Wednesday, March 19, 2014

JAWAPAN DATO’ HARUN DIN KEPADA PERSOALAN KEHILANGAN MH 370

Dek terlampau banyak ustaz dan ustazah di Malaysia kini, maka susah untuk mencari ustaz dan ustazah seperti Dato” Harun Din yang krediblitinya susah dicari ganti. Kita merasa senang dan ‘lega’ sekembali dari mendengar ceramaah Dato Harun. Apatah lagi sekiranya dapat berjumpa dan berbual dengannya.

Aku merasa bertuah kerana mendapat kesempatan bersama-sama dengan Dato Harun Din buat beberapa hari ia itu ketika mengiringi beliau menyampaikan ceramah agama kepada pelajar-pelajar Malaysia di United Kingdom dalam tahun-tahun 1990an. Untuk lebih tepat lagi pada tahun 1996 dan 1997. Kami ‘melompat’ dari satu tempat ke tempat lain untuk menyempurnakan program ceramah kepada pelajar-pelajar di UK. Dari London ke Cardiff dan berpindah pula ke Nottingham dan kemudian ke Galsgow. Kemudian terbang ke Dublin. Pulang semula ke London.

Sepanjang empat hari dan empat malam bersama beliau, seolah-olah aku telah tamat kursus pengajian Islam dari sebuah university peringkat ijazah. Maknanya aku tidak langsung melepaskan sebarang peluang untuk bertanya kepadanya tentang apa juga kemusykilan agama yang terlintas di kepala. Dan Dato Harun menjelaskan kepada aku semacam menyampaikan satu kuliah agama. Maknanya bukan secara sambil lewa.

Dan selepas empat hari bersama dan mengikuti ‘kuliah’ Dato harun Din, aku mula terfikir tentang kuliah-kuliah agama yang diadakan pada masjid-masjid dan surau di Malaysia. Mengapakah terlalu jauh bezanya isi kuliah yang disampaikan oleh Dato Harun Din dengan kuliah-kuliah yang disampaikan oleh ustaz-ustazah di masjid-masjid dan surau kini. Malah kuliah yang disampaikan melalui TV dan radio juga agak berbeza dengan kuliah yang disampaikan oleh Dato Harun Din.

Belum lagi aku ‘terjumpa’ dengan ustaz-stazah yang mengulas tentang kehilangan MH 370. (mungkin aku ketinggalan agaknya dari mendengar cermah sedemikian. Mungkin). Tetapi aku belum lagi mendengar melalui corong radiio dan TV ulasan yang bernas mengenai kehilangan MH 370 selain daripada kegiatan sembahayang hajat mendoakan agar kapal terbang MH 370 selamat dijumpai. Masing-masing seolah-olah menunggu ‘isyarat’ daripada kerajaan tentang apakah yang sepatutnya diperkatakan mengenai malapetaka ini, sehinggalah Dato Harun Din mengeluarkan kenyataannya.

Pada 18 Mac 2014, Dato’ Harun Din mengulas tentang isu kemalangan MH 370 atas tajuk ‘Allah malukan kita dengan tikar terbang’ yang aku petik dari Free Malaysia Today. “….Allah malukan kita dengan peristiwa tikar terbang sehingga Arab Saudi berkata kita biarkan syirik berleluasa,” Aku dapat bayangkan kesebakan perasaan Dato Harun apabila mengajak rakyat Malaysia, beragama Islam khususnya “kembali kepada cara hidup Islam dan sistem Islam. Katanya lagi, “air di empangan semakin kurang, hampir ¾ Malaysia berjerubu dan terbaru kehilangan kapal terbang MAS MH370……Berpuluh-puluh kapal dan kapal terbang mencari MH370 tapi tak jumpa pun. Allah menguji kita bahawa ilmu kita sangat sedikit berbanding dengan ilmu Allah,”

Allah malukan kita. Dengan tindakan seorang Bomoh yang kononnya boleh berbuat sesuatu untuk mencari kapal terbang MH 370 telah memalukan negara. Betul-betul menjatuhkan imej negara Malaysia di mata dunia. Seluruh dunia menggunakan peralatan canggih untuk mencari kapal terbang berkenaan sedangkan di Malayisa muncul Bomoh untuk melakukannya, walaupun kita juga menggunakan peralatan moden. Sememangnya tidak masuk akal. Sememangnya memalukan negara. Maknanya dunia melihat negara Malaysia sebagai sebuah negara yang bukan sahaja berada dalam Dunia Ketiga tetapi seolah-olah baru saja ‘keluar’ dari zaman batu. Amat memalukan.

Kenyataan Dato Harun yang mengatakan bahawa, ‘Berpuluh-puluh kapal dan kapal terbang mencari MH370 tapi tak jumpa pun. Allah menguji kita bahawa ilmu kita sangat sedikit berbanding dengan ilmu Allah,” tentunya amat menyentuh perasaan sesiapa sahaja yang membacanya. Maknanya manusia tidak akan termampu untuk menandingi ilmu Allah. Maknanya sekiranya ada pihak-pihak tertentu yang mempercayai ‘kuasa’ Bomoh di Malaysia yang boleh menjejak kehilangan MH 370 maka dengan sendirinya telah menurunkan dirinya sebagai Syirik dan mengamalkan kegiatan Khurafat.

Sambil memetik ayat al quran yang bermaksud, “ Jangan makan dan minum yang haram. Kalau kita langgar, ia mengundang kemurkaan Allah lalu Allah menurunkan bala kepada semua.” Apakah rakyat dan pemimpin di Malaysia masih belum sedar tentang hakikat ini? Apakah kenyataan dari Ketua Audit Negara berkaitan dengan ketirisan wang negara itu boleh dipandang ringan sahaja oleh para pemimpin kerajaan kita. Dengan jelas menunjukkan terdapat ‘wang haram yang mengalir’ yang menjadi sumber makanan dan minuman anak-anak yang tidak berdosa di negara ini. Dan kesan daripada tindakan itu dirasai oleh semua orang termasuk juga yang tidak berdosa.

Apakah para pemimpin di negara ini belum sedar tentang balasan yang diturunkan oleh Tuhan terhadap kita. Apakah kita masih merasakan bahawa kita akan terlepas dari balsan berkenaan. Apakah kita tidak merasa gentar langsung tentang tindakan setengah pemimpin yang langsung tidak peka dengan balasan Tuhan ini. Apakah tindakan setengah pemimpin yang sentiasa memfitnah, berbohong dan zalim terhadap rakyat itu tidak langsung merasa takut kepada balasan Allah pada hari kemudian?

Mungkin agaknya tepat kenyataan Dato Harun apabila beliau berkata “manusia tidak melihat peristiwa itu dengan mata hati kerana mata hatinya kotor dengan maksiat.” Mungkin begitu agaknya.
abuhassanadam

19 Mac 2014

1 comment:

  1. Tiada salah melihat tingginya personaliti Dato Harun Din meskipun latarbelakang ilmunya adalah dalam bidang agama, bukan dalam bidang sains teknologi atau ilmu moden. saya tertarik dengan ayat akhir 'Mungkin agaknya tepat kenyataan Dato Harun apabila beliau berkata “manusia tidak melihat peristiwa itu dengan mata hati kerana mata hatinya kotor dengan maksiat.' kerana ia membawa maksud malapetaka besar dan kompleks berlaku kerana manusia itu mungkin pemimpin masyarakat itu telah mabuk dengan kezaliman (hatinya kotor dengan maksiak) maka Tuhan menurunkan bala sebagai petanda dan peringatan. Namun malapetaka yang berlaku selalu adalah kerana tindakan alam dan kesilapan manusia atau teknologi tanpa mengira pemimpin yang mentadbir daerah itu sama ada mata hati mereka kotor dengan maksiat atau tidak. Malapetaka tidak memilih bulu. Negara 'kapir' dan negara Islam sering dilanda pelbagai malapetaka malah jika pemanasan global sampai ke puncaknya seluruh negara di bumi baik yang dipimpin oleh orang maksum atau yang tiada kepercayaan Tuhan akan dibalon habis dan manusia innocent seperti kanak-kanak akan binasa.

    ReplyDelete