Friday, July 25, 2014

BERMUSUHAN: BUKAN ADAT DAN BUDAYA MELAYU TULIN

Kadang-kadang aku merasakan bahawa aku tidak dapat mempastikan bahawa aku dan beberapa orang yang ‘seangkatan’ dengan aku sesuai atau tidak berada dalam zaman ini. Kadang-kadang aku terfikir bahawa kami semacam sudah tidak sesuai dan cocok untuk berada dalam Kurun ke 21 kerana terdapat beberapa perbezaan yang jelas antara nilai yang kami anuti dengan nilai-nilai yang diamalkan oleh masyarakat Melayu kini.

kadang-kadang aku menyoal diri aku. Apakah aku yang bersalah yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan nilai dan pemikiran masyarakat Melayu kini? Dan apakah ajaran-ajaran dan nilai yang disematkan oleh ibu bapa kita dulu sudah tidak sesuai lagi dengan zaman kini. Dan hendak aku katakan bahawa budaya Barat banyak mempengaruhi pemikiran dan budaya Melayu kini, tidak pula ternampak begitu keadaannya. Agak lama juga aku berada di luar negara – beberapa buah negara. Dan tidak pula aku ternampak kepelikan yang sebegeini yang diamalkan oleh sekumpulan orang Melayu di Malaysia. SUKA BERMUSUHAN.

Bukanlah ramai yang berperangai sebegini. Namun disebabkan oleh segelintir kumpulan Melayu yang berperangai sedemikian, masyarakat Malaysia lain mula beranggapan yang negatif terhadap masyarakat Melayu. Dan mujur jugalah ramai golongan bukan Melayu yang faham bahawa sebahagian besar masyarakat Melayu di Malaysia masih rasional dalam tindak tanduk mereka terutama dalam hubungan dengan golongan bukan Melayu.

Yang anihnya hendak aku katakan bahawa perangai ‘suka bermusuhan’ ini diimport dari Barat, tidak pula orang Barat berperangai demikian. Dan hendak aku katakan yang berperangai ‘suka bermusuhan’ ini merupakan amalan pemuda Melayu, tidak juga begitu keadaannya. Hendak aku katakan bahawa perangai ‘suka bermusuhan’ ini amalan orang kampung yang tinggal di bandar, maka aku tentulah merenung diri aku, orang kampung totok tetapi tidak pula terlintas untuk bermusuhan dengan orang lain. Justeru tentulah aku tertanya-tanya, mengapalah terdapat sekumpulan kecil orang Melayu yang bersifat demikian.

Kumpulan kecil orang Melayu ini dapat aku katakan bahawa sememangnya suka bermusuhan. Suka bergaduh. Suka cari gaduh. Disebabkan isu dan masalah kecil maka mereka akan mencetuskan pergaduhan. Dan punca yang mencetuskan pergaduhan adalah timbul dari isu yang kecil. Remeh. Tidak masuk akal. Tidak lojik. Namun disebabkan oleh perangai dan sifat yang ‘suka bermusuhan’ mereka akan mencari sebab dan dalih untuk mencetuskan pergaduhan.

Kini golongan ini sudah menjadi bahan ketawa masyarakat Malaysia. walaupun masih ada juga ‘pengikut’nya yang membuta tuli merasakan tindak tanduk golongan ini wajar disokong. Dan mungkin juga agaknya, pengikut setia golongan ini mendapat upah dan bayaran untuk menjadi pengikut setia. Mungkin. Sekiranya tidak begitu keadaannya, takkanlah anggup menjadi ‘pengikut’ sehingga tidak dapat berfikir secara rasional, untuk membezakan yang benar dan yang salah. Dan apakah mungkin ada pula ‘tangan ghaib’ yang berperanan ‘menggerakkan’ kegiatan kumpulan ini supaya mengikut rentak dan rencana yang dirancang oleh mereka.

Aku terpanggil untuk menulis rencana sebegini didorong oleh tindakan setengah pihak yang menyokong tindakan yang agak biadab seorang anak muda terhadap orang tua ekoran daripada satu kemalangan jalan raya. Bagi aku yang turut menonton video berkenaan merasakan tindakan anak muda itu sememangnya tidak sesuai dan wajar. Walaupun anak muda itu gadis Melayu yang beragama Islam ( bertudung), namun aku sebagai orang Melayu tetap menyalahkan gadis Melayu berkenaan di atas tindakannya memaki hamun orang tua (Cina).

Bagi aku tindakan perempuan itu tetap salah. Samada dilakukan oleh orang Melayu ke, Cina ke, India ke, Belanda ke perbuatan yang agak biadab itu tetap salah. Aku yakin bahawa tidak akan ada masyarakat lain di dunia yang menyokong tindakan sedemikian. Tetapi yang anihnya ada pula kumpulan NGO di negara ini yang sedang mengumpulkan wang untuk membantu menyelesaikan denda yang telah diputusakn oleh pihak mahkamah. Maknanya pihak NGO sedemikian telah ‘bersekongkol’ dan menyetujui apa yang telah dilakukan oleh perempuan muda demikian. Maknanya bagi kumpulan NGO ini apa yang dilakukan oleh orang Melayu tidak boleh ‘disentuh’ walaupun perbuatan dan tindakan itu amat bertentangan dengan nilai-nilai yang diamalkan oleh manusia sejagat.

Aku ‘pening’ dan terus jadi ‘biul’ mengenangkan isu ini.

Sejak zaman berzaman, telah menjadi satu ‘pegangan’ bangsa-bangsa di dunia mengatakan bahawa orang Melayu adalah ‘peace-loving’ people. Bacalah buku-buku mengenai orang Melayu yang ditulis oleh penulis-penulis Barat tetap akan mengatakan bahawa orang Melayu itu adalah bangsa yang tidak suka bermusuhan walaupun sehingga sanggup menggadaikan tanah airnya.

Hussin Mutalib dan Ee Heok Kua dalam buku mereka berjodol,’ Islam in Malaysia: From Revivalism to Islamic State” ada menyatakan bahawa, “……Malaysians are generally a peace-loving people. We don’t want big changes to the values and traditions which we all practice. In the past, and I know this since I have been through all since independence, Malays, Chinese and Indians had no problems because we stuck to our constituional bargain and don’t want to impose our values on other people….”

Lantas aku terfikir bahawa disebabkan bangsa Malaysia adalah bangsa yang suka kepada keamanan, maka itulah merupakan amalan baik yang perlu dilakukan oleh kita dan anak cucu kita di negara tercinta ini. Sekiranya ada juga pihak-pihak yang cuba menelurkan perasaan permusuhan antara satu kaum dengan kaum lain, maka adalah menjadi tugas kita yang rasional ini untuk terus membiarkan ‘anjing-anjing yang terus menyalak bukit’ kerana kita amat yakin bahawa ‘bukit tidak akan runtuh’

Semoga falsafah Ramdan terus diamalkan oleh masyarakat Islam di Malaysia.

Abuhassanadam
25 Julai 2014


1 comment:

  1. Pak Abu, Saya telah menyangka bahawa apa yang saya terbaca semalam mengenai tindakan NGO (yang menjadi ‘hero”, tetapi tidak kena pada tempatnya!) akan mendapat reaksi drpd Pak Abu. Memang tepat jangkaan saya. Saya ber “empathy” dengan Pak Abu kerana sedih memikirkan masih ada orang-orang Malaysia yang bersikap kurang rasional. Sedih agaknya, sebagai rakyat yang menginginkan keamanan, kita sering disaji dengan berita-berita yang muram dan menyedihkan.

    Tidak bolehkah kita disajikan dengan berita-berita yang lebih memberangsangkan drpd isu-isu “kalau bukan agama mestilah kaum”, yang mirip orang yang tidak masuk sekolah (ya! dan sepatutnya golongan ini tidak harus wujud dalam zaman “mobile phone”, dan jangan menggunakannya, apatah lagi menggunakan “smart phone”!)

    Itulah modal mereka. Tidak bolehkah mereka membincang/mengkaji isu-isu yang membebankan rakyat sekian hari. Tidak bolehkah mereka memikirkan cara-cara untuk meningkatkan taraf hidup rakyat jelata tanpa mengira kaum?

    Mungkin mereka boleh bertanya mengapa harga halia sudah mencecah RM11 sekilo sekarang, dulunya RM5/ RM6) dan diimport pula dari Indonesia! Saya menganggap Indonesia sebuah negara yang cukup padat penduduknya; kawasan tanah pertanian amat terhad!

    ReplyDelete