Sunday, July 20, 2014

MENGAPA  MH 17?.............

Apalah malangnya nasib bangsaku Malaysia. Belum pun selesai  dan ‘terurai’ masalah yang dihadapi mengenai  malapetaka yang menimpa MH 370, kita dikejutkan pula dengan kejadian MH 17 pula yang ditembak oleh peluru berpandu dan terhempas di persempadanan Ukraine, Russia. Daripada ribuan kapal terbang yang melalui laluan berkenaan, menagapa MH 17 yang menjadi sasaran. Mengapa kapal terbang kita yang ditembak? Apakah ‘salah’  kita yang menyebabkan kita menghadapi malapetaka yang sebegini? Apakah sengaja pihak terbabit dalam pembedilan itu menghalakan sasarannya kepada kapal terbang kita. Jikalau begitu keadaannya, tentulah kita mempersoalkan pula. Apa salah kita (Malaysia)?

Berasaskan peristiwa, ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ ini pastinya rakyat Malaysia akan bermenung jauh, memikirkan nasib malang yang sering menimpa kita pada akhir-akhir ini. Sudah lebih setengah abad aku berada di bumi Malaysia dan tidak pernah pula aku melalui trajedi yang sebegini. Ada terdapat kemalangan kapal terbang yang berlaku di Tanjung Kupang pada awal tahun 1970an, namun peristiwa itu tidaklah seburuk yang berlaku kini. Bertimpa-timpa. Menyebabkan rakyat Malaysia merasa cemas, ‘menunggu’ apakah musibah lain yang akan datang menimpa kita.

Dalam sejarah penerbangan di dunia (setakat pembacaan aku yang agak cetek) hanya Malayisa yang pernah mengalami kejadian malang sebegini. Dalam masa beberapa bulan sahaja dua buah kapal terbang terhempas dan ditembak jatuh.  Yang  senasib dengan kita  ialah syarikat penerbangan dari Korea. Pada 20 April 1978 Korean Air Lines Flight 902 telah ditembak jatuh oleh Soviet Russi a Sukhoi Su-15 berhampiran dengan Mirmansk atas kesalahan melalui ruang udara Russia. Dua orang penumpangnya meninggal dan 107 penumpang yang lain terselamat.

Pada 1 September 1983, sebuah lagi kapalterbang milik Korea Air Lines Flight 007 telah ditembak jatuh oleh Soviet Su-15TM ketika melalui ruang udara Russia berhampiran dengan Pulau Moneron, sebelah barat pulau Sakhalin. Kesemua 269 penumpangnya tidak dapat diselamatkan. Dan dapat dilihat juga bahawa Rusia sememangnya ‘berminat’ untuk menjalankan ‘kerja tembak menambak’ kapal terbang.

Diperhatikan bahawa semenjak tahun 1940 lagi, telah dilaporkan tentang kegiatan menembak kapal terbang oleh Soviet Union (Russia). Pada 14 Jun 1940 ‘Kaleva’ Oh-All sebuah kapal terbang penumpang milik Finland telah ditembak jatuh oleh Soviet Ilushin DB-3 semasa dalam penerbangan dari Tallinn, Estonia ke Helsinki. Dan terakhir sekali ialah kapal terbang Malaysia MH 17 yang dikatakan berpunca dari Russia juga. Walaupun tidak secara langsung, namun nama ‘Russia’ terbabit juga.

Malapetaka yang amat menyayat hati ini telah pun berlaku. Penderitaan dan kesedihan yang dialami oleh pihak yang menerima nasib malang ini adalah sama saja, sama ada yang beragama Islam atau pun agama-agama lain. Sama saja. Tetap bersedih. Walaupun yang tidak terlibat secara langsung, namun tetap bersimpati dan turut bersedih di atas kemalangan yang menimpa pihak yang malang.

Dalam keadaan sebegini tentlah elok kita merujuk kepada ajaran dan pandangan alim ulama kita untuk mencari ketenangan dalam menghadapi sesuatu bencana yang sukar dihalang dan disekat. Ybhg Dato Harun Din pernah dalam satu syarahannya yang aku ikuti mengatakan bahawa, Allah tidak akan menjadikan sesuatu kecuali past ada hikmahnya. Allah melakukan semua ini bersebab dan perlulah kita mengambil iktibar daripada apa yang berlaku itu. Selanjutnya beliau menyatakan bahawa apa sahaja musibah yang Allah kenakan kepada manusia itu adalah angkara perbuatan tangan manusia yang mengundang kemurkaan Nya. Allah hendak tunjuk kebesarannya. Tidak semua yang perbuatan buruk yang manusia lakukan akan dibalas dengan serta merta. Namun akan dibalasnya juga.

Atas dasar itu jugalah boleh diambil iktibar oleh rakyat Malaysia, terutama para pemimpin negara bahawa berlakunya persitiwa MH 370 dan MH 17 ini merupakan petanda kemurkaan Allah SWT. Mungkin….

Mungkin juga ada hikmahnya ekoran daripada peristiwa yang berlaku ke atas MH 17 ini. Kesediaan DS Mohd Najib ini untuk memanggil sidang tergempar Parlimen untuk membincangkan langkah-langkah yang perlu bagi menangai isu MH 17 ini adalah merupakan satu petanda baik. Dan sambtan positif dari pihak pembangkang terutamanya DS Anwar Ibrahim untuk sama-sama membincangkan isu negara ini merupakan satu langkah yang amat positif.

Sudah banyak kali pihak pembangkang yang ingin bekerjasama untuk menyelesaikan masalah kritikal yang dihadapi negara ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat. Sudah begitu banyak sekali cadangan pembangkang ditolak sedangkan melalui perbincangan dan perbahasan adalah merupakan cara yang sebaik-baiknya. Melalui perbincangan akan tercetus idea bernas yang mungkin dapat menyelesaikan banyak masalah.

Kini menampakkan satu ‘cahaya baru’ di negara kita bahawa DS Najib sudah bersedia bekerjasama dan mengharapkan idea pihak pembangkang bagi mencari jalan penyelesaian masalah ini. Dan aku sependapat dengan ramai rakyat Malaysia bahawa cadangan YB Lim Kit Siang agar isu MH 370 dibincangkan juga dalam persidangan parlimen yang dicadangkan. Melalui perbincangan sedemikian dapat dirungkai permasalahan yang menyelubungi peristiwa itu. Rakyat ingin tahu kedudukan sebenarnya. Melalui perbincangan sedemikian rakyat pastinya berpuas hati.

Berlakunya peristiwa ini mungkin mempunyai hikmah yang terselindung.

abuhassanadam
20 Julai 2014


No comments:

Post a Comment