Wednesday, July 23, 2014

PANJUT

Aku tidak tahu apa panggilannya di tempat lain. Di negeri Perak Itulah perkataan yang biasa digunakan. Di mana-mana saja di negeri ini, pada  malam 27 Ramadan rakyat negeri ini akan memasang Panjut.

Itu dulu. Ketika aku masih kecil. Sehingga tahun-tahun 60an begitulah keadaannya di negeri Perak. Di setiap kampung dan ceruk rantau mereka akan memasang Panjut. Mungkin kini amalan sedemikian masih terus diamalkan oleh orang Perak. Namun cara dan ‘wajah’ memasang panjut tentulah banyak kelainannya berbanding dengan zaman dulu.

Memasang Panjut sebenarnya memasang lampu pada malam 27 Ramadan. Ada juga yang mengatakan bahawa upacara memasang Panjut itu tidak mengikut cara dan lunas Islam. Bidaah kata mereka yang arif tentang agama Islam. Ikut cara agama Hindu. Aku tak mahu berbicara tentang hal itu. Aku tak pandai untuk berhujah. Cuma yang aku tahu, dan ramai lagi anak-anak ( pada ketika itu) merasakan bahawa memasang lampu pada malam yang gelap gelita amat menyeronokkan. Apatah lagi pada ketika itu tidak ada lampu jalan seperti sekarang yang boleh menerangi sesebuah kampung hingga ke pagi.

Dulu tidak ada lampu sedemikian. Apabila menjelang malam, pastinya kampung akan menjadi gelap gelita, kecuali malam ketika bulan mengambang. Dan pada ketika bulan mengambanglah, orang-orang kampung ‘terhibur’ dengan kehadiran cahaya bulan, apatah lagi apabila dapat menikmati cahaya bulan melalui celah-celah daun kelapa yang melintuk liuk ditiup angin.

Sudah agak lama aku tidak menikmati suasana sedemikian. Dan kadang-kadang ‘kehadiran’ cahaya bulan juga dibiarkan ‘berlalu’ begitu sahaja disebabkan keadaan malam yang sentiasa terang di bandar. Lagi pun orang-orang bandar kini sudah tidak ada masa untuk menikmati cahaya bulan disebabkan kesibukan yang sentiasa menyelubungi warga kota. Atas ‘kerinduan’ yang sedemikianlah agaknya yang menyebabkan warga kota, berlagak ‘gila’ untuk pulang ke kampung apabila menjelangnya Hari Raya. ‘Kerinduan’ terhadap suasana desa itulah yang menyebabkan warga kota ( yang dulunya anak desa) melupakan segala-galanya demi untuk pulang beraya di kampung.

Orang kampung dikira ‘creative’ juga dalam hal membuat Panjut (pelita). Ketika ketiadaan kuasa eletrik, orang kampung mencipta berbagai jenis ‘pelita’ untuk dijadikan panjut. Lagi pun suasana kemiskinan telah menyebabkan orang kampung ketika itu mencari jalan bagaimana mencipta sesuatu yang tidak menggunakan wang. Betul kata Cikgu aku dulu bahawa ‘necessity is the mother of invention’.

Ada berbagai jenis pelita Panjut yang dihasilkan.

  • ·  Panjut Buluh. Dibuat daripada ruas buluh yang ditebuk dengan beberapa lubang sebagai tempat meletakkan sumbu yang diperbuat daripada tali guni. Untuk mengelakkan buluh daripada terbakar, tanah liat diletakkan di keliling sumbu berkenaan. Ditebuk juga satu lubang untuk memasukkan minyak tanah ke dalam ruas buluh berkenaan.

  • ·    Panjut Tempurung. Cara membuatnya ialah dengan cara menebuk lubang beberapa biji tempurung yang kemudiannya dicucuk menggunakan sebatang kayu supaya tempurung berkenaan dapat berdiri. Barisan tempurung itu dipacakkan diatas tanah. Apabila sampai waktu dan ketikanya, tempurung itu akan dibakar pada tempurung yang teratas sekali. Lama kelamaan api akan merebak dengan perlahan dan terus menerus membakar tempurung yang berada di bawah. Begitulah seterusnya sehingga kesemua tepurung terbakar. Dan kebiasaannya proses itu akan mengambil masa beberapa jam untuk kesemua tempurung berkenaan terbakar dan mengeluarkan cahaya yang terang benderang.

·      Pelita Bersumbu. Ini merupakan pelita yang biasa digunakan. Malah pada setiap malam, rumah-rumah dikampung pada ketika itu diterangi oleh pelita bersumbu demikian disebabkan belum ada kuasa eletrik yang sampai ke kampung-kampung.

Seingat aku, hampir setiap rumah di kampung aku akan dihias dengan lampu Panjut – samada Panjut Buluh, Panjut Tempurung ataupun sekurang-kurangnya pelita bersumbu. Juga memberikan gambaran bahawa rumah-rumah yang tidak dihiasi dengan pelita panjut samada dihuni oleh orang tua ataupun penghuninya terlalu malas untuk membuat pelita Panjut. Kebiasaannya persiapan untuk ‘merayakan’ malam 27 Ramadan bermula pada permulaan puasa lagi ataupun lebih awal dari itu.

Apa tidaknya. Untuk membuat Panjut Tempurung tentunya memerlukan tempurung kelapa yang banyak. Ini perlu dilakukan dengan mengumpulkan tempurung-tempurung itu buat beberapa bulan. Dan tempurung-tempurung itu perlu dikeringkan terlebih dahulu supaya senang terbakar.

Agaknya anak-anak zaman sekarang pastinya ‘ternganga’ mendengar penjelasan aku tentang Panjut Buluh dan Panjut Tempurung. Mungkin juga anak-anak di bandar ataupun di kampung kini masih memasang panjut pada malam 27 Ramadan, tetapi pastinya tidak ada lagi panjut buluh atau panjut tempurung. Dan tentunya panjut kini boleh diperolehi di kedai-kedai eletrik sahaja dan tidak perlu lagi bersusah payah mengumpulkan tempurung-tempurung.

Cuma yang aku pasti bahawa keseronokan anak-anak pada tahun 60an berbeza dengan keseronokan anak-anak pada awal Kurun ke 21. Mungkin….

abuhassanadam
23 Julai 2014


No comments:

Post a Comment