PERAHU DI AIR , PENGAYUH DI TANGAN
Memang
sudah lama aku menyimpan perasaan untuk bertemu dengan Pak Usman Awang,
sasterawan negara. Malah semenjak aku mengenali sastera, semenjak itulah aku
amat ‘mengidam’ untuk berjumpa dengan ‘orangnya’.
Tahun
60an kita merasakan amat rapat diri kita dengan para sastrawan tanah air kerana
akhbar-akkbar Melayu pada ketika itu seperti Utusan Zaman, Mengguan Malaysia
dan Berita Minggu memamaprkan berita-berita dan rencana yang berkaitan dengan
sastera dan sastrawan seperti Keris Mas, A. Samad Ismail dll. Memang tak sahlah
perjalanan hari minggu sekiranya tidak membaca ketiga-tiga akhbar berkenaan.
Dan
kebiasaannya, aku akan baca setiap muka surat akhbar berkenaan. Dan amat
berbeza dengan keadaan pada hari ini. Sudah banyak tahun aku tidak membaca
akhbar-akhbar di atas yang berlegar di Malaysia kini. Aku tahu apa sebabnya aku
tidak berminat untuk membaca akhbar-akhbar berkenaan kini sedangkan
akhbar-akhbar berkenaanlah yang menjadi ‘teman’ tatkala sunyi pada hujung
minggu waktu dulu-dulu.
Dan
berita mengenai Pak Usman Awang akan muncul hampir setiap minggu. Samada dalam
bentuk sajak atau Cerpen ataupun rencana. Dan tidak cukup dengan paparan di
akhbar, muncul pula drama radionya. Aku tak dapat melupakan drama ‘Serunai
Malamnya’ yang dilakonkan oleh Saudara Azhar Ahmad dan Adibah Amin. Memang
khayal anak muda seperti aku mengikuti drama romantis berkenaan tetapi penuh
dengan pengajaran dan falsafah.
Rencana
Pak Usman Awang akan muncul di hampir setiap keluaran Dewan Masyarakat. Begitu
jugalah dengan sajak-sajaknya. Melalui sajak-sajak dan cerpenya itulah aku
semacam ‘rapat’ dengan Pak Usman Awang sedangkan aku belum pernah bertemu muka
dan bertentang mata dengan beliau. Pernah aku mengirimkan kad Selamat Hari Raya
kepadanya dan tidak lama selepas itu aku mendapat balasan. Aku cukup gembira
menerima balasan kad Selamat Hari Raya beliau. Lantas aku abadikan dalam album
ku.
Tahun
60an, para sasterawan sememangnya menjadi gilaan anak muda seperti aku
disamping meminati lagu-lagu pop yeh yeh 60an. Sastera dan sasterawan terhad
kepada golongan ‘elit’ Melayu yang baru muncul seperti para mahasiswa ( yang
boleh dibilang dengan jari) pada ketika itu dan para guru muda yang lulus dari
maktab perguruan. Sedangkan lagu-lagu pop diminati oleh setiap lapisan anak
muda samada yang terpelajar atau pun yang kurang terpelajar.
Aku
memberanikan diri aku untuk berjumpa dan bertemu muka dengan Pak Usman Awang
setelah puluhan rencana aku tersiar dalam akhbar Berita Harian/ Berita Minggu,
Mingguan Malaysia dan Dewan Masyarakat. Tambah meyakinkan aku lagi ialah
apabila Berita Minggu sudah sanggup menyiarkan sajak-sajak aku di dada akhbar
mereka. Hasrat aku untuk bertemu dengan Sasterawan Negara sudah ‘membara’. Ketika
itu beliau bertugas sebagai pegawai di Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Aku
mengetuk pintu biliknya. Beliau bangun berdiri menyambut kedatangan aku. Memang
aku beritahu setiausahanya yang aku akan datang. Senyuman mengiri tangan yang
berjabat salam antara aku dan dia. Luar biasa ‘aura’ Pak Usman Awang, bisik
hati kecil aku. Dia lantas mempersilakan aku duduk lantas memberikan pujian
terhadap sajak aku yang baru saja diterbitkan oleh Berita Minggu pada ketika
itu.
“Mana
boleh tanding sajak Pak Usman. Saya kan masih cempedak di luar pagar…’ jawab
aku. Dan pada ketika itu mahu rasanya aku mendeklamasikan sajak-sajaknya
seperti ‘Ke Makam Bonda’, ‘Bunga Poppy’, ‘Hadiah’, ‘Sebiji Bintang di Langit
Zaman’ untuk membuktikan yang aku adalah peminat tegar beliau.
Dia
tidak menjawab sekadar merenung tepat ke mata ku sambil tersenyum dengan
‘senyuman’ yang boleh memikat ribuan wanita. Kami berbincang tentang banyak
perkara selepas itu. Tentulah aku tidak akan melepaskan peluang keemasan yang
‘terhidang’ di hadapan aku pada ketika itu. Yang menakjubkan aku pada ketika
itu ialah tentang ‘manusia’ Usman Awang
yang hanya mendapat didikan formal setakat Darjah Enam sekolah Melayu (tanpa
berpeluang ke university) tetapi boleh ‘melihat’ dunia secara kritikal dan
dapat pula ‘mengulas’ dan ‘memberikan pandangan’ melalui sajak-sajak dan cerpen
yang dihasilkannya.
Hampir
satu jam aku bersama Pak Usman Awang ataupun Tongkat Waran (nama Penanya). Aku
minta diri dan mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kerana sanggup
meluangkan masa berbual dengan ‘pacal yang hina’. Setelah aku membuka pintu biliknya untuk keluar, sambil tersenyum
beliau telah mengiringi pemergian aku dengan kata-kata ‘azimat’nya buat aku.
“Perahu
sudah di air dan pengayuh berada ditangan. Yang diperlukan hanya kayuh…..’
katanya sambil tersenyum lagi..
abuhassanadam
26 Disember 2016
No comments:
Post a Comment