BERSAHUR DI ULU MENGKUANG
Aku ditempatkan di kampung Ulu Mengkuang. Sekolah
Kebangsaan Ulu Mengkuang, Selama, Perak. Penempatan pertama aku sebagai seorang
guru selepas tamat menerima latihan di maktab perguruan. DTC Taiping Perak.
Tahun 1965.
Ulu Mengkuang adalah sebuah kawasan pendalaman.
Desa pingitan ketika itu. Awal tahun 1960an. Kini Ulu Mengkuang sudah banyak
berubah. Kali terakhir aku melawati Ulu Mengkuang pada tahun 2012. Sememangnya
sudah banyak berubah. Sudah terbina sebatang jalan raya yang boleh terus ke
Ijok, sebuah pekan kecil berhampiran dengan Batu Kurau, Perak.
Sebelum aku sampai ke kampung ini, aku tidak
pernah dengar nama Ulu Mengkuang. Belum ada Google Map untuk mencari dimana
letaknya kampung Ulu Mengkuang. Apabila saja aku menerima arahan pertukaran ke
Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang, puas aku bertanya kawan-kawan di mana
letaknya Ulu Mengkuang. Yang peliknya Pejabat Pelajaran Perak pada ketika itu
tidak pula menyatakan dalam surat pertukaran itu alamat penuh sekolah
berkenaan. Sepatutnya ditulis,’ Sekolah Kebangsaan, Ulu Mengkuang, Rantau
Panjang, Selama, Perak’ Sekiranya begitu alamatnya, maka tahulah aku bahawa
sekolah Ulu Mengkuang terletak di Selama, Perak.
Ulu Mengkuang pada ketika itu sememangnya sebuah
kawasan pendalaman. Sebenarnya tidak jauh dari Taiping. Hanya 60 kilometer.
Maknanya jika dilihat dari sudut tahun 2014, kita boleh sampai ke Ulu Mengkuang
dalam masa 1 jam dari Taiping. Tapi pada tahun 1965, aku bersama dengan ibuku
mengambil masa 3 atau 4 jam untuk sampai ke Ulu Mengkuang. Apa tidaknya.
Menaiki bas dari Taiping ke Selama, perak
mengambil masa 1 jam 30 minit. Dan dari Selama ke Rantau panjang yang jauhnya
hanya 5 km mungkin mengambil masa 30 minit ( kerana sentiasa ‘dihalang’ oleh
binatang seperti lembu, kerbau dan kambing yang sentiasa berkeliaran di tengah
jalan raya). Dari pekan kecil Rantau Panjang ke kampung Ulu Mengkuang adalah
sejauh 8 km melalui jalan tanah merah dan terpaksa juga melalui batas sawah
padi. Tidak ada kenderaan awam (yang sah) ke kampung Ulu Mengkuang. Yang ada
hanya ‘kereta sapu’. Itu pun separuh jalan disebabkan tidak ada jalan raya yang
menghubungkan ke Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang.
Di Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuanglah tempat aku
mula-mula menempa sejarah hidup ku ketika berumur 20 tahun setelah ‘graduate’
dari LCE (PMR) dan menjadi guru terlatih setelah tamat maktab perguruan. Aku
bergelar ‘Cikgu”. Dan Ulu Mengkuang tidak akan dapat aku lupakan. Malah hampir
semua murid-murid yang akau ajar dari tahun 1965 sehingga 1970 ( tak ramai pun.
lebih kurang 150 orang ) aku ingat belaka nama mereka. Malah nama ‘glamour’
mereka pun aku ingat. “Din Botol Kicap’ misalnya.Aku meninggalkan sekolah
berkenaan pada tahun 1970 untuk meneruskan perjalanan hidup ku ke University
Malaya.
Tentulah banyak peristiwa manis yang aku alami ketika berada di Ulu
Mengkuang. Kisah pahit tentunya ada juga. Namun disebabkan terlalu banyak yang
‘manis’ maka yang ‘pahit ‘ itu akan hilang dengan sendirinya. Akan ku coretkan
dari masa ke masa kisah-kisah manis ketika berada di kampung yang penuh
nostalgia ini.
Aku sampai ke kampung Ulu Mengkuang pada 1 Januari 1965 ia itu dua hari sebelum hari
persekolahan bermula. Bulan Ramadhan. Ditemani oleh arwah ibu ku. Mungkin
agaknya beliau tidak ‘sampai hati’ melepaskan aku keseorangan merantau di
tempat orang dalam usia yang agak muda begitu.
Aku tidak dapat melupakan peristiwa malam pertama
ketika berada di Ulu Mengkuang. Aku disediakan sebuah ‘rumah guru’. ‘Rumah
Guru’ yang dimaksudkan itu adalah sebuah pondok berdindingkan buluh yang
dianyam (oleh orang kampung) dan beratapkan daun bertam. Lantainya juga buluh
yang dianyam. Seperti ‘dangau durian’.Di situlah tempat aku bermalam bersama
dengan ibuku. Dan di pondok itu jugalah aku akan tinggal selama aku bertugas di
situ. Dan aku tidak tahu selama mana aku akan tinggal dalam keadaan sebegitu.
Suasana bersahur di Ulu Mengkuang meninggalkan
kesan yang amat mendalam dalam benak aku sampai kini. Pastinya aku akan
mengembalikan ingatan aku kepada suasana bersahur di kampung Ulu Mengkuang
ketika menjelangnya bulan Ramadhan. Walaupun di mana aku berada. Suasana
bersahur di Ulu Mengkuang menampakkan satu suasana yang cukup riang bagi
penduduk. Walaupun dalam keadaan kegelapan menyelubungi kampung itu namun
suasana riang itu tetap ada.
Setiap penghuni kampung mempastikan tidak seorang
pun yang akan terlepas dari menikmati makan sahur. Pada ketika itu tentulah
tidak ramai yang memiliki jam loceng untuk mengejutkan mereka dari tidur.
Mungkin tidak ada langsung. Namun disebabkan kerjasama yang begitu erat dari penduduk kampung, telah
menyebabkan tidak ada seorang pun yang tidak akan terlepas dari bersahur.
Jiran-jiran akan mengejutkan antara satu sama
lain. Dan pada malam itu saja aku masih ingat tidak kurang dari lima ‘panggilan’
yang aku terima untuk mengejutkan aku dan ibu dari tidur. ‘Cikgu…sahur Cikgu…’
Begitulah bunyinya panggilan mereka dengan penuh hormat. ‘Panggilan’ sedemikian
akan terhenti setelah mereka melihat (agaknya) cahaya lampu pelita di pondok
aku melalui lubang-lubang dinding buluh menandakan yang aku telah bangun dari
tidur.
Begitulah keadaan penduduk Ulu Mengkuang pada
malam-malam seterusnya pada bulan Ramadhan. Aku tidak dapat pastikan samada
amalan sedemikian masih berterusan sehingga kini. Aku merasakan yang amalan
sebegitu sudah tidak dapat diamalkan lagi terutama dengan berbagai pancaroba
yang menghalang keadaan dan budaya sedemikian dapat diteruskan.
Itulah kisah manis yang dapat aku coretkan mengenai
bersahur di Ulu Mengkuang.
abuhassanadam
4 Julai 2014
sya anak jati kg ulu mengkuang..
ReplyDelete