BERSIH5
Biar
aku berterus terang. Sudah agak lama juga perasaan gembira tidak mengetuk pintu
hati dan perasaan aku. Dan hari ini, pada ketika ini terasa amat gembira
perasaan ini apabila melihatkan rakyat Malaysia berkumpul di bandar raya Kuala
Lumpur melahirkan perasaan ketidak puasan hati terhadap pentadbiran negara yang
dianggap sudah agak kucar kacair.
Yang
menyebabkan aku amat gembira melihatkan anak-anak muda Malaysia dari segenap
lapisan masyarakat semacam telah melupakan keturunan dan asal usul
masing-masing. Seolah-olah sudah tidak wujud lagi apa yang dinamakan orang
Melayu atau pun orang Cina atau orang India, Iban, Kadazan, Dusun dan
lain-lain. Anak Malaysia sudah boleh bergerak sederap memperjuangkan sesuatu
demi kesejahteraan rakyat Malaysia.
Aku
tidak pernah ‘ponteng’ dari segi kehadiran aku terilbat dalam demonstrasi.
Semenjak tahun 1971, bermula dengan demonstrasi pelajar menunjuk perasaan
terhadap Thanom Kitikaacorn, Perdana Menteri Thailand pada ketika itu,
sehinggalah Bersih 4, aku tidak pernah ‘ponteng’. Malangnya aku tidak dapat
menyertai Bersih5 kerana keuzuran. Namun sepanjang perjalanan Bersih 5, bermula
dari pukul 7.00 pagi tadi aku terpaku di hadapan laptop dan hanya berhenti pada
waktu makan dan solat sahaja. Maknanya aku tetap bersama anak-anak yang
memperjuangkan sesuatu yang luhur.
Tentulah
aku merasakan amat sedih kerana tidak dapat menyertai Bersih 5. Tetapi aku
ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga ‘orang tua’ ini kepada
anak-anak muda dari semua bangsa yang turun, berjuang menegakkan sesuatu demi
penerusan bangsa dan negara Malaysia yang dicintai ini. Aku amat bangga
melihatkan penglibatan anak muda Malaysia itu.
Bagi
aku sebenarnya bangsa Malaysia sudah benar wujud tercetus daripada peristiwa
Bersih5. Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa sebenarnya bangsa Malaysia yang
diidam-idamkan selama ini sudah terjelma. Kumpulan bangsa Malaysia inilah yang
sebenarnya mahu diwujudkan satu keadaan yang aman dan tenteram di negara ini
sambil menikmati kekayaan yang melimpah ruah ini sekiranya negara yang tercinta
ini ditadbirkan dengan betul dan berkesan.
Walaupun
tidak semua rakyat Malaysia menyertai Bersih5, namun aku merasakan bahawa
kumpulan yang menyertai Bersih5 itu adalah sebagai wakil rakyat Malaysia yang
mahukan keadilan dan mengharapkan negara ditadbirkan dengan adil dan saksama.
Aku merasakan masih ramai yang berada jauh dari Kuala Lumpur yang mahu
menyertai Bersih5.
Aku
merasakan bahawa sungguhpun pelancaran Bersih5 mempunyai berbagai matlamat,
namun yang paling mengembirakan aku ialah kejayaannya menyatukan bangsa
Malaysia dari semua keturunan dalam ertikata yang sebenar-benarnya. Amat sukar
untuk menyatukan hati-hati kaum-kaum di Malaysia, tetapi rupanya dengan
keizinan Tuhan, benih-benih perpaduan yang telah ditanam buat beberapa ketika
bukan sahaja telah bercambah tetapi telah hidup dengan suburnya.
Aku
amat bangga dan terubat hati yang luka ini.
abuhassanadam
19 November 2016
Semoga kesihatan pak abu bertambah baik untuk menikmati malaysia yg lebih baik nanti, insyaallah
ReplyDeleteSemoga kesihatan pak abu bertambah baik untuk menikmati malaysia yg lebih baik nanti, insyaallah
ReplyDelete