Tuesday, September 9, 2014

KREDIBILITI PAS YANG SEMAKIN LUNTUR

Keyakinan masyarakat Malaysia terhadap PAS semakin terhakis ekoran daripada beberapa tindakan pemimpin tertingginya yang seolah-olah tidak berpendirian tegas dan sentiasa berdoal-dalik mengenai sesuatu isu. Keadaan ini merupakan keadaan yang amat malang bagi parti ini yang sudah sekian lama berusaha untuk mendapatkan kepercayaan rakyat Malaysia terutamanya rakyat bukan keturunan Melayu.

Tidak siapa yang dapat menafikan bahawa kejayaan calon PAS menawan kerusi parlimen atau DUN pada PRU 13 yang lepas adalah diatas sokongan golongan bukan Melayu juga, terutama bagi kawasan yang mempunyai majoriti Melayu yang agak tipis. Golongan bukan Melayu telah dapat ‘dijinakkan’ untuk menyokong PAS. Dan ini bukan merupakan sutau usaha yang enteng dan senang. Pemimpin PAS bersama-sama dengan pemimpin Pakatan Rakyat lain (PKR dan DAP) bertungkus lumus untuk meyakinkan rakyat semua kaum bahawa Pakatan Rakyat adalah parti yang memperjuangkan keadilan untuk semua kaum yang tinggal di Malaysia.

Dengan tindakan beberapa orang pemimpin tertinggi PAS berkaitan dengan kemelut politik di Selangor telah menyebabkan golongan muda Melayu yang progresif dan golongan bukan Melayu berfikir banyak kali untuk memberikan sokongan kepada PAS. “Bertubi-tubi’ kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin tertinggi PAS yang menuju ke arah ‘keruntuhan’ keyakinan rakyat terhadap kemampuan PAS meneruskan perjuangan membela rakyat di negara ini.

Yang terakhir dan yang terus menerus melunturkan keyakinan rakyat terhadap PAS ialah apabila Timbalan Presiden dan Setiusaha membuat kenyataan yang agak berbeza ‘arah dan tuju’nya berkaitan dengan pelantikan menteri besar Selangor. Tuan Haji Mat Sabu agak jelas arah tujunya apabila beliau menyatakan bahawa PAS akan menolak sekiranya ADUNnya dilantik sebagai Menteri Besar Selangor berdasarkan keputusan yang telah dibuat oleh jawatankuasa tertinggi PAS. Setiausaha PAS pula menyatakan bahawa PAS tidak dengan tegas menolak jawatan berkenaan dan sebaliknya akan patuh kepada DYMM Sultan Selangor.

Peristiwa ‘ satu persidangan media dan dua kenyataan yang berbeza’ dari dua pemimpin tertinggi PAS ini merupakan antara ‘ the last straw that broke the camel’s back’. Ramai penyokong PAS sudah hampir hilang keyakinan dengan cara dan tindakan beberapa orang pemimpin tertinggi PAS ini. Kelunturan keyakinan ini bukan sahaja dikalangan orang bukan Melayu tetapi juga dikalangan orang Melayu yang merupakan penyokong kuat PAS semenjak PAS mula ditubuhkan.Tentulah ini merupakan peristiwa yang agak malang.

Persoalannya ialah mengapa PAS bertindak demikian?

PAS agak bernasib baik juga lagi kerana masih ada pemimpin PAS yang agak ‘waras’ yang sentiasa mengikuti perkembangan zaman dan perubahan cara berfikir masyarakat di Malaysia dan dunia umumnya, yang berusaha untuk ‘menyelamatkan’ PAS dari terus diketepikan oleh masyarakat muda yang progresif kini.

PAS mungkin juga akan mengkuti jejak langkah UMNO yang kehilangan pengaruh dikalangan generasi muda Melayu khususnya. Tidak ramai dikalangan generasi muda yang masih berpaut kepada perjuangan UMNO khsuusnya Pemuda UMNO berbanding dengan pemuda-pemuda Melayu tahun-tahun zaman kemerdekaan dan pasca kemerdekaan. Pada ketika itu sememangnya UMNOlah merupakan wadah perjuangan generasi pemuda Melayu yang berjuang mendapatkan kemerdekaan tanah air. Dan rentak dan tema perjuangan UMNO itu berterusan tanpa ada perubahan yang drastik seiring dengan cara berfikir anak-anak muda zaman yang berubah.

Kesannya UMNO seolah-olah akan menjadi ‘dinosaur’ akan hilang di bumi Malaysia sekiranya tidak bergerak dan berubah seiring dengan zaman. Hakikat ini sudah disedari oleh UMNO dan sedang bergerak ke arah pemulihan. Tidak diketahui pula sejauh mana kejayaannya.

Kini pemimpin tertinggi PAS menampakkan sudah kehilangan haluan juga. Hendak dikatakan PAS sebuah parti yang berteraskan Islam, maka sudah kelihatan banyak tindakan-tindakan yang dilakukan oleh pemimpin tertinggi mereka amat jauh menyimpang daripada kepimpinan Rasulullah. Dan kepimpinan tertinggi masih mendabik dada mengatakan bahawa itulah cara kepimpinan ala islam, walaupun dilihat dari sudut lain kelihatan sudah ada amalan-amalan yang berbentuk kediktatoran.

Keadaan inilah yang merunsingkan banyak penyokong PAS prograsif yang meletakkan harapan yang terlalu tinggi kepada parti ini untuk bekerjasama dengan PKR dan DAP agar dapat mengubak landskap politik Malaysia pada PRU 14 akan datang. Perkembangan terakhir menampakkan pemimpin tertinggi PAS semacam tidak mahu peduli ‘kehendak’ akar umbi dan golongan progreasif agar PAS ditadbirkan sesuai dengan peradaban Kurun ke21.

Penyokong PAS tegar sudah mula menyuarakan pendapat dan pandangan ia itu demi untuk meneruskan perjuangan PAS dalam Pakatan Rakyat, pemimpin yang sudah ‘lapuk’ cara berfikir harus meninggalkan pertubuhan ini demi untuk merealisasikan hasrat kebanyakan rakyat Malaysia yang terdiri dari berbagai kaum.

Hakikat ini memerlukan satu pengorbanan yang bukan kepalang.

abuhassanadam
9 September 2014



1 comment:

  1. Assalamualaikum. Amat bersetuju dengan pendapat dan ketelusan tuan dalam perkembangan politik terkini.Masyarakat Melayu umumnya bersikap dan bersifat " too polite to tell the truth" baik dalam kalangan agamawan sekalipun.Ini yang menyukarkan untuk berubah.
    Ibnu Khaldun pernah menyatakan bahawa sesuatu yang gah dan mencapai kejayaan yang tinggi pasti akan mengalami merudum dan kejatuhan.Sebelum ini tidak pernah orang bukan Islam menyokong pas, tetapi kini Pas mendapat sokongan dan dokongan masyarakat bukan Islam.Malah kejayaan besar telah tercapai, pernah memerintah Perak, Kedah, Kelantan, Terengganu dan sekarang mungkin dapat Selangor.Jadi ego dan sombong menjadi pakaian manusia tak kira agamawan ataupun apa.Inilah antara keruntuhan yang disebut Ibnu Khaldun tersebut.Terima kasih tuan.

    ReplyDelete