Thursday, November 19, 2015

HASAN ARIFIN : ”CARI MAKAN…”

            Walau apa pun alasan yang diberikan oleh YB Hasan Arifin selaku Pengerusi  Public Accounts Committee (PAC) mengenai kenyataannya yang berbunyi,’ jangan la saya pun nak cari makan jugak’ masyarkat tetap memandang yang beliau semacam tidak ‘serious’ dalam melaksanakan tugasnya sebagai Pengerusi PAC yang mengendalikan isu IMDB yang merupakan ‘malapetaka’ yang bukan kecil yang sedang melanda negara kini.

            Sikap acuh tak acuh yang dipamerkan itu memberikan gambaran dan makna bahawa penyelesaian masalah IMDB tidak akan sampai ke mana. Memberikan gambaran juga bahawa isu yang amat penting kepada rakyat ini akan ‘dilenyapkan’ lambat laun. Memberikan gambaran juga bahawa pemimpin  seperti YB Hasan Arifin tidak tahu menilai yang mana isu penting dan yang mana yang tidak penting untuk ditangani.

            Pemimpin negara sedar bahawa rakyat tidak mampu berbuat apa-apa untuk membetulkan keadaan pentadbiran yang ada, apatah lagi untuk menukar kerajaan yang memerintah. Mereka sedar bahawa rakyat hanya mampu ‘memekik dan melolong’ seperti ‘anjing menyalak bukit sedangkan bukit tidak akan runtuh’. Mereka sedar juga bahawa rakyat luar bandar dan kawasan Felda akan dapat ‘dijinakkan’ dengan ‘gula-gula’ BRIM yang akan diberikan untuk ‘menidur dan melenakan’ mereka.

            Lantas para pemimpin negara akan membuat apa saja seperti kata peribahasa datuk nenek kita, ‘ beraja di hati dan bersultan di mata’. Kerajaan mengenakan cukai GST dan mendapat ‘tentangan’ yang bukan kepalang dari rakyat yang menderita ekoran daripada pengenalan cukai berkenaan. Rakyat terus ‘menyalak dan menyalak namun bukit tidak runtuh juga’
Rakyat ‘menyalak’ lagi apabila tol-tol di setengah lebuhraya dinaikkan. Ada beberapa tindakan dilakukan namun hasrat kerajaan untuk menaikkan harga tol terus dilaksanakan juga.

            Kadang-kadang mahu rasanya kita mengatakan bahawa para pemimpin negara kita semacam tidak ‘berhati perut’. Apa tidaknya. Apakah mereka tidak sedar tentang derita yang dilalui oleh rakyat yang berpendapatan rendah untuk ‘menyambung kehidupan’ mereka setiap hari. Dan bandingkan dengan kehidupan yang dilalui oleh mereka yang begitu mewah kehidupannya.

            Kadang-kadang aku terfikir juga tentang ke manalah arah negara ini akan dibawa dan di manalah agaknya titik noktahnya. Dalam keadaan negara yang menghadapi ‘tekanan’ ekonomi yang begitu meruncing, para peimpin kita terus menerus ‘bermewah-mewahan’ dan berbelanja seolah-olah tidak ada ‘tanah tepi’nya. Istilah berjimat hanya ditujukan kepada rakyat jelata yang menderita sedangkan golongan mereka berterusan bermaharajalela membelanjakan wang negara.

            Persidangan Agung UMNO (PAU) akan diadakan di ibu negara tidak lama lagi. Disana nanti akan dapatlah kita melihat lagak dan sikap ‘the rich and famous’ berbelanja dan mempamerkan kekayaan yang mereka miliki. Aku turut ‘berbangga’ melihat tentang kekayaan yang dimilki oleh bangsa sejenis aku (Melayu) tetapi aku merasa hiba mengenangkan hanya segelintir Melayu saja yang dapat menikmati kekayaan di negara ini.

            Akan bertumpulah para ‘pemimpin’ negara ala Hasan Arifin di Pusat Dagangan Dunia Putera untuk membincangkan ‘isu-isu besar’ yang membabitkan rakyat dan negara. Dan akan kedengaranlah ucapan yang berapi-rapi disamping gelak ketawa sumbangan ‘raja lawak’. Dan akan tercetuslah beberapa resolusi yang bertujuan untuk memajukan Melayu sedangkan keadaan orang Melayu masih terkebelakang berbanding dengan bangsa lain di negara ini.

            Namun begitu aku merasakan bahawa rakyat masih tidak berputus asa dan mengharapkan sesuatu akan menjelma.

            Tak akan lari gunung dikejar, hilang kabus nampaklah ia……..

abuhassanadam
19 November 2015
London


Wednesday, November 18, 2015

ISU JAMIL KHIR:  CARA BERFIKIR DITAKUK LAMA

            Aku petik kenyataan YB DS Jamil Khir Baharom mengenai kursus-kursus yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu ketika lawatan rasminya ke Amerika Syarikat selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 – 29 Mei 2014. Yang ingin aku perkatakan ialah tentang kursus-kursus tertentu yang dianjur seperti
·      Simposium Perdana Perkahwinan Kekeluargaan,
·      Kursus Pra Perkahwinan bagi membantu pelajar-pelajar memenuhi syarat perkahwinan JAWI
·      Kelas Pengajian untuk isteri-isteri dan Kakitangan Wanita Kedutaan
·      menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang yang tidak berkemampuan dan
·      pertemuan bersama usahawan-usahawan Malaysia
·      acara golf yang dikelolakan secara bersama dengan pihak Kedutaan Malaysia AS di Washington yang saya turut terlibat bersama TYT Duta dan kakitangan kedutaan.
Kononnya, mengikut kenyataan YB Menteri berkenaan Mid West Game yang dianjurkan itu telah menghimpunkan lebih 1000 orang pelajar daripada Amerika Syarikat dan Kanada. Menurut Akmal pula, jumlah keseluruhan perbelanjaan sepanjang empat hari itu berjumlah RM410,978 dan kemudiannya beliau membuat semakan semula dengan menganggarkan sebanyak RM590,000 untuk delegasi 100 orang. (Malaysikini 15 November 2015).

            Seingat aku, semenjak tahun-tahun 1980an lagi inilah rupa program yang disediakan oleh pihak tertentu untuk pelajar Malaysia (Melayu) yang berada di luar negara samada di Amerika Syarikat ataupun di United Kingdom. Aku tidak mengatakan yang kursus seperti yang tersenarai di atas tidak penting. Cuma yang ingin aku persoalkan ialah apakah kursus seperti itu perlu diadakan di Amerika Syarikat yang menelan belanja lebih kurang setengah juta ringgit. Dan NOW juga ada menyebut bahawa sejumlah wang RM 490,000 telah dibelanjakan untuk kursus perkahwinan di Paris.

            Dalam Kurun ke 21, rupa-rupanya cara berfikir dan tindakan pegawai-pegawai kerajaan Malaysia masih tidak berubah dalam hal sebegini. Aku ingin juga mempersoalkan tentang penting benarkah kursus-kursus yang perlu dianjurkan untu para pelajar Malaysia di Amerika Syarikat sehinggakan terpaksa membawa delegasi seramai 100 orang dari Malaysia. Apakah serious benarkah keadaan pelajar di luar negara kini sehinggakan perlu ‘mengimport’ ‘pakar-pakar’ dalam bidang agama dari Malaysia. Apakah peranan pegawai ( ‘attache’) yang bertanggugjawab dalam hal agama sudah tidak dapat menjalankan peranannya.

            Satu perkara lagi yang menghairankan  aku ialah tentang penglibatan pegawai-pegawai agama dalam temasya sukan Mid West Game yang menghimpunkan lebih 1000 orang pelajar daripada Amerika Syarikat dan Kanada. Apakah penganjuran sukan sebegini juga perlu disertai oleh pegawai agama dari Malaysia. Apakah tugas Menteri Pendidikan Malaysia sudah diambil alih oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri!!...

            Aku merasakan bahawa dalam mengharungi Kurun ke 21 ini negara meletakkan harapan yang begitu tinggi kepada para pelajar khususnya  yang berada di luar negara untuk membawa perubahan yang bersesuaian dengan perkembangan zaman. Sekiranya pemikiran pelajar (Melayu khususnya) masih berada ditakuk lama, berfikiran secara ‘kekampungan’ ( aku tidak menghina orang kampung kerana aku sendiri anak kampung jati), maka kita akan terus menerus melahirkan ‘Jaguh Kampung”.

            Kisah pelajar Melayu yang hanya berinteraksi dengan pelajar Melayu (dan tidak dengan pelajar dari lain negara) di luar negara masih kedengaran lagi dan tidak kelihatan usaha yang bersungguh-sungguh untuk ‘menyelesaikan’ masalah sebegini. Dan kisah pelajar-pelajar luar negara yang tidak boleh berbahasa Inggeris dengan baik juga menjadi topik hangat yang telah diperbincangkan puluhan tahun. Apakah para  pegawai agama Islam yang perlu dihantar ke Amerika Syarikat untuk menyelesaikan masalah sebegini?

            Sehubungan dengan ini juga ingin aku menyorot kembali usaha gigih yang dilancarkan oleh UKEC (United Kingdom Excecutive Council )  yang diterajui oleh Saudara Adlan Benan Omar (arwah) dan Saudara Rafizi Ramli (sudah jadi YB Pandan) mengadakan satu simposium antarabangsa dengan melibatkan badan-badan antarabangsa seperti Pertubuhan Komanwel, yang diadakan di London pada tahun 1997.

            Amat aku bangga pada ketika itu melihatkan ‘anak-anak’ kita (bangsa Malaysia dari semua keturunan) bekerjasama untuk mengukuhka perpaduan dikalangan rakyat Malysia disamping menebus marwah bangsa agar bangsa Malaysia setanding dengan bangsa-bangsa lain yang maju didunia. Aku tidak tahu samada usaha yang sedemikian berterusan sehingga kini dilakukan oleh anak-anak pelajar di United Kingdom khususnya dan di tempat-tempat lain amnya.

            Seingat aku pelajar-pelajar di United Kingdom pada ketika itu tidak pula mengabaikan tentang kepentingan agama yang harus diokong oleh para pelajar. Dan pada ketika itu mereka mendapat kerjasama yang paling erat daripada Ybhg Dato Harun Din, Dato’ Abu Hassan Din Al Hafiz dan Ustaz Mohd Daud Che’Ngah. Dan perbelanjaan yang diperlukan juga amat minima.

            Diharapkan para pelajar bersedia untuk anjakan paradigma dan janganlah masih berpaut di ‘takuk lama’.

abuhassanadam
18 November 2015

London

Tuesday, November 17, 2015

RAKYAT MALAYSIA HILANG KEYAKINAN

            Kadang-kadang aku terfikir bahawa seolah-olah sebahagian besar rakyat Malaysia kini telah hilang keyakinan terhadap diri disebabkan hilang keyakinan terhadap kepimpinan negara. Mungkin itu hanya persepsi aku sahaja. Tetapi berdasarkan beberapa perkembangan dalam negara kini memberikan  petunjuk bahawa rakyat Malaysia umumnya merasakan ‘diri’ mereka amat ‘kecil’ berbanding dengan negara-negara lain. Jangankan untuk dibandingkan dengan negara-negara Eropah atau Amerika malah dengan negara-negara di kawasan Asia Tenggara pun kita sudah awal-awal ‘mengaku kalah’.

            Sebenarnya bangsa Malaysia bukanlah terlalu ‘lekeh’ untuk meletakkan diri di peringkat antarabangsa, walau dalam bidang apa sekali pun. Telah terbukti oleh sejarah menunjukkan bahawa bangsa Malaysia adalah bangsa yang boleh maju kehadapan setanding dengan bangsa-bangsa lain. Dalam bidang apa sekalipun. Dan sekiranya tidak ada keyakinan yang sedemikian, tentulah Dr. Mahathir, ketika menjadi Perdana Menteri telah mensasarkan yang Malaysia boleh menjadi sebuah negara maju dalam tahun 2020.

            Kini harapan untuk merealisasikan wawasan demikian semacam sudah ‘berkecai’, apatah lagi apabila melihatkan sikap kepimpinan negara yang semacam tidak mempedulikan hasrat rakyat dan negara. Seolah-olah pemimpin negara kini hanya mengamalkan apa yang dinamakan ‘pat…pat.. siku lipat, siapa cepat dia dapat’. Dan kepentingan rakyat dan negara seolah-olah diketepikan. Dan berkemungkinan juga ‘wawasan 2020’ hanya ‘tinggal kenangan’ dalam liptan sejarah.

            Hanya empat tahun sahaja lagi untuk mencapai wawasan berkenaan. Sepatutnya tahap keyakinan rakyat Malaysia untuk mencapai wawasan berkenaan sudah mula ‘memuncak’. Maknanya sudah bersedia untuk meletakkan diri sebagai rakyat sebuah negara maju. Tetapi dengan beberapa perkembangan yang berlaku dalam negara telah menyebabkan rakyat Malaysia hilang semangat dan hilang keyakinan terhadap diri.

            Pemimpin negara kini tidak harus menyalahkan rakyat yang menyebabkan keadaan sebegini. Kerenah pemimpinlah yang menyebabkan rakyat tidak bersemangat dan menjadi lemah. Terlalu banyak ‘penyakit’ yang berpunca dari pemimpin negara yang ‘dideritai’ oleh rakyat. Apabila disebut sahaja perkataan ‘LEMBU’ rakyat sudah dapat menangkap tentang apakah ‘barah’ yang dideritai oleh rakyat. Begitu juga dengan ‘2.6 billion’ telah melemah-longlaikan perasaan rakyat Malaysia. Dan baru-baru ini telah muncul satu lagi ‘imej’ baru berkaitan dengan rombongan lawatan Menteri dan Jabatan perdana Menteri ke Amerika pada tahun 2014 yang boleh melonglaikan semangat rakyat Malaysia. Terlalu bayak isu yang ‘dicetuskan’ oleh pemimpin negara yang menyebabkan rakyat Malaysia (yang sedar) begitu marah dan ‘menyinga’ sedangkan para pemimpin negara terus menerus ‘buat derk’ dan ‘mengaut’ apa sahaja yang boleh ‘dikaut’.

            Ekoran dari tindakan pemimpin yang sedemikian telah memberikan kesan amat buruk kepada rakyat dan negara. Aku ingin mengambil contoh yang paling dekat dengan hati dan perasaan rakyat Malaysia. Kekalahan pasukan bola sepak ‘Harimau Malaya’ ditangan Palestin dan negara Arab yang ‘luar biasa’ adalah satu contoh yang menunjukkan bahawa semangat pemain-pemain luntur disebabkan suasana negara yang amat muram dan tidak memberangsangkan langsung.

            Aku tidak pula mahu mengatakan yang para pemain dan pengurusan FAM tidak perlu dipersalahkan. Mereka mesti dipersalahkan.Namun untuk meletakkan kesalahan itu kepada bahu pemain dan Jurulatih semata-mata tentulah tidak adil juga tanpa mengambil suasana ‘muram’ negara kini (akibat kerenah beberapa pemimpin kerajaan) yang mempengaruhi perasaan pemain-pemain yang menyebabkan mereka hilang semangat.

            Sejarah juga menunjukkan bahawa dalam lapangan sukan bola sepak, Malaysia tidaklah ‘selekeh’ mana. Tahun-tahun 1950an kita berbangga dengan Ghani Minhat. Dan dalam tahun-tahun 1960an kita ada Abdullah Nordin, Ahmad Nazari, Yusuf Bakar dll. Tahun 1970an yang merupakan zaman kegemilangan bola sepak kita, telah muncul ‘bintang-bintang’ yang bergemerlapan seperti Mokhtar Dahari, Soh Chin Aun, Santokh Singh dan ramai lagi. Kemunculan Malaysia di arena antara bangsa dalam lapangan sukan bola sepak adalah disebabkan semangat juang yang begitu tinggi terutama apabila diterajui oleh tokoh yang betul-betul gigih memperjuangkan sukan berkenaan sepertu Tunku Abdul Rahman dan Dato Harun Idris.

            Dalam lapangan badminton, nama Malaysia juga sentiasa harum dalam tahun-tahun 1940an,1950an dan 60an. Pemain Malaya (Malaysia) seperti Wong Peng Soon, Eddy Choong sentiasa digeruni. Pertengahan 1960an, 70an dunia badminton telah dikuasai oleh Indonesia. Malaysia tidak putus asa. Berpasakkan semangat juang yang berkobar-kobar yang direstui oleh Tun Siti Hasmah (isteri Perdana Menteri ketika itu) kita berjaya merampas kembali Thomas Cup pada tahun 1993. Menunjukkan bahawa semangat juang pemain dipengaruhi oleh suasana kepimpinan negara juga.

            Jelas menunjukkan bahawa semangat dan keyakinan diri merupakan elemen yang cukup penting  dalam apa juga lapangan yang diceburi. Dan untuk mengukuhkan keyakinan diri ini tentunya tertumpu kepada tindakan pemimpin negara dalam mentadbir dan menggerakkan rakyat di negara ini.

            Telah banyak kali ditegaskan melalui blog (yang tak sepertinya ) ini bahawa keyakinan rakyat begitu memuncak zaman pentadbiran Dr. Mahathir. Ke mana saja kita pergi di pelusuk dunia ini, nama Malaysia sentiasa harum. Rakyat Malaysia sentiasa ‘walking tall’ samada di Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu atau di Persidangan UNESCO di Paris atau pun di persidangan KOMANWEL. Pendek kata ke mana sahaja rakyat Malaysia berada, kita sentiasa disanjungi.

            Kadang-kadang kita merasa malu juga mengenangkan sebuah negara kecil seperti Singapura telah berjaya meletakkan dirinya setanding dengan negara-negara maju lain seperti Amerika dan negara-negara Eropah lain. Malah boleh dikatakan bahawa Singapura sudah hampir mendahului negara berkenaan dalam bidang-bidang tertentu.

            Puncanya ialah kepimpinan negara yang tidak rasuah dan betul-betul menumpukan perhatian ke arah memaju dan membangunkan bangsa.

abuhassanadam
17 November 2015
London



Monday, November 16, 2015

YB DS JAMIL KHIR BAHAROM: “ENGKAU GARU BELAKANG AKU…”

            Seronok juga aku mengkiuti kisah YB DS Jamil Khir Baharom  Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertelagah dengan Saudara Akmal Nasir, Pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) berkaitan dengan lawatan rombongan menteri berkenaan ke Amerika Syarikat pada 21 hingga 29 Mei 2014.

            Menteri berkenaan telah didakwa menyalahgunakan duit untuk anak yatim dan miskin bagi membiayai perjalanan ke luar negara bersama isteri, main golf dan lawatan ke pusat membeli belah. Itu kata NOW. Bukan ‘tugas’ aku untuk menyatakan betul tidaknya dakwaan sedemikian.
            Mengikut kata YB DS Khir Bahrom pula, pemergianya  ke Amerika Syarikat  adalah untuk  “…beberapa program besar telah diatur dan dilaksanakan” Ini termasuklah, “…..Simposium Perdana Perkahwinan Kekeluargaan…. Kursus Pra Perkahwinan bagi membantu pelajar-pelajar memenuhi syarat perkahwinan JAWI, Kelas Pengajian untuk isteri-isteri dan Kakitangan Wanita Kedutaan; ……pertemuan bersama usahawan-usahawan Malaysia….. beberapa acara sukan telah dianjurkan oleh Education Malaysia (EM) di Indianapolis termasuklah acara golf yang dikelolakan secara bersama dengan pihak Kedutaan Malaysia AS di Washington yang saya turut terlibat bersama TYT Duta dan kakitangan kedutaan.”
            Kononnya, mengikut kenyataan YB Menteri berkenaan Mid West Game yang dianjurkan itu telah menghimpunkan lebih 1000 orang pelajar daripada Amerika Syarikat dan Kanada. Menurut Akmal pula, jumlah keseluruhan perbelanjaan sepanjang empat hari itu berjumlah RM410,978 dan kemudiannya beliau membuat semakan semula dengan menganggarkan sebanyak RM590,000 untuk delegasi 100 orang. (Malaysikini 15 November 2015).
            Lagi sekali aku tak mahu campurtangan dalam hal ini. Maksud aku siapa salah dan siapa betul. Tetapi aku yakin kerajaan Malaysia ‘tidak ada halangan’ dalam meluluskan perbelanjaan yang begitu besar (pada perkiraan rakyat miskin di luar bandar dan kawasan FELDA). Dan mungkin pada anggapan ahli kabinet (yang sepatutnya mendapat kelulusan kabinet), perbelanjaan sedemikian hanyalah perbelanjaan yang munasabah. ‘Ikan bilis!!. Berbanding dengan peruntukan-peruntukan lain yang diluluskan oleh Kabinet yang jauh lebih besar dari jumlah itu. Dengan sebab itulah agaknya YB Menteri begitu yakin dengan tindakan undang-undangnya terhadap NOW. Agaknya lah…..
            Cuma yang aku ingin perkatakan disini sebagai rakyat Malaysia (dibawah cengkaman GST dan kenaikan harga tol dan berbagai cukai yang lain), program yang dijalankan di Amerika Syarikat itu terlalu besar. Mungkin pada pandangan setengah pihak program itu amat berfaedah, tetapi sebagai Menteri yang bertanggungjawab harus tahu ‘priority” dan keutamaan. Yang mana yang harus diutamakan. Mengikut ‘tertibnya’. Macam ambil air sembahayang juga. Yang mana yang patut didahulukan. Basuh muka dulu, lemudian tangan dan seterusnya….”
            Membawa 100 orang (kalau betullah sebagaimana yang didakwa oleh Saudara Akmal Hisham dari NOW) ke Amerika Syarikat itu amat besar perbelanjaannya. Tambang kapalterbang dan penginapan sudah cukup ‘menggerunkan’ yang tahu tentang selok belok perbelanjaan pegawai ke luar negara. Itu belum lagi dikira perbelanjaan makan dan minum (dan lain-lain perbelanjaan) yang harus ditanggung oleh kerajaan.
            Ada beberapa persolaan lain yang ‘menendang’ benak kepala aku berkaitan dengan lawatan rasmi rombongan YB Menteri DS Jamil Khir ini.
·      Mengapa sampai 100 orang yang harus pergi mengikuti rombongan ini? Untuk apa ramai sangat. Mungkin itu yang dipersoalkan oleh Saudara Akmal Hisham dan rakyat Malaysia lain. Ini bukan kontingen sukan SEA.
·      Kenapa perlu dihimpunkan 1000 orang pelajar dari seluruh negara Amerika dan Kanada? Negara Amerika tu besar. Dan untuk seorang pelajar dari Los Angeles ke Indianapolis tu amat jauh perjalanannya dan tentunya menelan perbelanjaan yang begitu besar. Dan pastinya perbelanjaan tambang menambang ditanggung oleh kerajaan. Takkanlah pelajar menggunakan wnag biasiswa mereka untuk hal-hal yang sebegini. Tidak munasabah.
·      Aku tak dapat mempastikan samada program yang dianjurkan itu perlu diutamakan dan penting sangat kepada pelajar-pelajar. Misalnya “…..Simposium Perdana Perkahwinan Kekeluargaan…. Kursus Pra Perkahwinan bagi membantu pelajar-pelajar memenuhi syarat perkahwinan JAWI, Kelas Pengajian untuk isteri-isteri dan Kakitangan Wanita Kedutaan; ……pertemuan bersama usahawan-usahawan Malaysia….. dan acara golf yang dikelolakan secara bersama dengan pihak Kedutaan Malaysia AS di Washington yang saya turut terlibat bersama TYT Duta dan kakitangan kedutaan.”
            Mungkin apa yang dilakukan oleh YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu tidak menjadi halangan kepada pihak kerajaan Malaysia memandangkan menteri-menteri lain juga berbuat demikian, namun dari segi moral dan sifat keperihatianan terhadap penderitaan yang dialami oleh rakyat Malaysia tentulah amat tidak wajar agaknya sikap yang ditunjukkan oleh seorang Menteri Agama Islam yang sentiasa menyeru kepada kesederhanaan dalam apa juga tindakan.
            Agaknya begitulah……

abuhassanadam
London
16 November 2015