Wednesday, February 19, 2014

MENGAPA TUN MAHATHIR BEGITU MEMBIMBANGI DS ANWAR IBRAHIM….

Banyak boleh diperkatakan sebab-sebab mengapa Tun Dr. Mahathir begitu bimbang dengan kehadiran DS Anwar Ibrahim
(dimana-mana saja). Banyak sebabnya…. Namun sebagai rakyat Malaysia yang beradab, ramai yang tidak mahu mendedahkan hakikat itu memandangkan Tun Dr. Mahathir adalah sebagai ‘orang tua’ dan pemimpin yang banyak memberikan sumbangan kepada negara ini walaupun pada akhir-akhir ini mula dipersoalkan oleh rakyat terbanyak tentang keikhlasannya.

Aku pasti bahawa DS Anwar Ibrahim juga banyak yang dia tahu  tentang Tun Dr. Mahathir. Maksud aku rahsia yang tersembunyi yang hanya diketahui oleh Tun Mahathir dan DS Anwar sahaja. Tentulah banyak yang boleh didedahkan oleh DS Anwar sepanjang ‘persahabatan’ mereka menerajui kerajaan selama lebih kurang 18 tahun (1981-1998), sekiranya beliau mahu berbuat begitu. Pendek kata bahawa Tun Mahathir bukannya ‘malaikat’ yang kesemua tindakannya tidak langsung boleh dipersalahkan.

Atas faktor itu jelas memperlihatkan kepada rakyat terbanyak bahawa sememangnya insan yang tahu ‘hukum-hakam’ dan ‘dosa-pahala’ seperti DS Anwar Ibrahim itu tidak akan bertindak mengaibkan seseorang kepada masyarakat umum apatah lagi melakukan dosa memfitnah seseorang sepertimana yang diperlakukan ke atasnya. Tidak pernah dilihat sebelum ini oleh masyarakat Melayu beragama Islam suatu penghinaan sedemikian yang dikenakan ke atas seorang pemimpin bertaraf Timbalan Perdana Menteri.

Pengakuan oleh bekas pegawai khas Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak berapa lama dahulu yang mengakui terlibat secara langsung dalam rancangan konspirasi fitnah kes liwat 1 pada 1998 mengaitkan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan gambaran jelas tentang fitnah yang dilemparkan ke atas beliau..Pengakuan itu dibuat secara terbuka di hadapan ribuan rakyat pada ceramah Pakatan Rakyat di Taman Medan, Petaling Jaya pada suatu ketika dahulu.



Mungkin juga Dr. Mahathir tidak terfikir bahawa kesan ke atas penghinaan ke atas DS Anwar Ibrahim itu begitu mendalam di hati orang Melayu sehingga kini. Orang UMNO mula berpecah, terbahagi kepada dua. Satu memihak kepada Tun Dr. Mahathir dan satu pihak memihak kepada DS Anwar Ibrahim. Perpecahan dalam UMNO bermakna juga perpecahan orang Melayu, kerana orang Melayu ramai yang menganggotai UMNO pada ketika itu dan menganggap UMNO itu betul-betul mmeperjuangkan orang Melayu.

Orang Melayu betul-betul dalam dilemma. Mereka sayangkan kedua-dua pemimpin – Mahathir dan Anwar. Tetapi disebabkan oleh keadaan yang memaksa mereka menentukan sikap, maka dengan berat hati mereka terpaksa mengambil sikap memihak. Ada yang memihak kepada Anwar dan begitu juga yang memihak kepada Dr. Mahathir. Bermulanya perpecahan orang Melayu. Yang memikirkan tentang ‘periok nasi’ mahu tak mahu, dengan berat hati ahli-ahli UMNO terpaksa ‘ meninggalkan ‘ Anwar dan menjadi pengikut taat setia kepada Dr.Mahathir, walaupun dalam hati dan perasaan mereka sentiasa mengatakan bahawa ‘ Anwar tidak bersalah…”

Pengikut DS Anwar masih ramai. Malah dalam UMNO sendiri pengikut beliau masih ramai, masih membisikan kata-kata ‘Anwar tidak bersalah’. Tun Mahathir tahu tentang hal ini. Beliau tahu dan dapat merasakan denyut nadi orang Melayu bahawa mereka masih sayangkan Anwar. Tun Mahathir juga tahu bahawa ramai ahli UMNO yang kini seolah-olah berjuang ‘bermati-matian’ untuk UMNO akan berpindah taat setia mereka kepada DS Anwar apabila sampai masanya nanti. Tun Mahathir faham bahawa ramai yang berada dalam UMNO sekarang pun adalah disebabkan faktor ‘cari makan’.

Dengan demikian, Tun Mahathir akan sentiasa berada ‘disamping Anwar’ ke mana saja Anwar berada. Tun Mahathir dapat membaca kesannya sekiranya DS Anwar menerajui negeri Selangor nanti. Tun Mahathir pastinya tidak mudah lupa tentang hasrat DS Anwar memperkenalkan ‘Ombudsman’ yang merupakan usaha ‘check and balance’ terhadap para menteri dan pegawai kerajaan yang rasuah dan menyeleweng pada tahun-tahun 1990an dulu. Dan Tun Mahathir tidak lupa tentang tindakan yang dilakukan oleh DS Anwar membenteras kegiatan rasuah ketika beliau menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri selama dua bulan semasa ketiadaan Tun Mahathir. Tun Mahathir dan kroninya juga tahu sekiranya ‘dibiarkan’ DS Anwar ‘berleluasa’ dengan tindakannya membenteras kegiatan rasuah dikalangan menteri dan pegawai tinggi kerajaan itu maka mereka bimbang ada kemungkinan kerajaan Malaysa terpaksa membina sebuah lagi penjara di Malaysia!!……

Tun Mahathir tahu ‘penangannya’…….

Rakyat Kajang harus tahu juga tentang ‘penangannya’ itu. Rakyat yang tahu ‘penangan’ DS Anwar Ibrahim itu pasti akan mengundinya dalam PRK Kajang yang diadakan tidak lama lagi. Anak muda perlu bertanya kepada mereka yang lebih tahu tentang ‘penangan’ DS Anwar Ibrahim itu.

abuhassanadam
19 Februari 2014


Tuesday, February 18, 2014

ANAK MUDA – ‘MALAYAN UNION’ SUDAH TIDAK ADA LAGI

Konsep perjuangan amat rapat kaitannya dengan orang muda. Malah konsep perjuangan hampir sama dengan konsep nasionalisme yang dipopularkan Barat. Memperkatakan mengenai pemuda atau orang muda seolah-olah tidak lengkap jika tidak disertakan dengan perkataan ‘perjuangan menentang Malayan Union’.

Persoalannya ialah apakah orang muda kini atau lebih tepat lagi generasi muda  kini betul-betul memahami perjuangan sebagai mana kefahaman yang dianuti oleh generasi lama ( yang mungkin sudah tidak ramai lagi yang berada di dunia ini).

Anak muda ( Melayu) sentiasa dikaitkan dengan Malayan Union. Apakah apabila tidak ada Malayan Union, maka sudah tidak ada perjuangan? Satu daripada sebab yang membawa kepada penubuhan UMNO ialah wujudnya Malayan Union yang diperkenalkan oleh British pada 1946. Tahukah anak muda kini apa itu Malayan Union dalam ertikata yang sebenar-benarnya. Fahamkah anak muda kini bahawa sekiranya Malayan Union dipraktikkan dengan jayanya oleh British, maka akan hilanglah warisan Melayu yang berkait rapat dengan Kesultanan Melaka keturunan Bukit Seguntang.

Orang Melayu berjuang habis-habisan menentang gagasan yang cuba merendah-rendahkan dan menghina bangsa Melayu. Bermulalah satu perjuangan anak muda Melayu menegak dan menebus maruah bangsa Melayu yang tidak ada tolok bandingnya dalam sejarah Malaysia sehingga tercapainya kemerdekaan pada 1957.

Apakah perjuangan orang Melayu sudah selesai? Dengan kata-kata lain apakah perancagan konkrit orang muda kini  untuk mengharungi Kurun ke 21. Pemuda dan pemudi era 1940an, 50an telah berjaya menumpaskan Malayan Union. Apakah sumbangan anak muda era kurun ke21 dalam meningkatkan taraf dan maruah bangsa Melayu di persada antarabangsa. Aku nampak masih kosong. Mungkin ada tetapi belum sampai kepada ‘pencapaian’ anak muda 1940an dan 1950an. Belum….

Dilihat dari persepektif sejarah, persiapan yang telah disiapkan oleh pemimpin terdahulu agak lengkap atau hampir lengkap. Bermula dari kepimpinan Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak sehinggalah kepada kepimpinan Tun Mahathir seolah-olah telah menyediakan tapak yang cukup kukuh bagi anak muda untuk melonjak ke hadapan.

Anak muda harus meneruskan perjuangan yang terhenti itu. Konsep anak muda di Malaysia tidak lagi terhad kepada panak muda Melayu tetapi sudah merangkumi anak muda Cina, India dan lain-lain. Anak muda Malaysia seharusnya mempunyai agenda yang tersendiri bagaimana untuk mewujudkan bangsa Malaysia yang bermaruah. Anak muda Melayu, Cina dan India harus berfikiran sebagai anak muda Malaysia dan bukan sebagai anak muda Melayu yang berjuang untuk menentang Malayan Union pada 1946 dahulu. Hakikat ini harus disedari oleh semua anak muda Malaysia.

Masyarakat Malaysia seolah-olah menunggu agenda besar yang harus diperjuangkan oleh generasi muda Malaysia kini. Apakah generasi muda kini masih belum bersedia untuk merangka satu agenda besar untuk kepentingan rakyat Malaysia. Apakah belum cukup ilmu di dada dan belum ‘terasah keris di pinggang’ untuk melancarkan satu perjuangan Abad ke 21.

Satu hakikat yang perlu ditegaskan juga walaupun amat pahit untuk ditelan ialah masih ada – atau sebenarnya masih ramai – anak-anak muda Malaysia ‘terikut-ikut’ dengan rentak ‘orang tua’ di negara ini. Maknanya apa yang telah dirangka oleh ‘orang tua’ terus menerus diikuti secara membuta tuli tanpa memikirkan baik buruknya ‘langkah’ yang telah diatur oleh orang tua ( yang terlebih dahulu makan garam) itu. Bak kata orang sekarang – tidak ternampak satu anjakan paradigma.

Anak muda Malaysia kena berfikir tentang masa hadapan yang akan mereka lalui. Masa hadapan adalah milik anak muda kini bukan milik ‘orang tua’ kini. Dan malangnya apa yang ‘diperjuangkan’ oleh anak muda kini tidak dapat dihayati oleh keseluruhan anak muda. Apakah tidak adanya ‘ Malayan Union’ maka anak muda kini sudah hilang arah dan tujuan dan seolah-olah mereka hilang pedoman. Seolah-olah anak-anak muda seperti layang-layang putus tali.

Sudah tentulah tidak ada masa bagi memikirkan soal perjuangan sekiranya kebanyakan masa dihabiskan untuk membicarakan perkara remeh dan tidak menguntungkan. Generasi muda harus mempersiapkan diri menempa dan berusaha untuk mengukir satu perjuangan yang boleh mengakngkat martabat bangsa di hari muka.

Tugas itu bukan senang. Ia memerlukan komitmen dan pengorbanan yang bukan kepalang. Walaupun ‘ribut dan taufan’ yang melanda, ‘orang tua’ masih yakin bahawa anak muda Malaysia yang terdiri Melayu, Cina dan India dapat melakarkan satu perjuangan besar yang boleh dibanggakan oleh bangsa Malaysia dan generasi tua yang bakal meninggalkan dunia ini.

abuhassanadam
18 Februari 2014



Sunday, February 16, 2014

MENTERI PENDIDIKAN HARUS LEBIH BERTANGGUNGJAWAB

Terlalu banyak aku dengar sungutan orang ramai yang berkaitan dengan sistem pendidikan negara kita yang dikatakan dalam keadaan amat membimbangkan. Amat ‘tenat’. Maknanya kemajuan pendidikan kita sudah semakin merosot. Bukan sahaja diperkatakan oleh bijak pandai di Lembah Kelang tetapi sudah menjalar ke kampung-kampung. Dan persepsi ini amat merbahaya kepada kerajaan yang memerintah. Dan yang paling malangnya pula ialah seolah-olah pihak kerajaan tidak begitu mengambil berat tentang keadaan pendidikan di negara ini. Seolah-olah Menteri Pendidikan kita selalu mengambil jalan mudah dalam melaksanakan dasar pendidikan di negara ini. Semacam begitu keadaannya. Mungkin aku tersilap memberikan persepsi yang sebegini.

Rakyat umum melihat bahawa kerajaan atau khususnya Menteri Pendidikan sentiasa dalam dilemma. Orang Perak kata‘ SURUNG-SENTAP’. Maknanya ‘ cakap pagi tidak boleh pakai petang’. Maknanya ‘berdolak-dalik’. Maknanya tidak tegas dalam melaksanakan sesuatu dasar. Maknanya sesuatu dasar yang hendak diperkenalkan kepada umum itu tidak dibuat kajian secara terperinci. Lantas berlakulah ‘surung-sentap’ di mana dasar yang kononnya ‘hebat’ terpaksa dikaji semula.

TS Muhyiddin Yassin telah menyatakan bahawa pelaksanaan Penilai Berasaskan Sekolah (PBS) yang diperkenalkan pada tahun lepas dan pelaksanaannya yang sepatutnya dijalankan pada tahun ini terpaksa dikaji semula. Ini yang aku namakan ‘surung-sentap’. Sepatutnya PBS yang dikatakan amat baik dan berkesan itu ( di negara-negara seperti Australia dan negara-negara maju lain) dikaji sehalus-halusnya sebelum dilaksanakan di negara ini. Apakah tidak difikirkan tentang pelaksanaannya di kawasan pendalaman dimana masalah pencapaian internet merupakan perkara yang sangat rumit. Atau apakah tidak difikirkan tentang kualiti guru kita di Malaysia yang akan melaksanakan program itu secara berkesan. Apakah tidak terlintas di kepala perancang pendidikan ini tentang ‘validity’ dan ‘reliability’ ujian yang diperkenalkan itu.


Kononnya sistem ini telah dijalankan di negara-negaar maju seperti di Australia, Hong Kong, Finland dll. Inilah hujah yang sentiasa digunakan oleh pihak kementerian apabila hendak melaksanakan sesuatu projek. Selalu sangat menggunakan alasan bahawa ‘negara-negara maju telah menggunakannya’. Dan kebiasaannya sesuatu idea baru yang hendak diperkenalkan di negara ini biasanya ‘dibawa’ oleh para pegawai yang menghadhiri kursus di luar negara. Lantas mereka cuba mempraktikkan di negara ini tanpa melihat ‘kiri-kanan’ sama ada pelaksanaannya sesuai atau tidak dengan keadaan dan ‘iklim’ masyarakat di negara ini.

Aku teringat pada suatu keadaan yang berlaku pada awal tahun-tahun 1980an di mana kementerian Pelajaran telah mengambil keputusan untuk memansuhkan matapelajaran Sejarah dan menggantikannya dengan pelajaran “kajian Tempatan ‘ ( sekiranya aku tidak tersilap) Mata pelajaran Kajian Tempatan adalah gabungan matapelajaran Sejarah dan Geografi. Kertas soalan yang disediakan oleh Lembaga Peperiksaan pada ketika itu adalah atas nama ‘Kajian Tempatan’ ( maaf sekiranya tersilap)

Itu merupakan satu contoh bagaimana idea dari luar negara digunakan di negara kita. Kononnya telah begitu berjaya dilaksanakan di Amerika Syarikat, maka perlulah dilaksanakan di negara kita. Sekiranya aku tidak silap, ‘umur’ kertas ‘Kajian Tempatan’itu hanya dua tahun.YB Saudara Anwar Ibrahim Menteri (Pendidikan Malaysia ketika itu’ yang menamatkan ‘riwayat’ matapelajaran Kajian Tempatan itu. Tindakannya yang paling awal ialah meletakkan semula pembelajaran matapelajaran Sejarah ditempat yang sewajarnya. Ini merupakan antara sumbangan penting Saudara Anwar ketika menerajui Kementerian Pendidikan pada ketika itu walaupun berbagai-bagai perkara baru dilakukakannya untuk memajukan sistem pendidikan negara.

Saudara Anwar Ibrahim juga bertanggungjawab untuk memperkenalkan Falsafah Pendidikan Negara yang mana sebelum itu tidak wujud keadaan sedemikian. Sehingga kini negara masih menggunakan falsafah pendidikan negara yang digubal ketika beliau meneraju pendidikan negara. Malangnya penggunaan Bahasa Baku yang diperkenalkannya ‘terpaksa’ dimansuhkan oleh Menteri Pelajaran selepasnya yang merasakan bahawa penggunaan Bahasa Baku disekolah tidak perlu diteruskan disebabkan oleh sebab-sebab tertentu yang hanya diketahui oleh menteri pelajaran itu sendiri.

Dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diperkenalkan pada tahun 2003 telah diumumkan mengenai pemansuhannya pada tahun 2009 yang mana pemansuhan sepenuhnya dalam masa tiga tahun bermula pada tarikh itu. Lagi menampakkan dasar ‘surung-sentap’ kerajaan yang membuatkan rakyat keliru dan tidak tahu ke manakah arah tuju sistem pendidikan di negara ini.

Disamping itu rakyat di negara ini sering ‘dihantui’ oleh berita yang kurang mengembirakan berkaitan dengan hal pendidikan ( walaupun ada juga kejayaan yang dicapai oleh negara) PISA  (Program for International Student Assessment ) umpamanya adalah ujian untuk menguji kebolehan pelajar-pelajar yang berumur sekitar 15 dan 16 tahun dikalangan negara-negara OECD (Organization for Economic Coperation and Development) dalam mata pelajaran Matematik, Sains dan Pembacaan.

Jelas menunjukkan bahawa negara-negara Asia seperti Shanghai, Hong Kong, Singapore, Japan, Korea Selatan telah begitu maju dari segi pencapaian mereka dalam mata pelajaran Matematik, Sains dan Pembacaan. Malah telah dikatakan bahawa pencapaian pelajar-pelajar di negara-negara Asia berkenaan adalah tiga tahun terkehadapan berbanding dengan negara-negara lain yang mundur termasuklah Malaysia. Maknanya negara kita terkebelakang lima tahun berbanding dengan negara-negara yang menduduki tempat yang ke 20 teratas. Berbanding dengan Vietnam sekali pun kita masih mundur. Jangankan kita mahu menandingi negara-negara China, Hong Kong, Singapore, Jepun dan lain-lain.

Rakyat Malaysia tentunya mengharap sangat agar Menteri Pendidikan memberikan perhatian yang lebih terhadap perkembangan pendidikan negara. Aku yakin bahawa pegawai-pegawai yang berada di Kementerian Pendidikan adalah terdiri dari pegawai yang cekap dan berkaliber dan penuh dedikasi. Yang diperlukan oleh mereka pastinya kepimpinan yang berkesan dari pihak politik untuk membolehkan mereka merangka satu dasar yang betul-betul konkrit berkaitan dengan pendidikan negara.

Yang pastinya jangan terlalu banyak sangat campurtangan politik dalam menguruskan pendidikan negara.

abuhassanadam
16 Februari 2014


Friday, February 14, 2014

APAKAH SARAWAK DAN SABAH AKAN MENGIKUTI JEJAK SINGAPURA?

Rupanya terlalu banyak persoalan yang mengaburi mata umum ekoran daripada pengunduran TS Abdul Taib Mahmud dari ‘takhta’ Ketua Menteri Sarawak. Bukan perubahan dan transisi biasa. Pertukaran ‘baton’ dari TS Abdul Taib Mahmud keapada TS Adenan Satem boleh dilihat daripada berbagai sudut dan boleh dianalisis melalui berbagai persepsi.

Yang mula-mula ‘memecah bumi’ ialah amaran yang diberikan oleh TS Abdul Taib Mahmud kepada penggantinya agar tidak membenarkan UMNO memasuki Sarawak. Cuma yang beliau tidak berkata bahwa UMNO diharamkan memasuki Sarawak. Banyak juga tafsiran yang boleh diketengahkan mengapa begitu ‘layanan’ beliau kepada UMNO yang merupakan parti tonggak dalam Barisan Nasional. Tidakkah beliau terfikir bahawa dengan berkata demikian akan ‘mengecilkan hati’ pemimpin UMNO di peringkat pusat terutamanya DS Najib sendiri. Tentulah ramai penganalisis politik tertanya-tanya apakah ‘dosa’ DS Najib sehinggakan begitu keras sekali syarat yang dikenakan terhadap UMNO.

Diperkukuhkan lagi dengan kenyataan Datuk Fatimah Abdullah selaku Timbalan Ketua Wanita PBB yang menjelaskan tentang kemampuan PBB memeliharakan kedudukan kaum Bumiputera di sarawak dan kesediaannya untuk terus bekerjasama dengan parti komponen lain seperti Parti Rakyat Sarawak (PRS), Sarawak Progressive Democratic Party (SPDP) dan Sarawak United People’s Party ( SUPP). Lantas beliau menegaskan,’ "Hence, there is no need for Umno to come here,"

Namun Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO telah ‘merelakan’ PBB menjadi ‘tuan’ di sarawak. Mengikut TS Muhyiddin peranan PBB
(Parti Pesaka Bumiputera) di Sarawak adalah semacam sama dengan peranan UMNO di Semenanjung ia itu sebagai induk yang akan menentetukan kestabilan politik.

 “The role played by the PBB is similar to that of Umno in the peninsula and Sabah, which can continue…..I feel it is unnecessary to duplicate what has been achieved. What is important is not the party but the objective. It (PBB) has achieved what we (Umno) want to achieve ... unity, progress, prosperity and stability. This is what’s happening in Sarawak,”  (Malaysiakini 13 Februari 2014)

Apakah ini merupakan kenyataan ikhlas ataupun merupakan  pengucapan ‘the grapes are sour’.

Masyarakat Malaysia masih terus mempersoalkan perkembangan yang berlaku di Sarawak kini. Nampak semacam ‘tenang’ keadaan di politik di Sarawak itu. Namun kata peribahasa Inggeris, ‘ still water runs deep’ ataupun orang Melayu sentiasa berkata, ‘ air tenang jangan disangka tiada buaia’. Mesti ramai yang merasa curiga tentang ‘larangan’ yang diarahkan kepada UMNO supaya jangan memasuki Sarawak. Mesti ada sebabnya. Dan mesti juga ada sebabnya mengapa TS Adenan Satem tidak mahu ditemuramah oleh wartwan selepas beliau ‘dinobatkan’ sebagai pengganti TS Abdul Taib Mahmud.

Tetapi apabila direnungkan pula kepada kenyataan Stephen Rundi Utom selaku Setiausaha Agung Barisan Nasional Sarawak menampakkan kenyataan yang lebih keras berkaitan dengan isu penghalangan UMNO ke sarawak itu. "Nobody else can understand the situation other than Sarawakians... therefore we must see which political party belongs to us (Sarawak), that is the very reason why we think the right people to lead Sarawak is Sarawakians,’

Apakah munculnya kenyataan-kenyataan sebegini sebagai ‘balasan’ kepada kepimpinan UMNO yang seringkali menyuarakan agar TS Abdul Taib Mahmud meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri. Saranan sedemikian telah mula disuarakan semenjak sebelum PRU 13 lagi. Tekanan demi tekanan diberikan. Namun TS Abdul Taib Mahmud masih bertahan sehinggalah sampai kepada saat dan ketika yang sesuai. Itu pun dengan cara melanggar ‘pantang-larang’ yang dikenakan oleh pihak di Puterajaya.

Sebagai seorang ahli politik yang berpengalaman luas, TS Abdul Taib Mahmud dengan cara mengejut mengumumkan pelantikan TS Adenan Satem sebagai ketua menteri lebh awal daripada tarikh dan masa yang dijangkakan. Laporan media atas talian menyatakan bahawa sidang media TS Abdul Taib Mahmud diadakan pada pukul 3.30 petang ia itu tiga jam lebih awal daripada jadual ketibaan TS Muhyiddin Yassin ke Sarawak. Dilaporkan kehadiran TS Muhyiidin itu adalah sebagai wakil DS Najib untuk menyatakan sesuatu hasrat Puterajaya berkaitan dengan pengganti TS Abdul Taib Mahmud. Hasrat itu tidak kesampaian.

Tindakan ‘patriot’ di Sarawak rupanya mendapat perhatian serious juga di Sabah. Kata State Reform Party (Star) Sabah chairperson Jeffrey Kitingan, ‘ (TS Taib) has set the benchmark for patriots of Sabah and Sarawak to follow…He is a true Sarawak/Borneo patriot”. Kenyataan sedemikian seolah-olah memberikan berbagai ‘bayangan’ yang sedang difikirkan oleh pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak.

Lebih ‘merunsingkan’ lagi apabila pemimpin Sabah itu mengatakan,’ "The Umno Baru of today is not the old Umno of Tunku Abdul Rahman's days. The virtues, principles and benevolence of the past leaders are no longer in existence.The nation-building with emphasis on peace, harmony and inclusiveness of the old Umno has been replaced with people-dividing and nation-wrecking based on racist, religious bigotry, intolerance and hatred overtones,strategies and policies”
( Malaysiakini 13 Februari 2014)

Melihatkan kepada kenyataan-kenyataan di atas menyebabkan aku terfikir, “apakah Sabah dan Sarawak akan mengikut jejak langkah Singapura?”

abuhassandam
14 Februari 2014