Thursday, February 13, 2014

MENGAPA YB TERESA KOK PULA DITAMPAR?

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha PPIM, Dr. Ma’amor Osman yang mengatakan bahawa,’ "I hereby deny the involvement of PPIM in offering money to anyone who slaps Teresa Kok because this is not our stand," (Malaysiakini 12 Februari 2014) meyakinkan aku lagi bahawa segala kenyataan yang dikeluarkan oleh persatuan-persatuan dan pertubuhan mengenai sesuatu isu sebenarnya adalah pendapat peribadi dan orang perseorangan. Maknanya bukan mewakili persatuan atau pertubuhan yang mereka wakili. Dan begitu jugalah keadaan di mana setengah pertubuhan itu dengan senang-senang mengatakan bahwa mereka mewakili orang Melayu dan Islam sedangkan majoriti orang Melayu / Islam amat tidak menyukai  tindakan sedemikian.

Nampaknya isu yang membabitkan YB Teresa Kok masih terus ‘menyala’ dan amat sukar untuk dipadamkan. Dan kenyataan setiuausaha PPIM itu seolah-olah boleh dianggap sebagai satu usaha terselindung untuk memadamkannya, walaupun hanya semalam ketua Wanita UMNO Pulau Pinang Senator Norliza Abdul Rahim membuat laporan polis berkaitan dengan klip video YB Teresa Kok itu.

Bagi aku, apa yang dilakukan oleh YB Teresa Kok, ‘tidak berapa kena’ juga. Aku tonton klip berkenaan beberapa kali. Memang terasa ‘pedas’nya bagi sesiapa yang ‘memakan cili’. Memang terasa kritikan tajam yang terselit disebalik pengambaran sedemikian. Namun bagi aku pula itu merupakan ‘usikan’ biasa dalam keadaan kita berpolitik. Jikalau dibandingkan dengan fitnah dan tuduhan yang berbagai-bagai yang dilimparkan oleh TV arus perdana terhadap DS Anwar Ibrahim, maka Video Klip milik YB Teresa ini hanya sebagai gigitan nayamuk ke atas badan seekor gajah.

Mengapa pihak yang bersungguh-sungguh memarahi YB Teresa Kok ini tidak pula kedengaran walau sedetikpun kritikan mereka terhadap perancang dan pembuat video lucah yang memfitnah DS Anwar Ibrahim. Sekira-nya mereka betul-betul ikhlas dan jujur diatas tindakan mereka, mengapa tidak ada pun sebarang laporan polis dibuat oleh pihak-pihak tertentu terhadap pihak yang memfitnah DS Anwar Ibrahim itu. Apakah mereka tidak dapat merasakan penderitaan yang dialami oleh DS Anwar Ibrahim dan keluarganya ketika beliau difitnah sehingga begitu rupa. Apakah ‘puak-puak’ yang peka terhadap agama ini tidak merasakan bahawa mereka perlu bertindak untuk membenteras kegiatan fitnah-memfitnah terhadap sesama manusia?

Aku amat setuju dengan kenyataan Tun Dr. Mahathir yang mengulas juga tentang video klip YB Teresa Kok itu. Mengikutnya memang begitulah keadaannya bagi seseorang yang berada di puncak pentadbiran negara. Akan sentiasa diperhati dan dikritik oleh rakyat. Ada yang memuji dan tidak ketinggalan juga yang terus mengkritik. Ada kritikan yang pedas dan ‘direct’ dan ada yang mengkritik melalui sindiran.

Kembali semula memperkatakan tentang video klip YB Teresa Kok. Walaupun pada anggapan setengah pihak merasakan klip bideo berkenaan merupakan sesuatu yang ‘mengancam negara’, ‘menghina Melayu dan agama Islam’, namun sekiranya diteliti dan diperhalusi maka jelas bahawa tidak ada langsung hasrat beliau untuk menghina orang Melayu dan agama Islam ataupun memperkecilkan peranan anggota keselamatan dalam memerangi pencerobohan di Sabah. Tidak juga klip bideo itu menyebut nama seseorang tokoh yang terlibat.  Aku tidak nampak langsung hasrat YB Teresa Kok untuk menghina orang Melayu dan agama Islam walaupun watak dalam video klip itu merupakan watak seorang Melayu ( dan tidak pasti pula samada beragamaIslam!!) Yang aku nampak ialah ‘political satire’ yang memaparkan sebahagian kecil episod politik yang berlaku di negara kita pada hari ini yang perlu dihayati juga oleh seluruh rakyat Malaysia yang mahukan negara ini bergerak maju.

Sepatutnya klip video ‘Onederful Malaysia CNY 2014' ditonoton oleh semua pihak terutama yang merasa tidak puas hati dengan pendedahan dalam video klip berkenaan. Dan ‘counter’ yang sepatut dilakukan terhadap video berkenaan bukanlah cara ‘barbaric’ tetapi selari dengan keadaan dunia kini yang mana kita bukan lagi hidup dalam zaman jahiliah atau ‘dark ages’

Aku yakin bahawa ramai yang mengkritik video klip YB Teresa Kok itu tidak melihat dan menganalisis dengan sedalam-dalamnya kandungan video klip berkenaan. Ramai yang mengecam YB Teres Kok (secara pribadi) dan bukannya video klip berkenaan sebenarnya tidak pernah pun menonton video berkenaan. Lantas mereka ‘membuta tuli’ mengikut arahan pihak-pihak tertentu (mungkn) untuk mengadakan demonstrasi.

Sayup-sayup kedengaran puluhan laporan polis dibuat berkaitan dengan video klip YB Teresa Kok. Dan sebelum ini ratusan laoran polis juga dibuat berkaitan dengan ‘sebutan kalimah Allah’ oleh penganut Kristian. Dan kini puluhan laporan juga telah dibuat berkaitan dengan ‘DS Anwar berkempen di Kajang’.

Aku menyoal diri aku. Apakah pihak-pihak yang membuat aduan kepada polis itu betul-betul faham apa yang mereka lakukan itu ataupun hanya sekadar mendapat ‘arahan’ dari pihak-phak tertentu dengan mendapat sedikit imbuhan. Aku berfikiran sedemikian disebabkan terlalu banyak laporan polis dibuat dengan cara yang sedemikian. Aku merasa amat malu kerana yang melakukan tindakan sedemikian adalah golongan yang sepatutnya sudah maju dan berkembang cara berfikirnya.

Bukan berfikiran kolot, feudalistik, ‘barbaric’ seperti pemikiran manusia yang hidup dalam zaman sebelum kedatangan Islam.

abuhassanadam
13 Februari 2014


Tuesday, February 11, 2014

JATI DIRI MELAYU YANG SEMAKIN LUNTUR

Aku terpanggil untuk memperkatakan isu jati diri Melayu kerana aku sudah agak keliru mengenai orang Melayu itu sendiri. Kadang-kadang aku sendiri ‘keliru’ dan sering menyoal diri aku samada aku masih ‘orang Melayu tulin’ ataupun sudah berubah menjadi ‘orang lain’. Maknanya apakah aku masih merupakan orang Melayu tulin. Apakah aku masih orang Melayu berketurunan ‘sakai’ yang merupakan peribumi sebenar di Tanah Melayu dan bukan golongan pendatang dari Indonesia atau dari India atau dari Pakistan.

Aku juga kerapkali memikirkan bahawa apakah manusia yang menggelarkan dirinya  ‘Melayu’ yang berada disekeliling aku masih merupakan orang Melayu tulin ataupun sudah bertukar menjadi ‘orang lain’. Aku sebenarnya amat keliru.

Terlintas aku untuk menjenguk tentang apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan ‘Jati diri’. Mengikut kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka’  jati diri ialah sifat atau ciri yang unik dan istimewa (dari segi adat, bahasa, budaya, agama dan sebagainya) yang menjadi teras dan lambang keperibadian seseorang individu, sesuatu bangsa dan sebagainya, atau disebut jua identiti.

Bahasa merupakan teras untuk menunjukkan identiti seseorang itu. Bahasa menunjukkan bangsa seseorang itu. Bahasa jiwa bangsa. Terlalu lunak menyuarakannya tetapi apakah betul-betul dipraktikkan oleh orang Melayu khususnya. Aku perhatikan bahawa Bahasa Melayu yang merupakan teras bangsa Melayu ( bangsa Malaysia) seolah-olah sudah dipandang ringan oleh orang Melayu sendiri. Apatah lagi oleh golongan bukan Melayu walaupun Bahasa Melayu termaktub dalam perlembagaan Malaysia sebagai Bahasa kebangsaan.

Aku tidak menyalahkan orang bukan Melayu yang tidak begitu peduli tentang penggunaan Bahasa Melayu. Yang aku penting dan yang aku agak ‘keliru’ ialah tentang orang Melayu sendiri yang tidak memandang berat terhadap Bahasa Melayu. Ini termasuklah juga pemimpin Melayu yang hanya cakap ‘berdegar-degar’ tetapi sebenarnya ‘cakap tak selupa bikin’. Kononnya untuk mendaulatkan Bahasa Melayu tetapi dari segi praktiknya tidak pun ternampak usaha yang bersungguh-sungguh.Lantas bagaimanakah kita ( orang Melayu) hendak menyuruh orang bukan Melayu menggunakan bahasa Melayu secara meluas sedangkan orang Melayu sendiri tidak mengambil berat tentang kedudukan bahasanya.

Setelah setengah abad berlalu, Malaysia masih ‘merangkak’ untuk mendaulatkan Bahasa Melayu. Aku masih terbayang tentang usaha gigh pemimpin bahasa yang terdahulu seperti Syed Nasir Ismail, Usman Awang, Keris Mas, Hassan Ahmad yang bersungguh-sungguh benar untuk mendaulatkan Bahasa Melayu. Namun semacam usaha mereka itu seperti mencurahkan air di daun keladi. Kedudukan Bahasa Melayu masih berada di takuk lama. Mati segan hidup tak mahu.

Yang paling mengelirukan aku ialah apabila melihatkan yang orang Melayu yang berkedudukan mengabaikan penggunaan Bahasa Melayu. Lihat sahaja tentang penggunaan bahasa Melayu yang digunakan oleh para pemimpin kita ( termasuklah pemimpin korporat)  kita apabila memperkatakan sesuatu di TV. Sembilan puluh peratus dari mereka pasti akan menggunakan bahasa Inggeris. Pasti. Ini yang aku amat keliru dan amat susah untuk aku memahaminya. Dan yang anihnya pula ialah apabila yang menggunakan bahasa Inggeris itu masih ‘tergagap-gagap’ dengan ‘Nahu’ yang lintang pukang tetapi masih mahu menggunakan bahasa Inggeris. Mengapa terjadi begitu?. Aku tak faham….

Apakah pada anggapan golongan elit perniagaan ini bahawa akan menjadi ‘hina’ bagi mereka apabila menggunakan Bahasa Melayu? Apakah begitu pada anggapan mereka. Apakah hanya dengan menggunakan bahasa Inggeris sahaja yang akan menaikkan imej mereka di mata rakan kongsi perniagaan mereka. Apakah begitu pendapat para tokoh korporat Melayu kita?

Berbanding dengan bangsa lain seperti Jepun, Cina, bangsa Thai yang masih teguh berpaut kepada bahasa mereka ketika mengadakan rundingan atau berbicara sesuatu di peringkat antarabangsa. Dan bangsa-bangsa ini masih dihormati dan mereka tetap unggul dalam perniagaan dan dihormati oleh bangsa-bangsa lain di dunia berbanding dengan bangsa Melayu yang kononya amat ‘fasih’ berbahasa Inggeris tetapi masih ketinggalan jauh di arena antarabangsa sekiranya diukur dari segi apa pun.

Mendewa-dewakan bangsa asing (dan bahasa asing) sudah merupakan amalan dan ‘pakaian’ orang Melayu semenjak dari zaman dahulu lagi. ‘Penyakit’ yang dihidapi oleh orang Melayu secara umum ialah terlampau  memandang terlalu tinggi kepada bangsa asing. Orang Melayu mendewakan bangsa Arab apabila mereka datang untuk berdagang dan menyebarkan agama Islam ke sini. Orang Melayu merasa megah sekiranya dapat anak dara mereka berkahwin dengan Arab ‘berketurunan Nabi Muhammad’ itu. Orang Melayu mendewakan saudagar dari India sehinggakan dibenarkan memegang jawatan penting dalam pentadbiran kerajaan Melayu Melaka. Pendek kata orang Melayu sanggup menghambakan diri mereka kepada orang asing.

Tidak usah disebutlah tentang bagaimana orang Melayu mendewakan orang Inggeris. Sehingga kini orang Melayu masih terus mendewa-dewakan orang Inggeris dan bangsa-bangsa asing. Orang Melayu mungkin masih merasakan dirinya masih kerdil berbanding dengan bangsa asing. Jati diri orang Melayu seolah-olah tidak menunjukkan penigkatan yang drastik walaupun telah setengah abad mencapai kemerdekaan.

Kadang-kadang aku terfikir seolah-olah orang Melayu masih mencari-cari identiti diri. Ataupun seolah-olah orang Melayu sedang mengalami kelunturan jati diri. Ataupun lebih parah lagi apakah orang Melayu masih ada jati diri.  Tolonglah carikan jawapannya.

abuhassanadam

11 Februari 2014

Monday, February 10, 2014

“MEMERANGI” POLITIK SAMSENG

Kenyataan Menteri Dalam Negeri yang mengatakan bahawa ‘there was nothing to investigate as it is not a threat….slapping is not a threat…..If they say murder, then it is a threat’ sebagaimana yang dilaporkan oleh Malaysiakini telah memberikan gambaran bahawa seolah-olah rakyat Malaysia kini berada dalam keadan yang tidak selamat. Seolah-olah kerajaan negara kita sudah tidak dapat menjamin keselamatan rakyatnya. Maknanya bila-bila masa kita boleh ‘ditampar’ dan dipukul. Kerajaan hanya akan bertindak sekiranya terdapat ancaman bunuh sahaja.

Aku cuba meninjau peristiwa dalam sejarah negara kita dimana keadaan sedemikian wujud. Aku terjumpa ‘peristiwa’ sedemikian dalam jenaka ‘orang Perak’ terutama apabila tiba musim durian berguguran. Musim durian bermakna bahawa kehidupan penduduk di sekitar Kuala Kangsar agak mewah yang boleh ‘menampar’ sesiapa sahaja kerana ‘mempunyai wang untuk membayar denda ekoran daripada perbuatan berkenaan’. Itu pun hanya sebagai bahan jenaka dan senda gurauan sahaja. Bukan sebenarnya keadaan begitu.

Rakyat Malaysia terutamanya orang  Melayu merasa agak hairan dengan sikap ‘orang Melayu’ yang berkelakuan tidak sebagaimana yang dianjurkan oleh datuk nenek kita. Datuk nenek kita sentiasa menganjurkan sifat lemah lembut dan bersopan santun disamping sentiasa menghormati orang lain. Jadi apabila ada dikalangan orang Melayu itu sendiri yang bertindak diluar cara orang Melayu umum bertindak tentulah kita merasa hairan. Tentulah kita mempersoalkan dari mana agaknya datangnya pengaruh yang memyebabkan orang Melayu bersikap demikian.

Aku kadang-kadang bertanya diriku. Apakah betul dan ikhlas hasrat para pemimpin kita di Malaysia pada hari ini, mahukan perpaduan yang betul-betul utuh dikalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum?. Atau hanya sekadar cakap-cakap kosong. Aku mengatakan demikian berdasarkan pemerhatian bahawa semacam tidak ikhlas pengucapan dan tindakan setengah pemimpin di negara ini apabila berbicara mengenai soal perpaduan. Tindakan mereka tidak selari dengan hasrat Perdana Menteri.

Dalam keadaan ‘kegawatan’ yang berbagai-bagai di negara kini terlalu payah rasanya untuk rakyat mempercayai pengucapan setengah pemimpin terutama yang berkaitan dengan usaha menyatukan kaum.  Ibarat kata orang tua-tua kita, ‘ cakap pagi tidak boleh pakai petang’. Maknanya apa yang diucapkan tidak selari dengan tindakan yang dilakukan. ‘cakap tak selupa bikin’.

Ada juga terdapat pemimpin ( tidak pasti samada boleh ditakrifkan sebagi pemimpin atau tidak) di Malaysia yang begitu ghairah memperkatakan sesuatu yang boleh menimbulkan perasaan curiga mencurigai antara satu kaum dengan kaum lain. Aku tidak dapat memahami sikap setengah pemimpin yang sedemikian. Semacam satu hobinya pula untuk menyakiti hati sesuatu kaum yang boleh mendatangkan kemarahan kaum yang lain. Apakah sebenarnya hasrat mereka bertindak sedemikian rupa?

Kadang-kadang aku perhatikan ramai pemimpin kita yang langsung tidak tahu menjaga hati dan mengambil hati  sesuatu kaum. Dan apabila timbul keadaan sedemikian timbul pula pertanyaan di kepala aku, apakah perbuatan menyakit hati sesuatu kaum itu disengajakan? Apakah itu merupakan satu provokasi semata-mata untuk menimbulkan pergaduhan kaum di Malaysia. Tetapi untuk apa?

Golongan yang tidak bertanggungjawab ini tidak pernah agaknya memikirkan tentang usaha dan kesusahan yang dilalui oleh pemimpin terdahulu dalam menyatukan bangsa-bangsa di Malaysia ini. Tunku Abduk Rahman dalam tulisannya ‘Looking Back’ bertarikh 3 Februari 1975 menulis, “ By far the most important issue was achieving complete understanding between the three major elements of the Alliance –UMNO,MCA and MIC – the Malays, the Chinese and the Indians working in harmonious trinity, one for all and all for one. The goals should be harmony within each party and untiy in the Alliance’

Rakyat Malaysia harus sedar bahawa syarat yang dikenakan oleh British untuk memberikan kemerdekaan kepada negara ini adalah perpaduan tiga kaum terbesar di negara ini ia itu Melayu, Cina dan India. British amat sedar bahawa pada anggapannya adalah merupakan tugas yang begitu sukar bagi tiga kaum ini untuk berpadu sebagaimana yang dapat dilihat hari ini. Mungkin British merasakan bahwa adalah ‘mustahil’ tiga bangsa ini akan bekerjasama antara satu sama lain. Mustahil. Apatah lagi apabila British melaksanakan dasar ‘Pecah dan Perintah’nya dengan amat berkesan. Mungkin pada anggapan British mereka akan terus menerus menguasai Tanah Melayu selagi ‘ perpaduan tiga kaum’ itu tidak tercapai.

Harapan British itu meleset. Tiga kaum berpadu satu. Dan itulah merupakan satu kejayaan besar pemimpin kita terdahulu disamping mendapatkan kemerdekaan negara. Oleh hal yang demikian, apakah ‘peranan’ pemimpin generasi kini untuk ‘meruntuhkan’ perpaduan ini. Apakah para pemimpin kini tidak langsung mahu mengenang jasa pemimpin terdahulu yang telah menyemaikan benih perpaduan ini.

PRK Kajang akan mendatang. Diharapkan setiap pemimpin parti yang bertanding perlu menjadikan agenda perpaduan sebagai initpati perjuangan parti masing-masing. Semua parti hendaklah jangan bertolak ansur tentang hal yang berkaitan dengan perpaduan ini. Seharusnya diperangi secara habis-habisan. Semua kaum Melayu, Cina, India dll hendaklah bersatu menentang dan ‘memerangi’ poltik samseng ini. Semua rakyat hendaklah berganding bahu mendukung hasrat mewujudkan bangsa Malasyia sebenarnya.

Rakyat Malaysia dari semua kaum harus bertekad bahawa perjuangan mewujudkan bangsa Malaysia adalah merupakan perjuangan tulin dan berterusn.

Membujur lalu melintang patah.

abuhassanadam
10 Februari 2014


Sunday, February 9, 2014

RAKYAT SELANGOR MAHUKAN PEMIMPIN YANG BENAR-BENAR BERSIH BERBEZA DENGAN PEMIMPIN BN (UMNO)

Pada pengamatan aku, rakyat Selangor hanya mahukan pemimpin yang benar-benar bersih memimpin negeri ini. Itu saja. Bersih dan telus. Agaknya mereka sudah amat kecewa dan ‘meluat’ dengan pemimpin UMNO (BN) yang memerintah negeri ini sejak beberapa lama. Dengan demikian mereka merasakan bahawa adalah merupakan satu ‘kebahagiaan’ dan ‘kenikmatan’ apabila Pakatan Rakyat dapat menumbangkan kerajaan BN (UMNO) dibawah pimpinan DS Khir Toyo pada tahun 2008 dulu. Rakyat Selangor betul-betul bersyukur.

Dan sehingga kini itulah ‘pegangan’ rakyat Selangor terutama golongan elit yang tinggal di kawasan-kawasan seperti Subang Jaya, Shah Alam, Kajang, Kelang, Ampang dll. Dengan sebab itu jugalah mereka amat menyanjung tinggi dan menghargai sumbangan TS Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor. Mereka memberikan sokongan padu tentang apa saja tindakan yang dilakukan oleh TS Khalid Ibrahim walaupun mereka tahu terdapat  juga kelemahan-kelemahan di sana-sini.

TS Khalid sememangynya hebat dalam hal mentadbirkan negeri Selangor. Itu tidak dapat dinafikan. Namun sebagaimana yang telah aku katakan tadi bahawa bukanlah tidak ada kelemahan beliau dalam menguruskan pentadbiran. Ada. “Laut mana yang tidak berombak dan bumi mana yang tidak ditimpa hujan’.Tetapi disebabkan sudah agak ‘serik’ dan ‘meluat’ dengan pentadbiran BN (UMNO) yang lepas yang telah ‘mencipta’ berbagai kerenah, maka rakyat Selangor merasakan bahawa mereka sudah berada di ‘syurga’ ketika berada di bawah pentadbiran TS Khalid Ibrahim itu.

Apatah lagi apabila mereka mendapati bahawa beliau adalah merupakan tokoh yang bukan kecil sumbangannya dalam memajukan orang Melayu di negara ini dan sememangnya tidak terlibat dalam kegiatan rasuah. Rakyat Selangor tahu bahawa beliau sebenar-benarnya mahu berkhidmat kepada rakyat memandangkan kedudukan kewangan peribadinya yang cukup kukuh. Rakyat Selangor tahu bahawa penglibatannya dalam politik dan pemerintahan di Selangor adalah semata-mata untuk berkhidmat kepada rakyat dan bukan sebagai tempat untuk ‘melombong’ dan mencari kekayaan sebagaimana yang pernah berlaku pada zaman pentadbiran BN (UMNO) dulu.

Dengan sebab itulah apa saja tindakan yang dilakukan oleh TS Khalid mendapat ‘restu’ dari sebahagian besar rakyat Selangor, walaupun ada pihak-pihak tertentu yang merasakan tindakannya itu agak tidak kena dan ‘melampau’.

Tindakannya (sebenarnya PKNS yang menjalankan tindakan sedemikian) tidak menyambung kontrek beberapa orang pegawai kontrek di PKNS adalah merupakan tindakan yang tidak popular dari segi politik. Mengikut setengah pendapat begitulah. Tetapi bagi kebanyakan rakyat Selangor tidak pula berpendapat sedemikian. Ramai yang merasakan bahawa apa yang dilakukan oleh TS Khalid itu sesuai dan wajar. Kebanyakan rakyat Selangor adalah golongan elit yang melihat sesuatu tindakan itu secara menyeluruh dan rasional. Dan apatah lagi apabila tindakan itu dilakukan oleh TS Khalid Ibrahim yang sememang dikenali sebagai seorang yang teliti sebelum mengambil sesuatu tindakan.

Rakyat Selangor khususnya rakyat Kajang pastinya juga dalam dilemma apabila berhadapan dengan PRK Kajang. “Hendak ditelan mati emak dan jika diluah mati bapak’. Pengundi di Kajang dalam keadaan ‘bingung’ apabila ada ura-ura mengatakan bahawa DS Anwar Ibrahim akan menggantikan TS Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar selepas kemenangan di PRK Kajang nanti.

Ada beberapa senario yang dibayangkan oleh rakyat Selangor selepas PRK Dun Kajang nanti

·      Bagi rakyat Selangor kedua-dua tokoh ini dapat diterima. Namun Yang mereka tidak boleh terima (mungkin) sekiranya TS Khalid Ibrahim diketepikan. Rakyat masih mahu trend dan cara pentadbiran Selangor diteruskan sebagaimana yang telah diuruskan oleh kepimpinan lama di bawah pentadbirannya.
·      Rakyat Selangor pastinya akan memberikan kemenangan besar kepada DS Anwar Ibrahim. Insyallah. Ini disebabkan  kehebatan dan ‘nama besar’ DS Anwar Ibrahim itu, tetapi yang lebih penting bagi rakyat Selangor khsususnya di Kajang ialah mereka sudah betul-betul ‘meluat’ dengan cara dan tindakan BN (UMNO) terutama dalam menangani isu rasuah dan kroni. Rakyat Selangor khususnya seolah-olah sudah betul-betul kecewa dengan kerajaan BN(UMNO) yang seolah-olah telah gagal menangani berbagai masalah yang dihadapi negara kini. Lantas mahu tidak mahu, rakyat pasti akan memberikan undi kepada Pakatan Rakyat.

Masalah yang berada dihadapan kepimpinan Pakatan Rakyat terutamanya dalam menghadapi PRK Dun Kajang ialah tentang bagaimana untuk mententeramkan perasaan rakyat Selangor disamping dapat meneruskan pemerintahan Pakatan Rakyat tanpa diganggu gugat oleh nanasir yang tidak diingini.

Ini bukan kerja yang enteng. Kepimpinan PR perlu menyelesaikan soal ‘hati dan perasaan’ rakyat Selangor. Yang penting ialah menjaga dan memastikan agar rakyat Selangor ‘tidak berkecil hati’.

abuhassanadam
9 Februari 2014