Friday, December 23, 2016

UNDANGAN RINDU

         Aku yakin perasaan cinta dan rindu dendam wujud di hati dan sanubari manusia semenjak Adam dan Hawa lagi, semenjak terjelmanya Romeo dan Juliuet, Laila dan Majnun. Malah dalalam masyarakat Melayu juga kita tidak ketinggalan. Kita ada ‘Uda dan dara’. Malah sehingga kini kita masih dapat melihat pasangan-pasangan yang bercinta, sekurang-kurangnya melalui drama ‘Suri Hati Mr Pilot’ atau drama-drama lain yang mengkisahkan kisah cinta yang suci murni.

         Yang aku nak ‘bercerita’ pada kali ini ialah perbezaan psasangan bercinta hari ini (Kurun ke 21) dengan pasangan yang bercinta pada tahun-tahun pertengahan Kurun ke 20. Untuk lebih tepat lagi pada tahun-tahun 1960an.

         Walaupun terasa ‘berat’ dan ‘malu’ rasanya, bagi seorang tua seperti aku  untuk meninjau kisah percintaan pasangan bercinta (zaman dulu-dulu), namun dari segi sejarahnya aku merasakan kisah sebegini elok juga diketahui oleh anak-anak muda kini. Sekurang-kurangnya untuk dijadikan ‘bahan’ ketawa anak-anak zaman ini apabila membaca kisah ‘ orang tua’ mereka menjalinkan cinta. Dan berkemungkinan juga dapat mereka membayangkan suasana percintaan antara kedua-dua orang tua mereka.

         Yang jelasnya dapat aku katakan bahawa menanggung rasa cinta dan dendam pada zaman dahulu adalah satu penyiksaan. Dengan berbagai kekangan yang ada, pasangan yang bercinta sememangnya tidak dapat melahirkan perasaan dengan sebebasnya, jangankan untuk berjumpa dan bertentangan mata dengan pasangan yang dilamun rindu. Dengan sebab itulah munculnya ungkapan ‘ ku kirim rindu di angin lalu’ ataupun ‘ ku kirim salam di awan petang’ dan sebagainya. Itulah saja caranya pasangan bercinta ‘memuaskan’ hati dan perasaannya dengan menggunakan suasana alam sebagai sebagai media perhubungan.

         Pasangan bercinta pada tahun-tahun 1960an tidak mudah mendapat restu dari ayah bonda, terutama bagi gadis-gadis pingitan yang terpaksa ‘mencuri’ dan menggunakan berbagai helah untuk mengadakan pertemuan. Dengan cara ‘senyap-senyap’ pertemuan diatur ‘ di persimpangan tiga rumpun bambu’ ataupun ‘ di tepi danau di kepala sawah’. Dan untuk mengadakan ‘date’ berkenaan bukan satu hal yang mudah. Ia memerlukan perancangan yang rapi menggunakan ‘orang tengah’ yang licik untuk menyampai dan bertukar-tukar berita dan maklumat. Kadang-kadang ‘rahsia yang sepatutnya pecah diperut’ malangnya ‘pecah di mulut’. Dan kesanya tentulah amat mengecewakan pasangan bercinta.

         Di kampung aku pada ketika itu ada dua pasangan bercinta yang tidak semestinya berakhir dengan ke jinjang pelamin. Abang Osman (bukan nama sebenar) dan Kak Jenab (bukan nama sebenar) berakhir dengan kedua-dua nya ke jinjang pelamin dan bahagia sampai ke anak cucu. Sementara Abang Zainal (bukan nama sebenar) dan kak Halimah (bukan nama sebenar) terkandas di tengah jalan.

         Memang hebat kisah percintaan mereka. Semua orang kampung tahu tentang kisah percintaan mereka. Dan mungkin juga ibu bapa mereka  tahu yang mereka sedang bercinta tetapi mereka ‘pura-pura’ menampakkan yang mereka tidak merestui ‘kegiatan’ anak-anak mereka sehinggalah dihulurkan tepak sirih dan sirih pinang menandakan ‘perasmian’ ikatan yang murni itu.

         Tempat dan peluang berjumpa untuk ‘memadu asmara’ sememanglah amat terhad pada ketika itu. Panggung wayang bukan tempat mereka berjumpa dan tidak juga ada pasar-pasar raya sebagai tempat untuk melepaskan rindu dendam. Tidak ada internet dan handphone untuk ‘berbalas kasih dan rindu’ apatah lagi Whatsapp atau Instagram atau tweeter. Malah mereka berutus-utus surat melalui ‘posmen’ atau ‘orang tengah’ yang ditugaskan untuk berbuat demikian dengan bayaran upah  20 sen.

         Majlis khenduri di kampung adalah sesuatu yang dinantikan oleh pasangan bercinta kerana pada majlis inilah mereka dapat bertemu dan melepas pandang melihat pasangan masing-masing. Itupun hanya sekadarkan ‘main mata’ dan ‘jelingan manja’ dari jauh dan tentunya amat tidak manis bagi anak gadis di kampung aku (pada ketika itu) untuk bertegur sapa, apatah lagi berbual mesra. Oleh itu si teruna dan si dara akan sentiasa mencari ‘peluang’ yang sesuai untuk bertemu dan berbual mesra menggunakan majlis khendiri yang dihadiri oleh mereka.

         Bergotong royong menuai padi merupakan satu lagi peristiwa yang dinanti-nantikan oleh pasangan bercinta kerana ini merupakan peluang ‘keemasan’ bagi pasangan bercinta untuk bergurai senda ketika mengerat dan menuai padi. Biasanya ‘berderau’ atau bergotong royong menuai padi dilaksanakan oleh muda mudi di kampong aku. Dan dijalankan pada waktu malam ketika bulan mengambang diterangi lampu gasoline.Suasana ‘romantis’ yang sebeginilah yang sentiasa dinanti-nantikan oleh pasangan bercinta untuk mencurah dan menyampaikan hasrat masing-masing.

         Kerana kesukaran dan ujian yang berbagai-bagai itulah agaknya yang menyebabkan wujudnya perasaan cinta yang betul-betul tulin dikalangan pasangan yang bercinta sehinggakan jarang kedengaran wujud keadaan bercerai-berai dikalangan mereka. Mungkin disebabkan perasaan sayang yang begitu menebal yang tersemai semenjak sekian lama menyebabkan wujud keakraban yang bukan kepalang dikalangan pasangan yang bercinta.

         Pendek kata rindu dan dendam yang tersemai berakhir sehingga ke hujung nyawa.

abuhassanadam
23 Disember 2016

        

        



No comments:

Post a Comment