Sunday, March 30, 2014

BALINGIAN: KEJAYAAN PEMIMPIN BN SARAWAK “MEMPERBODOHKAN” PENGUNDI BALINGIAN

Tajuk di atas agak ‘keras’ bunyinya kerana aku melihat suasana yang menyelubungi PRK Balingian itu sedemikian rupanya. Namum tidak pula aku mengatakan bahawa semua pemimpin Sarawak berkeadaan demikian dan tidak juga semua pengundi balingian dapat diperbodohkan. Jika dilihat melalui kacamata seorang pengamal demokrasi tulin jelas menunjukkan bahawa apa yang diamalkan oleh pemimpin Sarawak itu amat bertentangan dengan prinsip demokrasi berkenaan.

Apa tidaknya?

Antara inti pati Perjanjian Malaysia 1963 ialah negeri Sabah dan sarawak diberikan kuasa mengawal hal ehwal imigresen dan perkhidmatan awam. Dan kuasa untuk mengawal hal ehwal imigresen ini telah dipergunakan sepenuhnya untuk tujuan menyekat kemasukan maklumat dari Semenanjung yang boleh menyedarkan pengundi Balingian khususnya. Aku tidak nampak rasional mengapa pemimpin di Sarawak terpaksa bertindak sedemikian rupa. Apakah mereka begitu bimbang dengan kedatangan Saifuddin Abdullah, Rafizi Ramli, Tien Chua sehinggakan pemimpin Sarawak ini sanggup ‘merendahkan’ taraf pemikiran mereka kepada dunia luar.

Sekiranya pemimpin di sana merasakan bahawa dengan kedatangan para pemimpin Semenanjung akan berperanan untuk memecah-belahkan rakyat, bukankan ada berbagai-bagai undang-undang yang boleh digunakan untuk mendakwa mereka. Dengan menghalang mereka untuk menyampaikan penerangan kepada pengundi Balingian memberikan gambaran kepada rakyat di Semenanjung khususnya dan dunia luar umumnya bahawa masih ada lagi saki baki cara berfikir yang diwarisi oleh anak negeri sarawak daripada Raja Brooke dulu. Mungkin….

Sekiranya disusur-galur kisah perjuangan rakyat Sarawak menentang keluarga Brooke, maka hampir tidak percaya aku bahawa anak cucu pejuang-pejuang lampau seperti Rosli Dhobi, sanggup mengainaya saudara serumpun nya dari Semenanjung dengan ‘menghalau’ pulang ‘mentah’mentah’ kedatangan mereka ke bumi Kenyalang ini. Adat Melayu tidak akan berbuat begitu sekiranya tujuan kedatangannya itu dengan niat baik. Orang Melayu biasanya tidak akan ‘menghalau’ tetamu yang datang ke rumahnya. Dibenarkannya masuk ke rumah terlebih dahulu. Diberinya makan. Dan sekiranya tujuan kedatangan tetamu itu tidak baik maka barulah dihalaunya. Itupun dengan cara yang paling bersopan.

Pernah suatu ketika dahulu YB Nurul Izzah tidak dibenarkan menjejakkan kaki di bumi Sabah. Aku merasakan bahawa hanya segelintir rakyat Malaysia sahaja yang menyetujui dengan tindakan pegawai berkuasa Sabah itu. Selainnya akan merasa jelek dengan tindakan sedemikian apatah lagi apabila mengenangkan tindakan pemimpin yang dengan ‘kemurahan’ hati merelakan kemasukan ribuan pendatang haram yang kemudianya diiktiraf sebagai rakyat Malaysia. Ini yang dikatakan ‘anak kera dihutan disusui sedangkan anak sendiri kelaparan’.

Pemimpin Sarawak dari Barisan Nasional bukan sahaja berjaya menang dalam PRK Balingian tetapi juga berjaya ‘memperbodohkan’ sebahagian pengundi Balingian. Aku tidak sekali-kali memperkecilkan kemampuan pengundi Balingian untuk membuat pertimbangan tentang parti mana yang hendak dipilih oleh mereka. Tetapi sekurang-kurangnya mereka diberikan peluang seluas-luasnya untuk membuat pertimbangan. Diberikan peluang seluas-luasnya untuk mendengar pandangan dan pendapat dari kedua-dua belah pihak, Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Dengan menutup peluang untuk mendengar dari pihak Pakatan Rakyat seolah-olah pemerintah di Sarawak menjalankan pemerintahan Diktator.

Bukan hasrat aku untuk mengulas tentang keputusan PRK Balingian. Yang ingin aku sampaikan ialah tentang kekesalan aku tentang sikap setengah pemimpin Sarawak yang tidak merasa segan dan silu melakukan sesuatu yang tidak sepatutya dilakukan oleh pemimpin pada Kurun ke 21. Jika ditinjua sejarah perjuangan anak Sarawak menentang keluarga Brooke dan kemudian penjajhan British dapat dilihat tentang kehebatan mereka itu.

·      Penentangan Datu Patinggi Abang Haji Abdillah selaku Ketua Masyarakat Melayu Sarawak terhadap tindakan Vyner Brooke menyerahkan Sarawak kepada kerajaan British yang pada pendapatnya bertentangan dengan Perlembagaan 1941, harus dipuji.
·      Perana kaum ibu Sarawak dalam PKMS (Persatuan Kebangsaan Melayu sarawak) juga tidak kurang hebatnya dalam usaha mereka menentang British. Kaum Ibu turut membantah dengan berdemonstrasi dan menghantar surat bantahan kepada kerajaan Britsih.
·      Keberanian seramai 338 orang kakitangan awam meletakan jawatan sebagai tanda bantahan terhadap British yang mengeluarkan Surat Pekeliling Bil 9 yang memberikan amaran bahawa tindakan akan diambil terhadap kakitangan kerajaan yang terlibat dalam demonstrasi.
·      Tindakan anak muda yang bernama Rosli Dhobi yang telah menikam Gabenor Sarawak, Duncan Stewart pada 3 Disember 1949. Walaupun beliau dihukum gantung kemudiannya tetapi keberanaiannya sepatutnya dijadikan contoh oleh anak muda Malaysia dan anak muda Sarawak khususnya.

Dan keberanian pemimpin sarawak pada tahun 2014 agak berbeza orientasinya. Mereka sepatutnya bukan hanya berani menyekat kemasukan ‘pandangan’ dan ‘buah fikiran’ dari luar, tetapi harus berani berdepan dan ‘berdebat’ membahaskan sesuatu isu.

abuhassanadam
30 Mac 2014




No comments:

Post a Comment