Sunday, March 2, 2014

PERTANDINGAN KHALID-AZMIN MENGUKUHKAN KEYAKINAN PENGUNDI KAJANG

Walaupun ada yang merasakan bahawa pertarungan merebut jawatan Timbalan Presiden antara TS Khalid Ibrahim dan YB Azmin ini akan merumitkan suasana PRK Kajang, namun bagi aku ia tetap akan mengukuhkan keyakinan pengundi Kajang bahawa PKR adalah subuah parti ‘lain dari yang lain’. Sekiranya pertandingan ini dilihat melalui kacamata perkembangan poltiik biasa yang diamalkan oleh parti-parti politik di Malaysia, maka pasti kita akan merasakan bahwa pertandingan ini akan ‘mencacatkan’ PRK Kajang dan berkemungkinan menurunnya sokongan terhadap DS Anwar Ibrahim.

Kita meramalkan keadaan terjadi sedemikian rupa sekiranya kita menggunakan kayu ukur yang selalu digunakan oleh UMNO dan parti-parti lain misalnya. Sekiranya diukur dan dilihat melalui perspektif yang lain daripada yang biasa diamalkan, maka natijahnya tentulah berlainan.

UMNO misalnya terpaksa menangguhkan pemilihan pucuk pimpinan sekiranya menghadapi pilihanraya umum. Ini telah berlaku beberapa kali. Menunjukkan bahawa kepimpinan tidak begitu yakin kepada kepimpinan mereka. Mereka takut akan perpecahan dalam parti apabila diadakan pemilihan sedemikian. Para ahli akan memihak kepada calon-calon tertentu. Justeru akan timbul perpecahan dalam parti yang berkemungkinan menggugat calon BN dalam pilihanraya yang diadakan.

YB Lim Kit Siang dari DAP juga mengemukakan ‘note of caution’nya mengenai hal yang dibincangkan ini. Beliau bimbang akan menjejaskan keputusan PRK Kajang. Mungkin beliau bimbang akan perpecahan yang akan berlaku dalam PKR itu sendiri apabila akan muncul dua kumpulan. Yang satu memihak kepada TS Khalid dan yang satu lagi akan memihak kepada YB Azmin. Ada kemungkinan berlaku dan berkemungkinan tidak. Akan berlaku perpecahan sekiranya ahli PKR masih berfikiran di ‘takuk lama’. Tidak akan berlaku perpecahan sekiranya ahli PKR sudah betul-betul faham tentang prinsip demokrasi dan ketelusan yang cuba diketengahkan oleh DS Anwar Ibrahim.

Pertandingan menguji ‘popularity’ adalah perkara biasa dalam sesutau organisasi. Dan tidak merupakan perkara anih atau luar biasa sekiranya berlaku cabar mencabar antara pemimpin dalam sesuatu organisasi. Yang tidak berapa ‘kena’ ialah apabila ada pemimpin yang ‘takut’ untuk bertanding bagi menguji kebolehan dan kemampuannya. Pemimpin yang sebegini belum boleh ditarifkan sebagai pemimpin sebenar dalam ertikata mengikut prinsip demokrasi sebenar. Pemimpin sebenar adalah juga seorang pahlawan dan hulubalang yang berani menentang siapa saja untuk membuktikan kepahlwanannya. Berani bersepak-terajang dalam apa juga gelanggang.

UMNO mengamalkan keadaan sedemikian. Itu dulu. Namun kini UMNO sudah tidak begitu. Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan. Tun Mahathir selaku Presiden UMNO pernah ditentang oleh Tengku Razali Hamzah pada awal tahun 1980an dan Tun Mahathir hanya menang dengan kelebihan undi sebanyak 44 undi sahaja. Jawatan Timbalan Presiden UMNO pernah juga ada pertandingan antara Tun Musa Hitam dengan Tengku Razali Hamzah. Kemenangan memihak kepada Tun Musa Hitam. DS Anwar Ibrahim pernah mencabar Tun Gaffar Baba sebagai Timbalan Presiden UMNO yang menyebabkan Tun Gaffar terpaksa menarik diri dari mempertahankan jawatan berkenaan disebabkan pencalonan yang amat berkurangan diterimanya dari ahli-ahli.

Perpecahan tidak berlaku dalam UMNO disebabkan adanya pertandingan merebut jawatan tertinggi dalam parti. Tetapi perpecahan yang amat ketara dalam UMNO ialah apabila DS Anwar dipecat dari UMNO dengan alasan-alasan yang tidak munasabah. Walaupun ada yang mengatakan bahawa tidak berlaku perpecahan ekoran daripada peristiwa itu, namun keputusan PRU 1999 memberikan gambaran yang jelas bahawa orang Melayu mula ‘lari’ dari UMNO. Sehingga kini ‘pelarian’ itu masih berterusan.

Sudah jelas terbukti bahawa perpecahan dalam parti atau organisasi bukan disebabkan adanya pertandingan untuk merebut sesuatu jawatan tertinggi. Sekianya perebutan jawatan itu dilaksanakan secara telus dan ikhlas berlandaskan prinsip demokrasi sebenar, maka pastinya tidak akan wujudnya permusuhan atau perpecahan dalam parti. Perlu disedari bahawa pertandingan dalam parti bukan permusuhan pribadi. Tujuan seseorang calon bertanding adalah untuk mendapat pengesahan daripada ahli bahawa seseorang itu masih relevan kepada parti dan rakyat yang dipimpin. Itu saja. Yang mendapat kepercayaan daripada ahli perlu meneruskan ‘perjuangan’ dan yang tidak mendapat mandat dari ahli perlu juga memberikan sokongan demi untuk keutuhan parti.

Presiden Barrack Obama telah memberikan isyarat yang cukup jelas kepada dunia bahawa tidak semestinya calon yang tewas dalam sesuatu pertandingan itu diabaikan begitu sahaja. Masih segar dalam ingatan kita bahawa telah berlaku pertandingan yang cukup sengit antara Obama dan Hillary Clinton untuk merebuat jawatan Presiden Amerika Syarikat. Akhirnya kemenangan memihak kepada Obama. Namun Obama tidak mengenepikan Hillary Clinton. Malah beliau dilantik sebagai Setiusaha Negara Amerika Syarikat.

Aku yakin pertandingan Khalid-Azmin akan mengukuhkan lagi keyakinan ahli PKR bahawa pertandingan ini tidak sekali-kali akan membawa perpecahan kepada parti sebagaimana yang didakwa oleh banyak pihak.Kewujudan PKR adalah berpaksikan konsep ‘REFORMASI’ yang merupakan slogan perjuangan PKR semenjak dari mula penubuhannya. Dengan demikian PKR sentiasa melakukan anjakan paradigma dalam apa juga tindakan yang dilakukannya dengan mengambil kira bahawa masyarakat Malaysia kini adalah masyarakat yang hidup dalam Kurun ke 21.

Marilah kita sama-sama memerhatikan kesan pertandingan Khalid-Azmin ini. Aku yakin, dan pengundi Kajang juga yakin bahawa pertandingan ini akan menelurkan sesuatu yang memberikan manfaat kepada Selangor.Yang pastinya kedudukan DS Anwar Ibrahim sebagai calon PRK Kajang tidak akan terjejas walau sedikit pun, malah akan terus mantap dengan meraih kelebihan undi yang lebih besar. Insyallah.

abuhassanadam
2 Mac 2014


1 comment:

  1. Dari satu sudut lain pertandingan antara Khalid dan Azmi akan menjurus kepada kehilangan pengaruh Azmin jika Khalid menang. Jika Khalid kalah sosok baru yang kini bersinar terang Rafizi Ramli akan muncul menjadi penghalang besar kepada impian Azmin yang mahu mengganti Anuar Ibrahim. Azmin seorang strategis hebat tetapi tidak sepenuhnya disetujui oleh PAS dan DAP dan beliau juga kini diperlekehkan sebagai mempunyai dna UMNO telah lama bersama Anuar tapi dalam politik tiada satu yang boleh kekal kerana dinamika akan muncul perkembangan baru. Dulu Ezam pun rapat tapi setelah Azmin dilihat lebih diyakini Anuar, Ezam cepat-cepat berpisah malah ramai pemimpin yang pada satu ketika dulu rapat dengan Anuar telah bercerai dengan Anuar dan ramai masuk sarang lama UMNO.Azmin terlalu cepat nak hapuskan Khalid tanpa disedari pesaingnya telah muncul tak semena-mena termasuk puteri reformasi Nurul Izah. Anuar membuka jalan yang dilihat selamat kepada Azmin untuk mungkin menjauhi PKR/PR dan masuk semula UMNO dan UMNO mennati saja untuk mempergunakannya seperti ada yang telah terjadi kepada Ezam, Lokman dan ramai lagi.

    ReplyDelete