Thursday, December 31, 2015

BEG MENGKUANG DAN PAPAN BATU

            Aku masih ingat lagi suasana satu hari sebelum mula penggal persekolahan Darjah 1 di Malay Boys School, Padang Rengas, Perak pada tahun 1951, zaman penjajahan British, setahun sebelum Queen Elizabeth ditabalkan menjadi Queen OF England. Aku ingat benar tarikh Queen Elizabeth ditabalkan disebabkan ‘Hari Corronation’ berkenaan, aku mengambil bahagian dalam perbarisan disekolah merayakan hari yang bersejarah berkenaan sama dengan perayaan yang diraikan oleh kanak-kanak di sekolah Great Britain. Begitulah hebatnya zaman penjajahan!.....

            Debaran untuk masuk sekolah Darjah 1 lebih kurang sama dengan debaran yang aku hadapi ketika menjelangnya hari khenduri ‘masuk jawi’. Sama lebih kurang. Satu kampung tahu yang aku dan beberapa orang anak kampung lain yang sebaya seperti Ngah, Isa akan memulakan persekolahan Darjah 1. Dan sememangnya budaya orang kampung aku pada ketika itu untuk menakut-nakutkan anak-anak yang mahu memulakan persekolahan. Ada anak-anak yang langsung tidak mahu pergi ke sekolah disebabkan ‘ancaman’ dan ‘tekanan’ yang disampaikan oleh ‘pemberi maklumat’ yang salah.

            Selama satu minggu sebelum penggal persekolahan dibuka sudah kedengaran ‘suara-suara sumbang’ yang ‘menasihati’ aku supaya tidak ke sekolah. “Guru-guru garang…jangan main’ antara ‘nasihat’ yang disampaikan kepada aku. Memang pada ketika itu guru-guru sekolah kebanyakannya garang-garang, boleh menggunakan rotan dan ‘tangan’ untuk mendenda murid-murid. Namun begitu tidaklah ada pula yang cedera disebabkan denda yang dikenakan. Segarang-garang Cikgu Samad tidak pernah aku dengar ada anak muridnya yang luka berdarah ‘dikerjakannya’. Malah ramai anak muridnya kini yang masih sayang kepadanya walaupun beliau sudah tidak ada lagi di dunia ini.

            Setiap kali aku pergi ke kedai Pak Alang Brahim, ada saja ‘komen’ dan pertanyaan yang berbentuk ‘nasihat’ yang diberikan oleh mereka. Bukan aku seorang yang mengalami keadaan demikian. Ngah, Isa pun begitu juga. Malah Khalid langsung tidak ke sekolah sepanjang hayatnya. Mungkin disebabkan ‘nasihat’ yang diterima di kedai Pak Alang Ibrahim ataupun disebabkan oleh faktor-faktor lain. Tapi yang jelasnya, Khalid sampai tua tidak ke sekolah. Akhirnya beliau bekerja sebagai pemecah batu di kilang pemecah batu di kaki Gunung Pondok.

            Bukan Khalid seorang dari kampung aku yang mengalami keadaan demikian. Ramai lagi. Hanya beberapa orang sahaja yang berpeluang menikmati alam persekolahan. Berbagai sebab dan alasan diketengahkan. Yang jelasnya pada ketika itu kesedaran terhadap kepentingan pendidikan belum wujud dan kebanyakan ibu bapa hanya mementingkan agar anak-anak mereka dapat menolong mereka di sawah ataupun menoreh getah.

            Setiap kali aku ke kedai Pak Alang Brahim, pasti aku akan menerima berbagai ‘nasihat’ daripada para pengunjung yang berada di kedai Pak Alang Brahim berkaitan dengan alam persekolahan yang akan aku tempuhi itu. Soalan yang pasti aku terima ialah samada tangan kanan aku sudah cukup panjang untuk menjangkau telinga kiri melalui bubun kepala. Jikalau belum boleh berbuat demikian, maka belum ‘layak’ lagi untuk memasuki Darjah Satu. Semacam itu syaratnya untuk memasukki Darjah Satu dan bukan usia. Kami anak-anak percaya dengan ‘syarat’ demikian.

            Aku teryakin dengan ‘syarat’ itu kerana kebanyakan rakan-rakan aku yang berada dalam Darjah Satu kesemuanya sudah dapat memenuhi ‘syarat’ berkenaan. Dapat menjangkau telinga kiri dengan menggunakan tangan kana. Hanya beberapa orang saja dalam kelas Darjah Satu ketika itu yang berumur enam tahun. Lebih separuh yang berumur melebihi enam tahun. Dan mungkin ada yang menjangkau usia sepuluh atau dua belas tahun. Dan penjajah British memang ‘baik hati’ membenarkan juga kanak-kanak (Melayu) yang terlebih umur untuk memasukki Darjah Satu dan memulakan persekolahan. Walaubagaimana pun tujuan British memberikan peluang kepada anak-anak Melayu mendapat pelajaran hanyalah ‘untuk menjadikan mereka petani yang baik daripada ibu bapa mereka’. Itu kata R.O Wintedt, pegawai British yang pernah bertugas dalam zaman penjajahan.

            Sebenarnya tidak ada pun persediaan persekolahan yang perlu disediakan pada ketika itu. Yang pentingnya arwah emak dan bapak aku sentiasa memberikan keyakinan kepada aku seolah-olah cuba memberi rangsangan kepada aku dan menafikan ‘nasihat-nasihat’ yang diberikan oleh para ‘penasihat’ yang sentiasa berada kedai Pak Alang Brahim. Kadang-kadang aku juga merasa hairan mengapalah orang Melayu selalu memainkan peranan melemahkan semangat seseorang, terutama dalam usaha untuk membawa kebaikan. Ini dapat diperhatikan dalam kebanyakan lapangan yang ingin diceburi oleh orang Melayu. Lebih banyak yang melemahkan berbanding dengan galakan yang memberikan semangat.

            Jikalau tidak kuat semangat yang diberikan oleh arwah emak, bapak, Atuk, Opah mungkin aku juga sama seperti Khalid yang tidak ke sekolah dan berakhir dengan bekerja di kilang Pecah Batu di kaki Gunung Pondok. Nasib baiklah arwah emak dan bapak tidak pernah berganjak walau seinci sekali pun daripada hasrat dan cita-cita untuk memberi pelajaran kepada aku.

            Yang perlu aku bawa ke sekolah ialah sekeping papan batu dan dan sebatang kalam ia itu bahan tulis yang diperbuat daripada batu juga. Itu saja. Tidak ada buku tulis ataupun buku teks. Tidak ada. Dan sumbangan Opah untuk persediaan persekolahan aku ialah sebuah ‘beg’ yang diperbuat daripada mengkuang yang dianyamnya sendiri. Itulah merupakan beg sekolah aku sehingga berada dalam darjah Tiga. Setiap tahun Opah akan menyediakan beg mengkuang yang baru dianyamnya.

            Deraian kokok ayam membangunkan kami sekeluarga. Dan ‘berarak’lah aku bersama Opah menuju ke telaga yang terletak tidak berapa jauh dari rumah kami, untuk mandi pagi. Setelah selesai minum pagi bersarapankan rebus ubi, bertolaklah aku ‘membelah’ kabus pagi bersama bapak, menempuh alam baru –alam persekolahan.

abuhassanadam
31 Disember 2015








Wednesday, December 30, 2015

‘JERITAN BATIN’ – ‘PENYAKIT’ YANG DIHADAPI OLEH  PEMIMPIN NEGARA KINI

            Isu IMDB masih belum selesai. Belum habis. Masih panas dibincangkan oleh rakyat. Bukan sahaja dikalangan rakyat di bandar, malah dikalangan pelajar-pelajar pusat pengajian tinggi, pelajar-pelajar sekolah menengah (rendah juga), sudah mula membincangkan isu IMDB dan wang RM2.6 billion yang tersimpan dalam akaun peribadi DS Najib Tun Abdul Razak.

            Sudah agak ‘berbuih’ mulut segelintir menteri kabinet menjelaskan bahawa wang dalam jumlah yang begitu besar itu adalah merupakan sumbangan, hadiah, derma dari seorang dermawan dari negara Arab (kononnya). Namun rakyat Malaysia tidak mahu yakin dan percaya tentang penjelasan sedemikian. Dan yang anihnya rata-rata ahli UMNO yang hadir dalam Perhimpunan Agung UMNO di PWTC baru-baru ini seolah-olah percaya bulat-bulat apa yang dijelaskan oleh pemimpn mereka.

            Keadaan sebeginilah yang boleh ‘memeningkan’ kepala siapa sahaja yang melihatkan ‘perkembangan’ ini. Majoriti rakyat Malaysia, dari semua lapisan masyarakat merasakan bahawa ada yang tidak kena mengenai IMDB sedangkan ahli UMNO ( dan mungkin juga beberapa orang pemimpin tertinggi PAS juga ) yakin dengan tindakan yang dilakukan oleh Perdana Menteri itu. Tidak pernah terdetik ‘suara’ dari mereka yang merasakan ragu-ragu dengan tindakan DS Najib mengenai isu IMDB itu.

            Punca yang menyebabkan rakyat masih berada dalam keraguan mengenai isu IMDB ini adalah berpunca daripada beberapa tindakan pihak tertentu yang menyokong tindakan DS Najib itu. Bermula daripada tindakan awal beberapa orang menteri dan timbalan menteri yang mengeluarkan kenyataan mengenai IMDB sudah mula menimbulkan keraguan dan persoalan yang ‘bersimpang sior’. Kemudian diikuti dengan beberapa tindakan drastik yang dilakukan oleh pihak kerajaan terhadap beberapa orang pegawai tinggi yang diketahui rapat hubungan dengan persoalan IMDB. Rakyat melihat tindakan sedemikian sebagai sesuatu yang tidak berapa kena. Lantas rakyat terus mempersoalkan tindakan-tindakan sedemikian.

            Kini pendedahan demi pendedahan dilakukan oleh media dan blog-blog antarabangsa mengenai IMDB. Walaupun dinafikan kesahihan berita dari sumber-sumber berkenaan, namun selagi tidak ada tindakan undang-undang terhadap media tertentu, atau blog-blog tertentu maka rakyat akan tetap berpegang kepada apa yang dikatakan oleh media berkenaan. Rakyat tentu hairan mengapa pihak kerajaan atau khususnya DS Najib sendiri tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap media-media tertentu yang terang-terang menjatuhkan imej Perdana Menteri dan nama negara Malaysia, sedangkan DS Najib terus ‘melenting’ terhadap tindakan Yang Berbahagia Tun Ling Liong Sik baru-baru ini. Rakyat pasti mempersoalkan ‘double standard’ sedemikian.

            Sebenarnya aku tidak layak langsung untuk memperkatakan isu seberat ini. Bukan aku orangnya yang boleh memperkatakannya. Cuma kali ini aku hanya mahu menyentuh dan meninjau tentang satu aspek kehidupan manusia yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan isu IMDB. Telah diandaikan bahawa mengikut sumber-sumber dari kalangan tertentu (mungkin tidak sah kesahihannya) bahawa Wang sejumlah RM 2.6billion yang tersimpan dalam akaun DS Najib itu bukan untuk digunakan oleh DS Najib sendiri secara peribadi. Wajg itu adalah untuk kegunaan dan kepentingan ‘perjuangan ‘ UMNO, untuk digunakan membiayai ‘perjuangan’ pemimpin UMNO. Maknanya wang sejumlah itu ‘diagih-agihkan’ kepada pemimpin UMNO demi ‘perjuangan’ UMNO membela bangsa dan negara. Begitulah agaknya. Tak tahulah aku…

            Diandaikan begitu, apakah para pemipin UMNO disetiap peringkat tidak merasa bimbang dan sedih menerima wang sedemikian walaupun dikatakan demi ‘perjuangan ‘ UMNO. Apakah para pemimpin UMNO di setiap peringkat dengan senang hati menerima wang ‘titik peluh’ rakyat yang disalahgunakan demi kepentingan parti politik UMNO (BN). Apakah tidak ada langsung hati dan perasaan dan para pemimpin UMNO untuk menyoal dan mempersoalkan ‘kesucian’ wang yang diterima oleh mereka daripada DS Najib itu.

            Apakah para pemimpin UMNO terutamanya wakil-wakil rakyat dan Ketua-ketua Bahgian / cawangan UMNO yang telah menerima ‘sumbangan’ daripada pihak-pihak tertentu boleh lelap mata mereka apabila mengenangkan wang yang mereka terima itu adalah daripada ‘titik peluh’ rakyat Malaysia yang termasuk juga para petani dan peneroka FELDA dan nelayan. Apakah tidak ‘terdenyut’ dihati para penerima ‘sumbangan’ demikian bahawa yang diajar oleh ibu bapa dan guru-guru mereka dahulu amat bertentangan dengan apa yang sedang mereka lakukan. Apakah mereka sudah lupa bahawa wang yang mereka gunakan untuk memberi ‘makan dan minum’ anak-anak mereka itu belum tentu lagi tentang kesahihan ‘halal-haramnya’.

            Mungkin juga para penerima sumbangan sedemikian sudah tidak ada lagi hati dan perasaan untuk menilai dan merenung tentang betul tidaknya tindakan mereka itu. Mungkin golongan sedemikian sudah begitu terbuai dan terlalai dengan kemewahan dan kekayaan yang melimpah ruah hasil dari ‘perjuangan’ mereka ‘memerah keringat rakyat’.

            Atau mungkin juga mereka sentiasa menangani jeritan batin yang sentiasa menjerit…….

abuhassanadam

30 Disember 2015

Tuesday, December 29, 2015

DERITA RAKYAT: ADA MENTERI TAK FAHAM ATAU PURA-PURA TAK FAHAM

            Pernah aku terbaca kenyataan Saudara Lee Kuan Yew ketika ditemuramah oleh beberapa orang professor dari Harvard University tentang tindakan beliau menangani masalah rasuah di Singapura ketika zaman awal pentadbirannya dahulu. Dengan jelas beliau menyatakan yang beliau sendiri terpaksa ‘turun padang’ untuk menyelesaikan masalah itu. Pendek kata Perdana Menteri sendiri terpaksa ‘menyinsing lengan’ demi untuk menyelamatkan Singapura daripada ‘kehancuran’ disebabkan oleh merebaknya gejala rasuah pada ketika itu.

            Dugaan  awal yang ditemuinya ketika ‘memerangi’ gejala berkenaan ialah ketika rakan karibnya sendiri yang terlibat dan meminta bantuan dan jasa baiknya mendapatkan pengampunan. Betul-betul beliau dalam keadaan ,’ telan mati emak dan luah mati bapak’. Walau bagaimana pun mengikut penjelasannya beliau menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan keadilan. Dan dua hari selepas beliau membuat ‘keputusan’ berkenaan, rakannya itu telah mengambil keputusan membunuh diri dengan terjun dari sebuah bangunan.

            Begitu sekali pengorbanan yang dilakukan oleh seorang Perdana Menteri demi untuk meyakinkan rakyat bahawasanya beliau betul-betul serious dalam menangani gejala berkenaan. Dengan menunjukkan contoh sedemikian telah menyebabkan para pegawai yang terbabit dalam pencegahan rasuah yakin bahawa sebenarnya kepimpinan negara betul-betul berhasrat untuk menghapuskan gejala berkenaan di negara berkenaan dan bukan setakat ‘melepaskan batuk di tangga’ ataupun hanya sebagai mengabui mata rakyat semata-mata.

            Sehubungan dengan isu ini, rakyat di Malaysia sebenarnya mengharapkan sangat agar pihak pemimpin negara khususnya para menteri yang bertanggungjawab ataupun SPRM mengambil langkah yang betul-betul serious menangani kegiatan rasuah di dalam negara ini. Mungkin telah ada tindakan yang telah dilakukan. Tidak dapat dinafikan. Namun rakyat masih merasakan bahawa masih ada ruang-ruang yang boleh dilakukan demi untuk benar-benar meyakinkan rakyat agar masalah rasuah ini dapat dibendung dan mungkin belum lagi terlambat.

            Walaupun para menteri negara ini terpekik dan terlolong melalui radio dan TV arus perdana menjelaskan kepada rakyat tentang tindakan-tindakan yang mereka jalankan demi untuk membangun dan membela rakyat, namun rakyat terbanyak masih merasakan bahawa pemimpin di negara ini masih belum melaksanakan tugas membela rakyat dengan sepenuhnya.

            Apakah begitu rupanya tindakan rakyat Malaysia yang semacam tidak mengenang budi itu? Apakah rakyat Malaysia hanya memejamkan mata dan menafikan sumbangan yang telah diberikan oleh kerajaan?. Apakah sumbangan BRIM yang diberikan itu bukan merupakan pemberian ‘ikhlas’ dari kerajaan?

            Peribahasa Cina ada mengatakan bahawa sekiranya mahu memberikan pertolongan antara joran dan ikan, maka lebih baik diberikan joran daripada diberikan ikan kepada yang menerima.Dengan memberikan ikan hanya untuk sekali makan sedangkan jika joran diberikan boleh digunakan untuk sepanjang masa bagi menangkap ikan. Mungkin jugalah para menteri kita mempunyai hujah yang tertentu untuk menangkis hujah yang dikemukakan ini. Mungkin.

            Sebenarnya sebilangan besar rakyat Malaysia pada ketika ini sedang dalam derita. Mungkin para menteri kita tidak mendengar rintihan dan tangisan rakyat ketika ini yang sedang bergelumang dengan kenaikan harga barang khsususnya dalam suasana penggal persekolahan hendak bermula.Hampir tidak percaya tentang bagaimana seorang bapa yang berpendapatn sederhana menyelesaikan masalah yang dihadapi kini. Membeli pakaian dan kelengkapan sekolah anak-anak, tambang bas dan van yang perlu difikirkan, yuran sekolah yang juga perlu dijelaskan apabila penggal persekolahan bermula nanti.

            Apakah nyenyak tidur si bapa dan si ibu mengenangkan masalah yang dihadapi kini. Apakah masih boleh mengukirkan senyuman si bapa dan si ibu mengenangkan derita yang dihadapi  oleh mereka dalam usaha untuk memberikan pelajaran dan pendidikan kepada anak-anak.

            Tahukah dan sedarkah para menteri kita tentang derita yang sedang dihadapi oleh rakyat terbanyak kini. Mungkin jawapan yang diberikan oleh mereka ialah bahawa mereka lebih tahu dan peka dengan keadaan yang dihadapi oleh rakyat. Syukur. Dan apakah tindakan yang betul-betul berkesan yang sedang dilakukan oleh pihak berwajib menangani masalah berkaitan. Berapa keratkah menteri yang sanggup betul-betul ‘turun padang’ menyelesaikan masalah rakyat seperti mana yang pernah dilakukan oleh Saudara Lee Kuan Yew dalam menyelsaikan berbagai masalah yang dihadapi oleh rakyat Singapura pada suatu ketika dahulu.

            Kini banjir datang lagi membadai di Pantai Timur. Ada perbezaannya antara banjir yang berlaku di utara England dengan banjir yang berlaku di Pantai Timur kini. Di England, sehari selepas berlakunya banjir di sana, maka Perdana Menterinya terus membuat kenyataan, mengambil tindakan drastik menyelesaikan masalah banjir di kawasan berkenaan. Dan terus bersama-sama ‘mengharungi’ banjir untuk mengetahui sebenarnya masalah yang dihadapi oleh rakyat.Pendek kata Perdana Menterinya sama-sama ‘turun padang’ sebagaimana Lee Kuan Yew ‘turun padang’ menyelesaikan masalah rasuah di Singapura pada suatu ketika dulu.

            Rakyat Malaysia amat ‘dahagakan’ keadaan sedemikian.

abuhassanadam
29 Disember 2015



            

Monday, December 28, 2015

KAMBING SEEKOR

            Akhirnya rahsia itu terbongkar juga. Semenjak zaman berzaman arwah bapak aku menyimpan rahsia berkenaan sehinggalah setelah aku dan adik aku dikira berjaya dalam pelajaran barulah ‘pecah’ rahsia yang tersimpan buat beberapa lama. Itupun setelah aku ‘cungkil’ dan ‘cungkil’ buat beberapa ketika.

            Aku hairan bagaimana arwah bapak tidak pernah mengeluh dan merintih ketika menyekolahkan kami (aku dan adik aku), sedangkan aku sedar bahawa arwah bapak aku hanya petani biasa. Bersawah dan menoreh getah. Itulah pekerjaannya untuk menyara hidup kami sekeluarga. Memang susah!

            Tetapi seingat aku, sepanjang sejarah persekolahan kami arwah bapak tidak pernah mengeluh,menyatakan kesempitan hidup dan kesusahannya menyediakan pendidikan kepada kami. Dan kami disekolahkan di sekolah orang putih pulak. Pada ketika itu memang tidak ramai ibu bapa Melayu yang menghantar anak belajar di sekolah Inggeris. Aku belajar di Clifford School dan adik aku di Government English Girls School. Kesemuanya di Kuala Kangsar.

            Dari kampung aku tidak ramai yang belajar di sekolah Inggeris. Dan untuk pelajar perempuan hanya adik aku seorang. Dan aku kadang-kadang merenung kembali tentang ‘terkehadapan’nya pemikiran arwah bapak ketika itu yang begitu ‘berani’ mendahului zaman, menyekolahkan kami di sekolah Inggeris sedangkan pada ketika itu tindakannya yang sedemikian sudah dianggap bertentangan dengan norma-norma kehidupan di kampung kami. Takut anak-anak menjadi Kristian sekiranya disekolahkan di sekolah Inggeris!....

            Yang lebih ‘terkehadapan’ pemikiran arwah bapak aku (mengikut pandangan aku) ialah kebolehannya merahsiakan penderitaan yang dialaminya ketika memberikan pendidikan kepada anak-anak. Seingat aku tidak pernah sekalipun dalam sejarah persekolahan kami, arwah bapak tidak menunaikan tanggungjawabnya kepada aku dan adik aku dari segi perbelanjaan persekolahan. Tidak pernah satu hari pun kami ke sekolah tidak dibekalkan dengan wang saku (walaupun hanya 20 sen seorang). Tidak pernah sekalipun seingat aku yang arwah bapak gagal membayar yuran sekolah apabila diperlukan oleh sekolah. Pendek kata apa saja keperluan dan perbelanjaan yang diperlukan demi persekolahan akan ditunaikan oleh arwah bapak.

            Dalam perbualan dengan aku dan adik aku (setelah kami masing-masing berkeluarga) pada suatu hari, arwah bapak  ‘membocorkan’ rahsianya.

            “ Ada ketikanya aku tidak ada duit langsung…’ katanya memulakan penceritaannya. Kemudian dia menyambung, ‘tapi aku tidak mahu memberitahu anak-anak yang aku tidak ada duit. Kadang-kadang untuk perbelanjaan duit poket pun tidak ada…dan aku terpaksa pergi pinjam dengan Alang Brahim ( pemilik kedai runcit di kampung aku). Bila ada duit aku bayar…..aku tak mahu anak-anak susah hati bila belajar, mengenangkan bapak tidak ada duit. Aku tak mahu anak suasah hati. Tugas anak belajar. Tugas aku cari wang untuk bagi pelajaran. Bagi anak-anak menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran………” Bapak terus berserita.

            Tidak aku sedari air mata ini menitik setitik demi setitik mengenangkan pengorbanan arwah bapak.

            Bapak menceritakan bagaimana mereka (arwah emak dan bapak) memperolehi wang yang agak besar jumlahnya untuk membeli buku-buku teks pada setiap hujung tahun. Pada ketika itu (zaman penjajahan) tidak ada buku-buku teks percuma yang disediakan oleh kerajaan. Setiap pelajar perlu membeli buku teks dengan perbelanjaan sendiri. Untuk menyediakan wang bernilai RM 40 (untuk membeli buku teks) pada ketika itu adalah amat sukar sekali bagi petani miskin seperti arwah bapak.

            “Itu sebab aku bela (ternak) kambing…” kata bapak. ‘ Setiap hujung tahun aku jual dua ekor. Untuk belanja beli buku sekolah ’mikeme’ (kamu semua)…..harga seekor RM40. Jadi aku jual dua ekor dapat RM80. Cukup untuk beli buku sekolah untuk dua orang (aku dan adik aku)”

            Sekali lagi aku mengeluarkan sapu tangan dari kocek aku untuk menyapu air mata yang mula berair.

            Sengaja aku kisahkan cerita penderitaan petani miskin sepertimana yang dialami oleh arwah bapak aku sendiri untuk menyekolahkan anak-anak. Aku terdorong untuk mencoretkan kisah ini bersempena dengan saat dan ketika penggal persekolahan akan dibuka tidak lama lagi. Dan aku amat faham dan mengerti penderitaan yang akan dialami oleh ratusan ribu ibu bapa di negara ini untuk menyediakan buku sekolah, pakaian sekolah, perbelanjaan lain yang terpaksa ditanggung oleh ibu bapa di negara ini.

            Yang amat menyedihkan aku ialah tentang kos sara hidup yang semakin menekan dan menghimpit setiap rakyat di negara ini apatah lagi ketika penggal persekolahan akan dibuka. Pelajaran adalah paling penting dan perbelanjaan lain juga penting.

            Apakah nasib yang dialami oleh ibu bapa kini sama dengan derita yang dialami oleh arwah bapak aku dalam zaman penjajahan British dulu?....

            Mungkin…..

abuhassanadam

28 Disember 2015