DANGAU TEPI BENDANG PAK NGAH TENGIN
Setiap
kali menjelangnya bulan Disember aku merasa hiba. Bulan Disember memanglah
bulan cuti. Cuti sekolah. Ibu bapa juga merancang berbagai destinasi untuk
membawa keluarga mereka bercuti. Itulah
‘trend’ zaman in.
Yang
aku nak ‘bercerita’ dan yang aku nak ‘curahkan fikrian dan perasaan’ aku ialah
mengenai keadaan musim cuti pada tahun-tahun 1950an dan awal 1960an. Pada
ketika itu yang dinamakan ‘cuti panjang’ ialah pada bulan Puasa ( bulan
Ramdhan). Satu bulan cuti bagi ‘Sekolah Melayu’. Maknanya sepanjang bulan
Ramdhan, sekolah Melayu akan bercuti.
‘Bijak’
betul penjajah untuk ‘mengambil hati’ orang Melayu. Seolah-olah penjajah
British ketika itu menghormati bulan Ramdhan. Sekolah Melayu ‘dicutikan’nya.
Sekurang-kurangnya ‘terubat’ juga hati dan perasaan orang Melayu. Dan ramai
juga yang mengatakan pada ketika itu bahawa British amat bijak mentadbirkan
negara ini.
Sekolah
Orang Putih tidak pula bercuti pada bulan Ramdhan. Malah ada ketikanya sekolah
Inggeris berjalan seperti biasa pada hari raya Korban. Tidak dibenarkan
bercuti. Dan aku pernah mengalami keadaan ini apabila sekolah dibuka seperti
biasa pada hari raya korban. Tidak pula ada tentangan kepada pentadbiran
sekolah.
Cuti
panjang bagi sekolah Inggeris ialah pada bulan Disember. Macam sekarang. Pada
bulan Ramadhan, terpaksa bersekolah seperti biasa. Maklumlah tidak ramai anak
Melayu yang belajar di sekolah Inggeris pada ketika itu. Mungkinlah disebabkan
keadaan sedemikian maka sekolah Inggeris berjalan seperti biasa pada bulan
Ramadhan. Dan seingat aku di sekolah Clifford Kuala Kangsar hanya terdapat
seorang guru Melayu pada ketika itu. Tahun 1959. Tuan Syed Jaafar namanya.
Hanya seorang.
Bagi
aku sekolah cuti dengan sekolah tak cuti sama saja. Bezanya apabila sekolah tak
cuti, terpaksalah pergi sekolah. Dan apabila musim cuti sekolah maka tak
perlulah pergi sekolah. Amat berbeza dengan keadaan kini dimana pada musim
cuti, ibu bapa sedaya upaya membawa anak-anak pergi bercuti. Sekurang-kurangnya
bercuti dalam negara. Dan sudah ramai juga yang mampu membawa anak-anak bercuti
ke luar negara.
Cuti
bagi aku pada ketika itu adalah ‘tidak pergi sekolah’. Setiap pagi, apabila
mata hari mula memancar aku dan kawan-kawan akan ‘bermesyuarat’ di dangau tepi
bendang Pak Ngah Tengin, ‘merangka dan merancang program’ pada hari berkenaan.
Samada untuk melastik burung di pohon Dedalu kepala bendang Seman Alang Noh
ataupun mengutip buah Konam atau pun ‘mengintai’ pokok Mempelam Semik Pandak
Leman.
Pada
petangnya kami akan berkumpul di halaman rumah Pan Anjang Judah untuk bermain
gasing ataupun di halaman rumah Wan Munah untuk bermain guli. Laman Pan Anjang
Judah amat sesuai untuk bermain gasing disebabkan tanahnya yang keras,
memudahkan gasing berpusing. Lagipun di situ ada pokok jambu yang sedia
memberikan ‘refreshment’ pada kami apabila dahaga.
Sekiranya
kami mahu bermain ‘Porok’ maka ‘venue’ yang paling sesuai ialah depan kedai
Tokki Jawi. Kawsan di situ agak lapang untuk membolehkan kami begitu selesa
bermain di situ.
Samada Pan Anjang Judah ataupun Wan
Munah ataupun Tokki Jawi tak pernah marah kami bermain di halaman rumah mereka.
Malah kadang-kadang merka juga terhibur melihat gelagat kami bermain di situ.
Pukul
5.00 petang kami berpindah pula ke “Padang mereng’ untuk bermain bola. Aku tak
tahu mengapa dipanggil sedemikian. Yang aku tahu padang itu tidak rata dan
tidak luas pun kawasan lapang di situ. Jadi kami terpaksalah bermain bola di
celah-celah pokok getah yang ada di situ.
Menjelang
waktu Maghrib kami ‘berarak’ ke rumah Pak Haji Sulaiman untuk mengaji di sana
sehinggalah pukul 10.00 malam. Begitulah jadual aku setiap hari sepanjang cuti
sekolah.
Apabila
penggal persekolahan bermula pada bulan Januari, maka guru Bahasa Inggeris
pastinya meminta pelajar menuliskan essei tentang apa yang dilakukan pada masa
cuti. Keadaan yang sebeginilah yang amat menyedihkan aku. Kebanyakan pelajar
(bukan Melayu) menghabiskan cuti mereka melancong bersama keluarga mereka. Oleh
itu dapatlah mereka menuliskan pengalaman mereka ketika bercuti dengan ibu bapa
mereka, sedangkan aku tidak ada apa yang hendak aku tuliskan. Tentulah aku malu
juga untuk menceritakan pengalaman aku main gasing, main guli, menimba kolam
pada rakan-rakan yang lain. Aku merasa amat terhina.
Ada
kawan baik aku. Wahid namanya. Dia anak guru besar sebuah sekolah di daerah
ini. Wahid membertahu aku yang dia baru saja pulang dari Pantai Timur bersama
keluarganya. Tentulah essei Wahid begitu hebat sekali apabila dibacakan di
depan kelas nanti.
Aku
betul-betul dalam dilemma. Hendak rasanya aku menipu, mengatakan aku juga pergi
melancong bersama keluarga aku. Tetapi ke mana? Nanti apabila tersilap tulis
nanti bukankah susah jadinya.
Aku
mengambil keputusan untuk bercakap benar. Aku akan tuliskan pengalaman aku
sebagai anak kampung yang miskin dan bagaimana aku menghabiskan masa cuti aku.
Dan tentunya amat berbeza dengan rakan-rakan aku yang lain menghabiskan masa
cuti mereka. Walaupun perasaan malu agak menebal juga menyelubungi perasaan aku
ketika menuliskan essei berkenaan, namun tetap memberanikan diri untuk
menyatakan sesuatu yang benar.
Dengan
izin Allah, Mr Walter telah begitu tertarik dengan eseei yang aku tulis dan
meminta aku membacakannya di hadapan kelas. Tajuk eseei aku berjodol, “A Small
Hut in The Rice Fields’., menceritakan bagaimana aku menghabiskan masa cuti aku
sebagi anak kampung yang miskin.
abuhassanadam
17 Disember 2016
Terbaik Pak Abu....
ReplyDeleteMengembalikan ingatan saya