Tuesday, February 4, 2014

‘SIKIT-SIKIT SEKS, SIKIT-SIKIT LIWAT’ ; TAK MALU KE?

Hasrat pihak UMNO (BN) untuk mengenengahkan isu seks yang merupakan fitnah terhadap DS Anwar Ibrahim tentunya disambut dengan perasaan amat jijik oleh pengundi DUN Kajang. Jelas menampakkan bahawa UMNO (BN) sudah kehabisan isu untuk digunakan bagi ‘memerangi’ DS Anwar Ibrahim yang sudah amat bersedia dengan berbagai ‘peluru’ dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk digunakan.

Dengan mengenengahkan fitnah demikian seolah-olah memberikan gambaran kepada rakyat bahawa ‘seks’ adalah cara hidup dan budaya ahli UMNO. Ibarat komen beberapa orang anak muda sekarang, ‘ sikit-skit seks; sikit-sikit liwat…tak malu ke?”Telah terbukti bahawa ‘isu seks’ adalah ‘mainan’ ahli UMNO semenjak 1998 lagi.  Dan semenjak tarikh itu, ‘seks’ dan ‘liwat’ adalah sentiasa bermain dibibir ahli UMNO samada Wanita UMNO, Pemuda UMNO ataupun Puteri UMNO yang seolah-olah tidak ada segan silu lagi menyebut dan memperkatakan sesuatu yang merupakan ‘larangan’ kepada masyarakat Melayu yang bermaruah.

Isu fitnah memfitnah itu akan diteruskan di PRK Kajang. Aku tidak dapat pastikan kebijaksanaan perangka strategi ini kerana bagi aku tentunya akan memberikan laluan mudah kepada Pakatan Rakyat memenangi PRK ini. Rakyat Kajang tidak mudah diperbodohkan seperti rakyat yang ada di setengah kawasan di Malaysia. Rakyat Kajang sudah diketahui umum sebagai rakyat terpelajar dan tahu apa yang perlu mereka lakukan apabila berhadapan dengan soal memilih calon.

Mungkin agaknya UMNO (BN) ingin mengikut jejak langkah di setengah negara yang menggunakan isu seks untuk menjatuhkan pemimpin yang cuba bertanding merebut sesuatu jawatan. Dan tektik sedemikian agak berjaya. Berjaya disebabkan tuduhan yang dilemparkan ke atas seseorang calon itu betul-betul berlaku dan dapat dibuktikan. Bukan dengan cara fitnah memfitnah sebagaimana yang cuba dilakukan ke atas  DS Anwar Ibrahim itu.

Pada tahun 1986, Gary Hart telah bertekad yang beliau akan bertanding sebagai calon parti Demokrat untuk jawatan President Amerika Syarikat. Entah macam mana selepas sahaja beliau mengumumkan hasratnya untuk bertanding jawatan berkenaan, timbul khabar-khabar yang mengatakan yang beliau ada membuat hubungan sulit dengan Rice. Ada sekumpulan wartawan yang nampak Rice keluar dari rumah Gary Hart.

Gary Hart menafikan tentang hubungannya dengan Rice. Dia mengatakan sememangnya betul Rice pergi ke rumahnya tetapi ‘untuk meminjam buku’ katanya. Setelah mendengarkan penafian Gary Hart itu, pada keesokan harinya, akhbar ‘ The Herald’ menyiarkan gambar Rice yang berpakaian Bikini duduk di atas riba Gary Hart, ketika berada disebuah Yacht bernama “ Monkey Business’. Dan Gary Hart terus membatalkan hasratnya untuk merebut jawatan Presiden Amerika Syarikat.

Mereka mungkin ‘belajar’ dari peristiwa bagaimana Presiden Clinton ‘tercemar’ disebabkan skandalnya dengan Monicka Lewinsky, seorang pekerja sementara di White House.  Pada mulanya hanya merupakan tuduhan ( bukan fitnah ). Dinafikan oleh Clinton. Tetapi disebabkan perkara itu betul-betul berlaku dan dilakukan oleh Clinton maka tentunya tidak dapat disekat dan dibendung lagi.

Di United Kingdom, berlaku juga skandal yang menghura-harakan parliman British pada tahun 1963. Ia membabitkan seorang berpangkat menteri, John Profumo yang pada ketika itu berjawatan War Minister of Britain. Beliau dituduh terlibat dalam skandal seks melibatkan  dirinya dengan Christine Keeler yang merupakan ‘gundik’ seorang perisik Russia. Dikatakan John Profumo menjadi mangsa Stephen Ward yang dikatakan sebagai ‘broker’ menghubungkan orang yang berpengaruh dengan wanita-wanita cantik. Ekoran daripada peristiwa itu John Profumo terpaksa meletakkan jawatan sebagai Menteri Perang.

      Richard Milhous Nixon, Presiden Amerika Syarikat yang ke 37 telah meletakkan jawatan sebagai Presiden pada tahun 1974 kerana didapati terlibat dalam skandal yang membabitkan dirinya. Hanya beliau saja yang menrupakan presiden yang pernah meletakkan jawatan ketika memegang jawatan.

Itu peristiwa yang betul-betul berlaku dan bukan fitnah. Dan pemimpin berkenaan sanggup melepaskan jawatannya. Tetapi jikalau kita lihat dan bandingkan dengan keadaan di Malaysia, perkara perletakan jawatan ekoran daripada kes skandal dan salah laku tidak akan berlaku di sini. Sebaliknya seseorang berjawatan tinggi bukan sahaja akan terus mempertahankan jawatannya tetapi akan terus menerus menyalahkan orang lain!!...

Peribahasa Melayu ada mengatakan, ‘ mengata dulang paku serpih, mengata orang awak yang lebih’. Oleh itu bagi golongan yang cuba mengaibkan orang lain, eloklah direnung-renungkan peribahasa tersebut.

abuhassanadam
4 Februari 2014






Monday, February 3, 2014

KEHADIRAN PENGANALISIS POLITIK  DI TV

Menjelangnya PRK Dun Kajang, bermula jugalah kemunculan penganalisis politik yang pastinya akan muncul saban malam di TV arus perdana untuk memberikan komennya mengenai  keadaan politik semasa. Bukan dikaca TV arus perdana sahaja, malah akhbar-khbar milik UMNO juga akan menyiarkan komen-komen mereka yang dikatakan amat ‘bernas’ itu. Yang anihnya ‘tokoh-tokoh’ ini akan sentiasa diberikan ruang olek media arus perdana untuk memberikan komen mereka memandangkan pandangan mereka yang dikira amat ‘bernas’ agaknya berbanding dengan penganalisis lain yang ada di Malaysia. Tetapi kadang-kadang idea yang disampaikan oleh mereka itu boleh diibaratkan seperti ‘idea kangkung’…..

Sekiranya aku tidak silap Allahyarham Prof Syed Hussein Alattas yang pernah pmenulis mengenai  "bebalisma" dan beliau juga yang memberikan gelaran "profesor kangkung" kepada para cendiakawan yang bertaraf ‘kangkung’ ia itu yang tidak langsung menonjolkan sifat kencediakawanan dalam tulisan-tulisan dan hujah yang mereka kemukakan.

Kebanyakan yang memberikan analisis politik itu nampaknya hebat-hebat juga. Bertaraf profesor dan Profesor Madya. Dan tidak mudah (zaman dulu-dulu ler) untuk mendapatkan jawatan sedemikian. Dan pada ketika itu tidak ramai pula yang memegang gelaran itu. Yang dapat gelaran sedemikian mestilah tokoh yang betul-betul berwibawa yang telah menerbitkan buku ilmiah atau pun telah banyak kali membentangkan kertaskerja ilmiah di peringkat antarabangsa. Dan kebiasaannya akan dihormati oleh masyarakat antarabangsa disebabkan kajian ilmiah mereka.

Mungkin juga ‘professor kangkung’ yang muncul di TV arus perdana  itu telah memenuhi syarat-syarat sebagaimana yang aku katakan tadi. Ataupun mungkin mereka memperolehi ijazah Sarjana atau Phd mereka dari Stanford atau Harvard atau Oxford atau Cambridge.

Sekiranyalah mereka adalah lulusan dari university-university yang aku senaraikan itu, maka pasti university yang memberikan ijazah itu juga merasa ‘terhina’ memandangkan ‘produk’ yang mereka lahirkan tidak sebagaimana yang diharapkan oleh university berkenaan. Mungkin aku tersilap sekiranya aku katakan bahawa analisis yang disampaikan oleh ‘penganalisis kangkung’ ini amat dangkal dan tidak membayangkan bahawa analisis itu merupakan hasil karya ilmiah.

Sebagai contoh mereka menggunakan berbagai andaian dan ‘teori’ tentang mengapa DS Anwar Ibrahim memilih untuk bertanding di DUN Kajang. Sayangnya mereka tidak memberikan sebab-sebab yang munasabah mengapa hal itu berlaku. Dengan demikian menampakkan kedangkalan mereka dalam menghujahkan sesuatu isu. Disebabkan mereka diberikan ‘kebebasan’ untuk menyatakan sesuatu maka tentulah tidak timbul perbincangan dan persoalan. Hanya syok sendiri.

Misalnya ada yang diantara mereka yang mengatakan bahawa mengadakan PRK Dun Kajang merupakan pembaziran. Dan tentulah jari akan menuding ke arah DS Anwar Ibrahim yang merupakan ‘penyebab’ mengapa PRK diadakan. Dan akhirnya hujah sedemikian amat senang untuk ‘dipatahkan’ dengan merujuk PRK yang pernah diadakan oleh Barisan Nasional pada tahun 1997 di DUN Matang di Selangor juga untuk memberi laluan kepada Dato’ Abu Hassan Omar menjadi Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Muhammad bin Muhammad Taib. Lantas mereka ‘terkedu’.

Jelas menunjukkan bahawa golongan penganalisis ini tidak membuat ‘home work’ secara teliti sebelum mengemukakan sesuatu hujah. Lantas menampakkan juga kedangkalan fikiran hujah mereka, apabila ‘dipatahkan’ dengan fakta yang tidak dapat ‘ditepis-tepis’ lagi. Kadangkalan buah fikiran mereka dapat juga dilihat apabila ada penganalisis ‘kangkung’ yang cuba merasionalkan tentang kesediaan DS Anwar Ibrahim bertanding di DUN Kajang.

Antara hujah yang dikemukakannya ialah hasrat DS Anwar untuk senang berhubung dengan Sultan dan Menteri-Menteri Besar yang lain disamping untuk menunjukkan kepada yang lain betapa efisennya pentadbiran negeri Selangor di bawah pentadbirannya. Alangkah dangkalnya hujah yang dikemukakan dan tidak sepatutnya dilaporkan dalam media. Sampai begitu sekali ‘rendahnya’ mentaliti para profesor penganalisis politik di Malaysia kini sehingga sanggup ‘melacurkan’ kencediakawanan mereka demi untuk mendapatkan sesuatu.

Tidak berapa lama dahulu, masih kedengaran ‘sayup-sayup’ suara ‘profesor’ yang dianggap ‘kangkung’ ini mengeluarkan hujah mengatakan bahawa negara kita tidak pernah dijajah!...Ramai golongan yang tidak pandai terkejut mendengar hujah sedemikian. Dan yang anihnya pula saluran media arus perdana dengan ‘bangga’ menyiarkan pandangan semedemikian.

Persoalan yang ingin aku timbulkan juga ialah tentang prestasi pelajar yang ‘diajar’ oleh professor yang sebegini. Sekiranya begitulah taraf pemikiran ‘guru’nya maka kita akan dapat lihat ‘hasil’ yang diterima oleh anak muridnya. Mungkinkah dengan sebab itu agaknya taraf university-univeristy di Malaysia begitu menurun kedudukannya di mata dunia. Mungkin…..

Aku rasa university-university yang berada di Malaysia kini akan lebih berkesan peranannya sekiranya perdebatan-perdebatan dan percambahan fikiran kerap diadakan di kampus-kampus membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan politik dan negara Malaysia. Berilah kebebasan kepada anak-anak muda ini untuk melahirkan hasrat dan harapan mereka. Biarkan mereka ‘berkelana’ dengan pemikiran ‘jalang’ mereka. Berikan mereka peluang untuk ‘menendang dan menerajang’ agar mereka dapat ‘berpencak’ dan ‘bersepak–terajang’ bukan sahaja di Malaysia tetapi di arena antara bangsa.

Mahasiswa Malaysia seharusnya bertindak segera untuk bergerak maju ke hadapan.

abuhassanadam
3 Januari 2014



Sunday, February 2, 2014

DUN KAJANG – PERTARUHAN PAKATAN YANG BUKAN KEPALANG

Demi rakyat Selangor, Pakatan Rakyat mempertaruhkan DS Anwar Ibrahim untuk bertanding di kawasan DUN Kajang. Bukan kepalang ‘heavyweight’. Sememangnya menampakkan bahawa Pakatan Rakyat bertindak seolah-olah ‘going for broke’. Seolah-olah kepimpinan PKR merasakan dan berpendapat bahawa, ‘apa nak jadi, jadilah…”. Matlamatnya adalah untuk menyelamatkan rakyat Selangor dari terjatuh ke ‘mulut buaia’.

Bukan merupakan satu rahsia lagi bahawa sememangnya negeri Selangor yang kaya ini merupakan idaman UMNO (BN). Maknanya ‘by hook or by crook’ Selangor mesti dirampas semula. UMNO (BN) gagal untuk merampas semula Selangor melalui PRK 13 yang lalu. Ini tidak bermakna bahawa UMNO (BN) berputus asa dalam usaha mereka untuk merampas Selangor secara ‘baik’. Mungkin ‘dengan kekerasan’ mereka akan mencuba sebagaimana mereka ‘merampas’ negeri Perak dari tangan Pakatan dahulu. Dan sejarah juga boleh membuktikan bagaimana ‘political manoeuvring’ Kelantan boleh ‘jatuh’ ke tangan Barisan Nasional pada suatu ketika dahulu.

Otto Von Bismarck mengatakan, ‘ politics is the art of the possible” dan Niccolo Machiavelli dalam bukunya, ‘The Prince’ telah mengemukakan teori ‘realpolitik’ yang amat lumrah diamalkan oleh para diktator dunia hari ini, termasuklah Robert Muggabe di Zimbabwe dan Presiden Bashara al –Assad dari Syria. Besar juga kemungkinannya bahawa teori ini digunapakai dan diamalkan juga oleh setengah pemimpin politik di Malaysia dalam hal-hal tertentu.

Ada ‘guru’ yang telah mengajar  berbuat demikian. Ada buktinya bahawa setiap tindakan yang diluar batas undang-undang sekiranya ‘dirancang’ dengan teliti akan menelurkan ‘kejayaan’ juga dengan mengenepikan pandangan masyarakat umum. Dengan demikian segala pengalaman dan ‘pengajaran’ inilah yang amat membimbangkan Pakatan Rakyat, takut-takut ‘pisang akan berbuah dua kali’.

Rakyat Selangor perlu sedar bahawa terlalu banyak perbezaanya negeri ini di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat di bawah TS Abdul Khalid Ibrahim dengan zaman pentadbiran Barisan Nasional di bawah kepimpinan TS Mohd Khir Toyo. Ini tidak pula bermakna bahawa tidak ada langsung kemajuan yang diperkenalkan oleh Barisan Nasional. Ada. Tetapi rakyat Selangor sudah merasakan ‘kenikmatannya’ berada di bawah kepimpinan Pakatan Rakyat pimpinan TS Kalid Ibrahim. Terlalu banyak kemajuan yang dilimpahkan kepada rakyat. Apa yang telah dilakukan jelas menunjukkan keperihatinan kepada rakyat terbanyak dan bukan untuk mengkayakan segelintir kroni.

Justeru rakyat Selangor  khususnya pengundi di Serdang perlu faham sedalam-dalamnya hasrat Pakatan Rakyat mempertaruhkan DS Anwar Ibrahim untuk bertanding di DUN Kajang. Bukan untuk mengenepikan TS Khalid sebagai Menteri Besar tetapi adalah untuk saling melengkapi perjuangan membela rakyat. Sepertimana pepatah Melayu mengatakan ‘seperti aur dengan tebing’. Kedua-dua tokoh perlu ada dan bersama membangunkan Selangor. Dua ‘kepakaran’ perlu digabungkan demi kemajuan rakyat Selangor.

Bukan kecil pengorbanan yang akan dilakukan oleh DS Anwar Ibrahim dengan merelakan dirinya bertanding di kawasan DUN. Berbagai tempelak dan sindiran yang telah diterima dan dilemparkan terhadapnya kerana ‘sudi’ bertanding di DUN Kajang.Namun disebabkan iltizam yang mendalam terhadap perjuangan membela rakyat, maka segala cemuhan diabaikan dan akan terus ‘meluru’ kehadapan  demi rakyat.

Aku fikir PRK Kajang nanti adalah merupakan PRK yang mengukir sejarah tanah air. Seingat aku belum ada lagi PRK yang sebegini rupanya dimana PRK negeri ditandingi oleh seorang pemimpin besar bertaraf dunia. Belum ada lagi. Dengan sendirinya memberikan pengetahuan kepada kita bahwa sebenarnya hasrat beliau bertanding itu adalah untuk membela rakyat. Bukan kekayaan wang ringgit dan kesenangan yang ‘dikejar’.

Dan berkaitan dengan pertandingan ini juga, YB Rafizi Ramli selaku Pengarah Strategi PKR telah mengeluarkan kenyataan yang jarang-jarang dilafazkan oleh ahli politik masa kini. Beliau telah menyerahkan kepada pengundi DUN Kajang untuk membeuat perhitungan. Lebih kurang begini katanya,”Sekiranya difikirkan apa yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat tidak sesuai dan bertentangan dengan apa yang diperlukan oleh pengundi, TOLAKLAH……

Bagi aku ini merupakan pengucapan paling ikhlas dari seorang  pemimpin muda yang sedang melakar perjuangan demi membela rakyat. Ini merupakan pengucapan MELAYU. Cara orang Melayu berbudi dan berbahasa. Bukan pengucapan sombong sepertimana yang dipamerkan oleh setengah pemimpin yang sering mendabik dada, memperagakan diri seolah-olah tidak ada orang lain yang boleh mengatasinya.

Aku amat yakin bahawa rakyat Kajang adalah kumpulan rakyat yang rasional dan tahu menilai ‘yang mana intan dan yang mana kaca’.

 

abuhassanadam

2 Februari 2014



Saturday, February 1, 2014

GERAKAN KAJANG: BIDUK LALU KIAMBANG BERTAUT

Amat sesuai rasanya peribahasa ini dirujukkan kepada keadaan kemelut politik yang berlaku di Selangor kini. Walau apa pun tohmahan yang dilemparkan kepada kepimpinan Keadilan Rakyat ekoran daripada kekosongan DUN Kajang, namun percayalah kesemua isu yang dibangkitkan akan reda dan keadaan akan pulih seperti sediakala. Dan sekiranya dizinkan Allah, DS Anwar Ibrahim akan muncul dengan kemenangan majortity yang lebi besar. Berpeganglah kepada peribahasa Melayu bahawa “ Biduk lalu kiambang bertaut’.

Dikatakan terdapat  ‘perbalahan politik’ antara TS Khalid Ibrahim dan Azmin. Peribahasa Melayu juga ada ‘menyentuh’ tentang isu yang sebegini. ‘Carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum juga’. Maknanya sekiranya terdapat perbalahan antara dua saudara ‘ seibu-sebapa’ maka perbalahan sedemikian tidak mengambil masa yang lama untuk diselesaikan. Apatah lagi ‘perbalahan’ itu merupakan ‘perbalahan politik’. Lagi senang dan cepat untuk diselesaikan.

Dan patah lagi apabila dicampuri pula oleh ‘pihak ketiga’ ia itu UMNO yang merupakan ‘musuh’ yang sama bagi kedua-dua ‘adik-beradik’ yang sedang bermusuhan. Pantang orang Melayu yang pergaduhan adik-beradik dicampuri oleh pihak ketiga. Bagi ‘adik-beradik’ yang bermusuhan tetap menganggap bahawa ‘cubit peha kiri, peha kanan akan terasa sakitnya’ dan sebagaimana peribahasa orang Cina pula ‘ Blood is thicker than water’.

Aku nampak Itulah gambaran suasana yang berlaku di Selangor kini. ‘Dua beradik’ bergaduh. Betul. Pergaduhan politik. Sekiranya kepimpinan UMNO bijak berpolitik seharusnya jangan mencampuri pergaduhan itu. Biarkan. Biarkan ‘si luncai terjun dengan labu-labunya’. Sepatutnya UMNO membiarkan pergaduhan itu berlarutan agar UMNO akan mendapat ‘hasil’ yang lumayan. Tetapi disebabkan ‘perkiraan’ dan ‘perhitungan’ yang salah maka UMNO cuba ‘kacau daun’ dalam perbalahan ‘adik-beradik’ itu. Kesannya ialah kedua ‘adik beradik dan kaum kerabat’ berbaik semula dan rakyat Selangor khususnya akan menuding jari ke arah  UMNO yang sepatutnya dipersalahkan.

Rakyat Malaysia, khususnya rakyat Selangor nampak dengan jelas percubaan UMNO untuk memporak-perandakan kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat kini. Pihak UMNO yang sentiasa ‘memainkan’ berita-berita negatif  berkaitan negeri Selangor. Hampir setiap malam TV arus perdana ( semacam milik UMNO) akan menayangkan berita-berita mengenai negeri Selangor ( dan Pulau Pinang juga) yang memaparkan berita dari sudut yang tidak menyenangkan.

Apa saja yang ‘tidak menyenangkan’ berlaku di Selangor dan Pulau Pinang. Rakyat tentunya tertanya-tanya apakah kesemua perkara ‘buruk’ hanya berlaku di Selangor dan Pulau Pinang. Kisah sampah yang tidak berkutip berlaku di Selangor. Kisah serbuan JAIS ke atas gereja dan merampas Bible hanya berlaku di Selangor. Kisah ‘serangan’ ke atas gereja juga berlaku di Pulau Pinang. Pendek kata apa saja yang tidak menyenangkan berlaku di Selangor dan Pulau Pinang.

Rakyat tentunya akan bertanya juga bahawa apakah tidak adakah berlaku perkara yang sedemikian di negeri-negeri lain? Apakah pemerintahan di negeri-negeri yang diuruskan oleh Baraisan Nasional itu laksana pimpinan ‘malaikat’. Pasti rakyat akan berfikiran sedemikian.

Aku yakin rakyat boleh terima kritikan-kritikan yang dilemparkan ke atas pentadbiran Selangor itu dengan syarat kebaikan yang dilakukan oleh Selangor dan Pulau Pinang itu dilaporkan juga. Sekurang-kurangnya rakyat tahu dan sedar bahawa kelemahan sesebuah negeri itu  disebabkan kelemahan dalam pentadbiran dan pemerintahan pemimpinnya.

Mungkin pada anggapan kepimpinan Pakatan Rakyat ‘Campurtangan’ pihak tertentu dalam pentadbiran di negeri Selangor sudah sampai ke peringkat ‘mencucuk mata’. Perselisihan pendapat ‘adik-beradik’ sudah dilihat cuba dieksploitasi oleh pihak UMNO yang hanya menunggu sebagai ‘Vultures’ untuk menguasai negeri ini. Atas dasar itulah sesuatu tindakan drastik dan luar biasa dilakukan oleh pucuk pimpinan yang membawa kepada tindakan mengosongkan DUN Kajang dan memberi laluan kepada DS Anwar bertanding di DUN berkenaan.

Di sinilah letaknya betapa perlunya cara berfikir secara waras pihak-pihak tertentu yang menganggap bahawa tindakan PKR di DUN kajang ini sesuatu yang membazirkan wang rakyat. Atau ada juga yang mengatakan bahawa mereka ( sekutu Pakatan Rakyat) akan memulaukan PRK berkenaan atas sebab-sebab tertentu.

Aku fikir dalam menangani isu yang sebegini memerlukan pemikiran yang amat terbuka dan memerlukan renungan dan menungan yang amat mendalam dari pihak pemimpin-pemimpin dalam Pakatan Rakyat itu sendiri terutamanya pemimpin muda yang akan terus menerus berjuang untuk mencapai hasrat perjuangan mereka. Golongan ini perlu melihat sesuatu senario politik itu dalam suasana menyeluruh dan tidak seharusnya dikuasai oleh emosi dan pemikiran yang sempit.

Anak muda terutamanya, jangan terburu-buru membuat keputusan. Tunggu dan lihat cara ‘abang-abang’ bertindak. Walau secerdik dan sepandai mana sekalipun tindakan golongan muda, namun kadang-kadang tewas juga berbandng dengan tindakan ‘abang-abang’ dan ‘kakak-kakak’ yang  sudah agak berpengalaman.

Semoga terus berjuang.

abuhassanadam
1 Februari2014