Sunday, July 13, 2014

MASTURA – “THE UNSUNG HERIONE’

Bagi sesiapa yang menggelarkan dirinya sebagai pemimpin, atau yang menganggap dirinya sebagai pemimpin samada di peringkat negara ke, peringkat negeri ke atau peringkat daerah ke seharusnya merasa malu dan ‘cukup malu’ kepada Saudari Mastura Mohd Rashid yang mengasaskan Projek Nasi Lemak (Bandaraya) yang bertujuan untuk memberikan makanan kepada fakir miskin yang hidup melarat di sekitar bandaraya.
 Turut merasa malu tentulah YB Menteri Wilayah Persekutuan yang bukan sahaja tidak bersungguh-sungguh mengambil daya usaha untuk mengurangkan bebanan para fakir miskin di bandararaya tetapi beliau telah mengambil daya usaha untuk ‘membersihkan’ golongan peminta sedekah dan golongan yang miskin melarat di sekitar bandaraya dengan tujuan supaya bandaraya Kuala Lumpur kelihatan bersih dan mendapat pujian dari pelawat luar negara tentang kebersihan bandaraya ini dan tidak terdapat walau seorang pun peminta sedekah di persekitaran. Menunjukkan hebat dan majunya negara Malaysia di bawah pimpinan kerajaan BN!

Apakah Menteri yang menjaga hal ehwal kebajikan rakyat tidak turut berasa malu dengan contoh dan teladan yang telah ditunjukkan oleh anak-anak kita yang begitu peka dengan keadaan golongan miskin dan yang melarat. Apakah Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia misalnya tidak merasa ‘malu’ dengan tindakan-tindakan anak-anak kita yang sanggup melakukan kerja sukarela, ‘meminta-minta’ bantuan dari pihak lain demi untuk berbakti kepada golongan yang memerlukan. Secara sukarela!!.... Dengan tidak mendapat upah!!.....

Dan yang anihnya juga bantuan untuk menjalankan projek ini  tidak datang dari para golongan berada di negara kita. Malah Projek Nasi Lemak ini yang mula ditubuhkan pada tahun 2012 menerima bantuan dari pihak Kedutaan Amerika Syarikat yang berjumlah RM 10,000. Maknanya US Embassy yang sedar dan tahu tentang kerja-kerja sukarela yang dilakukan oleh anak-anak muda lulusan University Islam Antarabangsa ini.

Dan tentulah agaknya sebelum mereka memohon bantuan dari pihak kedutaan Amerika sudah pasti juga golongan ini memohon bantuan daripada pihak-pihak yang berada di Malaysia. Pasti mereka telah ‘habis ikhtiar’ memohon bantuan daripada pihak tertentu di Malaysia yang menyebabkan mereka mohon bantuan dari luar. Pastinya begitu. Dan mungkin juga golongan berada di negara kita ‘tidak berminat’ untuk menghulurkan bantuan disebabkan tidak ada TV yang akan membuat liputan tentang sumbangan yang diberikan oleh mereka itu.

Sudah menjadi lumrah di negara kita setiap sumbangan yang diberikan oleh para ‘dermawan’ semestinya disusuli dengan liputan oleh TV. Menteri memberi sumbangan hari raya kepada golongan tua semestinya dihadapan kamera TV. Menteri Besar menyampaikan ‘duit raya’ kepada kanak-kanak yatim piatu juga mesti dibuat di hadapan kamera TV, walaupun wang yang disampaikan itu merupakan wang rakyat.

Tindakan Mastura dan rakan-rakannya menyampaikan bantuan adalah lain dari yang lain. Tindakan anak-anak muda ini seolah-olah sama dengan tindakan sebuah badan sukarela yang terdapat di England. Di England terdapat pertubuhan yang dinamakan CRISIS (The national charity for single homeless people) yang mana matlamat pertubuhan ini adalah mengubah cara hidup golongan yang miskin melarat terutama yang tidak mempunyai rumah agar mereka dapat merasa nikmat hidup seperti mana yang dnikmati oleh orang lain.

‘CRISIS’ sentiasa memerlukan tenaga sukarelawan untuk menjalankan projek dan bantuan untuk golongan yang memerlukan. ‘CRISIS” tidak mampu untuk mengubah cara kehidupan golongan yang merempat ini sekiranya tidak mendapat bantuan dan kerjasama daripada 10,000 rakyat Britain yang sanggup menawarkan tenaga sukarela menjayakan projek berkenaan yang melibatkan berbagai-bagai aspek.

Sepatutnya kerajaan Malaysia juga melakukan tindakan sebagaimana yang dilakukan oleh ‘CRISIS” di Britain yang mempelawa dengan tangan terbuka golongan sukarelawan, tetapi sebaliknya kita menegah golongan sukarelawan yang memberikan jasa bakti kepada golongan yang amat memerlukan. Alangkah jauh bezanya tindakan kita berbanding dengan tindakan kerajaan di sebuah negara maju.

Dan kini di negara kita telah ada Projek Nasi Lemak yang telah pun diasaskan semenjak tahun 2012. Sepatutnya pihak kerajaan terus menghulurkan bantuan seadanya kepada kumpulan Mastura dan rakan-rakannya. Mereka telah tahu selok belok bagaimana untuk menguruskan pemberian bantuan dan makanan itu. Yang mereka perlukan hanyalah bantuan kewangan.

Dan janganlah pula pihak kerajaan mengambil alih ‘pentadbiran’ Projek Nasi Lemak’ ini untuk diserahkan kepada Wanita UMNO ataupun Puteri UMNO. Ini merupakan projek kecil-kecilan dan kebiasaannya pihak TV tidak berminat pun membuat liputan untuk projek kecil yang sebegini. Biarkanlah anak-anak kita yang perihatin tentang nasib malang yang menimpa golongan yang kurang bernasib baik ini menguruskan pemberian makanan di negara ini. Wanita UMNO atau Puteri UMNO ataupun Pemuda UMNO tentu lebih berminat untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang malang di luar negara.

abuhassanadam
13 Julai 2014


No comments:

Post a Comment