Wednesday, December 21, 2016

SENIMAN BUJANG LAPOK

            Selesai saja aku mendapat keputusan peperiksaan LCE ( Lower Certificate of Education Examination – lebih kurang macam PT3 sekarang ler) aku dan Chan Siew terus pergi ke panggung Rex Kuala Kangsar untuk menonton filem yang sedang hangat ketika itu – ‘Seniman Bujang Lapok’. Tahun 1961.

            Memang aku menunggu-nunggu sangat untuk menonton filem berkenaan. Dan kebetulan pula keputusan LCE yang   baru aku perolehi ketika itu amat memuaskan. Lantas aku mempelawa Chan Siew untuk bersama aku menonton filem P.Ramlee berkenaan. Dan Chan Siew adalah peminat P.Ramlee tegar. Seingat aku tidak satu pun filem P.Ramlee yang dia tak tengok. Tanyalah filem apa pun. Pasti dia boleh ceritakan. Itulah kehebatan Chan Siew. Kini Chan Siew sudah tiada, lebih awal meninggalkan aku.

            ‘Tugas’ untuk mengambil tiket wayang berkenaan aku serahkan kepada Chan Siew. Tidak mudah membeli tiket wayang pada ketika itu. Bukan macam sekarang. Beratur. Zaman dulu terpaksa ‘berebut-rebut’ menggunakan kekuatan untuk mendapatkan tiket. Oleh kerana Chan Siew mempunyai tubuh yang besar dan gagah orangnya maka ‘tugas’ itu terserah kepadanya.

            Memang panggung wayang akan penuh sesak apabila filem P.Ramlee ditayangkan. Apatah lagi apabila siri ‘Bujang Lapok’ ditayangkan. Pendek kata amatlah ‘terhina’ kalau anak muda dari Sayong atau Teroso atau Cegar Galah atau Padang Rengas atau Sauk atau Talang atau Manong yang tidak menonton filem P.Ramlee. Dan amatlah ‘terhina’ sekiranya anak muda tidak tahu lirik lagu ‘Gelora’ sebagaimana yang dinyanyikan oleh P.Ramlee dan Saloma. Sekurang-kurangnya dapat ‘menyanyikan’ dalam bentuk siulan.

            Begitulah hebatnya P.Ramlee pada ketika itu. Macam drama ‘Suri Hati Mr Pilot’ yang menjadi kegilaan anak muda kini. Macam itulah lebih kurang.

            Chan Siew dan aku ambil tiket ‘2nd Class’ yang berharga 65 sen. Duduk tengah-tengah. Nak ambil tiket ‘1st Class’ terlalu mahal bagi aku. RM1.05 sen. Tak cukup duit. Nak ambil tiket  ‘3rd Class” di depan sangat pula.

            Tiga puluh minit sebelum wayang ditayangkan, kami sudah berada di kerusi masing-masing, memerhatikan gelagat penonton-penonton yang sudah mula masuk mengambil tempat. Kebanyakannya anak-anak muda ler. Gelagat mereka amat berbeza dengan anak muda ketika ini. Agaknya ler kerana aku pun sudah tiga puluh tahun tak masuk panggung!

            Aku pasti tidak ada yang berani membawa pasangan ( maksud aku yang bukan suami isteri yang sah). Perbuatan sedemikian agak sumbang di mata masyarakat pada ketika itu. Dan tidak ada yang berani melanggar ‘adat’ dan budaya berkenaan (walaupun terdapat juga yang berani berbuat demikian tetapi tak ramai).

            Ada juga para penonton yang sudah pun memasuki panggung tetapi tidak mahu duduk di kerusinya. Mereka lebih suka berdiri bersandar pada dinding panggung. Aku tak tahu apa tujuan mereka berbuat demikian. Cuma yang dapat aku fikirkan ialah mereka merasa begitu ‘bangga’ dapat hadir di situ untuk menonton filem. Dan yang lebih penting lagi bahawa kehadiran mereka itu diketahui oleh kenalan yang sama-sama menonton filem berkenaan terutama anak gadis yang datang dari kampung yang sama. Mereka merasa bangga berbuat demikian.

            Aku tak tahu bagaimana sikap penonton kini apabila menonton filem-filem tertentu sebab sebagaimana aku katakan tadi, sudah tiga puluh tahun aku tidak menonton wayang di panggung. Tetapi sikap penonton tahun-tahun 60an adalah luar biasa. Seolah-olah penonton ‘tenggelam’ bersama dengan watak yang ditonton oleh mereka. Akan kedengaranlah ‘komen-komen’ dari penonton tentang watak-watak yang sedang dihayati oleh mereka.

            Ramai yang akan menangis apabila muncul babak sedih dalam cerita berkenaan. Dan sememangnya orang Melayu terutama gadis-gadis Melayu amat sensitif dan mudah menangis. Pada ketika itu. Mungkin sekarang juga begitu. Dan yang aku pasti penonton Melayu amat ‘tidak suka’ kepada Salleh Kamil atau A. Rahim atau Shariff Dol ( dalam filem Seniman Bujang Lapok).

            Penonton akan bertepuk tangan, bersorak apabila timbul pergaduhan antara Hero dan Crook bagi menyelamatkan herioinnya. Dalam hal filem Seniman Bujang Lapok, apabila timbul pergaduhan antara P.Ramlee dan Shariff Dol yang ingin menghawini Saloma.

            Para muda muda-mudi dari kampong Sayong, Ketior, Kati, Manong akan berasa lega dan berpuas hati selama dua jam setelah menonton filem P.Ramlee berkenaan. Chan Siew dan aku juga terhibur tetapi tidaklah seperti penonton-penonton lain yang betul-betul ‘tenggelam’ dan menghayati filem berkenaan.

            Tak lama selepas itu P.Ramlee dan Saloma pun bernikah (betul-betul). Peminatnya amat gembira mendengar yang P.Ramlee dan Saloma berkahwin.


abuhassanadam

21 Disember 2016

No comments:

Post a Comment