TINDAKAN TG HAJI HADI AWANG ‘TAK BERAPA
KENA’
Memang aku tidak layak untuk memperkatakan
sesuatu mengenai tindakan yang dilakukan oleh TG Haji Hadi Awang, Presiden PAS,
namun aku memberanikan diri juga untuk menyentuh isu yang bukan berkaitan
dengan politik ‘per se’ tetapi berkaitan dengan tindakan yang aku kira ‘tidak
berapa kena’.
Tindakan TG Haji Hadi membuat kenyataan akhbar
secara terbuka menyokong kepimpinan TS Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar
Selangor adalah dirasakan ‘tidak berapa kena’. Aku tidak pula mempersoalkan
kebebasan TG Hadi Awang untuk mengemukakan pandangannya. Bukan begitu. Sebagai
Presiden PAS, beliau memang sepatutnya membuat keputusan jelas. Beliau bebas
untuk menyokong atau tidak menyokong mana-mana pihak.Tetapi yang aku agak
‘terkilan’ ialah cara keputusan itu disampaikan.
Pada pandangan aku, sepatutnya apa yang ingin
disuarakan oleh TG Haji Hadi mengenai sokongannya kepada TS Khalid Ibrahim
(yang sekali gus menentang keputusan PKR ) dibincangkan dahulu dalam majlis
tertutup antara PAS,DAP dan PKR. Dalam mesyuarat sedemikianlah forum yang
paling sesuai untuk percambahan fikiran dan dinyatakan baik buruknya.
‘Penghazaman’ sesuatu isu elok dilakukan dalam bilik mesyuarat tertutup yang
dihadiri oleh kaum ‘keluarga’ terdekat dan tidak diketahui langsung oleh
sesiapa pun yang tidak berkaitan.
Apabila TG Haji Hadi telah membuat keputusan dan
telah menjadi berita besar dan ‘hangat’ maka tentulah terlalu sukar untuk
berpatah balik kebelakang sekiranya ada perubahan fikiran di pihak PAS selepas
ini. Peribahasa Melayu mengatakan,’ terlajak perahu boleh diundur, terlajak
kata buruk padahnya’.
DS Anwar Ibrahim telah pun menyatakan bahawa PKR
telah membuat keputusan untuk meletakkan Dr Wan Azizah menggantikan TS Khalid
Ibrahim. Aku tidak pula mahu mempersoalkan kewajaran cadangan sedemikian.
Maknanya menyokong pun tidak dan menetang pun tidak. Cuma yang aku
mempersoalkan ialah tentang bagaimanalah
rasa hati dan perasaan DS Anwar Ibrahim apabila mendengar perkhabaran yang PAS
menyokong TS Khalid Ibrahim dikekalkan yang bermakna juga PAS menentang
cadangan PKR. Tentulah rasa luluh hati yang mendengarkan keputusan berkenaan
terutama dari ‘sahabat karib’.
Aku terfikir juga dan aku mempersoalkan. Apakah
dalam politik tidak langsung mengambil kira hati dan perasaan kawan dan rakan?
Aku bukan mempersoalkan pandangan atau keputusan yang dibuat. Aku lebih
mementingkan ‘adab berkawan’ dan ‘menjaga hati kawan’. Mungkin cara berfikir
yang aku amalkan sudah tidak secocok dengan pemikiran manusia zaman kurun ke
21. Mungkin…
Sebelum kenyataan yang dibuat oleh TG Haji Hadi ini,
sudah berapa pengumuman yang telah dibuat oleh pihak kepimpinan PAS Selangor
yang menyatakan sokongan terhadap TS Khalid Ibrahim.Sekali lagi aku nyatakan
bahawa hakikat itu bukan persoalannya. Yang aku agak hairan ialah mengapa perlu
dinyatakan secara terbuka melalui media massa. Bukankah elok dibincangkan dalam
suatu majlis tertutp supaya tidak diketahui oleh masyarakat tentang ‘apa yang
ada dalam kain kita’. Ataupun mungkin agaknya sengaja dilakukan begitu oleh
pemimpin sedemikian yang mahu menunjukkan bahawa mereka sememangnya hebat dan
supaya diketahui oleh orang ramai bahawa mereka sebagai pemimpin berwibawa.
Ini bukan berlaku kepada kepimpinan PAS sahaja.
Ada juga pemimpin PKR bersikap sedemikian rupa yang mengkeritik kepimpinan TS
Khalid Ibrahim secara terbuka. Kata orang Melayu ‘membuka pekung di dada’ yang
lantas mengaibkan PKR juga. Mungkin pemimpin PKR sedemikian tidak tahu bahawa
dengan mendedahkan sedikit sebanyak kepincangan pentadbiran TS Khalid telah ‘memberitahu’ rakyat bahawa berlaku
kepincangan yang serious dalam PKR. Apakah ‘tokoh’ yang sebegini layak menjadi
pemimpin sekiranya tidak begitu arif tentang adab dan peraturan berpolitik?
Aku terpaksa menyentuh juga tentang kepimpinan UMNO.
Mungkin disebabkan yang UMNO telah wujud beberapa lama dan berbagai pengalaman
yang telah dilalui oleh pemimpinnya, maka keadaan sedemikian dapat dibendung
oleh mereka. Bukan tidak ada berlaku keadaan ‘perpecahan’ dalam UMNO, malah
perpecahan dalam UMNO hanya menunggu masa untuk belah, tetapi disebabkan
kelicikan berpolitik dan sudah mahir dengan ‘sepak terajang’ berpolitik maka
kemelut berkenaan dapat diselesaikan. Berita-berita yang mengaibkan UMNO terus ‘ditutup’
dan ‘disembunyikan’.
Peristiwa pertukaran Menteri Besar di Terengganu
baru-baru ini bukan merupakan isu yang kecil. Malah boleh membawa kepada
perpecahan di Terengganu. Malah sehingga kini, isu itu masih ada, ibarat
seperti duri dalam daging. Hanya menunggu masa untuk ‘meletup’. Tetapi
disebabkan kepimpinan UMNO tahu cara dan jalan ‘menutup’ kelemahan parti mereka,
maka seolah-olah kelihatan tenang. Tetapi ‘air tenang jangan disangka tiada
buaia’.
Pakatan Rakyat harus juga mencontohi apa yang
dilakukan oleh UMNO dalam hal kerahsiaan parti. Amat penting untuk mengekalakn
keyakinan rakyat kepada parti ini. Percanggahan dan perbezaan pendapat adalah
asas demokrasi dan harus disuburkan. Tetapi seharusnya dilaksanakan secar
bijaksana. Tentulah ada disiplin-disiplin yang mesti diikuti oleh kepimpinan
parti. Orang tua-tua pernah berkata, sekiranya membunuh ular, ular mesti, kayu
jangan patah dan tanah jangan lebam’. Begitulah cermatnya yang seharusnya
dilakukan oleh pihak kepimpinan dalam menangani suatu masalah yang rumit dan
kritikal.
Menyelesaikan isu politik yang rumit adalah
seperti menarik rambut dalam tepung. Rambut dapat ditarik keluar dan tepung
tidak berselerak.
abuhassanadam
26 Julai 2014
Hj Hadi bukan lah seorang pemimpin yang bijak. Di bawah kepimpinan beliau Pas kalah dan kehilangan Trengganu dan Kedah selepas sepenggal. Mungkin beliau bagus dalam hal hal agama tapi bukan Pentadbiran dan Kepimpinan sebuah kerajaan. Tindakan beliau tidak langsung menunjukan Kewibawaan!
ReplyDelete