Monday, November 21, 2016

PARLIMEN ‘PANAS’ DAN MEMALUKAN

            Bukanlah setiap hari aku mengikuti sidang parlimen Malaysia yang kini sedang bersidang yang kononnya membincangkan hal-hal yang sangat penting untuk negara. Dan secara kebetulan pula aku melihat  ‘pertunjukan circus’ di parlimen apabila wakil-wakil rakyat (yang diamanahkan oleh rakyat untuk membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan masalah negara) kononnya bertikam lidah.

            Aku amat malu sekiranya apa yang berlaku di parlimen itu dilihat oleh masyarakat luar. Pelawat luar negara. pasti mereka akan menggelengkan kepala melihatkan gelagat pemimpin sebuah kementerian bersikap sedemikian rupa. Semacam sudah terkeluar dari peradaban seorang manusia. Dan pastinya ada juga kanak-kanak yang memerhatikan gelagat pemimpin yang sedemikian. Apalah agaknya yang terpendam di hati dan perasaan mereka sekiranya, keadaan yang sedemikian dipamerkan di hadapan mata mereka.

Sejak bila keadaan parlimen kita jadi begini? Dan mengapa terjadi begini? Tentulah ada sebab-sebabnya. Dan pastinya semua menuding jari ke arah satu sama lain. Pastinya tidak ada yang mahu mengaku kesalahan masing-masing. Biarlah rakyat yang menentukan dalam PRU 14 yang akan datang. Itu pun kalau rakyat sudah keluar dari kepongpong ‘bodoh-tongong’.

            Seingat aku, zaman dulu-dulu ( zaman awal kemerdekaan – tahun-tahun 1960an dan 1970an) parlimen adalah merupakan institusi yang paling dihormati dan digeruni. Ia merupakan rumah ‘suci’, tempat membentuk segala perundangan yang membabitkan negara. Lantas parlimen digunakan sepenuhnya bagi membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan pembangunan negara.

            Tidak ramai golongan bijak pandai yang menduduki kerusi parlimen pada ketika itu. Namun demikian mereka tetap menghormati ‘kesucian dan kehormatan’ parlimen. Ucapan kebanyakan wakil rakyat (PERIKATAN dan kemudiannya BN) ‘merapu’ juga, tetapi mereka tidak mencarut. (Mungkin aku tak dengar mereka mecarut disebabkan penyebaran maklumat pada ketika itu agak terhad). Mungkin.

            Bagi wakil rakyat ketika itu, samada dari pihak kerajaan (Menteri misalnya) menggunakan parlimen itu untuk menjelaskan sejelas-jelasnya tentang dasar-dasar kementeriannya. Setiap soalan yang dikemukakan oleh pembangkang akan dijawab dengan setelus-telusnya. Tidak terdengar pula Perdana Menteri atau Menteri yang cuba ‘melarikan diri’ dari menjawab pertanyaan wakil rakyat. Setiap persoalan yang dikemukakan memerlukan jawapan yang jelas dan bukan ‘bermain politik’. Itu bezanya Parlimen Malaysia pada zaman dulu!

            Nama-nama agung seperti Dr. Ismail, Zulkifly Muhammad, D.R. Seenivasagam, Dr. Tan Chee Khoon, masih terngiang-ngiang kedengaran di telinga rakyat Malaysia sehingga kini. Mereka sebenarnya pemimpin dan pejuang rakyat yang menggunakan parlimen dalam erti-kata sebenarnya bagi membangunkan rakyat. Mereka mengkeritik kerajaan secara membena dan sememangnya Perdana Menteri dan Menteri pada ketika itu mengalu-alukan kritikan mereka.

            Berbanding dengan keadaan kini sudah tidak nampak suasana yang sedemikian. Dan semacam Pengerusi Parlimen sudah tidak dihormati lagi. Kadang-kadang kelihatan semacam Pengerusi dianggap sebagai ‘ tunggul tak bernyawa’ di kerusi Speaker Dewan Rakyat. Mengapa keadaan terjadi demikian? Apakah kesalahan dan kesilapan individu berkenaan yang menyebabakan beliau tidak dihormati. Dan Speaker dan Timbalan Speaker harus merenung dan melihat ke dalam diri sendiri. Agak tidak kena sekiranya pihak Pengerusi sentiasa menuding jari ke arah orang lain.

            Sehubungan dengan hal ini aku teringat kepada Tuan Syed Nasir Ismail dan Tun Muhammad Zahir yang masing-masing pernah mengendalikan parlimen pada suatu ketika dulu. Bukan tidak ada wujudnya ‘krisis’ pada zaman mereka tetapi mereka dengan bijak dapat menyelesaikan masalah dengan bijak. Dan malangnya tidak sebagaimana yang berlaku pada ketika ini. Amat malang…

            Rakyat Malaysia menunggu saat gemilang sedemikian. Insyallah akan sampai juga.

            Tak akan lari gunung dikejar, hilang kabus nampaklah ia…..

abuhassanadam
21 November 2016



1 comment:

  1. asmlkm.tulisan sdra amat menghiburkan saya yg munkin seuisa dgn sdra.Kekaguman terhadap Anwar Ibrahim, sampai sekarang saya tetap yakin beliau mangsa kezaliman Dr M dan Najib seta UMNO yg "jahat"

    Kenagna semasa dulu...ketika berseokjlah dikampung..juga amat teruja, sedih dan sering terkenang kenang. kemarin dek kerana terkenan ke masa dulu, saya yg kini berusia 64 tahun lebih...pergi ke seolah melayu lama saya di Tikam batu kedah.saya dah tinggalkan sekolah itu sejak tahun 1964..Saya masuk ke lama sekolah malah berlehgar legar ke dua bangunan bilik darijah yg telah usang tapi masih kukuh itu. Lantas kenangan mengusik jiwa...rasa sebak teringat dlm tahun 1959 ketiuka dlm darjah 1, kami berarak keling padang. cikgu wahab suruh ...sambut hari merdeka agaknya aku pun tak ingat....lepas tu cikgu wahab bangi kami makan roti empat segi satu tin...seronok nya...ingat sampai la ni.

    Di satu bangunan lagi aku termenung panjang...disisitulah aku ketika darjah enam tahubn 1964...memotong roti bantuan makanan kjaan...beri kpd barisan kawan kawan yg berbaris panjang,,,tunggu aku edarkan kpd mereka..siap sapu minyak...aku rasa majeri ke tak tau lah...tu pun rasasangat sedap...Aku lah ketua yg p ambik roti tu dikedai cina dan bawa ke sekolah dan potong dibilik bangunan itu untuk kawan kawan...Yg jahatnya aku ni kalau potongan roti yg tbal dan banyak minyak sapu tu aku simpan khas kat sorang "awek cun" yg aku ada hati kat dia....aku baru berusia 12 tahun masa tu...La ni awek tu kira bertitle datin la

    sungguh manis kenangan ini.....terasa sebak bila aku nak masuk dan tinggalkan bangunan sekolah itu..hampir air mataku tumpah dan suaraku bergetar ketika aku menyatakan kpd pengawal di Sekolah Kebangsaan Tikam batu Sg petani Kedah.Manakan tidak disekolah itulah aku dilatih oleh guru untuk jadi pemimpin...ya kini aku sudah bersara ... terima kasih cikgu dan ustaz yg memberi aku ilmu dunia dan akhirat...al fatehah buat mereka...

    ReplyDelete