Tuesday, December 20, 2016

ANTARA MELAYU LEKAS PERCAYA DENGAN MELAYU MUDAH LUPA

            YBHG Dr. Mahathir kata orang Melayu mudah lupa. Aku nak tambah lagi mengatakan bahawa ‘orang Melayu lekas percaya” dan ‘ tak mahu dengar kata”. Mungkin ada (yang menggelarkan dirinya Melayu) yang ‘menyinga’ apabila aku menngeluarkan kenyataan begini. Tak apa. Aku juga orang Melayu. Jadi ‘seperti meludah ke langit’ ler. Aku menempelak diri aku atau pun menempelak keluarga aku yang semuanya orang Melayu tulin keturunan sakai.

            Ada juga alasan mengapa aku ‘berani’ mengatakan yang orang Melayu lekas percaya. Contoh yang aku berikan biasanya berasaskan lakaran sejarah.

            Di kampung aku ‘zaman seturi’ ( zaman dulu-dulu – ketika masih dibawah penjajahan British) ada seorang ‘penglipur lara’. Pah Aji namanya. Opah saudara aku juga. Pah Aji memang pandai bercerita. Pendek kata kalau mendengar cerita Pah Aji, memang tak jadi kerja ler. Tambah pula kami kanak-kanak akan ‘berkerumun’ di keliling Pah Aji di ‘pelantar’ rumahnya ketika dia bercerita.

            Kata Pah Aji pada zaman dulu ( zaman Neolithik agaknya!) beras yang kita makan tu adalah sebesar biji kelapa. Jadi kalau kita nak makan nasi terpaksalah di takuk (kopek) macam kita mengupas kelapa tu. Serpihan itulah yang direbus menjadi nasi. Tidak pula dijelaskan oleh Pah Aji bila beras (sebesar kelapa) itu bertukar menjadi beras seperti sekarang ini. Dan tidak ada pula yang bertanya soalan demikian. Masing-masing yang mendengar (termasuk aku ler tu) hanya ‘menganga’ mendengar cerita Pah Aji.Orang dewasa juga tidak mempertikaikan cerita Pah Aji tu. Orang Melayu memang lekas percaya….

            Lagi satu cerita Pah Aji. Cerita mengapa ular sawa hilang bisa dan tidak seperti ular lain yang sangat berbisa. Pada zaman dahulu (mungkin zaman mesolithik pula agaknya!) ular sawa sememangnya berbisa. Amat berbisa. Ular sawa hanya perlu mematuk tapak kaki saja dan yang empunya tapak kaki akan tumbang dan terus mati. ( kami percaya!!...)

            Suatu hari kata Pah Aji, ular sawa ingin menangkap ikan. Oleh itu ular sawa berkenaan hanya perlu menambatkan ekornya pada sebatang pokok dan mengikatkan kepalanya pada sebatang pokok diseberang sungai kecil. Dengan mengayunkan badannya ular berkenaan dapat mengeringkan air sungai berkenaan. Dan banyaklah ikan terdampar. Dan berpestalah penduduk yang tinggal berhampiran dengan sungai melihatkan ikan-ikan yang terdampar di pantai.

            Ular sawa begitu marah kerana habis ikannya diambil oleh orang kampung. Dia terus mematuk tapak kaki orang yang ditemuinya. Maka habislah mati orang yang terkena ‘patuk’ itu. Kebetulan pada ketika itu lalu pula sang kancil. Ular sawa bertanyakan kepada sang kancil perihal orang kampung yang mencuri ikannya. Sang kancil menipu sang ular sawa dengan mengatakan orang kampung sedang berpesta makan ikan sedangkan yang sebenarnya ramai orang kampung yang telah mati.

            Sang ular sawa begitu marah dan mengikut arahan sang kancil agar muntahkan segala biasa yang adanya. Sang Ular sawa berbuat demikian. Dengan sebab itulah ular sawa hilang bisanya dan hanya berkemampuan untuk membelit sahaja mangsanya. Kami percaya cerita Pah Aji. Tidak ada soalan langsung!!..

            Banyak lagi cerita-cerita (karut) yang diceritakan oleh Pah Aji dan pendengar percaya bulat-bulat cerita berkenaan.

            Sehingga kini perangai lekas percaya masih diamalkan oleh sebahagian besar orang Melayu terutama yang tinggal di kampung-kampung. Kebanyakan pemimpin-pemimpin peringkat bawahan menggunakan kelemahan yang ada pada orang Melayu ini untuk melebarkan pengaruh mereka. Orang Melayu amat lekas percaya terutama yang menyampaikan cerita itu adalah seseorang yang agak berwibawa.

            Aku yakin dengan kenyataan Dato’ Ibrahim Ali yang mengatakan bahawa Barisan Nasional akan menang dalam PRU 14 nanti walaupun 90% rakyat Malaysia menentang kepimpinan DS Najib kini. Orang Melayu tidak sukar mengubah pendidrian mereka. Entah berapa kali pilihan raya yang menampakkan yang Barisan Nasional akan tewas tetapi akhirnya mencapai kemenangan juga.

            Antara sebabnya ialah orang Melayu lekas percaya dan orang Melayu mudah lupa. Seolah-olah orang Melayu tidak berfikir secara kritis dan rasional. Seolah-olah orang Melayu terus bodoh dan diperbodohkan. Seolah-olah orang Melayu memang tolol dan ‘dipertololkan’. Seolah-olah orang Melayu memang bangang dan diperbanngangkan.

            Dan orang Melayu terus bodoh, tolol dan bangang apabila ‘didedakkan’. Yang memberi dedak adalah orang Melayu supaya orang Melayu terus bodoh, tongong, tengin dan bangang…..

            Agaknya ler…

abuhassanadam
20 Disember 2016


            

No comments:

Post a Comment