Tuesday, December 27, 2016

UMNO DAN BUDAYA YANG JELEK

         Tidak dapat dinafikan bahawa UMNO berperanan juga mendapatkan kemerdekaan negara walaupun benih perjuangan telah disemaikan oleh ramai pemimpin yang terdahulu seperti Ibrahim Haji Yaakub, Ahmad Boestamam, Dr. Burhanuddin dan lain-lain. Perjuangan tokoh-tokoh ini dibantu oleh guru-guru lepasan SITC Tanjong Malim. Ringkasnya UMNO hanya sebagai ‘penyudah’ kepada perjuangan yang panjang untuk mendapatkan kemerdekaan tanah air.

         Pengisian kemerdekaan dijalan dan diterajui oleh UMNO. Maju atau mundurnya negara kini adalah cermin kepada apa yang dilakukan oleh pemimpin UMNO. Sekiranya kita merasakan bahawa negara kita telah maju kini, maka itu merupakan jasa dan sumbangan UMNO. Begitu juga sebaliknya.

         Dan pemimpin UMNO tidak perlulah mendabik dada mengatakan yang mereka telah begitu berjaya membangunkan negara. Pada hari ini  dengan jelas dapat dilihat bahawa negara Malaysia kini sudah agak terkebelakang berbanding dengan negara-negara lain di Asia Tenggara. Malah jika dibandingkan dengan Vietnam sekalipun yang baru sahaja ‘bangun’, Malaysia semacam agak ketinggalan. Usahlah dibandingkan dengan Singapura yang sudah amat pasti amat jauh meninggalkan negara kita. Kajilah dari segi apa pun.

         Suatu hal yang jarang dibincangkan ialah bahawa UMNO telah meninggalkan satu cara hidup atau budaya yang pada pandangan aku agak jelek. Aku tidak pula menidakkan tentang budaya yang boleh juga diterima yang diperkenalkan oleh UMNO. Ada. Dan tidak pula semua ‘orang UMNO’ yang telah menimbulkan budaya yang ditakrifkan ‘jelek’ itu, namun disebabkan dua tiga ekor kerbau yang membawa lumpur, maka habis semuanya terpalit.

         Aku masih ingat pada suatu hari tak berapa lama dahulu. Sedang aku dan anak aku ( yang pada ketika itu baru dalam Tingkatan Dua) menikmati sarapan pagi di sebuah restoran di Syah Alam, masuklah sekumpulan anak muda Melayu yang berperangai lain dari yang lain. Anak aku terus memberikan komen. “Pemuda UMNO tu bapak….” Aku terkejut bagaimana anak aku yang masih terlalu muda untuk mengenali politik memberikan komen sedemikian.

         “Mengapa kata begitu?’ aku menyoal anak aku. Anak aku menerangkan dengan panjang lebar yang dia tak suka cara pemuda-pemuda itu masuk ke restoran berkenaan dengan cara yang agak ranggi, tanpa mempedulikan pelanggan lain. Dan ketika mereka menikmati juadah yang dihidangkan, kelihatan amatlah tidak bersopan. Aku dan anak aku terus menerus memerhatikan gelagat ‘sekumpulan pemuda’ yang dikatakan oleh anak aku sebagai ‘Pemuda UMNO’ itu. Dan akhirnya jelas dan tepat rupanya yang sekumpulan pemuda itu merupakan ‘pemuda UMNO’ apabila tidak lama selepas itu muncul ‘tokoh UMNO’ yang berpangkat menteri makan bersama mereka. Aku tak pula mengatakan bahawa semua pemimpin UMNO begitu. Tetapi sekurang-kurangnya tindakan dan ‘perangai’ pemuda itu telah memberikan impak yang besar kepada persepsi anak aku yang baru berumur 13 tahun ketika itu.

         Aku masih ingat juga satu lagi peristiwa tidak berapa lama dahulu. Berdekatan dengan Hotel Pan Pacific dan Pusat Dagangan Dunia Putera. Aku terperangkap dalam kesesakan lalu lintas ketika itu. Aku pun hairan mengapa kesesakan berlaku di situ. Yang dapat aku perhatikan ialah bahawa punca kesesakan itu disebabkan oleh kereta-kereta (mewah) di letakkan tidak mengikut persturan. Hampir separuh jalan di hadapan PWTC itu digunakan sebagai tempat letak kereta. Kesannya ialah kesesakan yang bukan kepalang.

         Kelihatan pihak polis tidak dapat berbuat sesuatu untuk menangani keadaan. Aku bertanya mengapa terjadi demikian. Polis itu menjawab, ‘Mesyuarat Agung UMNO encik….’ Setakat itu saja jawapannya. Bermakna bahawa pemimpin UMNO boleh berbuat apa saja dengan tidak ada tindakan yang boleh dilakukan. Begitulah fahaman aku. Sepatutnya pihak polis yang mengawasi keadaan di situ boleh menulis saman terhadap kereta berkenaan tetapi disebabkan kereta yang dimiliki  oleh ‘pemimpin UMNO’ maka tidak ada sebarang tindakan dilakukan.

         Tentulah banyak lagi contoh-contoh lain yang boleh diutarakan. Namun tidak pula semua orang UMNO berperanagai sedemikian. Ada juga yang bersikap timbang rasa dan faham akan perasaan dan nadi masyarakat.

         Disebabkan golongan majoriti yang bersikap demikian seolah telah terjelma pula budaya baru – budaya UMNO, yang aku anggap amat jelek.

abuhassanadam

27 Disember 2016

2 comments:

  1. UMNO terus mempertahankan budaya feudal diserapi dalam banyak bidang. antara ciri feudal ialah rakyat terus dikekalkan sebagai bermartabat sebagai hamba yang bodoh lagi bangan dan para pembesar sebagai yg mulia dan berkuasa.Jika mau mengubah status quo itu maka banyak risiko yg akan mendatang. Lihat sekaran ramai orang Melayu khususnya di Felda tak boleh khadam betapa bobrok para pemimpin mereka. Ajaran agama yang berlapik dengan nilai2 feudal turut membutakan hati perut kalangan pengikut dan agamanan Melayu. Kesimpulannya Malaysia terus mundur dalam pemikiran dan tamadunnya.

    ReplyDelete