Sunday, December 25, 2016

AURA KRISMAS
SALAH AD-DIN DAN  KING RICHARD 


         Terlebih dahulu aku ucapkan Selamat Menyambut Krismas kepada rakan-rakan yang beragama Kristian.

         Aku terpaksa memberhentikan kereta aku buat seketika dalam perjalanan aku balik kampung bebrapa hari lepas disebabkan aku amat tertarik dengan ceramah agama yang disampaikan oleh seorang penceramah melalui Radio Kelasik Nasional. Aku tak tahu nama penceramah berkenaan kerana ketika aku membuka radio, ceramah beliau sudah pun separuh jalan…

         Yang menarik perhatian aku ialah saranan beliau yang mengatakan bahwa Islam sememangnya menggalakkan perdamaian antara manusia, tak kiralah walau dari agama pun, walau dari bangsa apa pun dan dari warna kulit macam mana sekali pun. Pendek kata Islam tidak menyuruh umatnya bergaduh dan bersengketa. Dan ramai juga para penceramah berkata begitu.

         Tetapi kadang-kadang ‘cakap tak serupa bikin’.

         Semenjak aku ‘berhingus’ lagi, anak-anak dipantakkan di kepala mereka supaya membenci golongan yang berlainan agama. Ketika aku dibangku sekolah lagi, aku telah dinasihatkan supaya jangan berkawan dengan Roy Ragendra ( sebab Roy adalah penganut agama Kristian). Sehinggakan pernah aku dinasihatkan agar tidak pergi ke rumah Roy. Malah aku dinasihatkan ‘menghampiri rumah Roy pun berdosa’. Begitulah ajaran yang diterima.

         Dan kini di kebanyakan ceramah-ceramah agama di masjid dan surau walaupun tidak dinyatakan dengan jelas permsuhan kita antara Islam dan agama lain (Kristian khususnya), tetapi para penceramah tidak menggalakan agar rakyat di negara ini berbaik-baik dan hidup dengan harmoni antara satu dengan yang lain. Mungkin ada juga yang menyarankan sedemikian.

         Tetapi yang paling malang sekali yang menimpa masyarakat Islam ialah tentang anggapan orang bukan Islam yang merasakan bahawa orang Islam sebagai pengganas. Walau pun ia merupakan tuduhan yang amat liar namun apabila ditinjau tentang keadaan masyarakat Islam yang sering bergaduh khususnya di Timur Tengah amat sukar bagi kita untuk menangkis anggapan sedemikian. Dan yang menyedihkan lagi ialah seolah-olah golongan bukan Islam pula yang cuba menyelamatkan orang Islam (walaupun kita faham tentang matlamat udang disebalik batu mereka)

         Memang jelas Islam sentiasa menganjurkan perdamaian. Nabi Muhammad dan Khalifah Empat juga mentadbir negara Islam dengan penuh adil dan saksama, jauh sekali mengamalkan kegiatan rasuah dalam mentadbirkan negara yang seterusnya menyusahkan rakyat.

         Selain dari contoh yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad dan Khalifah Empat, aku ingin juga menyorot kisah  Salah Ad-Din dan Raja Richard dari England yang telah menunjukkan contoh terpuji kepada dunia. Salah Ad-Din bukan keturunan Arab tetapi berasal dari Iraq (Kurd) berketurunan sama seperti Sadam Hussein.

         Kehebatan Salah Ad-Din yang menyebabkan beliau dipandang begitu agung di mata masyarakat dunia (Islam dan bukan Islam) ialah dari segi keadilan memerintah Jerusalem. Apa tidaknya. Berbanding dengan keadaan di bawah pemerintahan Kristian di Jerusalem sebelum itu, yang melakukan kezaliman di luar batasan kemanusiaan, Salah Ad-Din telah mengamalkan pemerintahan cara Islam yang menganjurkan perdamaian. Terlalu banyak contoh-contoh untuk diperincikan dan cukup sekadar menyatakan bahawa Salah Ad-Din telah membuka mata masyarakat Kristian dunia tentang amalan prinsip Islam yang sebenar.

         Aku tak tahu dan tidak dapat menyatakan bahawa pemerintahan negara kita kini mengikut landasan Islam yang sebenar atau tidak. Para pemimpin kita sentiasa mendabik dada mengatakan bahawa negara kita adalah sebuah negara Islam tetapi apakah benar-benar prinsip Islam itu dipatuhi dan diikuti.

         Yang dapat aku perhatikan dengan jelas kebanyakan penceramah agama di negara kita terlalu takut dan bimbang untuk menyebut perkataan ‘RASUAH’. Aku tak tahu apa sebabnya. Mereka lebih suka menceritakan tentang kisah perkahwinan dan seks. Mungkinlah tak semua begitu.

abuhassanadam
25 Disember 2016




No comments:

Post a Comment