Thursday, July 17, 2014

ORANG MELAYU TERGUGAT?.......

Ada dua tiga ‘kerat’ NGO yang terpekik dan terlolong ‘ke sana ke mari’ mengatakan bahawa orang Melayu dalam keadaan tergugat. Terancam oleh kaum lain di Malaysia, terutama oleh kaum Cina. Dan  yang peliknya ada juga ‘pengikut’nya yang turut bersetuju dengan kenyataan NGO dua tiga ‘kerat’ itu. Lebih anih lagi apabila ada diantara ‘pengikut’nya terrdiri dari golongan yang boleh dikategorikan golongan terpelajar. Pensyarah university misalnya yang seolah-olah tidak dapat berfikir dengan rasional ‘ menapis’ samada kenyataan sedemikian betul atau tidak.

Aku agak setuju sekiranya dikatakan bahawa orang Melayu masih mundur berbanding dengan kaum lain di Malaysia. Itupun bukan semata-mata disebabkan oleh kaum Cina. Orang Melayu itu sendiri yang patut dipersalahkan disamping pihak kerajaan yang juga patut dipersaalahkan. Tetapi untuk menyatakan bahawa orang Melayu tergugat dan terancam di negara ‘kepuk padi’ ini, aku kurang bersetuju. Sekiranya dikatakan bahawa orang Melayu tergugat, pastilah ada pihak yang menggugatnya. Dan jikalau dikatakan orang Melayu dalam keadaan terancam, maka tentulah ada kumpulan yang mengancamnya.

Jikalau dikemukakan persoalan ini kepada NGO-NGO berkenaan pasti dengan tidak berfikir panjang mereka akan mengatakan bahawa orang Cinalah yang menggugat dan mengancam kedudukan orang Melayu di Malaysia. Inilah ‘paradigm’ yang sentiasa mereka gunakan untuk menarik perhatian orang Melayu yang agak ‘ketinggalan’ dalam merasionalisasikan sesuatu keadaan. Mereka akan menggunakan ‘fear paradigm’ untuk menarik simpati orang Melayu. Mungkin juga mereka telah mendapat ‘upah dan ganjaran’ untuk menaja ayat yang mengatakan bahawa ‘orang Melayu sedang terancam dan tergugat’. Mungkin….

‘Kenyataan’ yang masih ‘laku’ untuk ‘ditaja’ kini ialah kenyataan yang boleh menakut-nakutkan orang Melayu. Mereka tahu bahawa orang Melayu semenjak zaman berzaman boleh diugut dan ditakutkan. Dengan cara itulah orang Melayu akan mencari ‘tempat untuk berlindung’. Ringkasnya orang Melayu akan bersatu dan mencari ‘musuh’ yang sama untuk dimusuhi.

Seingat aku semenjak zaman berzaman  orang Melayu sentiasa dalam ‘ketakutan’. Sistem feudal yang mencengkam masyarakat Melayu semenjak zaman berzaman sentiasa menyebabkan orang Melayu hidup dalam ketakutan. Orang Melayu menjadi satu bangsa yang sentiasa takut dan terasa seperti selalu terancam, walaupun tidak ada sesuatu yang boleh menakutkan. Sekiranya sememangnya tidak ada yang mengancam mereka, orang Melayu akan mewujudkan satu ‘lembaga’ atau bayangan yang boleh menyebabkan orang Melayu lain rasa takut dan terancam.

Dalam beberapa pilihan raya tahun 1950an dan 1960an, pihak parti Perikatan (UMNO-MCA,MIC) akan menggunakan isu ‘pemerintahan Jepun’ untuk menakut-nakutkan orang Melayu. Isu pemerintahan Jepun’ ini akan ‘didendangkan’ menjelang sesuatu pilihan raya pada ketika itu. Orang Melayu (terutamanya di kampung-kampung) akan sentiasa ‘dingatkan’ tentang penderitaan yang dialami oleh orang Melayu dalam zaman pemerintahan Jepun (1939-1945). Akan diceritakan kesusahan untuk mendapatkan sesuap nasi. Akan diceritakan juga tentang kesusahan untuk mendapatkan pakaian dan lain-lain keperluan asas. Dan ceramah pemimpin pada ketika itu akan ditutup dengan mengatakan bahawa, ‘ sekiranya tuan-tuan dan puan-puan tidak mahu lagi keadaan terjadi sedemikian, maka eloklah tuan-tuan membuat pilihan bijak dalam pilihan raya ini……..”

Orang Melayu terus menerus memberikan sokongan kepada parti pemerintah sehinggalah beberapa pilihan raya. Dan sampai juga masa dan ketikanya di mana ‘isu zaman Jepun’ sudah tidak begitu berkesan lagi kepada masyarakat Malaysia, khsuusnyanya orang Melayu. Parti Perikatan agak bernasib baik kerana telah timbul isu baru pula yang boleh ‘menakutkan’ orang Melayu ia itu ‘zaman pemerintahan komunis’. Isu ini terus menerus digunakan untuk menakutkan orang Melayu yang lantas akan terus memberikan sokongan kepada parti Perikatan untuk terus berkuasa. Dan isu ‘komunis’ juga dijadikan isu penting untuk menahan seseorang di bawah ISA. Isu ‘komunis’ ini juga berjaya ‘bertahan’ untuk beberapa pilihan raya yang diadakan.

Kemunculan generasi baru yang tidak dapat merasakan penderitaan yang dialami pada zaman pemerintahan Jepun dan zaman pemerintahan Komunis menyebabkan pihak-pihak tertentu terpaksa mencari isu baru untuk dijadikan bahan menakutkan orang Melayu. Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan ‘jembalang’  yang agak berkesan untuk menakutkan bukan sahaja orang Melayu tetapi juga masyarakat Malaysia secara umumnya. Sesiapa sahaja yang pernah berada dalam suasana 13 Mei itu, merasakan bahawa peristiwa sedemikian tidak perlulah berulang. Masyarakat Malaysia menjadikan Peristiwa 13 Mei sebagai ‘sempadan’ dalam sejarah Malaysia.

Kini isu 13 Mei 1969 terus menerus ‘dinyanyi’ dan ‘didendangkan’ disamping ‘lagu-lagu baru’ seperti ‘mengingatkan orang Melayu supaya jangan lalai dengan ancaman oleh kaum lain’.

Aku yakin bahawa peristiwa 13 Mei 1969 tidak akan berlaku sepertimana yang pernah aku hujahkan beberapa kali dalam blog aku. Aku amat yakin anak-anak muda kini adalah berfikiran yang amat jauh bezanya dengan cara berfikir masyarakat Melayu yang hidup dalam Kurun ke 20. Aku yakin juga bahawa usaha mengabui mata orang Melayu yang mengatakan bahawa orang Melayu sedang terancam juga tidak akan ‘menembusi’ hati dan sanubari anak-anak Malaysia Kurun ke 21.

Tidak ada sebab yang boleh menyebabkan orang Melayu masih terancam dan tergugat memandangkan ‘kelengkapan’ yang   cukup memadai untuk melindungi orang Melayu di Malaysia. Perlembagaan Malaysia dengan berbagai-bagai peruntukan yang disediakan adalah untuk melindungi orang Melayu. Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan pada tahun 1970 ( dan dipersetujui dan direstui oleh bukan Melayu) telah jelas untuk ‘memagari’ kepentingan orang Melayu. Tanah Rizab Melayu yang diperkenalkan oleh British dulu turut melindungi kepentingan orang Melayu supaya tidak menjualkan tanah kepada orang asing. Cuma pihak berwajib kini, terutama di negeri-negeri yang berusaha untuk ‘melanggar’ syarat yang telah dikenakan oleh British itu.Banyak lagi yang boleh dihujahkan untuk menyatakan bahawa tidak ada sebab yang orang Melayu akan tergugat.

Tetapi soalnya mengapa masih ada NGO yang mengatakan bahawa orang Melayu sedang terancam dan tergugat. Para NGO berkenaan seharusnya mengkaji apakah kelemahan orang Melayu kini disebabkan oleh ancaman oleh orang asing ataupun digugat oleh orang Melayu sendiri. Pendedahan yang dibuat oleh beberapa pihak tentang ‘kehilangan’ punca pencarian orang Melayu di Johore Bharu ekoran daripada pembangunan secara pesat harus mendapat perhatian pihak NGO yang (kononnya) sentiasa memperjuangkan nasib orang Melayu. Mereka seharusnya berada di medan hadapan mempertahankan nasib orang Melayu di Johore yang sentiasa dihimpit dan terhimpit. Mungkin satu masa nanti negeri yang merupakan tempat asal UMNO Johore ini akan berpindah tangan. Mungkin….

abuhassanadam
17 Julai 2014



2 comments:

  1. Good day, Pak Abu, berhenti kali ini saya menggunakan gelaran Tuan Abu Hassan (bunyi terlalu formal! ). Lagi pun seronok bagi saya ingat kembali (nostalgic) gelaran "Pak" kerana saya pernah digelar "Pak" (hampir 20 tahun di tempat kerja sehingga saya bersara). Haha! dan bagi seorang bukan Melayu agak istimewa baginya mendapat gelaran "Pak"....... Kebelakangan ini saya sering mendengar gelaran "Uncle" diguna bagi orang bukan Melayu, dan saya tertanya-tanya apakah "Pakcik" hanya untuk orang Melayu? Ada orang kata "Uncle" sudah lama digunakan sejak zaman British lagi. Betul? Saya kurang pasti. Saya merasa penggunaan perkataan tersebut adalah dikaitkan dengan penggunaan bahasa.......jika orang itu British (macam Mr Bean) okaylah kalau kita guna "Uncle", sebab dia orang putih dan "Uncle itu bahasa orang putih. Tetapi apabila kita bertutur dalam bahasa Melayu/Malaysia, penggunaan "Uncle" tidaklah kena. Lagi pun adakah kita panggil/merujuk kepada seorang bukan Melayu "Mr." atau "Encik" dalam situasi rasmi (dlm sebutan dan penulisan?) Mungkin tidak disedari, saya nampak ada unsur diskriminasi kaum!! Ini merupakn isu baharu hari ini, Pak Abu. Kesian malapetaka yang menggemparkan negara kali kedua dalam 4 bulan.. MAS MH17!
    Sedikit komen saya yang lebih fokus terhadap penulisan Pak Abu kali ini. Tentang orang Melayu yang sentiasa merasakan bahawa mereka tergugat......Ada? sememangnya tidak ada! Nama negara ini, iaitu Tanah Melayu, sudah memberi jaminan kepada orang Melayu bahawa negara ini hak mereka. Ya, dengan kehadiran ramai kaum bukan Melayu sebagai rakyat, orang Melayu merasa terancam. Tapi sejauhmanakah realitinya ancaman daripada kaum lain sehingga membuatkan orang Melayu betul-betul terancam? Kan semua ancaman yang kita sering terdengar merupakan persepsi semata-mata? Dimainkan oleh NGO2, Utusan Melayu (bukan Malaysia!) Cuba kaji... bidang manakah orang Melayu belum dominan di negara ini? Politik? Birokrasi? Siapa buat dasar, ubah dasar, dan melaksanakan dasar? Ya. ada saya melihat di Youtube hari itu di mana ada seorang ahli kanan NGO (yang memakai cermin mata gelap dengan topi ‘cap’ di kepala) yang menyebut negara ini sebagai tanah Melayu (haha...bilakah nenek moyang orang Melayu membeli tanah di sini? atau nenek moyang orang Melayu sampai di sini lebih awal drpd pendatang-pendatang lain?) Dan dia bagi nasihat kepada kaum “asing” (Cina, India dll) bahawa orang Melayu sememangnya abang dan kaum-kaum lain ialah adik.

    Disambung.....

    ReplyDelete
  2. Bahagian berikutnya:

    Ya, selalunya orang Cina dikira sebagai musuh (kononnya mereka mengawasi ekonomi negara) Tapi bisnes yang "sedap-sedap" dalam tangan siapa sekarang? Ya, apa yang disebut oleh Perkasa memang benar (pandai jugak mereka buat kajian!) iaitu orang Melayu sentiasa kalah kepada orang Cina dlm dunia bisnes kerana orang Melayu tidak dapat menerokai bisnes "haram" , oleh itu orang Cina mendapat "advantage" , dan orang Melayu sememang baik hati bagi orang Cina mencari makan dalam bisnes "haram". Dan mereka mendakwa orang Cina harus berterima kasih kepada orang Melayu sebab mereka tidak diganggu dan boleh buat apa saja bisnes yang mereka suka (jual henfon, urut, pelacuran, ceti haram, loteri haram, apa lagi yang ada?) Stesen minyak? Bas ekpres? Pengutip tol? Kontraktor kerajaan? Oleh sebab itulah orang Cina kena berlembut, jangan menjadi pendesak, dan tahu lah kedudukan mereka di negara ini...jangan pandai meminta!! spt isu sekolah Cina (sumbangan mualaf Ridhuan Tee), jangan menentang pelaksanaan hukum Hudud (Isma) dll.

    Saya nampak sangat perasaan terancam di kalangan Melayu (jika ada!) adalah berpunca daripada "pysche" mereka. Mereka merasakan mereka kaum terpilih a.k.a warganegara kelas pertama vs orang lain (walaupun orang lain ada memegang kad pengenalan biru) . Status superior mungkin menjadikan mereka merasakan semua yang ada di negara ini hak mereka, dan secara nyata asyik merujuk kepada Artikel 153, dan bukankah ini meletakkan mereka pada landasan yang istimewa? Dan apabila kaum lain terpaksa bekerja keras (sangat-sangat keras) dan dalam proses itu berjaya (dan banyak terkecundang, dan disimbah cat merah oleh Along), orang Melayu merasakan ancaman itu berkekalan kerana kaum lain yang berstatus warganegara kelas dua sudah mengorak langkah dan akan mengatasi mereka. Sindrom "inferiority complex" yang dicampuradukkan dengan “superiority complex” cukup mengkonfiuskan mereka!

    ReplyDelete