Monday, December 19, 2016

USTAZ JIDIN

            Aku masih teringat dan amat segar dalam ingatan aku bagaimana Ustaz Jidin mengajar agama di surau kampung aku. Kampung Ekor Dusun.

            Ustaz Jidin dari kampung bersebelahan dengan kampung aku. Kampung Lalang.  Kononnya Ustaz Jidin ketika usia mudanya menuntut di Makah. Memanglah pada ketika itu ‘lulusan’ dari Makah terlalu tinggi nilainya bagi orang kampung. Lulusan university ke ataupun hanya ‘bernaung’ di Makkah buat seketika bukan isu penting bagi orang kampung. Yang penting beliau ‘mengaji’ di Makkah.

            Sebelah petang giliran kaum wanita belajar agama dengan Ustaz Jidin. Sebelah malamnya pula giliran kaum bapa. Emak belajar di sebelah petang dan bapak pada waktu malam. Dan sekembalinya dari kelas Ustaz Jidin emak akan berbual dengan bapak menceritakan apa yang dipelajarinya dari Ustaz Jidin. Pelajaran mengenai ‘Sifat 20’ – kewujudan Allah – Tuhan.

            Dan sebelah malamnya pula, kaum bapak juga ‘mengkaji’ tajuk yang sama. ‘Sifat 20’. Kebiasaannya Ustaz Jidin akan duduk bersandar pada tiang seri di surau kami ketika menyampaikan ceramahnya. Ahli kariah Kampung Ekor Dusun akan duduk bersila, bersandar di dinding surau mengelilingi ustaz Jidin.Tidak ramai pun ahli kariah kampung aku. Lebih kurang dua puluh orang kalau kesemuanya hadir.

            Ustaz Jidin akan membuka kitabnya yang agak lusuh di atas bantal yang disediakan sebagi alas. Beliau akan membaca baris demi baris menggunakan bahasa yang amat sukar difahami. Nahu Bahasa Melayu bercampur Arab. Dan Ustaz Jidin akan ‘menjelaskan’ apa yang dimaksudkan ayat yang dibacanya. Yang mengambil masa yang lama ialah tatkala Ustaz Jidin menerangkan dan mentafsirkan apa yang dibacanya dari kitab berkenaan.

            Ketika itu usia aku baru 13 tahun. Dan bapak mempastikan aku mesti sama-sama beliau mengikuti ‘kuliah’ Ustaz Jidin di surau. Dan emak pula mempastikan aku mesti ‘by-heart’ ( hafal di mult) ‘Sifat 20” – Wujud, Qidam, Baqa….dan seterusnya. Sehingga kini aku amat fasih tentang ‘sifat 20’ tetapi pada ketika itu tidak pula aku faham apa maksudnya. Cuma yang aku tahu ‘wujud’ itu maknanya ‘ada’. Ada Tuhan ler tu.

            Ustaz Jidin terpaksa juga ‘bercerita’ ketika menyampaikan ceramahnya. Maksud aku beliau terpaksa mencari kaedah supaya yang mendengarkan ceramahnya tidak mengantuk. Maklumlah suasana tempat belajar di surau juga amat sesuai untuk memejamkan mata. Ketika itu masih menggunakan lampu gasoline. Cahaya terangnya tidak boleh bertahan lama dan terpaksa selalu ‘di pam’. Kebiasaannya suasana malap dan suram sentiasa menyelubungi suasana mengaji.

            Oleh kerana kelas Ustaz Jidin diadakan sebulan sekali, maka tentulah setiap kali kelas diadakan memakan masa yang agak lama. Biasanya dua jam. Bermula dari lepas Maghrib (pukul 8.00 malam) dan selesai pukul 10.00 malam. Dan cara penyampaian Ustaz Jidin memang ‘mengantukkan’. Dengan penuh kesabaran ahli kariah kampung aku terus menerus mengikuti kuliah Ustaz Jidin, walaupun aku meragui kefahaman mereka tentang apa yang disampaikan oleh Ustaz Jidin.

            Itu kisah kuliah agama pada zaman awal tahun 1960an.

            Fast forward – pada awal Kurun ke 21, kuliah-kuliah agama di surau kini tidak banyak berubah. Masih ditakuk lama. Mungkin yang berbeza agaknya ialah tentang bayaran kepada para penceramah agama. Jikalau saguhati yang diberikan kepada Ustaz Jidin dulu hanyalah lebih kurang RM 5.00 maka pada hari ini bayaran yang ‘dikenakan’ adalah dalam lingkungan RM 300-RM1000 bagi satu kali kuliah.

            Di surau golongan elit di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, aku difahamkan yuran yang dikenakan tidak kurang daripada RM300 bagi satu kuliah. Dan penceramah agama kini tidak lagi mengajar mengenai ‘Sifat 20’ tetapi banyak menumpukan kepada isu-isu perkahwinan dan seks. Isu-isu yang sebegini amat digemari oleh para ulama untuk membincangkannya. Malah tema ini juga banyak diselitkan dalam hasil-hasil sastera seperti novel dan cerpen pada tahun-tahun 1920an dan 1930an.

            Sebenarnya para ulama mempunyai ‘imuniti’ yang cukup kebal. Apa yang diajar dan disampaikan oleh mereka tidak ada siapa yang  berani menyangkalnya. Pernah pada suatu waktu dulu ada guru agama (kononnya) mengeluarkan ‘fatwa’ bahawa ‘guru agama jangan disoal, berdosa..” Maka tidak ada siapa yang berani menyoal disebabkan takut dituduh ‘berdosa’.

            Sehingga kini kelas-kelas agama di surau dan masjid kebanyakannya merupakan ‘se-hala’. Dan secara kebetulan pula kebanyakan hadirin yang kononnya ingin menuntut ilmu itu datang ke surau dan masjid semata-mata untuk ‘menghabiskan waktu’ sementara menunggu waktu Isyak ataupun menunggu jamuan yang akan dihidangkan selepas sesuatu ceramah diadakan. Bagi golongan ‘orang pencen’ pula amat sesuailah kuliah agama diadakan. Sekurang-kurangnya dapat juga mengisi masa lapang mereka.

            Aku tak kata semuanya begitu keadaannya…

abuhassanadam

19 Disember 2016

No comments:

Post a Comment