Sunday, December 13, 2015

SELANGOR MENANG!!..APA MAKNANYA?

Terlebih dahulu dihulurkan sekalungan ucapan TAHNIAH kepada YAB DS Azmin Ali kerana kemenangan pasukan bola Selangor memenangi Piala Malaysia setelah ‘kemarau’ selama 10 tahun. TAHNIAH juga kepada Saudara Azmmin suami isteri dalam suasana menyambut menantu baru pada malam yang bersejarah nanti – pada malam ini!!..

            Kemenangan pasukan bola sepak Selangor pada perlawanan malam semalam mengalahkan pasukan Kedah amat besar ertinya kepada negeri Selangor. Begitu besar makna yang terserlah. Bukan hanya bermakna bahawa Selangor sudah mula menampakkan ‘taringnya’ dalam arena bola sepak negara, tetapi dengan kemenangan ini telah menaikkan semangat  rakyat Selangor untuk terus maju dalam lapangan-lapangan lain yang bukan sahaja tertumpu kepada sukan bola sepak.

            Seingat aku Selangor sememangnya ‘hebat’ dalam arena bola sepak negara pada tahun-tahun kecemerlangannya. Bermula dengan Ghani Minhat sampailah kepada Mokhtar Dahari, Abdullah Noordin ( orang Perak yang bertugas di Selangor) dan beberapa pemain lain, sememangnya nama Selangor sentiasa ‘meniti’ dibibir para peminat bola sepak tanah air. Pendek kata dalam perlawanan akhir ‘Malaya Cup’ atau ‘Malaysia Cup’ atau Piala Malaysia, pastinya nama negeri Selangor akan berada di pertandingan akhir. Cuma pada hari akhir-akhr ini nama Selangor agak ketinggalan dan jarang didengar untuk ‘terlibat’ dalam pertandingan akhir atau pun separuh akhir.

            Perlu juga disebut tentang prestasi negeri Perak (negeri aku tu) dalam arena bola sepak negara. Antara Perak dan Selangor boleh dikatakan sama-sama ‘gagah’ dalam sukan bole sepak ini antara tahun-tahun 1950an dan 1990an. Pada ketika itu walaupun johan pertandingan Piala Malaysia sentiasa diungguli oleh Selangor, namun kehebatan Perak jangan dilupakan. Maknanya Perak sentiasa di peringkat perlawanan akhir menentang Selangor. Aku masih teringat tentang kehebatan Yusuf Bakar (penjaga gol Perak dan negara) dan Ahmad Nazari yang turut mengharumkan nama negri Perak pada ketika itu.

            Bagi aku kemenangan Selangor pada malam semalam amat besar ertinya bagi negeri dan rakyat Selangor. Kemenangan pasukan bola sepak Selangor itu boleh dijadikan ‘demarcation line’ yang membahagikan Selangor ‘sebelum’ dan ‘selepasnya’. Mungkin ada ‘petunjuk’ lain yang boleh dijadikan ukuran tentang taat setia dan sokongan rakyat terhadap kepimpinan negeri. Namun bagi aku kemenangan itu boleh dijadikan ukuran yang amat penting mengukur tentang ketaatsetiaan rakyat Selangor kepada kepimpinan negeri terutama DYMM Sultan Selangor dan kepimpinan YAB DS Azmin Ali selaku Menteri Besar Selangor.

            Telah aku katakan bahawa kemenangan pasukan bola sepak Selangor itu amat besar ertinya. Kemenangan itu bukan saja disebabkan oleh para pemain pasukan Selangor hebat dari segi tektik permainan tetapi yang lebih penting ialah semangat juang yang tinggi para pemain dan keseluruhan pentadbiran pasukan Selangor.  Orang tua-tua pernah berkata, ‘ jikalau hati sudah suka, semuanya indah belaka’. Maknanya sekirannya semua pihak sudah bergembira dan bersemangat untuk ‘berjuang’, maka setiap perjuangan itu pasti berjaya.

            Aku masih teringat bagaimana pasukan Thomas Cup kita memenangi Thomas Cup, merampas kembali piala berkenaan daripada Indonesia (atapun China- aku tak berapa ingat) pada awal tahun 1990an. Penglibatan Tun Dr. Hasmah Ali (isteri Perdana Menteri pada ketika itu) secara bersungguh dan penuh ikhlas telah memberikan semangat juang yang bukan sedikit kepada pemain kita (keluarga Haji Sidek – Jailani, Razif dan Rashid) sehinggakan Malaysia berjaya merampas kembali Thomas Cup yang sentiasa kita miliki semenjak tahun-tahun 1950an.

            Nampak jelas bahawa kemenangan pasukan kita bergantung kepada suasana kepimpinan sesebuah negeri atau negara. Pasukan bola sepak Malaysia pernah berada di puncak kecemerlangan, sehinggakan pernah mengambil bahagian dalam Olympik di Munich pada suatu ketika dulu. Pasukan Malaysia pernah dengan mudah menewaskan pasukan bola sepak Jepun atau Korea Selatan dalam pertandingan Piala Merdeka pada tahun-tahun 1970an. Mungkin (dan aku amat yakin) kemenangan sedemikian disebabkan suasana ‘kebahgiaan dan keriangan’ yang telah diwujudkan oleh kepimpinan negara. Jangan dilupakan nama-nama seperti Tunku Abdul Rahman, Dato Harun Idris, Dato Murad (Penguasa Penjara Malaysia) yang telah bersungguh dan dengan ikhlas mengharumkan boa sepak negara.

            Rakyat Selangor sedang bersorak riang dan bergembira dengan kemenangan pasukan bola sepak Selangor semalam. Bermakna bahawa kemenangan itu menunjukkan rakyat sentiasa berdoa agar negeri Selangor terus berjaya dibawah kepimpinan Menteri Besar YAB DS Azmin Ali. Bermakna rakyat akan terus berada dibelakang dalam apa juga perancangan yang ingin dilakukan oleh YAB Menteri Besar.

            Ini juga bermakna bahawa dalam ap juga bidang yang hendak dilakukan, rakyat pasti akan bersama. Dan sudah sampai masanya negeri Selangor menunjukkan contoh kepada negeri-negeri lain tentang kemajuan yang hendak dicapai yang bukan sahaja terhad kepada bidang sukan tetapi dalam bidang-bidang lain.
·      Hendaknya dari segi ekonomi Selangor berada dimedan hadapan
·      Dari segi pendidikan Selangor sentiasa mengunggulinya.
·      Lapangan sukan dan kebudayaan, nama Selangor sentiasa disebut-sebut. Dan lain-lain.

            YAB Menteri Besar haruslah memikirkan program negeri dalam kerangka yang lebih besar. YAB Menteri Besar harus melihat tentang kemajuan yang telah dicapai oleh Singapura. Tidak salah rasanya kita mencontohi kebaikan-kebaikan yang telah dilakukan oleh Singapura. Selangor mampu untuk melaksanakan apa yang telah dilakukan oleh Singapura.

            Rakyat Selangor pasti menyokong apa saja tindakan kepimpinan negeri demi untuk kemajuan rakyat Selangor dengan tidak memilih bangsa dan agama. Lakukanlah demi rakyat Selangor.

            Aku yakin, Saudara Azmin boleh melakukannya.

abuhassanadam
13 Disember 2015

London

No comments:

Post a Comment