MENUNGGU LAILATUL QADAR
Biar aku berterus terang supaya apa yang yang
akan aku tulis dan ceritakan nanti dapat diketahui oleh anak-anak zaman ini.
Mungkin anak-anak zaman ini ada diberitahu atau dikisahkan oleh ibu bapa mereka
tentang kesusahan dan penderitaan yang dialami oleh ibu mereka. Mungkin ada ibu
bapa yang suka menceritakan kisah-kisah lama kepada anak-anak terutama pada
waktu makan malam. Tetapi ada juga ibu
bapa kini ( yang tinggal di bandar) yang terlalu sibuk dengan tugas
mencari rezeki sehinggakan tidak ada masa untuk berbual dan berbicara dengan
anak-anak.
Aku yakin bahawa apa yang aku alami ( dalam soal
kemiskinan dan penderitaan) adalah juga pengalaman yang dialami oleh kebanyakan
‘anak-anak kampung’ yang hidup dalam tahun-tahun 1950an dan 1960an. Pada kali
ini tentulah penumpuan aku tentunya kisah suka dan derita yang dialami oleh ‘anak-anak
kampung’ pada bulan Ramadan.
Hampir seluruh ‘anak-anak kampung’ di kampung aku
akan bersetuju sekiranya aku katakan bahawa peluang kami untuk menikmati lauk
ayam adalah pada waktu-waktu tertentu dalam kehidupan seharian kami. Ibu ku ada
memelihara ayam dan itik, namun ayam yang dipelihara oleh ibu bukan untuk
dimakan oleh keluarga tetapi untuk dijual. Ayam yang dipelihara oleh ibuku
selalu juga bertelur. Tetapi telurnya bukan untuk kami makan tetapi untuk
dijual sebagai tukaran untuk membeli ikan bilis di kedai Pak Alang Ibrahim.Begitu
jugalah dengan peliharaan itik. Bukan untuk dimakan dagingnya tetapi untuk
dijual telurnya. Dengan hasil jualan itulah dapat menampung pendapatan keluarga
disamping dapat menambah pendapatan bapa yang kerja hariannya sebagai penoreh
getah.
Seingat aku ada ‘beberapa peristiwa’ sahaja yang
memberikan peluang aku menikmati lauk dari daging ayam. Antaranya ialah di majlis khenduri ataupun apabila dikunjung
oleh keluarga dari jauh ( dari Kuala Lumpur
misalnya) ataupun pada Hari Raya Aidilfitri. Oleh kerana Hari Raya Aidiladha
dianggap ‘tidak begitu penting’ maka tidak perlulah disembelih ayam dan memadai
dengan lauk udang atau kerang sahaja. (Pada ketika itu harga makanan laut masih
lagi murah berbanding dengan harga daging dan ayam).
Bukan semua majlis khenduri dihidangkan dengan
lauk ayam. Kebanyakan khenduri di kampung aku hanya berlaukkan ikan kering dan
sayur kampung sahaja. Lauk ayam mungkin hanya untuk VVIP ( tok imam dan bilal
masjid) sahaja. Begitu juga apabila dikunjungi saudara mara jauh.
Bagi ‘anak-anak kampung’ pada ketika itu, Hari
Raya ditunggu dengan penuh debaran. Pada hari Rayalah kami berpeluang untuk
menikmati lauk yang agak lumayan berbanding dengan lauk harian yang rata-rata
terdiri dari ikan kering dan sayur kampung. Pada hari Raya jugalah kami
berpeluang menikmati kuih-kuih seperti Kuih Bangkit, Bauhulu, Dodol, Putu
Kacang dan lain yang tidak akan berpeluang dinikmati pada hari-hari biasa.
Hanya pada hari Raya kami dapat merasa memakai pakaian baru. Itu pun hanya
sepasang sahaja. Tidak lebih dari itu.
Justeru sememangnya Hari Raya dinanti dan
ditunggu-tunggu oleh ‘anak-anak kampung’ tahun-tahun 50an dan 60an.
Kami pada ketika itu tidak mengharapkan ‘duit
raya’ ketika berkunjung ke rumah-rumah jiran. Budaya memberi ‘duit raya’ sudah
pun ada pada ketika itu. Namun ‘quantum’nya hanyalah disekitar 10 sen dan
20sen. Paling tinggi ‘kutipan’ yang pernah aku perolehi ialah RM 1.20sen. Cukup
untuk pergi ke Kuala kangsar untuk menonotn wayang cerita ‘ Sarjan Hassan”.
(Tambang bas 30 sen –pergi balik, tiket wayang 30sen ( kelas tiga), makan ‘Mee
Lambung’ di Lembah – 30 sen). Masih berbaki 30sen.
Hari Raya bagi kami ‘anak-anak kampung’ pada
ketika itu memang menyeronokkan. Mungkin tidak sama dengan keseronokan yang
dialami oleh kanak-kanak kini. Dari segi ‘quantum’ kutipan ‘duit raya’ sudah dapat membezakan keadaan
dulu dan sekarang. Seperti bumi dengan langit. Jumlah RM 1.20 sen yang aku
perolehi mungkin akan ditertawakan oleh cucu aku yang kebiasaannya menerima
‘kutipan’ beratus kali ganda apa yang aku perolehi. Namun itulah hakikatnya
keadaan Hari raya pada tahun-tahun 1950an dan 1960an.
Dengan sebab itulah ‘kanak-kanak kampung’ zaman
itu menunggu-nunggu kehadiran malam Lailatul-Qadar. Pak Haji Sulaiman (guru
Quran di kampung aku) pernah menyatakan bahawa, Rasulullah
SAW telah bersabda: “Sesiapa beribadat sesaat pada malam Qadar,
kira-kira selama seorang penggembala memerah susu kambingnya, maka adalah lebih
disukai Allah daripada berpuasa setahun penuh. Demi Allah yang telah mengutus
daku dengan hak menjadi nabi, sesungguhnya membaca satu ayat dari al-Quran pada
malam Qadar adalah lebih disukai Allah daripada mengkhatamkannya pada
malam-malam yang lain.“
Sememangnya pada ketika itu kami (anak-anak
kampung) mengharapkan sangat ‘turun’nya
Lailatul Qadar. Apalah lagi yang perlu kami tunggu dan mengharapkan pada ketika
itu selain daripada menunggu Malam Lailatul Qadar. Mungkin anak-anak zaman ini
tidak faham apa yang aku maksudkan dengan kenyataan,’ Apalah lagi yang perlu
kami tunggu dan mengharapkan pada ketika itu selain daripada menunggu Malam Lailatul
Qadar”
Maksud aku begini. Disebabkan kesusahan dan
kemiskinan yang menghimpit setiap keluarga di kampung, maka tidak ada langsung
‘cahaya kesenangan dan kebahagian’ yang dapat diharapkan. Yang boleh memberikan
kesenangan dan kebahagiaan ialah janji Allah kepada malam Lailatul Qadar. Itu
pun pada ‘hari kemudian’ setelah kita berada di alam lain.
Namun ‘anak-anak kampung’ seperti aku masih
terus menunggu dan menunggu.
Abuhassanadam
24 Julai 2014
Sehingga kini tiada siapa yang telah mendapat nikmat konkrit daripada malam lailatur kadar. Ramai yang belum dapat-dapat masih berkata sabar, tunggu dulu, ini satu ujian dari Allah walaupun dia dah berusia lanjut atau sedang bernazak. Yang dapat mungkin dapat berlakon dengan hebatnya dan jjka pun dapat tak mungkin dia boleh memperihalkan secara mudah dan simple, ia akan kata itu secara abstrak dan dia sama Tuhannya saja yang tahu.
ReplyDeleteKehadiran malam yang bersamaan 1,000 malam beribadah akan tetap diberitahu/dikumandangkan/di'khubahkan' oleh agamawan seperti pak imam/ustaz/pakar motivasi agama pada setiap musim Ramadan dan seperti biasa ramai yang tidak mempunyai kebolehan berfikir atau bertanya akan setia menunggunya bagaikan buah tak kunjung jatuh. Logiknya bagaimana boleh disamakan membuat ibadah seperti memuji Allah/Muhammad sama ada berwirid/solat/berdoa berjela-jela tanpa mengetahui/menghayati pengertian doa itu boleh menjadi asas mendapat nikmat 1,000 malam beribadat jika dibandingkan dengan melakukan kerja-kerja konkrit seperti membantu golongan yang kurang bernasib baik atau menegakkan keadilan Islam? Wallahualam.
Jangan la terlalu menggunakan akal logik sangat...lailatul qadar memang telah dijanjikan....
Delete