MENGAPA DS ANWAR IBRAHIM PERLU
DIPENJARA
Aku tidak mempersoalkan keputusan hakim. Hakim
kata DS Anwar didapati bersalah dan akan menjalani hukuman penjara selama lima
tahun. Cuma aku sedih kerana ‘orang tua’ seperti DS Anwar tidak sepatutnya
berada di penjara untuk menghabiskan masa tuanya. Walaupun beliau didapati
bersalah oleh hakim tetapi persepsi majoriti rakyat di negara ini tetap
mengatakan bahawa beliau tidak bersalah. Malah sebahagian masyarakat intelek
dunia yang mengenali beliau merasakan bahawa beliau tidak bersalah. Mereka
mengatakan yang beliau dizalimi. Itu kata masyarakat dunia. Kebanyakannya kata
begitu. Jikalau tidak masakan jemputan demi jemputan diterima juga dari luar
negara untuk menyampaikan buah fikiran kepada masyarakat dunia. Maknanya walaupun
dipenjarakan namun masih diikitiraf tidak bersalah oleh masyarakat. Inilah
keistimewaan yang ada pada DS Anwar Ibrahim.
Persoalannya mengapa beliau perlu
dipenjara?
Anak-anak muda kini mungkin jarang atau pun tidak pernah langsung
mendengar cerita “Singapura dilanggar todak’. Ahli sejarah ‘orang putih’
kata ini cerita dongeng kerana tidak disokong dengan fakta sejarah yang
konkrit. Tak usah kiralah. Bukanlah tujuan aku nak membahaskan samada ini
cerita sejarah ke bukan. Yang penting peristiwa ini boleh dijadikan teladan dan
pengajaran pada anak-anak.
Abdul Latip Talib dalam bukunya, “ Setelah roboh Kota Melaka’
bercerita,
“ Kejadian itu berlaku selepas Paduka Seri Maharaja yang
memerintah Singapura ketika itu membunuh seorang ulama dari Pasai bernama Tuan
Jana Khatib. Puncanya begini, pada suatu hari, sedang Paduka Seri Maharaja
duduk berehat di beranda istananya, lalu seorang ulama bernama Tuan Jana
Khatib. Kebetulan di hadapan istana itu ada sebatang pokok pinang. Ulama dari
Pasai itu merenung ke arah batang pinang, lalu batang pinang itu terbelah dua.
Paduka Seri Maharaja menyangka Tuan jana Khatib senagaja menunjuk
kehandalannya. Akibatnya ulama itu ditangkap lalu dijatuhkan hukuman bunuh.
Tidak lama selepas itu , Singapura dilanggar ikan todak. Akibatnya ramai yang
terbunuh dan cedera.
Bagi menghapuskan ikan todak itu, pada mula Paduka Seri Maharaja
memerintahkan rakyat berdiri di tepi pantai hanya berkubukan betis. Akibatnya
ramai yang terbunuh dan cedera ditikam oleh ikan todak itu. Akhirnya datang
seorang budak (Hang Nadim namanya) menyuruh berkubukan batang pisang. Apabila
ikan todak menyerang, mulutnya yang runcing itu terlekat kepada batang pisang.
Dengan ini, barulah ikan todak itu dapat dibunuh.
Singapura diselamatkan oleh seorang budak tetapi budak yang cerdik
itu dibunuh oleh sultan kerana bimbang apabila sudah besar kelak budak itu
merampas takhta. Tetapi akhirnya Paduka Seri Maharaja insaf di atas
kesilapannya.”
Semacam ada pula persamaan dengan kisah yang berlaku ke atas DS
Anwar Ibrahim. Mungkin ada puak-puak yang takut dan bimbang sekiranya DS Anwar
Ibrahim dibiarkan ‘bermaharajalela’ tanpa disekat. Apatah lagi sekiranya beliau
diberi peluang oleh rakyat untuk menerajui negeri Selangor, negeri kaya yang
terkumpulnya bermacam-macam jenis ‘harta karun’ yang menjadi idaman ramai orang
terutama puak-puak yang sememangnya sentiasa mengidamkan negeri kaya ini.
Lantas diadakan semula perbicaraan mengenai kes liwat yang telah
diputuskan ‘tidak bersalah’ oleh mahkamah tinggi tidak berapa lama dulu. Dalam
keadaan yang tergesa-gesa, hakim mahkamah rayuan membuat keputusan yang
bertentangan dengan apa yang diputuskan oleh mahkamah tinggi. Sebulat
suara!!...Beberapa hari sahaja sebelum penamaan calon bagi DUN Kajang yang mana
DS Anwar Ibrahim dijangkakan akan bertanding. Para hadirin yang berada dalam
mahkamah pada hari berkenaan ‘terkejut beruk’ mendengar keputusan hakim yang
akan tercatat dalam ‘Hari ini Dalam Sejarah’. Pastinya nama hakim-hakim yang
mengendalikan perbicaraan itu juga akan tercatat untuk dibaca oleh anak cucu
cicit mereka kemudian hari.
Ramai yang agak bimbang dengan tindakan DS Anwar Ibrahim. Berbagai
slogan yang diteriakkannya agak menggerunkan pihak yang sentiasa bimbang.
“Lawan tetap lawan’ antara slogan yang popular dikalangan anggta masyaraka
Malaysia kini. Disamping itu perjuangannya yang berterusan untuk menghapuskan
rasuah dan ‘cronyisme’ berterusan. Mungkin keadaan ini yang menyebabkan
pihak-pihak tertentu yang tidak boleh tidur lena dan tidak boleh makan dengan
kenyang walaupun harta kekayaan disekeliling pinggang. "We have to stop
this cronyism, we have to stop this awarding of billions of dollars of projects
without tender," kata DS Anwar Ibrahim yang dipetik oleh CNBC. "Funds stolen,
absconded by the billions have to be given back to the state," sambungnya
lagi yang juga dipetik oleh CNBC tempoh hari.
Banyak
lagi sebab-sebab lain yang memungkinkan DS Anwar harus berada dalam penjara dan
bukan berada ‘di luar’. Hanya rakyat miskin yang memerlukan pembelaan sahaja
yang mahukan Anwar Ibrahim bebas mempertahankan rakyat. Dan golongan majoriti
ini jugalah yang sentiasa menangis dan mendoakan kesejahteraan beliau. Semoga
Allah sentiasa bersama orang-orang yang menegakkan kebenaran.
Abuhassanadam
16 Mac
2014
No comments:
Post a Comment