'KAYA DENGAN KEMISKINAN'
Musim peperiksaan
di Malaysia sudah bermula. Dan tentulah aku teringat suasana ketika aku juga
sibuk bersiap sedia menghadapi peperiksaan, masa kecil-kecil dulu.
Bagi aku dan
anak-anak kampung yang lain yang amat ‘kaya dengan kemiskinan’, peperiksaan
yang akan dihadapi adalah merupakan ‘pertarungan hidup mati’. Sebenarnya tujuan
persekolahan pada ketika itu ( bagi aku ler) bukan untuk menuntut ilmu tetapi
untuk mendapatkan ‘tiket’ mencari pekerjaan. Mungkin arwah bapak aku menghantar
aku ke sekolah dengan tujuan mendapatkan ilmu. Mungkin. Tetapi ramai orang
kampung yang melihat bahawa lulusan sekolah Inggeris pada ketika itu pastinya
akan mendapat pekerjaan yang baik. Untuk jadi D.O ( District Officer – Pegawai
Daerah).
Walaupun begitu
ganjaran yang berada di hadapan mata, namun tidak ramai pula ibu bapa di
kampung aku yang menghantar anak mereka ke sekolah Inggeris. Banyaklah alasan
yang diberikan. Pun begitu, ramai juga kawan-kawan sebaya aku tidak langsung ke
sekolah. Sekolah Orang Putih pun tidak, sekolah Melayu pun tidak. Manaf,
Zainal, Khalid sudah mula menoreh getah ketika berumur 13 tahun. Sayang….
Aku teringat kisah
bagaimana aku menduduki pepepriksaan waktu dulu-dulu. Awal tahun 1960an. Negara
baru saja mencapai kemerdekaan. Masih terasa lagi bahang zaman British. Masih
ada lagi pegawai-pegawai British yang berkhidmat di jabatan kerajaan di
Malaysia. Pengetua Clifford School Kuala Kangsar, Mr JF Porter dan selepas itu
Mr. Bumnford baru saja pulang ke England dan digantikan oleh Mr. Karam Singh.
Awal tahun 60an
masih tidak banyak bahan bacaan untuk ditelaah sebelum menduduki peperiksaan.
Bukan macam sekarang. Yang ada hanyalah buku teks. Maka buku tekslah sahaja
yang akan dibaca. Apa ‘yang ‘dikatakan’ oleh buku teks maka itu sajalah yang
akan ‘ditumpahkan’ semula ke dalam jawapan peperiksaan. Pendek kata tidak perlu
berfikir panjang untuk menjawab sesuatu soalan. ‘Luahkan’ saja apa yang dibaca.
Nak mengharapkan
nota yang diberi oleh guru juga tidak mencukupi. Ada guru yang ‘mengajar’ kami
dengan menyuruh murid-murid membaca buku
teks seorang demi seorang. Tanpa memberikan penjelasan dan penerangan tentang
apa yang dibaca, maka itulah bentuk pengajajaran yang dijalankan. Bukanlah
pulak semua guru yang bersikap demikian. Tetapi ada guru yang bertindak
sedemikian rupa.
Seingat aku,
bermula dari darjah satu sehingga Darjah empat di sekolah Melayu, tidak ada
langsung buku rujukan yang digunakan. Murid-murid hanya mengharapkan pengajaran
yang diberikan oleh guru. Tidak ada ‘homework’. Aku hanya mula mengenali apa
yang diertikan sebagai ‘homework’ apabial berada di sekolah Inggeris. Ketika
berada di Special Malay Class One Sekolah ‘orang putih’ ler tu.
Satu keadaan yang
tidak dapat aku lupakan ketika menduduki peperiksaan ialah tentang ‘persediaan’
yang perlu. Disamping persediaan akademik ( nota-nota dan buku teks) kami
dinasihatkan mendapatkan ‘tangkal’ dari Kang Tomo. Untuk mengelak dari ‘darah
gemuruh’ dan supaya ‘bertenang’ ketika menjawab soalan-soalan dalam
peperiksaan, kata orang kampung.
Aku tidak
terkecuali untuk mendapatkan ‘khidmat’ Kang Tomo. Kononnya beliau ialah Kiyai
dari negeri Jawa yang menetap tinggal di Kampung Paya Lintah. Tak jauh ler dari
kampung aku. Dan menjelang sesuatu peperiksaan, maka akan berduyun-duyunlah
calon-calon peperiksaan (dari kampung aku dan kampung-kampung lain di sekitar
Kuala Kangsar) pergi ‘berjumpa’ dengan
Kang Tomo untuk mendapatkan ‘tangkal’ sebagai ‘bekalan’ menduduki peperiksaan.
Setiap calon mesti
menyediakan wang 5 sen dengan gambar Queen Victoria. Maknanya wang shiling
sebelum Queen Elizabeth. Apa perlu sangat wang shiling berkenaan, tidak pula
aku siasat. Maka ramailah yang mencari ‘duit lima duit’ berkenaan, sehingga ada
yang sanggup membayar RM10 untuk mendapatkan wang berkenaan. Begitulah terdesaknya
ibu bapa pada ketika itu demi untuk kejayaan anak-anak.
“Duit lima duit’
akan dijampi oleh Kang Tomo. Dan apabila sampai waktu peperiksaan, ‘duit lima
duit’ hendaklah diletakkan di bawah lidah sepanjang peperiksaan berlangsung.
Seperti menghisap gula-gula. Dan kami lakukan sebagaimana yang ‘diarahkan’ oleh
Kang Tomo. Dan ketika menduduki peperiksaan, ada juga timbul perasaan takut
kepada pengawas peperiksaan, takut-takut kalau diperiksanya apa yang ada dalam
mulut. Tentulah akan timbul isu besar sekiranya ‘rahsia’ ini terbongkar.
Mujurlah kami terselamat dari keadaan sedemikian.
Kesannya. Ada yang
berjaya dan ada yang juga yang gagal. Tetapi aku yakin bahawa ‘duit lima duit’
itu hanyalah untuk memberikan keyakinan kepada kami untuk memberanikan diri menduduki
peperiksaan. Yang menyebabkan kami berjaya bukanlah ‘duit lima duit’ tetapi
kerja keras yang kami lakukan.
Untuk jadi ‘bahan
sejarah’, ‘duit lima duit’ itu masih ada lagi dalam simpanan aku.
Sekurang-kurangnya mengingatkan aku tentang kehebatan arwah emak dan bapak
ditinjau dari sudut saikologi.
abuhassanadam
22 November 2016
No comments:
Post a Comment