Tuesday, November 22, 2016

'KAYA DENGAN KEMISKINAN'

            Musim peperiksaan di Malaysia sudah bermula. Dan tentulah aku teringat suasana ketika aku juga sibuk bersiap sedia menghadapi peperiksaan, masa kecil-kecil dulu.

            Bagi aku dan anak-anak kampung yang lain yang amat ‘kaya dengan kemiskinan’, peperiksaan yang akan dihadapi adalah merupakan ‘pertarungan hidup mati’. Sebenarnya tujuan persekolahan pada ketika itu ( bagi aku ler) bukan untuk menuntut ilmu tetapi untuk mendapatkan ‘tiket’ mencari pekerjaan. Mungkin arwah bapak aku menghantar aku ke sekolah dengan tujuan mendapatkan ilmu. Mungkin. Tetapi ramai orang kampung yang melihat bahawa lulusan sekolah Inggeris pada ketika itu pastinya akan mendapat pekerjaan yang baik. Untuk jadi D.O ( District Officer – Pegawai Daerah).

            Walaupun begitu ganjaran yang berada di hadapan mata, namun tidak ramai pula ibu bapa di kampung aku yang menghantar anak mereka ke sekolah Inggeris. Banyaklah alasan yang diberikan. Pun begitu, ramai juga kawan-kawan sebaya aku tidak langsung ke sekolah. Sekolah Orang Putih pun tidak, sekolah Melayu pun tidak. Manaf, Zainal, Khalid sudah mula menoreh getah ketika berumur 13 tahun. Sayang….  

            Aku teringat kisah bagaimana aku menduduki pepepriksaan waktu dulu-dulu. Awal tahun 1960an. Negara baru saja mencapai kemerdekaan. Masih terasa lagi bahang zaman British. Masih ada lagi pegawai-pegawai British yang berkhidmat di jabatan kerajaan di Malaysia. Pengetua Clifford School Kuala Kangsar, Mr JF Porter dan selepas itu Mr. Bumnford baru saja pulang ke England dan digantikan oleh Mr. Karam Singh.

            Awal tahun 60an masih tidak banyak bahan bacaan untuk ditelaah sebelum menduduki peperiksaan. Bukan macam sekarang. Yang ada hanyalah buku teks. Maka buku tekslah sahaja yang akan dibaca. Apa ‘yang ‘dikatakan’ oleh buku teks maka itu sajalah yang akan ‘ditumpahkan’ semula ke dalam jawapan peperiksaan. Pendek kata tidak perlu berfikir panjang untuk menjawab sesuatu soalan. ‘Luahkan’ saja apa yang dibaca.

            Nak mengharapkan nota yang diberi oleh guru juga tidak mencukupi. Ada guru yang ‘mengajar’ kami dengan menyuruh murid-murid  membaca buku teks seorang demi seorang. Tanpa memberikan penjelasan dan penerangan tentang apa yang dibaca, maka itulah bentuk pengajajaran yang dijalankan. Bukanlah pulak semua guru yang bersikap demikian. Tetapi ada guru yang bertindak sedemikian rupa.

            Seingat aku, bermula dari darjah satu sehingga Darjah empat di sekolah Melayu, tidak ada langsung buku rujukan yang digunakan. Murid-murid hanya mengharapkan pengajaran yang diberikan oleh guru. Tidak ada ‘homework’. Aku hanya mula mengenali apa yang diertikan sebagai ‘homework’ apabial berada di sekolah Inggeris. Ketika berada di Special Malay Class One Sekolah ‘orang putih’ ler tu.

            Satu keadaan yang tidak dapat aku lupakan ketika menduduki peperiksaan ialah tentang ‘persediaan’ yang perlu. Disamping persediaan akademik ( nota-nota dan buku teks) kami dinasihatkan mendapatkan ‘tangkal’ dari Kang Tomo. Untuk mengelak dari ‘darah gemuruh’ dan supaya ‘bertenang’ ketika menjawab soalan-soalan dalam peperiksaan, kata orang kampung.

            Aku tidak terkecuali untuk mendapatkan ‘khidmat’ Kang Tomo. Kononnya beliau ialah Kiyai dari negeri Jawa yang menetap tinggal di Kampung Paya Lintah. Tak jauh ler dari kampung aku. Dan menjelang sesuatu peperiksaan, maka akan berduyun-duyunlah calon-calon peperiksaan (dari kampung aku dan kampung-kampung lain di sekitar Kuala Kangsar)  pergi ‘berjumpa’ dengan Kang Tomo untuk mendapatkan ‘tangkal’ sebagai ‘bekalan’ menduduki peperiksaan.

            Setiap calon mesti menyediakan wang 5 sen dengan gambar Queen Victoria. Maknanya wang shiling sebelum Queen Elizabeth. Apa perlu sangat wang shiling berkenaan, tidak pula aku siasat. Maka ramailah yang mencari ‘duit lima duit’ berkenaan, sehingga ada yang sanggup membayar RM10 untuk mendapatkan wang berkenaan. Begitulah terdesaknya ibu bapa pada ketika itu demi untuk kejayaan anak-anak.

            “Duit lima duit’ akan dijampi oleh Kang Tomo. Dan apabila sampai waktu peperiksaan, ‘duit lima duit’ hendaklah diletakkan di bawah lidah sepanjang peperiksaan berlangsung. Seperti menghisap gula-gula. Dan kami lakukan sebagaimana yang ‘diarahkan’ oleh Kang Tomo. Dan ketika menduduki peperiksaan, ada juga timbul perasaan takut kepada pengawas peperiksaan, takut-takut kalau diperiksanya apa yang ada dalam mulut. Tentulah akan timbul isu besar sekiranya ‘rahsia’ ini terbongkar. Mujurlah kami terselamat dari keadaan sedemikian.

            Kesannya. Ada yang berjaya dan ada yang juga yang gagal. Tetapi aku yakin bahawa ‘duit lima duit’ itu hanyalah untuk memberikan keyakinan kepada kami untuk memberanikan diri menduduki peperiksaan. Yang menyebabkan kami berjaya bukanlah ‘duit lima duit’ tetapi kerja keras yang kami lakukan.

            Untuk jadi ‘bahan sejarah’, ‘duit lima duit’ itu masih ada lagi dalam simpanan aku. Sekurang-kurangnya mengingatkan aku tentang kehebatan arwah emak dan bapak ditinjau dari sudut saikologi.


abuhassanadam
22 November 2016  

           


Monday, November 21, 2016

PARLIMEN ‘PANAS’ DAN MEMALUKAN

            Bukanlah setiap hari aku mengikuti sidang parlimen Malaysia yang kini sedang bersidang yang kononnya membincangkan hal-hal yang sangat penting untuk negara. Dan secara kebetulan pula aku melihat  ‘pertunjukan circus’ di parlimen apabila wakil-wakil rakyat (yang diamanahkan oleh rakyat untuk membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan masalah negara) kononnya bertikam lidah.

            Aku amat malu sekiranya apa yang berlaku di parlimen itu dilihat oleh masyarakat luar. Pelawat luar negara. pasti mereka akan menggelengkan kepala melihatkan gelagat pemimpin sebuah kementerian bersikap sedemikian rupa. Semacam sudah terkeluar dari peradaban seorang manusia. Dan pastinya ada juga kanak-kanak yang memerhatikan gelagat pemimpin yang sedemikian. Apalah agaknya yang terpendam di hati dan perasaan mereka sekiranya, keadaan yang sedemikian dipamerkan di hadapan mata mereka.

Sejak bila keadaan parlimen kita jadi begini? Dan mengapa terjadi begini? Tentulah ada sebab-sebabnya. Dan pastinya semua menuding jari ke arah satu sama lain. Pastinya tidak ada yang mahu mengaku kesalahan masing-masing. Biarlah rakyat yang menentukan dalam PRU 14 yang akan datang. Itu pun kalau rakyat sudah keluar dari kepongpong ‘bodoh-tongong’.

            Seingat aku, zaman dulu-dulu ( zaman awal kemerdekaan – tahun-tahun 1960an dan 1970an) parlimen adalah merupakan institusi yang paling dihormati dan digeruni. Ia merupakan rumah ‘suci’, tempat membentuk segala perundangan yang membabitkan negara. Lantas parlimen digunakan sepenuhnya bagi membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan pembangunan negara.

            Tidak ramai golongan bijak pandai yang menduduki kerusi parlimen pada ketika itu. Namun demikian mereka tetap menghormati ‘kesucian dan kehormatan’ parlimen. Ucapan kebanyakan wakil rakyat (PERIKATAN dan kemudiannya BN) ‘merapu’ juga, tetapi mereka tidak mencarut. (Mungkin aku tak dengar mereka mecarut disebabkan penyebaran maklumat pada ketika itu agak terhad). Mungkin.

            Bagi wakil rakyat ketika itu, samada dari pihak kerajaan (Menteri misalnya) menggunakan parlimen itu untuk menjelaskan sejelas-jelasnya tentang dasar-dasar kementeriannya. Setiap soalan yang dikemukakan oleh pembangkang akan dijawab dengan setelus-telusnya. Tidak terdengar pula Perdana Menteri atau Menteri yang cuba ‘melarikan diri’ dari menjawab pertanyaan wakil rakyat. Setiap persoalan yang dikemukakan memerlukan jawapan yang jelas dan bukan ‘bermain politik’. Itu bezanya Parlimen Malaysia pada zaman dulu!

            Nama-nama agung seperti Dr. Ismail, Zulkifly Muhammad, D.R. Seenivasagam, Dr. Tan Chee Khoon, masih terngiang-ngiang kedengaran di telinga rakyat Malaysia sehingga kini. Mereka sebenarnya pemimpin dan pejuang rakyat yang menggunakan parlimen dalam erti-kata sebenarnya bagi membangunkan rakyat. Mereka mengkeritik kerajaan secara membena dan sememangnya Perdana Menteri dan Menteri pada ketika itu mengalu-alukan kritikan mereka.

            Berbanding dengan keadaan kini sudah tidak nampak suasana yang sedemikian. Dan semacam Pengerusi Parlimen sudah tidak dihormati lagi. Kadang-kadang kelihatan semacam Pengerusi dianggap sebagai ‘ tunggul tak bernyawa’ di kerusi Speaker Dewan Rakyat. Mengapa keadaan terjadi demikian? Apakah kesalahan dan kesilapan individu berkenaan yang menyebabakan beliau tidak dihormati. Dan Speaker dan Timbalan Speaker harus merenung dan melihat ke dalam diri sendiri. Agak tidak kena sekiranya pihak Pengerusi sentiasa menuding jari ke arah orang lain.

            Sehubungan dengan hal ini aku teringat kepada Tuan Syed Nasir Ismail dan Tun Muhammad Zahir yang masing-masing pernah mengendalikan parlimen pada suatu ketika dulu. Bukan tidak ada wujudnya ‘krisis’ pada zaman mereka tetapi mereka dengan bijak dapat menyelesaikan masalah dengan bijak. Dan malangnya tidak sebagaimana yang berlaku pada ketika ini. Amat malang…

            Rakyat Malaysia menunggu saat gemilang sedemikian. Insyallah akan sampai juga.

            Tak akan lari gunung dikejar, hilang kabus nampaklah ia…..

abuhassanadam
21 November 2016



Sunday, November 20, 2016

BAJU KUNING – GOLONGAN YANG BERADAB

            Aku terpanggil untuk menyentuh isu ‘Baju Kuning’ selepas mendengar ulasan dari BBC World yang menyentuh mengenai Bersih5 yang berlangsung semalam. Antara kenyataan yang amat menarik perhatian aku ialah apabila pengulas mengatakan bahawa kumpulan ‘Baju Kuning’ adalah terdiri dari anak muda Malaysia yang terpelajar. Golongan intelek.

Aku setuju.

Kemunculan ‘Baju Kuning’ dalam Bersih5 seolah-olah telah mencetuskan satu bentuk budaya baru di Malaysia yang dicetuskan oleh anak muda Malaysia dari berbagai keturunan dengan tidak mengira bangsa, agama dan warna kulit. Pendek kata ‘Baju Kuning’ melambangkan satu kumpulan anak muda Malaysia yang berperadaban tinggi, berakhlak mulia yang tahu menghormati dan menghargai antara satu sama lain.

            Jangan tanya mengapa aku kata begitu. Jangan juga tanya dari mana aku dapat fakta dan maklumat untuk aku membuat kesimpulan yang sedemikian.

            Melalu persepsi, aku dapat merasakan (dan aku amat bangga dengan anak muda dari berbilang kaum itu) bahawa itulah penjelasan yang patut aku berikan kepada kumpulan ‘Baju Kuning’. Dan apa yang mereka lakukan dalam gerakan Bersih5 sudah dapat mengatasi apa yang dilakukan oleh para penunjuk perasaan menentang Donald Trump di Amerika dan demonstrasi-demonstrasi di tempat lain. Maksud aku, Bersih5 berjalan dalam suasana yang cukup aman, yang betul-betul mengikut  kehendak negara yang mengamalkan prinsip demokrasi.

            Kehebatan ‘Baju Kuning’ terserlah kerana adanya kumpulan lain yang seolah-olah bersaing untuk memenangi hati rakyat. Jelas dan nyata rakyat memuji dan memuja kehebatan ‘Baju Kuning’ yang bersopan santun sesuai dengan budaya orang Malaysia. Semenjak zaman berzaman, masyarakat Malaysia telah hidup di negara ini dengan penuh harmoni dan tidak suka kepada pergaduhan. Orang Melayu amat benci kepada pergaduhan. Dan sekiranya ada sifat permusuhan dan pergaduhan dikalangan orang Melayu, maka itu hanya merupakan satu keadaan yang terpencil. Hanya segelintir kecil manusia Melayu yang  sukakan pergaduhan kerana sikap sedemikian bukannya milik orang Melayu sebenar.

            Diharapkan para pemimpin, terutamanya pemimpin muda harus terus menerus mengembelingkan tenaga muda ini demi menyelamatkan negara dan seterusnya menjadikan negara tercinta ini sebuah negara yang dibanggakan pada masa akan datang.

            Hendaknya anak muda terus memandang kehadapan dan jangan sekali-kali toleh ke belakang…

abuhassanadam

20 November 2016

Saturday, November 19, 2016

BERSIH5

            Biar aku berterus terang. Sudah agak lama juga perasaan gembira tidak mengetuk pintu hati dan perasaan aku. Dan hari ini, pada ketika ini terasa amat gembira perasaan ini apabila melihatkan rakyat Malaysia berkumpul di bandar raya Kuala Lumpur melahirkan perasaan ketidak puasan hati terhadap pentadbiran negara yang dianggap sudah agak kucar kacair.

            Yang menyebabkan aku amat gembira melihatkan anak-anak muda Malaysia dari segenap lapisan masyarakat semacam telah melupakan keturunan dan asal usul masing-masing. Seolah-olah sudah tidak wujud lagi apa yang dinamakan orang Melayu atau pun orang Cina atau orang India, Iban, Kadazan, Dusun dan lain-lain. Anak Malaysia sudah boleh bergerak sederap memperjuangkan sesuatu demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

            Aku tidak pernah ‘ponteng’ dari segi kehadiran aku terilbat dalam demonstrasi. Semenjak tahun 1971, bermula dengan demonstrasi pelajar menunjuk perasaan terhadap Thanom Kitikaacorn, Perdana Menteri Thailand pada ketika itu, sehinggalah Bersih 4, aku tidak pernah ‘ponteng’. Malangnya aku tidak dapat menyertai Bersih5 kerana keuzuran. Namun sepanjang perjalanan Bersih 5, bermula dari pukul 7.00 pagi tadi aku terpaku di hadapan laptop dan hanya berhenti pada waktu makan dan solat sahaja. Maknanya aku tetap bersama anak-anak yang memperjuangkan sesuatu yang luhur.

            Tentulah aku merasakan amat sedih kerana tidak dapat menyertai Bersih 5. Tetapi aku ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga ‘orang tua’ ini kepada anak-anak muda dari semua bangsa yang turun, berjuang menegakkan sesuatu demi penerusan bangsa dan negara Malaysia yang dicintai ini. Aku amat bangga melihatkan penglibatan anak muda Malaysia itu.

            Bagi aku sebenarnya bangsa Malaysia sudah benar wujud tercetus daripada peristiwa Bersih5. Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa sebenarnya bangsa Malaysia yang diidam-idamkan selama ini sudah terjelma. Kumpulan bangsa Malaysia inilah yang sebenarnya mahu diwujudkan satu keadaan yang aman dan tenteram di negara ini sambil menikmati kekayaan yang melimpah ruah ini sekiranya negara yang tercinta ini ditadbirkan dengan betul dan berkesan.

            Walaupun tidak semua rakyat Malaysia menyertai Bersih5, namun aku merasakan bahawa kumpulan yang menyertai Bersih5 itu adalah sebagai wakil rakyat Malaysia yang mahukan keadilan dan mengharapkan negara ditadbirkan dengan adil dan saksama. Aku merasakan masih ramai yang berada jauh dari Kuala Lumpur yang mahu menyertai Bersih5.

            Aku merasakan bahawa sungguhpun pelancaran Bersih5 mempunyai berbagai matlamat, namun yang paling mengembirakan aku ialah kejayaannya menyatukan bangsa Malaysia dari semua keturunan dalam ertikata yang sebenar-benarnya. Amat sukar untuk menyatukan hati-hati kaum-kaum di Malaysia, tetapi rupanya dengan keizinan Tuhan, benih-benih perpaduan yang telah ditanam buat beberapa ketika bukan sahaja telah bercambah tetapi telah hidup dengan suburnya.

            Aku amat bangga dan terubat hati yang luka ini.

abuhassanadam

19 November 2016