Tuesday, June 9, 2015

PAS PERLU JAGA ‘AIR MUKA’

            PAS tidak akan undur ke belakang lagi. Sekiranya undur parti PAS tidak akan dihormati lagi oleh sesiapa pun, walaupun oleh ahli PAS sendiri. Mungkin yang masih ‘berpaut’ kepada parti ini ialah kumpulan ulama, yang kini  merupakan teras parti tersebut sedangkan yang bukan ulama sudah mula merasakan terpinggir. Dan sudah ada yang merasakan bahawa golongan bukan ulama dianggap sebagai anak tiri dikalangan ahli PAS.

            Kini PAS akan berpisah dengan DAP. Itu keputusan yang telah dibuat oleh Muktamar PAS. Tanpa bahas. Muktamad. Yang agak menghairankan ialah mengapa TG Presiden semacam undur ke belakang apabila beliau mengatakan bahawa keputusan muktamar itu bukan merupakan keputusan muktamad. Keputusan Syura yang akan menentukan segala-galanya. Secara kebetulan pula kenyataan TG Presiden ini dilafazkan setelah ‘mendengar’ yang kerajaan DAP Pulau Pinang mengalu-alukan peletakan jawatan anggota PAS yang memegang berbagai jawatan dalam agensi kerajaan di negeri itu. Dan perlu diingat bahawa kesemua jawatan berkenaan adalah merupakan pelantikan yang ada kaitan dengan parti.

            Ini bermakna sekiranya PAS meneruskan ‘penceraian’nya dengan DAP bermakna kesemua ahli PAS yang bertugas di berbagai-bagai agensi di Pulau Pinang itu akan meletakkan jawatan. Terpaksa meletak jawatan disebabkan dasar parti PAS sudah begitu keadaannya. Ahli PAS perlu taat kepada TG Presiden. Perlu taat kepada kepimpinan ulama. Kena ikut apa yang telah dilakukan oleh Tuan Haji Mat Sabu dan YB Mujahid Yusuf Rawa yang awal-awal lagi sudah mengundurkan diri. Mereka seolah-olah sedar bahawa mereka tidak dianggap sebagai ‘hidung tak mancung pipi tersorong-sorong’. Mereka lah pejuang sebenar.

            Majlis Syura pastinya membuat keputusan sebagaimana yang diputuskan oleh Majlis Ulama kerana difahamkan bahawa ramai anggota Majlis Ulama adalah juga ahli Majlis Syura yang akan membuat keputusan penting. Disebabkan yang mencadangkan agar PAS memutuskan hubungan dengan DAP adalah datangnya dari Majlis Ulama (sebulat suara), maka tentunya para ulama yang membuat keputusan dalam Majlis Syura nanti akan mempertahankan keputusan yang telah termetri. Tentulah ‘hina’ seseorang ulama itu jika berdoalk-dalik atau ‘surung-sentap’ dalam membuat keputusan. Lagipun rasionalnya mereka membuat keputusan untuk tidak bersama dengan DAP adalah sedikit sebanyak menggunakan hujah yang berkaitan dengan agama. Agaknya ler.

            Sebenarnya ekoran daripada tindakan para ulama dalam PAS yang memutuskan hubungan dengan DAP tanpa bahas itu telah menelurkan rantaian kesan-kesan politik yang bertali arus. Disebabkan keputusan yang dibuat itu pastinya tidak akan ditarik balik, maka keadaan politik di Selangor juga akan menimbulkan berbagai masalah. Dan tentunya ‘memeningkan’ kepala YAB Azmin juga. Beliau akan menghadapi satu suasana, ‘di telan mati emak dan diluah mati bapak’.

            Adalah dirasakan sudah mula timbul perasaan yang kurang puas hati dari kalangan ahli PAS sendiri (ulama dan bukan ulama) terhadap keputusan muktamar yang baru lalu. Sekiranya apa yang berlaku di Pulau Pinang dipraktikan juga di Selangor, maka ribuan penjawat agensi kerajaan Selangor yang lantikan mereka berkaitan dengan parti akan terpaksa meletakkan jawatan juga. Mungkin.

            Bezanya di Selangor ialah kedudukan PAS agak kuat ia itu menguasai 15 kerusi Dewan Undangan Negeri sama banyak denga yang dikuasai oleh ADUN dari DAP. Ini bermakna kedudukan PAS dan DAP adalah dipersimpangan dan amat meruncing. Pemimpin PAS (ulama) harus tegas dengan keputusan yang dibuat. Apa yang berlaku di Pualau Pinang begitu jugalah tindakan kerajaan Selangor. Dan sekiranya ada pegawai lantikan politik di Kelantan misalnya dari kalangan DAP, maka seharusnya pegawai DAP berkenaan meletakkan jawatan serta merta. Itu merupakan prinsip dan harus dipegang sekuat-kuatnya.

            PAS tidak akan undur lagi dengan keputusan yang telah dibuat. Jangan. Malu. Sepatutnya isu sebegini difikirkan sehalus-halusnya dan semasak-masaknya oleh ahli Majlis Ulama sebelum dibuat keputusan sebulat suara. Sebulat suara. Maknanya para ulama dalam Majlis Ulama berkenaan tidak merasa ragu-ragu dengan keputusan yang telah dibuat. Begitu juga dengan keputusan Muktamar.

            Keputusan itu tidak boleh diundur lagi. Pantang orang Melayu berdolak-dalik. Jaga ‘air muka’. Jikalau tidak masakan ada peribahasa yang mengatakan,’ terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya……” jikalau ada pun ahli PAS yang merasa agak kecewa dengan keputusan demikian, maka peribahasa Melayu ada juga mengatakan…

            “Nasi sudah menjadi bubur”

abuhassanadam
9 Jun 2015



1 comment:

  1. Salam pak abu
    Ater telan je la bubur tu beramei ramei..sian demer..

    ReplyDelete