MELAYU: NILAI BUDI DAN HORMAT YANG SEMAKIN
LUNTUR
Entah
macam mana, sedang aku menghirup kopi panas sambil ‘browse’ internet meninjau
berita-berita dari CNN, ABC, BBC, Aljazeera (maaf! akhbar Malaysia dah tak
masuk ke rumah aku), aku teringat pula serangkap pantun Melayu lama, pusaka
datuk nenek ku yang amat bernilai.
Puas sudah ku tanam ubi,
Nenas juga di ladang orang,
Puas sudah ku tanam budi,
Emas juga dipandang orang.
Tentulah
ada sebabnya mengapa pantun berkenaan tiba-tiba menerpa benak aku. Akhir-akhir
ini aku nampak para pemimpin (kalau boleh dipanggil pemimpin) negara kita
‘menunjuk ajar’ perkara yang tidak sepatutnya ditunjukkan oleh mereka kepada
rakyat Malaysia, khususnya kepada anak-anak.
Antara
yang paling ketara ialah peristiwa ‘buruk siku’ dimana Dr. Mahathir, bekas
Perdana Menteri Malaysia dan yang mendapat gelaran ‘Tun’ ditarik balik
jemputannya untuk menghadiri majlis Yang Dipertuan Agung di istana negara,
seedangkan Tun Mahathir telah mendapat jemputan rasmi sebelum itu. Aku tak tak
mahu ambil tahu siapa yang menjemput beliau dan siapa pula yang membatalkan
jemputan itu. Bukan kerja aku untuk menyiasat perkara berkenaan. Cuma yang
ingin aku tonjolkan di sini ialah ‘sampai hati’nya pihak berkenaan melakukan
tindakan sedemikian yang jelas bertentangan dengan adat dan budaya Melayu!.
Dan
yang paling menyedihkan lagi ialah sikap dan ‘teladan’ yang ditunjukkan oleh
para pemimpin (kalau boleh dipanggil pemimpin) UMNO ketika menyampaikan ucapan
di Persidangan Agung UMNO baru-baru ini.
Lagak dan gaya mereka mengutuk dan mencerca Tun Mahathir adalah agak
keterlaluan. Dan yang menghairankan kebanyakan rakyat Malaysia ialah tentang
‘sampai hati’nya golongan ini melakukan perkara sedemikian sedangkan ketika Tun
Mahathir menjadi Perdana Menteri dulu, kumpulan ini jugalah yang mencium tangan
dan mengekori Tun Mahathir.
Betul
kata Tun Mahathir, “ Melayu mudah lupa’.
Apakah
golongan ini tidak merasa malu dan bersalah apabila sanggup mengutuk Tun
Mahathir, seorang tua, negarawan yang pernah suatu ketika dihormati di
peringkat anatarabangsa berbanding dengan pemimpin yang ada sekarang yang
seolah-olah masih terkongkong di bawah tempurung. Hanya boleh berlagak sebagai
jaguh kampung. Apakah mereka tidak merasa malu walau sedikit pun apabila mereka
mengeluarkan kata-kata nista terhadap Tun Mahathir itu.
Agaknya
pantun di atas perlukan pindaan.
Puas sudah ku tanam ubi,
Cempedak juga di tanam orang,
Puas sudah ku tanam budi,
‘Dedak’ juga dipandang orang.
Ada
ketikanya, cara pemimpin kita mengeluarkan kata-kata yang ditujukan kepada Tun
Mahathir, sudah sampai ke peringkat BIADAP. Aku ulangi BIADAP!. Apakah mereka
berbangga mengeluarkan kata-kata sedemikian. Dan apakah mereka tidak sedar yang
rakyat Malaysia sedang memerhati akan tindakan mereka. Dan yang paling menyedihkan
lagi ialah apabila anak-anak sekolah, pelajar sedang memerhatikan tindak tanduk
mereka. Apakah tindakan biadap sedemikian yang mahu ditanamkan di hati dan
sanubari anak-anak kita.
Orang
Melayu terkenal dengan sopan dan santunnya ketika berhujah. Lihat bait-bait
yang ditulis oleh Sasterawan Negara, Dato Usman Awang mengenai orang Melayu.
Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.
Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak
Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu,
Bugis itu Melayu,
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu,
Mamak dan Malbari serap ke Melayu,
Malah muallaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)
Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara
Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak
Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh di cari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturahim hati yang murni
Maaf diungkap sentiasa bersahut
Tangan dihulur sentiasa disambut
Luka pun tidak lagi berparut
Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran
Bagaimanakah Melayu abad kedua puluh satu
Masihkah tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara merdeka.
- Usman Awang
Jikalau berlaku pertentangan pendapat dan pandangan pun ada caranya
yang boleh digunakan untuk berhujah. Ada adabnya dan bukan biadap. Percambahan
fikiran sememangnya digalakan. Perbezaan pendapat adalah satu kebiasaan dalam
dunia keintelektualan dan sememangnya digalakan.
Cara
yang ditunjukkan oleh sebahagian pemimpin UMNO menunjukkan bahawa mereka belum
layak lagi berada di Kurun ke 21 walaupun mereka mendabik dada menggelarkan
diri sebagai pemimpin.
Mungkin
hanya layak digelar ‘Jaguh Kampung’!
abuhassanadam
22 Disember 2016
No comments:
Post a Comment