai kaum belia yang tidak mahu mengundi memandangkan bahawa negara sentiasa dalam keadaan aman dan sejahtera. Dengan demikian para belia pada ketika itu merasakan bahawa kedudukan mereka tidak akan merobah senario politik tanah air. Seperti melukut ditepi gantang. Kemasukan mereka dalam politik tidak menambah dan tidak pula merugikan sekiranya mereka berada di luar. Keadaan itu sudah berubah kini. Para belia sudah memainkan peranan aktif dan dapat dilihat dengan jelas pada PRK Kajang yang baru lalu.

Lantas lebih meyakinkan aku bahawa PRK kajang adalah merupakan satu ‘watershed’ dalam sejarah perkembangan politik tanah air. Dua perkembangan yang berlaku ia itu kesedaran dikalangan orang Melayu tentang berbagai penyelewengan yang berlaku kini disertai pula dengan penglibatan secara aktif para belia dengan jelas akan membuka ruang yang cukup jelas bagi melangkah ke Putrajaya. Apatah lagi apabila memikirkan yang kaum bukan Melayu (Cina dan India) sudah boleh berganding bahu memikul tanggungjawab bersama sebagai anak Malaysia untuk meneruskan perjuangan ke Putrajaya dan meletakkan negara Malaysia di peta dunia yang boleh dibanggakan semua.

Kita iringi hasrat ini dengan doa.

abuhassanadam
25 Mac 2014




1 comment:

  1. Dari satu sudut UMNO masih boleh bertahan kerana adanya deposit tetap dari Sabah dan Sarawak, kedua negeri tersebut menyumbang 1/3 jumlah kerusi parlimen. Jika deposit tetap itu menyebelah PR maka dah lama UMNO bungkus. Kini UMNO mempunyai tak banyak kerusi parlimen mungkin lebih dari PR, namun ia menang kerusi majoriti meskipun bukan undi popular. Memang bertambahnya cerdik orang Melayu di Semenanjung mahupun di Kajang, juga orang Tionghua dan India namun diyakinkan orang Sabah dan Sarawak juga harus cerdik dan memilih PR untuk PR masuk daftar ke Putrajaya.

    ReplyDelete