Wednesday, July 30, 2014

BALIK KAMPUNG: TIDAK ADA NOKTAH PENYUDAHNYA

Tahun 1980. Pernah pada ketika itu aku dan kawan-kawan berbincang pada suatu petang pada bulan Ramadan tentang hal balik kampung. Pada ketika itu kami merasakan bahawa ‘penyakit’ balik kampung akan berakhir apabila ‘budak kampung’ yang berada di Kuala Lumpur pada ketika itu sudah mempunyai anak cucu ( yang juga bekerja di Kuala Lumpur) dan apabila kedua ibu bapa di kampung sudah tidak ada lagi didunia ini. Dan pada ketika itulah ‘anak kampung’ ini akan berhenti balik ke kampung apabila menjelangnya Aidilfitri. Dan ‘anak kampung’ akan merayakan Aidilfitri bersama anak-anak di Kuala Lumpur. Itu anggapan ‘anak kampung’ pada tahun 1980.

Anggapan sedemikian rupanya meleset. Sehingga kini, ‘penyakit’ balik kampung kian merebak seolah-olah tidak ada ‘ubat’ yang boleh mengubatinya. Walau bagaimana hebat sekalipun ‘tarikan’ yang ada di Kuala Lumpur, namun tidak dapat menandingi ‘tarikan’ yang ada di kampung waktu Hari Raya. Malah kota London atau Sydney atau Los Angeles pun tidak dapat ‘menyekat’ anak kampung untuk pulang ke kampung menjelang Aidilfitri.

Bau lemang yang dibakar sudah cukup untuk menyegarkan ‘anak kampung’ yang baru pulang ke kampung. Apatah lagi apabila malam di desa diterangi dengan cahaya pelita panjut yang berbaris di halaman rumah kampung. Tegur sapa dan hilai ketawa Mak Ngah, Pak Long, Mak Long,Mak Usu, Pak Usu yang diselang selikan dengan ‘lawak kampung’ mereka sudah cukup untuk menghiburkan hati anak kampung yang setahun sekali menikmati ‘juadah’ sedemikian.

Tiga hari berada di kampung seolah-olah tidak memadai untuk ‘menyegarkan’ semula perasaan anak kampung. Seolah-olah belum puas menikmati lemang berlaukkan ‘Pindang Daun Seniye” Mak Cik Jah. Belum begitu terasa lagi ‘Halua Selimpat Betik’ Mak Cik Jerah. Dodol Pan Cu Lamah mesti dijamah, takut kalau-kalau dia berkecil hati. Kuih Kekaras Pan Ngah mesti dihabiskan untuk menyenangkan hati dan perasaannya apabila meninggalkan rumahnya. Sup tulang kerbau Pak Cu Dinah mesti dirasa juga.

Pada hari raya, rumah-rumah di kampung aku seolah-olah ‘tidak berpintu’. Setiap rumah akan sentiasa terbuka seolah-olah begitu bersedia untuk menyambut tetamu yang sudi hadir. Tidak perlu dijemput dan tidak perlu buat ‘appointment’. Boleh datang bila-bila masa saja. Tidak kira waktu. Akan tetap disambut dengan senyum riang dan gelak ketawa. Dan kedatangan tetamu bukan untuk makan atau untuk mendapatkan duit raya tetapi semata-mata untuk menziarahi kaum keluarga pada hari raya.

Suasana sebegitulah yang tidak ada di Kuala Lumpur, apatah lagi di London atau Sydney atau Los Angeles. ‘Jauh panggang dari api’. Izinkan juga aku menceritakan tentang bagaimana selama empat tahun aku merayakan Aidilfitri di kota London bersama-sama dengan pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di United Kingdom. Walaupun berada di perantauan aku cuba menimbulkan suasana Hari Raya di sana dengan menjemput pelajar-pelajar Malaysia dan rakan-rakan yang berada di sana untuk merayakan hari raya di kediaman aku.

Walau bentuk manapun hari raya dirayakan, namun tetap tidak sama dengan suasana hari raya di kampung. Hakikat ini telah diakui oleh anak-anak kampung yang berhijrah ke luar negara. Tidak akan tercapai kenikmatan menikmati hari raya itu dirantau orang. Walau mengalami ‘traffic jam’ seteruk mana sekali pun mereka akan tetap balik kampung. Disamping ‘panggilan dan lambaian’ emak ayah, hasrat untuk menikmati ‘Pindang Daun Seniye” Mak Cik Jah,  ‘Halua Selimpat Betik’ Mak Cik Jerah, Dodol Pan Cu Lamah, Kuih Kekaras Pan Ngah dan Sup tulang kerbau Pak Cu Dinah mengatasi segala-galanya.

Aku yakin tradisi Balik Kampung pasti tidak ada noktah penyudahnya.

abuhassanadam
30 Julai 2014



No comments:

Post a Comment