Sunday, February 23, 2014

‘BRIM’ DAN ‘PINK FORM’ MENGAGALKAN DEB

Aku tidak pula mahu memperkecilkan usaha kerajaan memberikan BRIM ( Bantuan Rakyat 1 Malaysia) kepada sesiapa yang layak menerimanya. Dan hampir seluruh penduduk kampung aku layak menerima BRIM. Ini disebabkan pendapatan penduduk di kampung aku pastinya kurang daripada RM 3000-00 sebulan. Mungkin ada yang berpendapatan melebihi jumlah itu. Tak ramai. Mungkin tidak sampai sepuluh keluarga yang berpendapatan sebanyak itu. Itu pun sekiranya dicampurkan dengan wang pemberian anak-anak yang bekerja dan bergaji lumayan.

Tentulah tidak harus dinafikan tentang ‘baiknya’ usaha pihak kerajaan ini jika ditinjau dari satu segi. Walaupun dengan wang pemberian sebanyak itu  (RM 650.00) tidak banyak dapat dibeli (dalam keadaan harga barang yang semakin meningkat) namun pemberian sedemikian dapat juga melegakan sedikit golongan yang berpendapatan demikian. Dan aku pasti yang ramai penerima wang BRIM adalah terdiri dari orang Melayu kampung yang berpendapatan mereka di bawah paras yang ditetapkan untuk mereka layak mendapat BRIM.

Setakat yang aku tahu, tidak ada negara-negara di dunia yang melakukan apa yang dilakukan oleh negara kita. Pemberian hadiah wang, BRIM. Negara Brunei yang kaya pun tidak buat sepertimana yang kita lakukan. Mungkin pernah ada pemberian sedemikian. Sekali dalam tiga tahun, mungkin. Sebaliknya banyak negara yang memansuhkan pembayaran cukai pendapatan kepada warga negaranya. Seingat aku, hanya Sabah yang pernah memberikan hadiah wang yang sebegini pada zaman pentadbiran Tun Mustafa ( kalau aku tak silap).

Dilaporkan bahawa bagi melaksanakan kesemua pakej BR1M 2014 kerajaan telah memperuntukan sejumlah RM4.6 bilion yang akan dimanfaatkan oleh 7.9 juta orang rakyat Malaysia daripada keseluruhan penduduk seramai 28.3 juta orang. Ini bermakna bahawa 25% rakyat Malaysia masih layak menerima BRIM. Ini juga bermakna bahawa 25% rakyat Malaysia masih dalam keadaan miskin, mengikut tafsiran pihak Kerajaan. Dan daripada jumlah itu aku yakin bahawa yang ramai berada dibawah paras kemiskinan itu adalh terdiri dari orang Melayu.
Jikalau tidak silap, usaha untuk memajukan orang Melayu  memang telah lama diusahakan. Penubuhan Lembaga Pembangunan Industri Desa atau Rural Industrial Development Authority (RIDA) yang dipengerusikan oleh Dato’Onn Jaafar pada tahun 1950 adalah bertujuan untuk memajukan ekonomi dan pendidikan masyarakat luar bandar terutamanya kaum Melayu. Usaha ini sudah berjalan begitu lama. Tahun 1950.

Kemudian dalam Rancangan Malaya Pertama (1956-1960) matlamat utamanya untuk membangunkan kawasan luar bandar supaya jurang perbezaan pendapatan antara penduduk bandar dan luar bandar dapat dirapatkan. Usaha memajukan ekonomi orang Melayu diteruskan dalam Rancangan Malaya Kedua dan Rancangan Malaysia Pertama (1966-1970). Dan dalam Rancangan Malaysia Kedua (1971-1975) ternampak usaha berterusan memajukan penduduk luar bandar dari segi pencapaian dalam bidang ekonomi.

Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat tanpa mengira kaum. Apabila tempoh DEB tamat pada tahun 1990, Dasar Pembangunan Nasional (DPN) pula diperkenalkan untuk menyambung hasrat DEB dehingga tahun 2000. Tentulah ramai juga yang mempersoalkan mengapa dasar ini dilanjutkan. Orang bukan Melayu pasti tertanya-tanya juga.

Orang Melayu yang miskin dan kaya menggunakan DEB sebagai ‘pelampung’. Orang kaya menggunakan DEB sebagai helah untuk memperkayakan diri dan anak masing-masing. Orang Melayu yang berkesempatan berada di ‘corridors of power’ akan menggunakan sepenuhnya DEB untuk mengaut untung dan kekayaan semaunya. Bernaungkan DEB, orang Melayu yang berkepentingan diberikan ‘pink form’ dan beberapa keistemewaan lain untuk memperolehi saham-saham dalam IPO (Initial Public Offering). Ini merupakan ‘durian runtuh’ kepada mereka yang akan menjualkan saham mereka itu setelah dibeli dengan harga yang agak murah. Ini hanya satu contoh bagaimana DEB telah ‘diperalatkan’ oleh orang Melayu yang tidak bertanggungjawab memperkaya diri dan keluarga dan kroni-kroni mereka.

Kerajaan tidak harus dipersalahkan sepenuhnya sekiranya hal sebegini berlaku, Sememangnya hasrat kerajaan untuk mengagihkan harta kekayaan di negara ini kepada semua rakyat Malaysia. Masalahanya ramai orang Melayu mahu menjadi kaya dengan lebih cepat dan pantas menggunakan jalan pintas. Akhirnya pemilikan harta oleh orang Melalyu di Malaysia masih berada ditakuk lama juga.

Nampaknya pada tahun 2014 masih ramai lagi orang Melayu yang hidup dibawah paras kemiskinan. Apakah setelah tiga puluh tahun dibimbing dan ditatang, maka orang Melayu masih memerlukan ‘tongkat’ dan bantuan seperti BRIM. Apakah hina benarkah orang Melayu sehingga tidak dapat hidup berdikari tanpa pertolongan pihak kerajaan. Sampai bila agaknya orang Melayu ini lembik dan tidak bermaya. Dan tidakkah orang Melayu yang menerima BRIM ini terasa bahawa merekalah yang disebut oleh Aminuddin Baki sebagai ‘ayam yang mati dikepuk padi dan itik mati kehausan di air tenang’….

Dan apakah pihak kerajaan tidak berkemampuan langsung untuk memikir satu langkah yang konstruktif untuk membasmi kemiskinan orang Melayu ini. Apakah ini saja ‘solution’ yang boleh difikirkan oleh para pemikir yang kononnya bijak-bijak belaka yang berada di Jabatan Perdana Menteri itu. Dan apakah langkah sebegini merupakan langkah secara berterusan untuk memajukan orang Melayu. Apakah  yang akan terjadi sekiranya kering sumber minyak di perut bumi ini.

Orang Melayu seharusnya berhenti mengambil ‘jalan pintas’….


abuhassanadam
23 Februari 2014


Saturday, February 22, 2014

‘LANGKAH KAJANG’ MENGORAK LANGKAH  KE  PUTERAJAYA

Laungan ‘REFORMASI’ yang bergema semenjak tahun 1998 itu belum lagi padam malah terus membara dan ‘menyala’. Tentulah tidak akan padam sekiranya tidak berlaku ‘reform’ atau pembaharuan yang diidamkan. Sebenarnya sudak dimulakan ‘reform’ itu di Selangor dan Pulau Pinang, namun dirasakan bahawa terlalu banyak lagi pembaharuan-pembaharuan yang perlu dilakukan bukan sahaja di Selangor dan Pulau Pinang tetapi juga di Kelantan, negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat.

Langkah Kajang adalah juga merupakan ‘langkah’ ke arah memertabatkan konsep ‘Reformasi’ dalam ertikata sebenarnya di Selangor. Mungkin dirasakan selama ini bahawa gerakan ‘Reformasi’ yang mula berkumandang di Malaysia pada tahun 1998, belum dapat lagi bertapak di Malaysia disebabkan kegagalan  Pakatan Rakyat untuk menguasai keseluruhan negara ini. Lantas gerakan Reformasi itu seolah-olah ‘tenggelam’ dan tidak dapat dilaksanakan sebagaimana yang diimpikan oleh pejuang-pejuang reformasi. Hanya laungan dan slogan yang dapat dijeritkan kepada rakyat.

Ada pembaharuan yang dapat dilihat berlaku di negeri-negeri yang ditadbirakn oleh Pakatan Rakyat khsusunya negeri Pulau Pinang dan Selangor. Namun masih perlu banyak pembaharuan yang perlu dilakukan demi untuk mengisi hasrat ‘Reformasi’ sepertimana yang dilaungkan pada tahun 1998 dahulu. Dan sememangnya disedari bahawa untuk melakukan pembahruan yang dikira drastik bukanlah merupakan sesuatu yang mudah. Disedari juga bahawa ia memerlukan satu komitmen yang bukan kecil.

Rakyat Malaysia yang sudah celik dan dapat merasakan ‘denyut nadi’ alam sekeliling merasakan bahawa melihatkan kepada perkembangan negara Malaysia kini menampakkan bahawa BN (UMNO) telah gagal dalam menangani banyak masalah dan apatah lagi untuk mengangkat negara ini ke suatu tahap kebanggaan dunia. Jauh panggang dari api. Sekiranya begini cara pergerakan negara Malaysia kini aku amat sangsi tentang pencapaian wawasan 2020 yang dirangka pada awal 1990an dulu.

Aku amat sedih apabila kelihatan yang pemerintah Malaysia gagal menguruskan pendidikan negara. Aku tidak tahu sekiranya ada lagi rakyat Malaysia yang mengatakan bahawa sistem pendidikan kita hari ini adalah antara yang terbaik di negara ini. Berdasarkan kepada beberapa petunjuk jelas memperlihatkan bahawa sistem pendidikan negara kita dalam keadaan tenat. Biarkan aku paparkan beberapa contoh:

·      Dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diperkenalkan pada tahun 2003 telah diumumkan mengenai pemansuhannya pada tahun 2009 yang mana pemansuhan sepenuhnya dalam masa tiga tahun bermula pada tarikh itu.
·      PISA  (Program for International Student Assessment ) umpamanya adalah ujian untuk menguji kebolehan pelajar-pelajar yang berumur sekitar 15 dan 16 tahun dikalangan negara-negara OECD (Organization for Economic Coperation and Development) dalam mata pelajaran Matematik, Sains dan Pembacaan.Jelas menunjukkan bahawa negara-negara Asia seperti Shanghai, Hong Kong, Singapore, Japan, Korea Selatan telah begitu maju dari segi pencapaian mereka dalam mata pelajaran Matematik, Sains dan Pembacaan. Malah telah dikatakan bahawa pencapaian pelajar-pelajar di negara-negara Asia berkenaan adalah tiga tahun terkehadapan berbanding dengan negara-negara lain yang mundur termasuklah Malaysia. Maknanya negara kita terkebelakang lima tahun berbanding dengan negara-negara yang menduduki tempat yang ke 20 teratas. Berbanding dengan Vietnam sekali pun kita masih mundur. Jangankan kita mahu menandingi negara-negara China, Hong Kong, Singapore, Jepun dan lain-lain.
·      Pelaksanaan Penilai Berasaskan Sekolah (PBS) yang diperkenalkan pada tahun lepas dan pelaksanaannya yang sepatutnya dijalankan pada tahun ini terpaksa dikaji semula. Ini yang aku namakan ‘surung-sentap’.
·      Kedudukan ‘ranking’ universiti-universiti  kita jauh terkebelakang berbanding dengan universiti-universiti di negara lain. Berbanding dengan Singapura misalnya, kita ketinggalan amat jauh

Cukup rasanya aku mengemukakan contoh yang menyedihkan itu yang berlaku kini di negara kita Malaysia yang tercinta. Aku tidak mahu menyentuh tentang lapangan lain kerana bagi aku lapangan pendidikan adalah merupakan ‘kunci’ segala kemajuan yang hendak dicapai. Kini sistem pendidikan kita adalah dalam suasana yang amat ‘huru-hara’ dan berkemungkinan kita akan hilang satu generasi  golongan cendekiawan sekiranya tidak ditangani segera dan dengan cara berkesan.

Sehubungan dengan ini, aku pasti bahawa rakyat yang sedar dan peka dengan keadaan negara yang sedang ‘berdarah dan menanah’ kini sedang meletakkan harapan yang begitu tinggi kepada DS Anwar Ibrahim. ‘Langkah Kajang’ adalah permulaannya. Mungkin ada yang merasakan bahawa adalah mustahil untuk beliau melakukan sesuatu demi untuk merealisasikan impiannya. ‘Reform’ dan Reformasinya.

Kita jangan harus lupa bahawa, ‘ the journey of one thousand miles begins with the first step’. Bermula dengan Kajang, akan melakar sejarah untuk bergerak ke arah Puterajaya. Mahu tak mahu keadaan pendidikan di negara kita perlu diselamatkan dengan segera.

Aku merasa agak hairan mengapa pemimpin BN (UMNO) di negara ini  seolah-olah tidak begitu ambil peduli tentang perkembangan sistem pendidikan negara. Apakah mereka tidak membaca dan peduli tentang bagaimana negara maju kini mencapai kejayaan bermula dengan sistem pendidikan yang mantap. Bacalah sejarah negara mana pun. Sejarah Islam ke, sejarah peradaban Cina ke, peradaban India ke, Great Britain ke, kesemuanya menitikberatkan tentang sistem pendidikannya.

‘Tegak’ bulu roma aku apabila membaca tentang kisah bagaimana Park Chung Hee, Lee Kuan Yew dan beberapa orang pemimpon dunia lain seperti di Jepun, Taiwan, Hong Kong memperkenalkan berbagai pembaharuan negara mereka yang mana sistem pendidikan diutamakan.Dan kesannya terserlah sebagaimana yang dapat kita saksikan sekarang. Berbanding dengan negara kita yang ‘berbangga’ dapat melahirkan pelajar yang berjaya memperolehi banyak ‘Pangkat A’ dalam peperiksaan tetapi kualiti yang masih dipersoalkan.

Langkah Kajang bukan sahaja akan menyelesaikan masalah di Selangor tetapi akan berhadapan dengan masalah yang lebih besar ia itu untuk merealisasikan laungan ‘REFORMASI’. Semoga berjaya. Insyallah.

Abuhassanadam
22 Februari 2014



Thursday, February 20, 2014

PENDAPAT KASSIM AHMAD SELARI DENGAN PANDANGAN
MUSTAFA AKYOL TURKY

Aku merasa sangsi juga dengan kenyataan beberapa orang yang mahir dalam hal ehwal agama Islam, yang terus menerus menempelak dan melemparkan berbagai tuduhan terhadap Saudara Kassim Ahamd. Aku tidak mahu mengulas dan menyentuh hal-hal yang berkaitan dengan hal agama kerana aku amat sedar tentang kelemahan dan kejahilan  aku dalam hal itu.

Aku sudah agak lama tidak mengikuti perkembangan Saudara Kassim Ahmad dalam hal-hal sastera. Malah aku amat berbangga dengan kejayaan beliau. Banyak perkara yang boleh dibanggakan mengenai Saudara Kassim Ahmad. Seorang intelek Melayu yang sukar mencari galang gantinya. Antara anak Melayu awal yang berjaya menjejakkan kaki di menara gading dan antara anak Melayu yang awal menjadi pensyarah di School of Oriental and African Studies (SOAS), Universiti London. 

Saudara Kassim pernah ‘menggoncang’ dan ‘mengocak’ suasana di negara ini apabila beliau ‘mengagungkan ‘ Hang Jebat yang dianggapnya sebagai wira yang dengan sendirinya menafikan ‘kehebatan’ Hang Tua sebagai wira Melayu. Kesannya agak besar pada ketika itu disebabkan pemikiran feudal masyarakat Melayu sentiasa mengagungkan Hang Tuah yang sentiasa taat setia kepada raja. Saudara Kassim seolah-olah telah mempersoalkan ketaatsetiaan orang Melayu itu. Lantas beliau merasakan bahawa tindakan Hang Jebat adalah bertepatan sebagaimana yang dikisahkan dalam buku Hikayat Hang Tuah itu.

Kassim Ahmad juga pernah ‘mengejutkan’ ramai orang apabila beliau mengungkapkan ‘Tuhan telah mati’ berasaskaan sajak beliau berjodol ‘ Sidang Roh’. ‘Riuh-rendah’  juga buat seketika sehingga dijelaskan oleh Saudara Kassim sendiri sebagaimana yang dijelaskannya melalui temuramahnya dengan Dewan Sastera. Beliau menjelaskan bahawa, Nanti akan padamlah, lampu di menara tinggi, kerana di bawahnya orang kian mabuk, dan tuhan telah mati. Ini saya petik daripada Nietzsche. Maksudnya, ajaran Tuhan itu sudah tidak ada dalam masyarakat kita. Dalam masyarakat yang begitu, maka tuhan telah mati. Sajak itu mesti dibaca secara keseluruhan, barulah maknanya akan didapati’

Apabila aku renung ucapan Saudara Kassim yang disampaikannya pada 16 Februari, 2014 di dewan Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, aku dapati ada juga kebenaran dan lojiknya. Dia mengatakan bahawa,

Orang Islam berjumlah 2.1 bilion di seluruh dunia. Bolehkah kita katakan mereka semuanya mengikut cara hidup Islam yang sebenar? Sekiranya benar, umat Islam hari ini harus berada pada kedudukan nombor 1 dalam dunia, seperti yang berlaku dalam sejarah. Sejarah mencatat dalam zaman pemerintahan Uthman Ibni Affan, khalifah Islam ke-3, setelah 60 tahun Nabi Muhammad wafat , orang Arab yang tidak terkenal itu melonjak naik  menjadi kuasa nombor satu dalam dunia, mengalahkan Empayar Parsi dan sebagian besar Empayar Baizantium, dua kuasa besar dunia pada zaman itu. [7]Tetapi umat Islam sekarang duduk di bawah daripada Britain, Perancis,  Amerika Syarikat, Rusia, China dan India, semuanya negara bukan Islam.”

Antara punca dan sebab terjadi sedemikian, mengikut kata Saudara Kassim adalah disebabkan, ‘Mereka mendewa-dewakan pemimpin ugama yang mereka anggap maksum dan yang telah memutuskan semua soalan dalam kehidupan mereka – apa yang dikatakan ‘penutupan pintu ijtihad’. Dalam puak ahli sunnah wal jamaah, empat pemimpin besar boleh dikenal pasti, iatu : Imam Shafi’e (767-820), Imam Hanafi (699-767), Imam Hanbali (780-855) dan Imam Maliki (711-795). Dalam mazhab Syiah, mereka ada imam-imam mereka pula. Imam-imam ini telah mereka dewa-dewakan berlawanan dengan perintah Tuhan melarang pendewaan seseorang pemimpin atau sarjana, dan, malah, berlawanan dengan ajaran imam-imam besar itu sendiri.

Dan apabila beliau menyentuh tentang negara Malaysia pula, beliau mengatakan bahawa, “Negara kita Malaysia, walaupun dikatakan negara Islam, sebenarnya mengamalkan sistem liberalisme. Mengikut kata Kerajaan Pusat, ekonomi Malaysia baik dengan pengangguran sifar dan peratusan inflasi pada tahap minima. Namun demikian, Malaysia boleh dikatakan tiap-tiap hari menunjukkan ketegangan antara kaum dan agama……..


Dalam hal ini aku hanya berani mengemukakan pendapat Saudara kassim Ahamd tanpa menyebelahi mana-mana pihak. Dilihat dari segi rasional dan lojik maka apa yang dikatakan oleh Saudara kassim boleh membuka minda masyarakat Islam yang berada di Malaysia. Maksud aku boleh dijadikan bahan perbincangan.

Dan yang menariknya juga ialah bahawa pendapat dan saranan yang diutarakan oleh Saudara Kassim hampir sama dengan pendapat yang dikemukakan oleh Saudara Mustafa Akyol dari Turkey dalam hal-hal tertentu. Mengikut berita Malaysiakin ( Feb 19 2014) yang berjodol, “ Rulers, scholars can be challenged under Islam’ Mustafa Akyol dari Turkey  mengatakan bahawa,’In Islam, it is not wrong to question the authorities as neither governments nor rulers are sacred ……..Law is sacred. A ruler should abide by the law and if he doesn't, you have the right to question him,"

Kesimpulan yang aku dapat buat berasaskan kepada pendapat dua orang cendikawan ini ialah bahawa masyarakat Islam di Malaysia harus bersifat terbuka dalam menangani isu sebegini. Maksudnya hanya dengan minda yang agak terbuka saja baru kita dapat menyelesaikan apa saja masalah yang kusut ini. Hasrat JAKIM untuk menjemput Saudara Kassim untuk berbincang dan menyelesaikan masalah berbangkit adalah langkah yang wajar dan terpuji. Itulah cara yang sesuai dan berkesan berbanding dengan cara dan tindakan  ‘barbarous’ yang pernah dilakukan oleh NGO-NGO yang menggunakan nama Islam baru-baru ini.

abuhassanadam
20 Februari 2014


Wednesday, February 19, 2014

MENGAPA TUN MAHATHIR BEGITU MEMBIMBANGI DS ANWAR IBRAHIM….

Banyak boleh diperkatakan sebab-sebab mengapa Tun Dr. Mahathir begitu bimbang dengan kehadiran DS Anwar Ibrahim
(dimana-mana saja). Banyak sebabnya…. Namun sebagai rakyat Malaysia yang beradab, ramai yang tidak mahu mendedahkan hakikat itu memandangkan Tun Dr. Mahathir adalah sebagai ‘orang tua’ dan pemimpin yang banyak memberikan sumbangan kepada negara ini walaupun pada akhir-akhir ini mula dipersoalkan oleh rakyat terbanyak tentang keikhlasannya.

Aku pasti bahawa DS Anwar Ibrahim juga banyak yang dia tahu  tentang Tun Dr. Mahathir. Maksud aku rahsia yang tersembunyi yang hanya diketahui oleh Tun Mahathir dan DS Anwar sahaja. Tentulah banyak yang boleh didedahkan oleh DS Anwar sepanjang ‘persahabatan’ mereka menerajui kerajaan selama lebih kurang 18 tahun (1981-1998), sekiranya beliau mahu berbuat begitu. Pendek kata bahawa Tun Mahathir bukannya ‘malaikat’ yang kesemua tindakannya tidak langsung boleh dipersalahkan.

Atas faktor itu jelas memperlihatkan kepada rakyat terbanyak bahawa sememangnya insan yang tahu ‘hukum-hakam’ dan ‘dosa-pahala’ seperti DS Anwar Ibrahim itu tidak akan bertindak mengaibkan seseorang kepada masyarakat umum apatah lagi melakukan dosa memfitnah seseorang sepertimana yang diperlakukan ke atasnya. Tidak pernah dilihat sebelum ini oleh masyarakat Melayu beragama Islam suatu penghinaan sedemikian yang dikenakan ke atas seorang pemimpin bertaraf Timbalan Perdana Menteri.

Pengakuan oleh bekas pegawai khas Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak berapa lama dahulu yang mengakui terlibat secara langsung dalam rancangan konspirasi fitnah kes liwat 1 pada 1998 mengaitkan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan gambaran jelas tentang fitnah yang dilemparkan ke atas beliau..Pengakuan itu dibuat secara terbuka di hadapan ribuan rakyat pada ceramah Pakatan Rakyat di Taman Medan, Petaling Jaya pada suatu ketika dahulu.



Mungkin juga Dr. Mahathir tidak terfikir bahawa kesan ke atas penghinaan ke atas DS Anwar Ibrahim itu begitu mendalam di hati orang Melayu sehingga kini. Orang UMNO mula berpecah, terbahagi kepada dua. Satu memihak kepada Tun Dr. Mahathir dan satu pihak memihak kepada DS Anwar Ibrahim. Perpecahan dalam UMNO bermakna juga perpecahan orang Melayu, kerana orang Melayu ramai yang menganggotai UMNO pada ketika itu dan menganggap UMNO itu betul-betul mmeperjuangkan orang Melayu.

Orang Melayu betul-betul dalam dilemma. Mereka sayangkan kedua-dua pemimpin – Mahathir dan Anwar. Tetapi disebabkan oleh keadaan yang memaksa mereka menentukan sikap, maka dengan berat hati mereka terpaksa mengambil sikap memihak. Ada yang memihak kepada Anwar dan begitu juga yang memihak kepada Dr. Mahathir. Bermulanya perpecahan orang Melayu. Yang memikirkan tentang ‘periok nasi’ mahu tak mahu, dengan berat hati ahli-ahli UMNO terpaksa ‘ meninggalkan ‘ Anwar dan menjadi pengikut taat setia kepada Dr.Mahathir, walaupun dalam hati dan perasaan mereka sentiasa mengatakan bahawa ‘ Anwar tidak bersalah…”

Pengikut DS Anwar masih ramai. Malah dalam UMNO sendiri pengikut beliau masih ramai, masih membisikan kata-kata ‘Anwar tidak bersalah’. Tun Mahathir tahu tentang hal ini. Beliau tahu dan dapat merasakan denyut nadi orang Melayu bahawa mereka masih sayangkan Anwar. Tun Mahathir juga tahu bahawa ramai ahli UMNO yang kini seolah-olah berjuang ‘bermati-matian’ untuk UMNO akan berpindah taat setia mereka kepada DS Anwar apabila sampai masanya nanti. Tun Mahathir faham bahawa ramai yang berada dalam UMNO sekarang pun adalah disebabkan faktor ‘cari makan’.

Dengan demikian, Tun Mahathir akan sentiasa berada ‘disamping Anwar’ ke mana saja Anwar berada. Tun Mahathir dapat membaca kesannya sekiranya DS Anwar menerajui negeri Selangor nanti. Tun Mahathir pastinya tidak mudah lupa tentang hasrat DS Anwar memperkenalkan ‘Ombudsman’ yang merupakan usaha ‘check and balance’ terhadap para menteri dan pegawai kerajaan yang rasuah dan menyeleweng pada tahun-tahun 1990an dulu. Dan Tun Mahathir tidak lupa tentang tindakan yang dilakukan oleh DS Anwar membenteras kegiatan rasuah ketika beliau menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri selama dua bulan semasa ketiadaan Tun Mahathir. Tun Mahathir dan kroninya juga tahu sekiranya ‘dibiarkan’ DS Anwar ‘berleluasa’ dengan tindakannya membenteras kegiatan rasuah dikalangan menteri dan pegawai tinggi kerajaan itu maka mereka bimbang ada kemungkinan kerajaan Malaysa terpaksa membina sebuah lagi penjara di Malaysia!!……

Tun Mahathir tahu ‘penangannya’…….

Rakyat Kajang harus tahu juga tentang ‘penangannya’ itu. Rakyat yang tahu ‘penangan’ DS Anwar Ibrahim itu pasti akan mengundinya dalam PRK Kajang yang diadakan tidak lama lagi. Anak muda perlu bertanya kepada mereka yang lebih tahu tentang ‘penangan’ DS Anwar Ibrahim itu.

abuhassanadam
19 Februari 2014