Sunday, February 9, 2025

 APAKAH GURU SUDAH HILANG TARINGYA?

Dulu-dulu, kaum guru amat ditakuti dan dugeruni terutama oleh pihak yang amat faham tentang peranan guru yang boleh mempengaruhi pemikiran masyarakat umum. Selama tiga dekad ( 50an, 60an, 70an) kaum guru memainkan peranan yang cukup penting dalam pergerakan politik UMNO. Jawatan-jawatan penting peringkat nasional, negeri, bahagian dan cawangan biasanya dimonopoli oleh kaum guru. Dan sekiranya kaum guru tidak terlibat secara langsung dalam UMNO pada ketika itu, pasti agaknya pertubuhan UMNO tidak sepertimana yang ada pada hari ini. Maknannya kaum guru telah menyediakan tapak yang cukup kuat kepada politik UMNO sehingga dapat diteruskan oleh generasi terkemudian.

Ke mana ‘hilang’nya kaum guru kini? Apakah kaum guru sudah hilang taringnya?

Sejarah juga telah menunjukkan bahawa kaum guru memainkan peranan yang cukup penting dalam perjuangan menuntut kemerdekaan negara.  Apabila disebut saja ‘guru Tanjung Malim’, sudah memberikan suatu gambaran yang ‘menggerunkan’ terutama bagi pihak penjajah British pada tahun-tahun 1920an sehingga 1950an. Apa tidaknya. Para guru lepasan SITC ( Sultan Idris Trainning College) Tanjung Malim yang telah mewarnai perjuangan menuntut kemerdekaan dari British. Merekalah yang telah ‘mengejutkan’ orang Melayu dari ‘tidurnya’. Merekalah yang menyedarkan anggota masyarakat supaya bangun berjuang membebaskan tanah air dari British.

Berpasakan ‘Majalah Guru’ dan kebolehan berpidato dan berdebat yang luar biasa, guru-guru “Tanjung Malim’ bertaburan di seluruh negara mendidik anak bangsa disamping bergiat cergas dalam perjuangan politik kepartian. Mereka sedar yang peranan mereka bukan sahaja mendidik tetapi juga ‘mencelikkan’ anggota masyarakat tentang penindasan yang dilakukan penjajah dengan berbaga-bagai dasar yang diperkenalkan.

Sudah tidak ada lagi kah guru sedemikian pada Kurun ke 21 ini. Apakah kaum guru sudah hilang taringnya?

Dulu-dulu pesatuan dan Kesatuan guru-guru amat ditakuti dan digeruni. Kesatuan-kesatuan guru ini bukan sahaja membela kebajikan ahlinya tetapi juga merupakan mata dan telinga rakyat yang sentiasa memberikan teguran yang membina di atas apa juga dasar yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan. Mereka akan menegur dan mengkritik dasar-dasar kerajaan yang tidak menguntungkan bangsa dan negara. Mereka tidak bimbang dan mereka tidak takut sekiranya mereka tidak dinaikkan pangkat ekoran daripada kritikan mereka terhadap dasar kerajaan. Iltizam mereka kepada bangsa dan negara tidak ada tolak bandingnya. 

Ke mana hilangnya Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), National Union of Teaching Profession (NUTP), Kesatuan Guru-Guru Lepasan Maktab ( KKGLM). Ke mana hilang dan di mana ‘kuburnya’. Masih ada dan masih aktif kah kesatuan-kesatuan guru ini sehinggakan tidak terdengar walau 'sedetik'pun perjuangan mereka seperti mana yang pernah ditonjolkan oleh guru-guru yang terdahulu.

Apakah sudah tidak ada lagi tokoh guru di negara ini untuk menggantikan tempat yang dikosongkan oleh tokoh-tokoh guru seperti Cikgu Noordin Mahmood, Siva Sumbramaniam, Gurusami, Muhammad Mustafa dll. Ke mana ‘hilang’ dan ‘ghaibnya’ pemimpin-pemimpin kesatuan ini. Mungkin masih wujud. Cuma ‘perjuangan’ mereka sahaja yang agak berbeza. Mungkin mereka berjuang untuk ‘membela’ diri dan keluarga dengan menggunakan persatuan dan kesatun sebagai ‘launching pad’nya. Mungkin.

Malangnya ‘tokoh-tokoh’ guru sebegini sudah hilang taringnya.

Aku yakin bahawa sebilingan besar kaum guru di Malaysa masih sedar tentang tanggungjawab mereka untuk memperjuangkan sesuatu demi kebaikan negara dan bangsa. Aku masih yakin bahawa kaum guru sedar tentang apa yang dilakukan oleh kerajaan kini mungkin tidak secocok dengan apa yang difikirkan oleh mereka. Mereka tidak berani menentang dasar kerajaan kerana takut kepada tindakan kerajaan ke atas mereka. Namun di sudut hati kecil kebanyakan guru di Malaysia merasakan bahawa ada sesuatu yang tidak kena yang sedang berlegar dalam negara ini.

Kaum guru tahu dan sedar tentang hal-hal yang sedemikian. Hanya sekadarkan mereka tidak mahu 'bersuara' mungkin.

Dan sebenarnya kaum guru masih ‘bertaring’……. 


abuhassanadam

9 Februari 2025



Friday, February 7, 2025

  KEMERIAHAN KETIKA ‘MENGGOLEK’

Bulan Januari dikatakan sebagai bulan ‘kerat kepala’ di kampung aku ia itu apabila padi di bendang hampir menguning. Emak selalu kata Ngah Lauh akan berkeliaran memotong kepala kanak-kanak ‘untuk buat jambatan’. Bukan emak aku seorang sahaja yang kata begitu. Hampir seluruh orang kampung aku kata begitu, termasuklah Pak Haji Sulaiman, guru Quran di kampung aku yang dihormati oleh orang kampung. Dan kami kanak-kanak pula tentulah ‘percaya’ seratus peratus apa yang orang tua kata. 

Namun begitu tidak pula ada bukti yang menunjukkan anak-anak di kampung aku yang telah dpenggal kepalanya oleh Ngah Lauh. Begitu juga dari kampung lain. Baik dari Kampung Lalang atau Kampung Pulau atau Kampung Pondok tidak pernah berlaku perkara sedemikian. Tak pernah dengar berita tentang kematian kanak-kanak disebabkan kepalanya dipotong oleh Ngah Lauh. Tapi setiap tahun, setiap kali sampai bulan Januari akan ‘muncul’lah cerita Ngah Lauh potong kepala. Mungkin sekarang sudah tidak kedengaran lagi disebabkan orang kampung aku sudah tidak ke sawah lagi. Sawah padi sudah bertukar kepada kebun sayur-sayuran yang diusahakan oleh petani Cina.

Kebiasaan di kampung aku, setelah padi dituai dan disimpan di kepuk (beromban kata orang kampung aku), maka kawasan sawah padi di kampung aku seolah-olah ‘direhatkan’ buat seketika sementara menunggu musim menanam padi seterusnya bermula. Kebiasaannya waktu rehat adalah selama enam bulan. Tidak ada apa aktiviti pertanian yang dijalankan di sawah padi di kampung aku. Rehat ‘sungguh-sungguh’. Dan ketika inilah penduduk kampung  mengharapkan padi/beras dari musim sebelumnya yang cukup menampung bekalan selama setahun. 

Apabila musim tengkujuh bermula, maka pesawah-pesawah di kampung aku mulalah turun ke bendang. Akan bermulalah kegiatan membajak sawah. Menggunakan tenggala dengan bantuan kerbau untuk membajak sawah. Kini sudah tidak kelihatan lagi tenggala digunakan untuk membajak sawah sebagaimana yang pernah digunakan pada zaman dahulu. 

Awal tahun 1950an dan sebelumnya hampir semua orang kampung aku menggunakan tenggala sebagai langkah awal membajak sawah mereka. Yang agak menariknya ialah tentang ‘terpelajar’nya kerbau di kampung aku yang tahu ‘cakap Melayu’. Kebanyakan kerbau di kampung aku faham apa yang dimaksudkan dengan ‘kanan’, ‘kiri’ dan ‘diam’. Sekiranya pengembala tenggala meneriakkan perkataan ‘kanan’ maka kerbau berkenaan akan ke menarik tenggala ke arah kanan. Dan begitulah seterusnya sekiranya di teriakkan perkataan ‘diam’ kerbau nanti akan berhenti. Walaupun hanya tiga patah perkataan sahaja (‘kanan’, ‘kiri’ dan ‘diam’) yang difahaminya, tetapi sekurang-kurangnya kerbau dikampung aku termasuk dalam golongan yang ‘educated’ juga ler……

Peringkat kedua selepas membajak ialah ‘menyikat’ dengan menggunakan sikat ( seperti tenggala tetapi berbentuk seperti sikat rambut). Untuk menggerakkan sikat petani terpaksa juga menggunakan tenaga kerbau untuk menarik sikat berkenaan. Tujuan menyikat ialah untuk menghancurkan tanah selepas dibajak dengan tenggala. Sikat yang dimaksudkan itu adalah seperti sikat rambut tetapi tentulah besar bentuknya. “Gigi’ sikat berkenaan (diperbuat daripada besi) yang boleh berperanan menghancurkan tanah. Proses menyikat dilakukan selepas beberapa hari selepas di tenggala untuk memberikan peluang tanah yang ditenggala terendam dan lembut untuk disikat.

Selepas disikat, tibalah masanya untuk ‘menggolek’. Kanak-kanak di kampung aku (termasuk aku) hanya menunggu masa dan ketika untuk sama-sama terlibat dalam proses menggolek. Boleh dikatakan ‘menggolek’ merupakan acara kemuncak dalam proses membajak tanah. ‘Menggolek’ bertujuan untuk meratakan tanah di sawah sebelum semaian padi ditanam. Pada ketika ini kami perlu sentiasa ‘pasang telinga’ dan memerhatikan di sawah mana ada ‘upacara Menggolek’. Tujuannya ialah mengambil peluang menangkap ikan ketika upacara ‘menggolek’ dijalankan. “Menggolek” juga menggunakan tenaga kerbau tetapi tidaklah sepayah mana tugasan kerbau berkenaan berbanding dengan tenaga yang digunakan kerbau untuk menarik tenggala.  

Telah aku katakan bahawa ‘upacara menggolek’ memang menyeronokkan sekali. Yang menyeronokkan ketika mengekori ‘golek’ di sawah ialah sementara golek berpusing di sesuatu petak sawah padi, kanak-kanak berpeluang menangkap ikan yang tersadai selepas proses menggolek itu. Ketika inilah peluang keemasan untuk menangkap ikan di petak bendang. Dan pada ketika itu, seingat aku memang terdapat banyak ikan di petak-petak bendang walau di sawah mana sekali pun. Ikan puyu, ikan sepat, ikan haruan, ikan keli. Dan tentulah ada sawah-sawah yang mempunyai banyak ikan berbanding dengan yang lain. Kami tahu hal sedemikian kerana kami telah begitu lama menjalankan ‘risikan’ tentang sawah mana yang banyak ikan.. Telah dikenalpasti saban tahun. Sayangnya kini sudah tidak ada lagi…..

Kebiasaannya waktu ‘menggolek’ bolehlah dianggap sebagai satu pesta di sawah berkenaan. Pemilik sawah membenarkan kanak-kanak mengekori goleknya kerana kaki kami juga berperanan untuk melembutkan tanah sawahnya yang memudahkannya menanam semaian padi kemudiannya.

Pada masa cuti sekolah maka kami akan berada di sawah sepanjang hari. Kami akan berpindah dari satu sawah ke sawah yang lain. Mengekori golek untuk menangkap ikan. Yang menyeronokkan lagi ialah bukan sahaja menangkap ikan tetapi kegiatan bermain selut ketika berada dalam lumpur juga amat mengembira. Pendek kata antara kerbau dengan kami, diukur dari segi rupa paras, tidak banyak perbezaan. Dari rambut sampai ke kaki dipenuhi dengan selut kecuali mata yang masih tidak diselaputi oleh selut dan lecah. Menyeronokkan!!......

Namun begitu kebimbangan tetap ada terutama apabila pulang ke rumah nanti dan ‘bertemu’ dengan arwah emak yang sudah sedia menanti dengan ranting kayu ditangan…Pastinya kami akan menerima habuan masing-masing. Pastinya tidak serik. Keesokan harinya akan bermula jadual baru di bendang orang lain pulak. Malangnya tidak ada camera untuk merekodkan kegiatan menggolek bendang di tempat kami. Kampung Keroh Hilir, Padang Rengas, Perak.

Itulah bentuk permainan dan santai yang dapat diperolehi oleh anak kampung pada ketika itu., ketika cuti sekolah. Kami tak tahu dan tidak pernah kenalpun apa dia ‘shopping mall’. Kami tak pernah berpengalaman mencuba roller skate atau skate board. Yang kami tahu ialah menaiki upeh pinang yang ditarik secara bergilir-gilir oleh rakan. Kami tidak tahu bagaimana rupa air yang ada dalam Swimming Pool di hotel-hotel di bandar. Jernih ke. Biru ke airnya. Cuma yang kami tahu ialah Sungai Sauk yang juga merupakan Swimming Pool’ tempat kami belajar berenang.

Rupanya Allah tidak mengenepikan anak kampung yang bersalut lecah. Ada juga yang berjaya sampai mendaki ke menara gading dan kini berjawatan tinggi dalam pentadbiran kerajaan.

abuhassanadam

8 Februari 2025


 ‘DON’T OVERSTAY YOUR WELCOME’

Tajuk di atas, walaupun seolah-olah merupakan ungkapan budaya asing, namun bagi aku amat berkait rapat dengan budaya orang Melayu. Orang Melayu tradisional.  Dan orang bukan Melayu juga. Kaum Cina, India dan kaum-kaum lain juga faham dan mengamalkan budaya di atas. Ia berkait rapat dengan cara hidup, amalan dalam kehidupan seharian. Ia berkait rapat juga dengan persoalan budi bahasa, maruah, harga diri, sedar diri, tahu malu dll.

Don’t overstay your welcome’ maknanya lebih kurang begini, ‘Jikalau orang dah tak suka sudahlah…….’ Bagi orang Melayu, kenyataan sedemikian adalah merupakan kenyataan dan ungkapan yang amat kasar. Jarang-jarang sangat orang Melayu menggunakan bahasa sedemikian kerana sebagaimana umum mengetahui bahawa orang Melayu adalah bangsa yang amat sukar menyakiti hati orang lain. Sekiranya begitulah ungkapannya maka ‘ suhu’ kemarahan orang Melayu adalah sudah sampai ke kemuncak.

Bangsa bukan Melayu pun begitu juga. Dengan sebab itulah mereka menggunakan ‘ body language’. Orang Melayu menggunakan gerak dan geri untuk menyatakan sesuatu dengan secara terhormat. Dengan sebab itulah ada peribahasa yang berbunyi, ‘ sekilas ikan di air sudah aku tahu jantan betinanya’. Maknanya tidak perlu menggunakan kata-kata untuk menyatakan sesuatu. Hanya sekadar melihat pada gerak geri sudah dapat diselami apa sebenarnya hasrat dan tujuannya.

Budaya barat memerlukan seseorang itu membuat temu janji untuk pergi  ke rumah rakannya walaupun sekadar untuk bertandang dan berbual-bual kosong. Masyarakat Melayu lama tidak memerlukan membuat temu janji ( masih lagi diamalkan di kampung-kampung). Pintu sentiasa terbuka dan boleh datang dan melawat bila-bila masa yang sesuai. Dan dalam masyarakat Melayu lama amat jarang kita mendengar sesorang yang bertandang ke rumah kawan di suruh pulang. Tak pernah lagi aku bertemu dengan keadaan sedemikian.

Kebiasaannya tuan rumah akan menunjukkan gerak geri yang seolah-olah memberitahu tetamu bahawa ‘sudah sampai masanya untuk pulang’. Berbagai cara yang digunakan untuk menyampaikan mesej sedemikian. Dan ‘mesej’ itu pulak senang difahami oleh  tetamu. Pendek kata, ‘bahasa tidak diperlukan’ untuk menyampaikan meseja berkenaan. Ringkasnya seolah-olah tuan rumah mengatakan bahawa, ‘ don’t overstay your welcome’.

Aku nak mengaitkan pulak dengan keadaan yang berlaku di Malaysia kini. Aku nampak ramai sangat ‘pemimpin-pemimpin’ kita yang tidak faham ‘bahasa isyarat’ ini. Ataupun mungkin mereka sengaja tidak mahu memahaminya. Aku nampak rakyat telah memberikan berbagai isyarat untuk seseorang itu ‘pergi’ dengan cara yang terhormat. Namun seolah-olah ‘isyarat’ yang diberikan itu tidak difahami atau pura-pura tidak memahaminya. Keadaan sedemikian berlaku kepada ramai ‘pemimpin-pemimpin’ politik, pegawai-pegawai kerajaan, pemimpin-pemimpin korporat yang masih terus menerus berpaut kepada jawatan atau tanggungjawab yang dipegang walaupun dengan jelas menunjukkan mereka sudah tidak diperlukan lagi.

Apabila memperkatakan hal sebegini, tentulah tidak dapat dielakkan bagi aku untuk memberikan pengiktirafan dan pujian yang setinggi-tingginya kepada Almarhum Tunku Abdul Rahman, Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi ( Pak Lah ) dan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat ( bekas Menteri Besar Kelantan). Tokoh-tokoh ini sedar dan faham bahawa masanya telah sampai untuk mereka berundur walaupun jasa dan sumbangan mereka masih diperlukan. Mereka tahu dan dapat menyelami hati dan perasaan rakyat. Dan yang harus dipuji lagi ialah mereka tidak pula cuba mencampuri urusan-urusan yang telah mereka tinggalkan. Mereka faham dan menghayati ungkapan, ‘ don’t overstay your welcome’ itu. Tunku Abdul Rahman menyerahkan tugasnya kepada Tun Abdul Razak selepas berlaku peristiwa 13 Mei 1969 dan selepas Parti Perikatan ( Barisan Nasional sekarang ini ) kalah teruk dalam PRU  pada tahun 1969. Tunku terus ‘bersara’ dan tidak pula mencampuri hal politik tanah air. Begitu juga dengan keadaan Pak Lah menyerahkan tugasnya kepada DS Najib Tun Abdul Razak. Dan tidak pula Pak lah mencampuri hal-hal yang berkaitan dengan pentadbiran DS Najib Tun Abdul Razak. Dan yang paling disanjung oleh rakyat ialah sikap yang ditunjukkan oleh Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau berundur dengan cara yang paling terhormat ia itu ketika rakyat Kelantan masih memerlukan kepimpinannya. Namun disebabkan keperihatinannya tentang perlunya peralihan pucuk pimpinan maka beliau telah melepaskan jawatan dan mneyrahkan kepada penggantinya.

Dalam keadaan yang sedemikian masih terdapat juga keadaan di mana terdapat ramai pemimpin ( politik, perkhidmatan awam) yang masih mahu terus menerus mempertahankan jawatan walaupun rakyat bukan sahaja memberikan ‘isyarat’ yang jelas menyuruh ‘berhenti’ tetapi seolah memaksa mereka supaya berhenti dan solah-olah memberitahu bahawa, ‘jasa dan sumbanganmu tidak diperlukan lagi’

Namun begitu, ‘tokoh-tokoh’ ini masih ‘tidak tahu malu’ dan masih terus merasakan bahawa mereka adalah amat diperlukan oleh rakyat. Kadang-kadang aku terfikir bahawa sudah hilangkah agaknya harga diri dan maruah ‘pemimpin-pemimpin’ sedemikian. Apakah sudah tidak ada harga diri kah mereka. Rakyat sudah memberikan isyarat yang cukup jelas mengatakan bahawa mereka sudah tidak diperlukan lagi.

Rakyat Malaysia kini jelas menunjukkan bahawa mereka amat memerlukan kepimpinan YAB DS Anwar Ibrahim. Banyak contoh yang menunjukkan bahawa PMX amat diperlukan untuk memimpin negara Malaysia yang sedang dibangunkan ini. Hanya segelintir masyarakat Malaysia ( pihak pembangkang) yang merasakan  kepimpinan DS PMX tidak diperlukan. Itu pun didorong oleh perasaan hasad dan dengki yang tidak henti-henti merasakan kepimpinan PMX tidak diperlukan. Kenyataan, 'Don’t overstay your welcome’  tidak ditujukan kepada kepimpinan PMX kini. Rakyat Malaysia mengharapkan sebaliknya.

Abuhassanadam

7 Februari 2025



Tuesday, February 4, 2025

 


 ANAK MUDA YANG MENENDANG DAN MENERAJANG

Aku teringat kepada sajak Khairil Anwar yang antara lain berbunyi, ‘ aku binatang jalang, menendang dan menerajang….aku mahu hidup seribu tahun lagi…’. Jikalau tak silap aku sajak ini muncul ketika anak-anak muda Indonesia sedang berjuang bermatia-matian menentang penjajahan Belanda. Maknanya ketika mereka berjuang menuntut kemerdekaan dibawah pimpinan Sukarno. Dan akhirnya mereka berjaya juga membebaskan tanah air mereka dari cengkaman Belanda.

Dan apabila memperkatakan soal perjuangan, teringat pula aku kepada pejuang Afrika Selatan, Nelson Mandela yang ‘berjuang’ dalam babak-babak terakhir ‘perjuangannya’ sehingga berjaya membebaskan Afrika Selatan. Payah untuk menandingi rekod perjuangan beliau. Pada pandangan aku yang boleh setaraf dengan beliau dari segi perjuangan ialah Mahatma Gandhi dari India. Aku tidak tahu ada pejuang lain didunia ini yang setaraf dengan perjuangan dan penderitaannya. Diukur dari segi lamanya beliau dalam penjara sudah cukup untuk beliau memegang ‘rekod’ itu buat selama-lamanya.

Bukan senang bagi seseorang untuk mengatakan,“ We may never forget, but we must forgive…..To make peace with an enemy one must work with that enemy, and that enemy becomes your partner’. Petikan dari buku “ Struggling to forgive’ oleh Brian Frost.  Lebih kurang beliau menyatakan bahawa tidak mudah untuk melupakan sesuatu perkara atau peristiwa tetapi kita mesti bersedia untuk memaafkan……untuk berdamai dengan musuh, seseorang mestilah bekerjasama dengan musuh berkenaan yang akhirnya musuh itu akan menjadi sahabat yang akrab.

Apabila mengenangkan semula derita yang dilalui oleh Nelson Mandela, teringat pula peribahasa Melayu yang berbunyi, ‘ berapa berat mata memandang lagi berat bahu memikul’. Bayangkan penderitaan yang dilalui oleh beliau ketika berada di penjara  Robben Island selama 27 tahun. Dipenjatrakan pada tahun 1962 dan hanya dibebaskan pada tahun 1990. Bukan suatu jangka masa yang singkat. 

Sengaja aku memaparkan kehidupan Mandela untuk difahami oleh anak-anak muda Malaysia yang memulakan langkah perjuangan. Bagi aku anak-anak muda yang ingin berjuang perlu memahami bahawa perjuangan itu amat luas skop dan ruang lingkupnya. Bukan hanya setakat berjuang dalam arena politik. Tidak semestinya anak muda yang berkecimpung dalam lapangan sukan bukan perjuangan namanya. Begitu juga bagi  guru muda yang berjuang mati-matian untuk memajukan pelajaran anak –anak di kawasan luar bandar. Itu juga perjuangan.

Menentang Apartheid adalah ‘gelanggang’ yang telah dipilih oleh Nelson Mandela. Ada kemungkinan yang Afrika Selatan tidak terjadi sepertimana yang ada pada hari ini sekiranya Mandela dan rakan-rakannya tidak berkeorban sepertimana yang telah mereka lakukan. Tidak mudah mengabdikan diri ke arah perjuangan sedemikian. Namun disebabkan rasa tanggungjawab yang begitu berat terhadap rakyat maka mereka rela diperlakukan apa saja demi membebaskan rakyat mereka dari cengkaman Apartheid.

Apartheid adalah satu tindakan yang amat zalim yang dilakukan oleh pentadbiran British di Afrika Selatan, menafikan hak-hak asasi rakyat kulit hitam di Afrika Selatan. Kita kadang-kadang tidak terfikir  ada manusia yang begitu zalim wujud di dunia ini sebagaimana yang pernah wujud di Afrika Selatan pada zaman Apartheid. Undang-undang dan peraturan yang dikenakan ialah melarang percampuran antara Kulit Putih dengan Kulit Hitam. Masyarakat Kulit Hitam dibenarkan berada ditempat-tempat tertentu yang hanya dikhaskan kepada Kulit Putih. 

Antara peraturan dan undang-undang  yang dikenakan adalah seperti,

Masyarakat kulit hitam terpaksa membawa surat-surat kebenaran tertentu untuk membolehkan mereka bekerja disesuatu tempat,

Kerajaan Kulit Putih memisah-misahkan masyarakat Kulit Hitam kepada beberapa kumpulan

Tidak membenarkan perkahwinan antara Kulit Putih dengan bukan Kulit putih,

Kulit hitam tidak dibenarkan memiliki tanah.

Penindasan yang sebeginilah yang menyebabkan munculnya manusia seperti Nelson Mandela.

Apakah anak muda di Malaysia juga harus menghayati dan mencontohi perjuangan Mandela? Masih banyak lagi lapangan yang harus diterokai oleh anak muda untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat. Malah lebih hebat dari Afrika Selatan. Namun begitu banyak lagi perkara dan isu yang memerlukan pejuang-pejuang anak muda untuk tampil kehadapan membetulkan keadaan di negara kita kini. Anak muda Malaysia perlu peka dalam banyak perkara terutama yang berkaitan dengan usaha kita untuk menjadikan negara ini sebuah negara maju pada tahun-tahun mendatang. 

Sejarah perjuangan  DS Anwar Ibrahim dalam usahanya menegakkan sebuah bangsa yang bermarwah harus dicontohi oleh anak muda Malaysia kini. Tidak semestinya anak muda memerlukan keadaan sebagaimana di Afrika Selatan untuk anak muda berjuang. Namun ada lagi lapangan yang membolehkan anak muda Malaysia berjuang demi mewujudkan bangsa Malaysia yang bermarwah.

Anak muda Malaysia seharusanya tampil mengemukakan rancangan dan agenda masing-masing merealisasikan wawasan demikian. Jangan diletakkan harapan sepenuhnya kepada golongan tua untuk menjayakan matlamat demikian kerana zaman itu bukan zaman mereka lagi. Oleh itu sudah sampai masanya anak muda bersikap ‘menendang dan menerajang’ demi untuk menjayakan hasrat anak muda kini supaya negara ini menjadi sebuah negara maju yang merupakan milik anak muda kini dan mereka ( sebagai orang tua ) pada masa hadapan.

Abuhassanadam

4 Januari 2025



Monday, February 3, 2025

 JATI DIRI MELAYU YANG SEMAKIN LUNTUR

Aku terpanggil untuk memperkatakan isu jati diri Melayu kerana aku sudah agak keliru mengenai orang Melayu itu sendiri. Kadang-kadang aku sendiri ‘keliru’ dan sering menyoal diri aku samada aku masih ‘orang Melayu tulin’ ataupun sudah berubah menjadi ‘orang lain’. Maknanya apakah aku masih merupakan orang Melayu tulin. Apakah aku masih orang Melayu berketurunan ‘sakai’ yang merupakan peribumi sebenar di Tanah Melayu dan bukan golongan pendatang dari Indonesia atau dari India atau dari Pakistan.

Aku juga kerapkali memikirkan bahawa apakah manusia yang menggelarkan dirinya  ‘Melayu’ yang berada disekeliling aku masih merupakan orang Melayu tulin ataupun sudah bertukar menjadi ‘orang lain’. Aku sebenarnya amat keliru.

Terlintas aku untuk menjenguk tentang apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan ‘Jati diri’. Mengikut kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka’  jati diri ialah sifat atau ciri yang unik dan istimewa (dari segi adat, bahasa, budaya, agama dan sebagainya) yang menjadi teras dan lambang keperibadian seseorang individu, sesuatu bangsa dan sebagainya, atau disebut jua identiti.

Bahasa merupakan teras untuk menunjukkan identiti seseorang itu. Bahasa menunjukkan bangsa seseorang itu. Bahasa jiwa bangsa. Terlalu lunak menyuarakannya tetapi apakah betul-betul dipraktikkan oleh orang Melayu khususnya. Aku perhatikan bahawa Bahasa Melayu yang merupakan teras bangsa Melayu ( bangsa Malaysia) seolah-olah sudah dipandang ringan oleh orang Melayu sendiri. Apatah lagi oleh golongan bukan Melayu walaupun Bahasa Melayu termaktub dalam perlembagaan Malaysia sebagai Bahasa kebangsaan.

Aku tidak menyalahkan orang bukan Melayu yang tidak begitu peduli tentang penggunaan Bahasa Melayu. Yang aku penting dan yang aku agak ‘keliru’ ialah tentang orang Melayu sendiri yang tidak memandang berat terhadap Bahasa Melayu. Ini termasuklah juga pemimpin Melayu yang hanya cakap ‘berdegar-degar’ tetapi sebenarnya ‘cakap tak selupa bikin’. Kononnya untuk mendaulatkan Bahasa Melayu tetapi dari segi praktiknya tidak pun ternampak usaha yang bersungguh-sungguh.Lantas bagaimanakah kita ( orang Melayu) hendak menyuruh orang bukan Melayu menggunakan bahasa Melayu secara meluas sedangkan orang Melayu sendiri tidak mengambil berat tentang kedudukan bahasanya.

Setelah setengah abad berlalu, Malaysia masih ‘merangkak’ untuk mendaulatkan Bahasa Melayu. Aku masih terbayang tentang usaha gigh pemimpin bahasa yang terdahulu seperti Syed Nasir Ismail, Usman Awang, Keris Mas, Hassan Ahmad yang bersungguh-sungguh benar untuk mendaulatkan Bahasa Melayu. Namun semacam usaha mereka itu seperti mencurahkan air di daun keladi. Kedudukan Bahasa Melayu masih berada di takuk lama. Mati segan hidup tak mahu.

Yang paling mengelirukan aku ialah apabila melihatkan yang orang Melayu yang berkedudukan mengabaikan penggunaan Bahasa Melayu. Lihat sahaja tentang penggunaan bahasa Melayu yang digunakan oleh para pemimpin kita ( termasuklah pemimpin korporat)  kita apabila memperkatakan sesuatu di TV. Sembilan puluh peratus dari mereka pasti akan menggunakan bahasa Inggeris. Pasti. Ini yang aku amat keliru dan amat susah untuk aku memahaminya. Dan yang anihnya pula ialah apabila yang menggunakan bahasa Inggeris itu masih ‘tergagap-gagap’ dengan ‘Nahu’ yang lintang pukang tetapi masih mahu menggunakan bahasa Inggeris. Mengapa terjadi begitu?. Aku tak faham….

Apakah pada anggapan golongan elit perniagaan ini bahawa akan menjadi ‘hina’ bagi mereka apabila menggunakan Bahasa Melayu? Apakah begitu pada anggapan mereka. Apakah hanya dengan menggunakan bahasa Inggeris sahaja yang akan menaikkan imej mereka di mata rakan kongsi perniagaan mereka. Apakah begitu pendapat para tokoh korporat Melayu kita?

Berbanding dengan bangsa lain seperti Jepun, Cina, bangsa Thai yang masih teguh berpaut kepada bahasa mereka ketika mengadakan rundingan atau berbicara sesuatu di peringkat antarabangsa. Dan bangsa-bangsa ini masih dihormati dan mereka tetap unggul dalam perniagaan dan dihormati oleh bangsa-bangsa lain di dunia berbanding dengan bangsa Melayu yang kononya amat ‘fasih’ berbahasa Inggeris tetapi masih ketinggalan jauh di arena antarabangsa sekiranya diukur dari segi apa pun.

Mendewa-dewakan bangsa asing (dan bahasa asing) sudah merupakan amalan dan ‘pakaian’ orang Melayu semenjak dari zaman dahulu lagi. ‘Penyakit’ yang dihidapi oleh orang Melayu secara umum ialah terlampau  memandang terlalu tinggi kepada bangsa asing. Orang Melayu mendewakan bangsa Arab apabila mereka datang untuk berdagang dan menyebarkan agama Islam ke sini. Orang Melayu merasa megah sekiranya dapat anak dara mereka berkahwin dengan Arab ‘berketurunan Nabi Muhammad’ itu. Orang Melayu mendewakan saudagar dari India sehinggakan dibenarkan memegang jawatan penting dalam pentadbiran kerajaan Melayu Melaka. Pendek kata orang Melayu sanggup menghambakan diri mereka kepada orang asing.

Tidak usah disebutlah tentang bagaimana orang Melayu mendewakan orang Inggeris. Sehingga kini orang Melayu masih terus mendewa-dewakan orang Inggeris dan bangsa-bangsa asing. Orang Melayu mungkin masih merasakan dirinya masih kerdil berbanding dengan bangsa asing. Jati diri orang Melayu seolah-olah tidak menunjukkan penigkatan yang drastik walaupun telah setengah abad mencapai kemerdekaan.

Kadang-kadang aku terfikir seolah-olah orang Melayu masih mencari-cari identiti diri. Ataupun seolah-olah orang Melayu sedang mengalami kelunturan jati diri. Ataupun lebih parah lagi apakah orang Melayu masih ada jati diri.  Tolonglah carikan jawapannya.

abuhassanadam

3 Januari 2025




Sunday, February 2, 2025

 JIKALAU AYAM TIDAK BERKOKOK

Ini kenangan zaman dulu-dulu.

Setiap kali menjelangnya bulan Ramadhan, pasti aku akan teringat kepada beberapa kenangan ketika masih kecil. Menjalankan ibadah puasa bersama keluarga di kampung. Dan aku pasti ramai lagi ‘anak kampung’ yang kini sudahpun menjadi ‘orang bandar’ akan teringat berbagai-bagai peristiwa yang berlaku pada bulan  puasa di tempat masing-masing. Dan pastinya juga tidak jauh bezanya keadaan di sebuah kampung dengan kampung yang lain. Hampir sama. Yang menampakan perbezaan yang besar ialah apabila dibandingkan keadaan bulan puasa di kampung dengan keadaan di bandar seperti kini. Memang jauh bezanya.

Hampir keseluruhan anggota masyarakat di kampung aku sememangnya ‘ kaya dengan kemiskinan dan kaya dengan budi bahasa’. Maknanya miskin-miskin belaka tetapi terlalu tinggi budi bahasanya. Kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Tetapi sentiasa dalam suasana riang. Jikalau dibandingkan dengan suasana di bandar kini adalah berbeza sekali. Walaupun orang bandar terdiri dari mereka yang berpendapatan lumayan, namun pada ketikanya tidak mampu untuk bergelak ketawa seperti orang kampung aku pada tahun 50an atau 60an dulu.

Dan aku juga tidak pernah lupa tentang kisah aku sekeluarga berada pada bulan Ramadhan ketika aku masih belajar di Stanford University, Palo Alto, California. Peristiwa yang tidak dapat aku lupakan ialah apabila ada ‘Mat Salleh’ ‘menengking’ aku dengan kata-kata, ‘ It’s killing….’ apabila dia melihat dua orang anak aku  berpuasa. Ketika itu Farid berumur 13 tahun dan Faizul baru berumur 10 tahun. Yang menyebabkan ‘Mat Salleh’ itu ‘marah’ ( mungkin dia mengatakan aku zalim juga kerana ‘mendera’ anak ) apabila dia mendapat tahu bahawa kami berpuasa bermula dari pukul 3.00 pagi dan berbuka puasa pada pukul 8.45 malam ( Summer). Kebetulan pula bulan Ramadhan tahun berkenaan jatuh pada musim panas.

Deraian gelak ketawa orang kampung aku akan sentiasa kedengaran terutama disebelah malam selepas sembahayang terawih. Bulan Ramadhan adalah merupakan semacam bulan pesta. Tua muda berpesta. Yang tua ‘berpesta’ di surau-surau dan masjid dengan tadarusnya, membaca Quran, mengerjakan berbagai jenis solat sunat yang disuruh. Yang muda pula dengan aktiviti cara orang muda yang dilakukan selepas sembahayang terawih. Kanak-kanak pula akan terus bermain dan bermain sehinggalah menjelang tengah malam. 

Satu keunikan dalam bulan puasa ialah kebanyakan orang muda-muda dikampung aku akan tidur bermalam di surau. Satu budaya yang tidak dapat difahami oleh orang bandar. Tidur di surau bermakna tidur tanpa bantal, tanpa katil, tanpa tilam, tanpa selimut. ‘Kelengkapan’ tidur mereka hanyalah kain sarung dan baju Melayu (Teluk Belanga) yang dipakai. Itu saja kelengkapannya.  Bantal bagaimana?.....Lu fikirlah sendiri……

Anak muda tidur di surau kerana mereka akan ‘bertugas’ untuk mengetuk ‘kerantung’  ( beduk ) apabila sampai waktu makan sahur. Tidak ramai  ‘orang kampung’ aku yang memiliki jam loceng pada waktu itu. Seingat akulah hampir tidak seorang pun orang kampung aku yang memiliki jam loceng. Bukan sahaja mahal harganya ( diukur dari segi pendapatan pada ketika itu ) tetapi terpaksa pergi ke Kuala Kangsar (bandar yang paling hampir yang ada menjual jam) yang jauhnya 10 kilometer. 

Justeru orang kampung aku hampir kesemuanya mengharapkan ‘kerantung’ untuk mengejutkan mereka untuk makan sahur.  Bunyi ketukan kerantung dapat didengar hingga ke rumah yang palling jauh dari surau, apatah lagi dalam suasana subuh yang paling hening. ( Aku pasti menitiskan air mata apabila aku menuliskan suasana yang sebegini kerana ini merupakan satu kenangan yang sungguh manis dan tidak akan dapat aku lupakan sehinggalah mataku tertutup nanti.)

Anak muda di surau yang bertugas mengetuk kerantung akan memulakan tugas mereka lebih kurang pukul 3.00 pagi. Kerantung akan diketuk ( dengan irama yang sukar aku jelaskan dalam tulisan ini ) berterusan sehinggalah menjelangnya waktu solat Subuh. Irama ketukan kerantung untuk bersahur tentunya berbeza dengan irama ketukan kerantung untuk solat Subuh. Dan berbeza juga ketukan apabila ada kematian di kampung. Kesemuanya dengan ‘irama’ dan ketukan yang berbeza. Dengan demikian orang kampung akan dapat membezakan ketukan kerantung untuk bersahur dan ketukan untuk solat Subuh, yang menandakan tamatnya waktu untuk bersahur.

Opah masih mengharapkan kokok ayam untuk ‘mengejutkan’ dia untuk bangun sahur, walaupun Atuk dan emak saudara aku mengharapkan kepada ketukan kerantung di surau. Seingat aku, sehinggalah saat dia meninggal, Opah tidak memiliki jam dan tidak tahu melihat waktu bedasarkan jam. ‘Jam’ dia ialah kokok ayam dan pada siang hari  beliau berpandu kepada matahari untuk solat Zohor dan Asarnya.

Opah tahu dan boleh ‘membaca’ kokok ayam. Opah akan ‘mengharapkan’ kokok ayam juga untuk mengejutkan aku untuk siap ke sekolah. Seingat aku, tidak pernah aku sampai lewat  ke sekolah, walaupun  sekolah aku amat jauh dari rumah. Bayangkan aku terpaksa berjalan kaki sejauh 1 kilometer dari kampung, melalui sawah padi dan beberapa buah kampung sebelum sampai ke pekan Padang Rengas. Lepas itu aku terpaksa menaiki bas ‘ Red & Yellow’ sejauh 10 kilometer untuk pergi ke Kuala Kangsar. Dari setesen bas terpaksa berjalan kaki 500 meter ke sekolah. Clifford School Kuala Kangsar.

Jarang sekali Opah tersilap ‘membaca’ kokok ayam. Maksud aku jarang sekali Opah mengejutkan aku dari tidur terlalu awal untuk bangun pergi ke sekolah, ataupun terlewat. Pernah juga berlaku sekali-sekala  keadaan sedemikian. Tetapi sebenarnya bukan kesilapan Opah. Kesilapan ayam!.. kerana berkokok terlalu awal. Ayam pun tidak boleh dipersalahkan kerana ada ketikanya bulan mengambang begitu terang menderang yang menyebabkan ayam menyangkakan hari sudah nak siang. Lantas berkokoklah ia untuk memberitahu hari nak siang. 

Seingat aku juga tidak pernah berlaku dimana ayam tidak pernah berkokok apabila hari nak siang.

Apalah agaknya akan terjadi sekiranya ayam  di kampung ku mogok dan tidak berkokok………..Namun hari tetap siang juga…..

Manisnya mengenangkan keadaan sedemikian...


abuhassanadam

2 Januari 2025




Saturday, February 1, 2025

 CIKGU SAMAD KULUP SEMAN

Mula-mula aku menjadi guru adalah di Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang, Selama Perak.Sumbangan yang aku berikan di Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang, Selama Perak tentunya tidak sama dan tidak setanding dengan sumbangan Cikgu Samad kepada anak muridnya ( termasuk aku ) di Malay Boys School, Padang Rengas disekitar tahun 1950an dulu. Sememangnya setiap kali menjelangnya 16 Mei (Hari Guru) pasti aku tidak dapat melupakan Cikgu Samad. Dia seorang guru yang paling kami sayangi dan penuh dedikasi terhadap muridnya.

Sehingga kini nama Cikgu Samad akan sentiasa bermain dibibirku terutama apabila mengenangkan tentang sumbangan murni dan amat bermakna kepada diri kami. Aku cuba ‘membalas’ sumbangan yang diberikan oleh Cikgu Samad kepada kami dengan cara melakukan apa yang telah dilakukan oleh Cikgu Samad kepada murid-murid. Hasratku terkabul apabila cita-citaku untuk menjadi seorang guru juga termakbul. Dengan demikian aku telah ‘menggunakan’ Cikgu Samad sebagai ‘role model’ aku untuk mendidik anak-anak didikan aku.

Cikgu Samad suka bercerita. Macam-macam cerita tetapi yang disukai oleh murid-murid pada ketika itu ialah cerita mengenai kecerdikan Sang Kancil. Cerita Sang Kancil dengan buaiya, Sang Kancil dengan harimau dan cerita Sang Kancil berjumpa Raja Sulaiman pun ada!!..(mungkin rekaan Cikgu Samad agaknya…kah, kah,kah).

Pantun yang selalu didendangkan ole Cikgu Samad yang sehingga kini menjadi pegangannku ialah:

Dalam semak ada duri,

Ayam Kuning buat sarang

Orang tamak selalu rugi,

Seperti anjing dengan bayang-bayang.

Sudah setengah abad dilafazkan oleh Cikgu Samad, namun masih terngiang-ngiang di telinga dan masih kelihatan wajah Cikgu Samad menuliskan rangkap pantun itu di papan hitam, didalam kelas Darjah 3, Malay Boys School, Padang Rengas tahun 1953.

Pada 3 Januari 1965, aku melapor diri di Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang, Selama Perak. Untuk menjadi seorang guru, berhasrat membawa ‘obor’ perjuangan Cikgu Samad untuk ‘membalas jasa baik’ Cikgu Samad mendidik aku. Dengan hanya berbekalkan kelulusan LCE ( Lower Certificate of Education) yang pada ketika ini setaraf dengan PMR (Penilaian Menengah Rendah) aku membawa cita-cita menggunung untuk mendidik anak bangsa. Entah tercapai entah pun tidak…

Aku pernah menceritakan tentang keadaan Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang yang terletak di Kampung Ulu Mengkuang, ia itu sebuah desa pingitan (pada ketika itu), lebih kurang lima kilometer dari pekan Rantau Panjang dan tiga kilometer dari pekan Selama Perak.

Ramai rakan-rakan guru tidak percaya apabila aku mengatakan bahawa aku amat bahagia dan gembira berada di Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang. Jikalau untuk mencari kesenangan dan keseronokan (berhibur) memang Ulu Mengkuang bukan tempatnya, tetapi untuk mencari kepuasan mendidik dan memberi sumbangan, maka Ulu Mengkuanglah tempatnya terutama dari segi penghargaan yang diberikan oleh penduduk kampung tentang jasa dan sumbangan yang diberikan oleh guru.

Walaupun sudah agak lama aku tidak menjenguk Ulu Mengkuang, namun ‘Ulu Mengkuang’ masih segar dalam ingatan aku. Malah ke mana saja aku pergi, nama ‘Ulu Mengkuang’ tetap bermain di bibirku. Bagi aku Ulu Mengkuang merupakan sumber inspirasi dan tapak bermula bagi aku untuk melakar kehidupan baru. Lantas nama ‘Ulu Mengkuang’ perlu disemadikan dalam ingatan dan dilafazkan apabila perlu.

Ketika aku membentangkan thesis aku di Stanford University, California pada suatu ketika dulu, nama Ulu Mengkuang aku lafazkan disana. Ketika bertugas di London, nama Ulu Mengkuang sentiasa juga aku lafazkan dihadapan para pelajar di sana. Di Paris ketika bertemu dengan pelajar-pelajat Asia Tenggara disana, nama Ulu Mengkuang aku sebut juga. Di Seoul, Korea Selatan ketika menghadiri COTI (Central Official Training Institute) nama Ulu Mengkuang aku sebut juga. Malah ketika berada di Princeton, USA juga aku sebut tentang kisah aku mencurahkan jasa bakti di Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang.

Aku masih mendapat berita daripada anak murid aku yang mengatakan bahawa orang kampung Ulu Mengkuang masih ‘mengingati' aku dan masih menyebut-nyebut namaku walaupun sudah setengah abad aku meninggalkan Ulu Mengkuang. Ramai anak murid aku sudah pun berkahwin dan berkeluarga. Aku masih ingat nama-nama hampir kesemua mereka ketika itu. Dan pada ketika itu hanya terdapat 68 orang murid sahaja yang belajar di sekolah berkenaan. Guru Besarnya ialah Cikgu Ismail Ahmad (Pak Da, panggilan orang kampung ).

Aku masih ingat lagi nama-nama anak murid aku pada ketika itu. Isa Md Noor, Hashimah Yusuf, Nab Pak Su Man, Mat Zain Haji Nawi, Radzi Pak Teh Derani, Rokiah Pak Ngah Ahmad dan ramai lagi. Mampu aku menyebutnya satu persatu tetapi disebabkan kesempitan ruangan, cukup sekadar itu saja. Malah aku boleh senaraikan nama-nama mereka yang telah terpahat dalam ingatan aku dan tidak akan aku lupakan. Dan mungkin mereka juga tidak melupakan aku terutama tentang apa yang telah aku lakukan kepada mereka. 

Dan ramai juga pelajar Ulu Mengkuang yang telah menjejakkan kaki ke menara gading dan memegang jawatan penting. Syukur. Didoakan agar guru-guru yang masih mengajar di Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang kini tidak mengecewakan harapan penduduk Kampung Ulu Mengkuang yang sangat baik hati.

Pendek kata nama Cikgu Samad Kulup Seman dan Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang amat payah untuk lenyap dari ingatanku.


abuhassanadam

1 Februari 2025