Wednesday, March 26, 2014

EKORAN ISU MH 370 - PEMIMPIN KITA MASIH BERTARAF ‘JAGUH KAMPUNG’

Kenyataan Perdana Menteri yang mengatakan bahawa MH 370 ‘mengakhiri penerbangannya di Selatan Lautan India’ memilukan hati siapa saja yang masih bernafas di atas muka bumi ini. Cukup sedih memikirkan, walaupun bukan sanak saudara dan keluarga kita yang tertimpa nasib malang itu. Namun kesannya amat terasa dan menusuk kalbu. Cuma yang boleh dilakukan ialah agar keluarga yang malang sentiasa bersabar dan menghadapi dugaan Tuhan dengan penuh tabah.

Malaysiakini memetik kenyataan Encik Ong Tee Keat (Mantan Presiden MCA),’ "I believe the government is lucky to have had Hishammuddin as acting transport minister ... who was able to handle the international media and speak well, compared to other potential candidates who likely would have fared far worse and have far poorer communication skills.”

Aku hampir setuju dengan kenyataan di atas. Sekurang-kurangnya DS Hishamuddin Tun Hussein selaku Pemangku Menteri Pengangkutan dapat juga ‘menyelamatkan’ keadaan negara ini dari terus mendapat kutukan antara bangsa. Bak kata pepatah Melayu,’ tiada rotan akar berguna juga’.

Walaupun ada yang simpati dengan ‘nasib’ yang menimpa negara ekoran daripada kehilangan pesawat MH 370 itu, namun ramai juga yang mengkritik cara kita menguruskan krisis ini. Sehingga kini kritikan nampaknya semakin nyaring terutama yang datangnya daripada kaum keluarga yang kehilangan orang yang tersayang dan juga dari wartawan luar yang tidak puas hati dengan cara kita menguruskan krisis berkenaan khususnya cara kita mengendalikan persidangan media berkenaan.

Dan ekoran daripada peristiwa kehilangan pesawat MH 370 ini telah memberikan banyak ‘pengajaran’ yang berguna untuk diperhatikan oleh rakyat Malaysia dari semua aspek. Yang perlu disedari oleh kita ialah bahawa sebenarnya para pemimpin negara kita masih bertaraf jaguh kampung. Seingat aku belum pernah lagi para pemimpin negara kita terlibat secara langsung dengan krisis antarabangsa seperti yang berlaku kini.

Sekiranya tidak ada DS Hishamuddin untuk mengendalikan sidang media (pada setiap hari itu) aku tidak dapat membayangkan tentang menteri kabinet Malaysia lain yang boleh mengambil tempat berkenaan. Cubalah bayangkan sejenak memikirkan menteri atau timbalan menteri manalah agaknya yang boleh berbahasa Inggeris dengan fasih untuk mengendalikan sidang akhbar berkenaan. Yang aku nampak hanya dua orang lain yang boleh menggantikan tempat berkenaan – YB Khairi Jamaluddin dan YB Abdul Rahman Dahlan. Aku amat sangsi dan khuatir dengan kebolehan ‘pemimpin’ lain yang boleh mengendalikan sidang media berkenaan. Ini disebabkan kebanyakannya hanya bertaraf jaguh kampung.

Teringat pula aku tentang persidangan antarabangsa yang sentiasa dihadiri oleh para menteri kita. Sekiranya beginilah keadaan menteri kita yang tidak dapat menyampaikan idea dengan bernas dan berkesan (disebabkan kurangnya penguasaan bahasa Inggeris) apakah manfaat yang boleh diperolehi oleh negara kesan daripada kehadiran mereka itu. Maknanaya pemergian mereka itu hanya sekadar untuk makan angin dan memanaskan kerusi sahaja. Tentulah amat malang bagi rakyat Malaysia sekiranya para menteri kita yang ada kini hanyalah bertaraf ‘jaguh kampung’.

Terlalu banyak perkara yang perlu kita sedari ekoran daripada peristiwa kehilangan pesawat MH 370 ini. Terlalu banyak kelemahan yang perlu kita perbaiki untuk mencapai taraf negara maju seperti yang diimpikan dalam wawasan 2020. Amat jauh perjalanan yang perlu kita lalui. Aku merasa amat sedih melihatkan para wartawan kita yang ‘terkial-kial’ mengajukan soalan berbanding dengan cara dan tingkah laku wartawan antarabangsa mengemukakan soalan. Dengan penuh yakin dan persediaan fakta yang cukup mereka mengemukakan soalan dan kesannya tentulah pihak yang memberi jawapan pula ‘terkial-kial’ untuk menjawab.

Untuk menempah menjadi sebuah negara maju, rakyatnya harus terdidik untuk melengkapkan diri sebagai sebuah negara maju. Dapat aku perhatikan ‘gesture’ dan ‘body language’ yang ditunjukkan oleh wartawan asing apabila melihatkan gelagat wartawan kita di sesuatu persidangan media. Aku tidak menyalahkan wartawan kita. Mungkin mereka sudah dilengkapkan dengan berbagai ilmu kewartawanan ketika mereka berada di kolej atau di university. Namun disebabkan oleh ‘konkongan’ yang sentiasa diterima oleh mereka oleh pihak-pihak tertentu menyebabkan watawan kita sentiasa ‘takut’ dan berhati-hati. Dan yang amat menyedihkan ialah bahawa para wartawan kita tidak dapat melahirkan fikiran mereka tanpa mengikuti ‘script’ yang telah disediakan, sebagaimana yang sentiasa mereka terima dan amalkan. Maka akhirnya lahir jugalah wartawan yang bertaraf ‘jaguh kampung’.

Namun begitu terfikir juga aku bahawa masih ramai rakyat Malaysia yang berkebolehan jauh lebih baik daripada pemimpin yang ada sekarang. Tetapi rakyat yang bukan ‘jaguh kampung’ ini tidak berpeluang untuk berada di medan hadapan. Sentiasa dihalang daripada tanpil untuk berada di barisan hadapan. Jikalau dikatakan orang Melayu tidak berkebolehan, dapat aku pastikan bahawa terlalu ramai orang Melayu yang berkebolehan, berkelulusan dari university-university ternama di luar negara. Sekiranya memerlukan tokoh-tokoh yang boleh berbahasa Inggeris dengan fasih, ‘berlambak’ di luar sana tokoh-tokoh Melayu yang boleh berbahasa Inggeris. Malangnya totokh-tokoh ini tidak diberi peluang untuk tampil ‘mempertahankan’ negara. Mungkin juga disebabkan oleh tokoh-tokoh yang bertaraf antarabangsa ini memiliki cara berfikir yang tidak selari dengan cara berfikir kebanyakan pemimpin negara kini.

Ramai rakyat Malaysia yang agak merasa malu apabila mengikuti taklimat yang disampaikan mengenai kehilangan Pesawat MH 370. Bukan sahaja fakta yang bercanggah antara satu ketika dengan ketika yang lain, tetapi cara dan penampilan juga amat meragukan siapa saja yang mengikuti taklimat berkenaan. Seolah-olah si penyampai tidak dilengkapkan dengan data semasa yang meyakinkan. Amat malang sekali mengenangkan keadaan ini. Tidak hairanlah kita mendapat kritikan yang amat pedas sekali dari pengkeritik luar negara tentang cara kita mengendalikan sidang media kita dan cara kita menguruskan krisis ini. Dan amat menyedihkan apabila Perdana Menteri sendiri pada suatu ketika tidak sanggup menjawab soalan-soalan dari wartwan berkaitan dengan kehilangan pesawat berkenaan.

abuhasanadam
26 Mac 2014


2 comments:

  1. Jelas sekali namun ramai makcik felda dan kaum Melayu di luar bandar dan juga orang Melayu miskin bandar tidak nampak PEMIMPIN KITA MASIH BERTARAF ‘JAGUH KAMPUNG’ semasa berdepan dengan isu malapetaka MAS 370. Pemimpin bertaraf jaguh kampung itu sebenarkan dijana atau diasuh oleh kepimpinan Ketuanan Melayu yang mana dari sistem pendidikan yang tidak mahu menelurkan minda yang berkeyakinan, kritikal, berpengetahuan luas, fasih dalam dwi bahawa(Inggeris dan Melayu). Kesannya kita merasa malu melihat PM kita yang berkeyakinan membaca teks yang telah disediakanyang tapi segan nak terima soalan sebarang soalan dalam satu majlis yang sewajarnya adalah yang meminta soal jawab dari khalayak yang dahagakan maklumat terkini yang tepat. PM kita nampak lebih berkeyakinan apabila bertemu dengan media massa PB( istilah Sayuti Omar) seperti Utusan Meloya, Berita Hairan, the Star, Bernama dan lain-lainnya yang kita tahu hanya melapor berita bodek kerajaan atau melondeh parti alternatif. Ciri jaguh kampung ini diamalkan oleh banyak stesen tv dan lihat betapa boringnya atau melelahkan apabila kita mendengar laporan, wacana atau program realiti mereka, dahlah bahasa Inggerisnya macam bahasa Tagalog dan huraian maklumatpun dibuat secara parochial. Hai kita menanti UMNO/BN disisihkan dari Putrajaya.

    ReplyDelete
  2. Saya sendiri amat setuju cebisan cetusan Sdr Abu di atas. Mutu dan Standard (MS) pendidikan negara sedang dan menuju kepada keruntuhan MS yang amat ketara sekali sejak akhir2 ini. Sistem pendidikan negara kita hanya mampu melahirkan 'jaguh kampung' yang tidak dapat bersaing dari apa segi pon secara global. Majoritinya hanya mampu menelaah ilmu pengetahuan semua aspek melalui pemahaman Bahasa Melayu sahaja tanpa kemampuan untuk mecari ilmu dalam bahasa asing khasnya Bahasa Inggeris. Mau tak mau generasi kita yg akan datang perlu dilengkapkan dengan keupayaan oral maupun penulisan dalam dwi bahasa( Bhs Inggeris dan Melayu atau Bahasa Ibuanda sekurang2nya) yang amat kuat supaya mereka sentiasa bersiap saiga untuk bersaing di peringkat antarabangsa. Bahasa amatlah penting peranannya menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan sesebuah negara dalam usaha dan keinginan generasi kita yang dahagakan pengetahuan baru. Sesebuah negara hanya dianggap telah maju kiranya ianya memilki aset (generasi) yang cukup arif dalam usaha mencari, menenui, dan menerokai segala pengetahuan yang mungkin boleh membawa sesebuah negara yang bergenerasi kategori antarabangsa. Maka saya beranggapan bahawa Sistem Pendidikan Negara kita sekarang sudah tidak relevan dari saingan global dan ianya perlu dipostmortemkan supaya bersesuaian dengan peredaran masa global yang mampu mencetus ideal2 yang cukup bermakna untuk kemajuan negara baik dari segi ekonomi, sosial, agama, penstrukturan sistem, politik, akhlak dan lain-lain lagi. Kalu generasi kita hanya disajikan dengan pemikiran jaguh kampung melalui (majoritinya) satu bahasa sahaja, maka kemajuan sesebuah negara (seperti Malaysia) tidaklah ke mana selain dari hanya mampu membeli dan menjamu segala pengetahuan global lain. Sudah tentu jaguh kampung jenis ini hanya mampu 'maju' di bawa acuan tersendiri yang agak rendah kemajuannya. Di dalam konteks Malaysia, saya berpendapat bahawa hanya elite2 atau bangsawan2 (baik generasi kerabat atau ahli2 politik zaman sekarang) mempunyai peluang yang amat luas berpendidikan di luar negara yang menjuruskan kepada penggunaan Bahasa Inggeris yang amat luas sekali. Segenlintir inilah sahaja berupaya untuk menguasai bidang politik dan menguasai minda2 generasi yang hanya arif dalam Bahasa Melayu (jaguh kampung). Pada kebiasaan, jaguh2 kampung sedemikian tidak berupaya memikir jauh di luar kepompong kampung. Kita perlu mengakui bahawa bahasa sains dan teknologi pada kebiasaannya majoritinya dalam Bahasa Inggeris. Dalam sistem politik Malaysia, maaf kiranya saya katakan jaguh2 kampung ini amat mudah dikawalselia oleh elite2 dan bangsawan2 tadi supaya mereka boleh berkuasa dan mengawal sumber-sumber negara untuk kepentingan mereka dan generasi mereka sahaja buat selama-lamanya (tidak perlu saya bagi contoh dan kalian sudahpon sedia maklum). Minda mereka mudah dikawalselia dengan sajian modul-modul rekaan elite-elite dan bangsawan2 tadi melalui sistem pendidikan negara....

    ReplyDelete