Saturday, December 24, 2016

17, PROTHERO GARDEN, LONDON NW

         Yang amat menghairankan aku ialah apabila aku berada di negara orang, aku sentiasa teringatkan kampung halaman aku, dusun durian orang tua aku, reban ayam emak aku, kandang kambing bapak aku. Tetapi apabila sudah berada di kampung halaman pula maka fikiran sentiasa menerpa pula kepada rumah dan kawasan persekitaran yang aku tinggalkan di rantau orang pada suatu ketika dulu.

         Empat tahun aku tinggal di no 17, Prothero Garden di London. Bermula pada tahun 1995 sehingga 1998. Dan tentulah tidak pernah aku melupakan saat-saat manis dan pedih ketika berada di rantau orang.

         Masih terbayang dimata tentang bagaimana aku selalu berada di sebuah bilik tingkat atas di rumah aku di Prothero Gardens sambil mata aku menerawang, melepaskan pandangan ke luar melihat salji yang memutih pada musim sejuk. Dan sememangnya aku amat menyukai musim sejuk terutama apabila melihat salji turun. Tentulah tidak terdapat pemandangan semacam itu di negara kita.

         Aku masih teringat peristiwa di mana kerinduan aku terhadap kampung halaman dan ayah bonda begitu memuncak ketika berada di negara orang. Aku tidak tahu apakah ‘ubat’ yang paling mujarrab untuk mengubati hati yang rindu itu. Puas aku mencari ‘ramuan’ yang sesuai bagi mengubati hati yang rindu itu.

         Sambil memandang ke luar tingap melihat salji yang turun memutih disamping diselimuti suasana dingin, seolah-olah tidak dapat aku menahan kerinduan aku kepada wajah-wajah emak dan bapak serta sanak saudara terdekat. Wajah kawan-kawan sepermaianan aku Hamid, Ngah, Bahari, Isa,Noh, Zenon, Ani, Karim dan ramai lagi. Terpandang juga aku wajah Pak Lop Godak, Pak Alang Palit, Sallleh Godang, Mat Bokek, Anjang Berani dll.

         Terbayang juga di mata aku bagaimana Pak Ajid memasak bubur lambuk di surau Ekor Dusun ketika menjelangnya bulan Ramdhan yang dibantu oleh abang Zaidun dan Pak Alang Ibrahim. Aku ‘nampak’ juga kesibukan Wang Timah (isteri Pak Ajid) membantu suaminya menyediakan bubur lambuk  untuk keperluan berbuka puasa di kariah kawasan kami dengan tidak mengharapkan apa-apan imbuhan. Hanya Allah saja yang akan membalas budi baik mereka.

         Melihatkan salji turun seperti hujan lebat di kampung aku, teringat pula aku tentang musim tengkujuh yang melanda di kampung yang kadang-kadang membawa bencana banjir yang boleh ‘memutuskan’ perhubungan antara kampung aku dengan Kampung Seberang akibat batas bendang terputus. Teringat juga tentang bagaimana peritnya kehidupan penduduk kampung aku pada musim tengkujuh disebabkan mereka tidak dapat menoreh getah.

         Aku masih teringat tentang bagaimana emak menghantar dua cupak beras kepada Mak Chah (sepupunya) sebagai bantuan kepada keluarga Mak Chah (yang mempunyai tujuh orang anak) pada musim tengkujuh, takut kalau-kalau anak-anak Mak Chah kelaparan. Tentulah mengalir juga setitik dua air mata aku apabila menuliskan keadaan sebegini, mengenangkan nasib yang dilalui oleh orang kampung aku yang masih lagi ‘kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang’.

         Dan kini apabila dikenangkan pula tentang rumah aku yang aku tinggal di London pada suatu ketika dahulu tentulah merupakan satu mimpi dan igauan yang menyeronok dan menghairankan. Aku tidak dapat membayangkan bagaimana seorang anak kampung ( kampung aku sememangnya merupakan desa pingitan) boleh dapat bertugas di London dan tinggal di kawasan elit yang setaraf dengan bangsa-bangsa yang terhormat didunia. Aku hanya dapat bersyukur kepada Allah.

         Walau apa pun aku amat sedar siapa aku yang sebenarnya. Aku masih budak kampung. Aku tak lupa tentang kehidupan anak kampung yang mandi dan mendapatkan air minuman di telaga, bercahayakan pelita bersumbu bertenagakan minyak tanah. Aku tak lupa jering petai bersambalkan sambal tempoyak disamping berkuahkan gulai tempoyak ikan sungai. Aku tidak kenal apa yang dinamakan ‘breakfast’ sebab apa yang dimaknakan dengan ‘breakfast’ hanylah samada rebus pisang atau pun rebus ubi bercecahkan kelapa parut.

         Aku tidak pernah merasai apa rasnya keju atau jam atau Nescafe atau pun cokelat Cadbury sehinggalah aku berumur empat belas tahun. Roti (dalam erti kata yang sebenarnya) jarang ‘singgah’ di rumah aku kecuali ‘Roti Benggali’ yang meungkin dapat diperolehi seminggu sekali. Emak ada membela ayam tetapi telor ayam bukan untuk dimakan tetapi untuk dijual, ditukarkan dengan ikan kering Belanak atau udang kering. Daging ayam belaan emak akan hanya dapat dirasai apabila datang saudara mara dari jauh atau pun apabila emak mahu mengadakan khenduri di rumah Pak Haji Sulaiman apabila aku dan adik aku tammat membaca ‘Jaama” ( Juz Amma) ia itu apabila kami mahu memulakan membaca Al Quran.

         Menikmati daging ayam atau pun daging lembu hanya dapat dinikmati pada waktu-waktu tertentu sahaja seperti di majlis khenduri kahwin atau pun pada perayaan Hari Raya. Aku tidak biasa makan buah-buahan sebagai ‘pembasuh mulut’ setelah selesai makan tengah hari atau makan malam. Tetapi pada musim buah-buahan, aku dan anak kampung yang lain akan menikmati buah-buahan sepanjang musim buah-buahan. Pendek kata, pagi makan buah, tengah hari makan buah, petang makan buah, malam pun makan buah-buahan. Itu hanya terhad kepada musim buah-buahan.

         Dengan izin dan takdir Allah anak kampung rupa-rupanya boleh dan mampu bertugas dan “berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah’ dengan bangsa-bangsa lain yang lebih maju. Rupanya anak kampung boleh diterima untuk menyampaikan ucapan di Persidangan Komanwel. Dan anak kampung juga boleh diterima untuk bersalaman dengan Queen Elizabeth, sedangkan datuk nenek anak kampung inilah yang telah dihina oleh British pada suatu ketika nanti.

         Walau apa pun anak kampung ini ingin juga mengenang budi British yang telah memberikan pelajaran Barat yang membolehkan dia duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa lain yang lebih maju.

         Orang Melayu masih tahu juga mengenang budi.

abuhassanadam
24 Disember 2016

        

         

1 comment:

  1. tiada kata secantik bahasa...untuk ku puji ungkapan bahasa sastera dan nostalgia anda dan saya...kita serupa, Dan aku juga sering bertanya dimana kata hati pemimpin pemimpin bangsa Melayu yg kelihatan lupa daratan serta beraja dimata dan bersultan dihati,Menagapa masih ramai orang Melayu memperkuda dan rela diperkuda oleh perasuah ,pengkhianat dan menagapa yg berpendidikan tinggi dlm bidang agama ramai yg bertaraf pembodek sang penguasa

    ReplyDelete