Thursday, June 5, 2014

POKOK 'MALIALAM'

‘Malialam’ nama sejenis pokok yang tumbuh di merata-rata tempat di kampung aku. Tidak dapat aku pastikan apakah pokok ini tumbuh juga di tempat-tempat lain. Mungkin di kampung-kampung lain pun ada. Tetapi mungkin namanya saja yang berbeza. Mungkin di tempat lain namanya lain. Bukan ‘Malialam’. Lain. Macam mana pokok ini mendapat nama ‘Malialam’ itu aku tak tahu. Yang aku ingat semenjak aku kecil hinggalah sekarang, orang kampung masih memanggilnya pokok ‘Malialam’.

Pokok ‘Malialam’ tumbuh merata-rata. Liar. Tetapi besar guna dan faedahnya bagi orang kampung, terutamanya bagi kanak-kanak pada ketika itu. Apa tidaknya. Daun ‘Malialam’ boleh digunakan sebagai ‘Elastoplast’. Maknanya daunnya boleh jadi ‘ubat’ ( bagi kanak-kanak di kampung aku ). Mengubati luka terutamanya. Mungkin agaknya disebabkan sudah tidak ada ‘ubat’ lain untuk mengubati luka-luka maka hanya daun ‘Malialam’ saja yang ada, maka daun ‘malialam’lah digunakan oleh seluruh penduduk di kampung kami.

Ketika bermain kejar-kejaran di kampung misalnya, kadang-kadang kita terjatuh diatas tanah yang keras dan sudah pasti mendapat luka. Maka ‘first aid’ yang  boleh diperolehi dengan segera tentulah daun ‘Malialam’. Percuma. Boleh dapat dimana-mana saja. Cara menggunakan daun ‘Malialam’ amat mudah. Dipetik dua atau tiga helai daun berkenaan. Diletakkan antara dua tapak tangan. Kemudian ‘Gise’ ( loghat Perak, ia itu proses menghancurkan daun berkenaan antara dua tapak tangan), Sebelum ‘digise’ mesti dibubu air ludah  terlebih dahulu untuk menyenangkan proses ‘menggise’. Setelah daun ‘Malialam’ itu betul-betul hancur, maka bolehlah disapu di tempat luka berkenaan. Terasa pedihnya. Menandakan bahawa sememangnya ‘ubat’ itu berkesan!... Mungkin…..

Kanak-kanak zaman ini tentu merasa hairan bagaimana daun ‘Malialam’ boleh dijadikan ubat luka. Harus difahami oleh mereka bahawa pada ketika itu terlalu sedikit ‘option’ untuk mengubati seseorang yang mendapat luka. Hospital yang terdekat adalah di Kuala Kangsar ia itu lebih kurang 10 kilometer jauhnya. Dan untuk pergi ke Kuala Kangsar dari kampung aku mungkin mengambil masa tiga jam. Apa tidaknya.

Terpaksa berjalan kaki sejauh dua kilometer untuk sampai ke pekan Padang Rengas melalui beberapa buah kampung dan sawah padi. Jikalau musim tengkujuh, jalan-jalan berlumpur dan dipenuhi air. Amat menyusahkan. Kadang-kadang mengambil masa satu jam untuk sampai ke Padang Rengas dimana akan menaiki bas ‘Red & Yellow’ (masih beroperasi lagi kini) untuk ke Kuala Kangsar. Terpaksa menunggu antara tiga puluh minit hingga satu jam. Perjalanan bas dari Padang Rengas ke Kuala Kangsar akan mengambil masa tiga puluh minit lagi. Bas berkenaan tidak akan melalui hospital, sebaliknya melalui jalan lain. Berhenti berhampir pejabat pertanian Kuala Kangsar dan berjalan kaki pula menuju ke hospital.

Maknanya perjalanan dari kampung aku ke hospital Kuala Kangsar lebih kurang sama perjalanan dari kampung aku ke Kuala Lumpur kini. Tiga jam setengah. Itulah bayangan penderitaan penduduk kampung pendalaman zaman penjajahan. Dan keadaan yang aku jelaskan ini bukan sahaja berlaku di kampung aku, tetapi di kebanyakan kampung Melayu di seluruh negara. Malah banyak lagi suasana kampung yang lebih teruk dari keadaan sebagaimana yang aku terangkan.

Bagaimana pula keadaannya kepada ibu-ibu yang hendak bersalin? Kebanyakannya mengharapkan bantuan bidan kampung. Di kampung aku namanya Pan Gebor dan Andak Comot. Kononnya mereka ini telah ‘ditauliah’kan oleh datuk nenek mereka turun temurun untuk menjadi bidan. Dan mereka terpaksa kena ‘booked’ terlebih dahulu, sekiranya perkhidmatan mereka diperlukan. Dengan sebab itulah diadakan majlis ‘Lenggang Perut’, ia itu tiga bulan sebelum tarikh kelahiran. Tujuan diadakan majlis berkenaan ialah untuk ‘memecah rahsia’ dan memberitahu orang kampung bahawa ‘sipolan’ sudah mengandung tujuh bulan ( bagi pasangan yang baru kahwin).

Terdapat juga keadaan dimana si ibu mengalami masalah kelahiran. Penduduk kampung hanya mengharapkan perkhidmatan ‘bomoh’ untuk mengubatinya ataupun semata-mata mengharapkan doa dan menyerahkan kepada takdir. Dan ramai juga yang meninggal.

Sehingga awal tahun 1960an, keadaan di kampung aku masih dalam keadaan sedemikian. Tidak ada jalan yang bertar. Tidak ada bekalan letrik. Tidak ada bekalan air bersih. Pendek kata suasana di kampung aku pada ketika itu berada dalam suasana yang amat menyedihkan.

Bilangan anak kampung yang mendapat pendidikan juga adalah terlalu berkurangan. Daerah Kuala Kangsar agak bertuah dari segi mendapat peluang pendidikan kerana terdapat banyak sekolah Inggeri s di daerah ini. Malay College di sini. Clifford School pun di sini. Government English Girls School (untuk pelajar permpuan) juga di sini. Di Padang Rengas hanya terdapat sebuah sekolah Melayu.

Walaupun kelihatan sebagai luasnya peluang pendidikan di daerah Kuala Kangsar, namun tidak ramai anak-anak di daerah ini yang mendapat peluang demikian pada ketika itu. Samada mereka tidak berjaya untuk memasuki sekolah-sekolah berkenaan ataupun ibu bapa mereka tidak begitu bersemangat untuk menghantar mereka ke sekolah-sekolah berkenaan. Apatah lagi pada ketika itu masih kuat lagi ‘ajaran’ golongan agama yang mengatakan, ‘ siapa yang belajar di sekolah orang putih akan jadi Kristian dan masuk neraka…’

abuhassanadam
5 Jun 2014




Wednesday, June 4, 2014

GURU: MENGAPA ‘TEPAK’ DIHULUR SELEPAS KEMUNCULAN DYANA SOFEA

Sudah kedengaran pelawaan agar kaum guru tampil semula menceburkan diri dalam politik. Politik UMNO (BN) agaknya. Dan tidak dijelaskan pula samada kaum guru dibolehkan bergiat dalam politik pembangkang. Aku yakin pihak tertentu tidak akan membenarkan kaum guru terlibat dalam politik pembangkang. Telah dilaporan bahawa ada kaum guru yang ‘ditegur’ oleh pegawai kementerian kerana memasukkan gambar Dyana Sofea dalam facebooknya.Atas dasar itulah aku rasakan bahawa kaum guru yang ‘dipelawa’ untuk bergiat dalam politik itu hanya untuk memenuhi kehendak politik BN sahaja.

Dulu-dulu sememangnya ramai kaum guru menyertai politik UMNO. Dan kaum gurulah yang mewarnai medan perjuangan menentang penjajahan yang diperjuangkan oleh UMNO. Dan kaum gurulah yang ‘bertungkus lumus’ berjuang menentang British dengan cara menerajui UMNO, memegang jawatan penting di bahagian-bahagian dan cawangan UMNO di seluruh negara. Dalam hal yang sebegini tentulah tidak dilupakan sumbangan Tun Ghaffar Baba bekas Timbalan Perdana Menteri yang merupakan bekas seorang guru.

Dulu perjuangan dan ‘berhempas-pulasnya’ guru berjuang dalam UMNO adalah untuk mencapai kemerdekaan negara. Tetapi kini apakah pula matlamat perjuangan guru sekiranya mereka ‘berhempas-pulas’ menyertai UMNO? Kaum guru pada tahun-tahun 1920an, 30an,40an, 50an, 60an,70an mengabdikan diri kepada UMNO kerana mereka yakin bahawa UMNO merupakan wadah yang mampu melakukan sesuatu demi untuk negara, bangsa dan agama Islam. Dan kini apakah kaum guru yakin bahawa perjuangan UMNO yang sedemikian rupa masih diteruskan.

Pastinya kaum guru sedang memikir dan mencari-cari rasional mengenai pelawaan yang telah dibuat terhadap mereka untuk menyertai UMNO. Untuk apa? Pasti ramai yang akan tertanya-tanya. Dan mengapa pula dengan tidak semena-mena pihak pengurusan UMNO memikirkan tentang guru. Mengapa pula ‘hujan tidak, ribut pun tidak’ mereka teringatkan kaum guru yang pernah pada suatu ketika dulu telah memberikan sumbangan yang begitu besar kepada perjuangan membebaskan tanah air dari penjajah British. Apakah mereka baru sedar bahawa kaum guru yang telah ‘diketepikan’ oleh golongan korporat dalam UMNO telah mula disedari tentang ‘kegunaan’nya. Atau apakah keadaan dalam UMNO sudah begitu ‘teruk’ sekali ‘sakitnya’ sehingga memerlukan kaum guru untuk ‘mengubatinya’. Apakah betul anggapan aku itu?

Sebenarnya guru yang mengajar matapelajaran Sejarah disekolah menengah di Malaysia amat ‘terluka’ dengan tindakan pihak kementerian pelajaran yang tidak memasukkan langsung peranan guru-guru Melayu dalam menuntut kemerdekaan tanah air dalam buku teks sejarah Tingkatan Lima yang ada sekarang. Guru sejarah ‘terluka’ dengan perbuatan sedemikian sedangkan mereka tahu bahawa kaum guru, khususnya guru-guru Tanjung Malimlah yang berjuang berhabis-habisan menyedarkan masyarakat Melayu menentang penjajahan. Misalnya kisah Ibrahim Yaakub yang menubuhkan Kesatuan Melayu Muda dikatakan sebagai wartawan akhbar ‘Majlis’ sedangkan pejuang ini adalah guru lepasan SITC. Apakah ‘agenda’ penulis buku berkenaan yang cuba ‘melenyapkan’ peranan guru itu?

Kini baru pihak kepimpinan negara teringat dan terlintas kepada kaum guru. Seingat aku kaum guru mula ‘diketepikan’ dari arus perjuangan UMNO ialah apabila muncul satu fenomena baru dalam UMNO yang dinamakan ‘politik wang’. “Wabak’ ini merebak apabila para pemimpin UMNO sudah ‘pandai’ menggunakan wang untuk mendapatkan undi dalam setiap pertandingan merebut sesuatu jawatan dalam UMNO. Ketika inilah kaum guru dengan sendirinya terpaksa berundur disebabkan ketiadaan wang untuk menandingi golongan korporat ( yang juga ciptaan UMNO) yang sudah menggunakan wang secara berleluasa untuk memenangi sesuatu jawatan dalam parti.

Apakah dengan ‘mempelawa’ kemasukan semula kaum guru dalam UMNO juga merupakan satu usaha UMNO untuk membendung kegiatan politik wang yang sudah tidak begitu terkawal dalam parti UMNO kini. Ataupun mungkinkah dengan cara ‘menjemput’ kaum guru menyertai UMNO ini akan meredakan sedikit penentangan dari golongan ini terhadap UMNO. Mungkin…

Aku tidak dapat meramalkan apakah tujuan sebenarnya kepimpinan UMNO ‘menghantar tepak sirih’ kepada kaum guru dalam saat-saat begini, terutamanya selepas PRK Telu Intan yang mana telah memperlihatkan kemunculan Dyana Sofea yang seolah-olah telah dapat ‘menggoncang’ suasana politik tanah air dengan caranya yang tersendiri. Apakah betul tanggapan sedemikian?

Walau apa pun alasan dan matlamatnya, namun aku sangsi kemampuan kaum guru kini dapat memainkan peranan sepertimana peranan yang telah dimainkan oleh mereka pada tahun-tahun perjuangan menuntut kemerdekaan. Suasana telah berubah dan keadaan masyarakat di Malaysia juga sudah berubah. Dan ‘tempo’ dalam politik UMNO juga sudah banyak berubah. Justeru berkemungkinan tidak dapat lagi kaum guru memainkan peranan sebagaimana peranan yang telah dimainkan oleh mereka dalam zaman penjajahan dulu.

Kemungkinan juga sudah dapat dicium oleh kepimpinan UMNO bahawa kaum guru sudah menampakkan ‘belang’ mereka selepas kemunculan Dyana di Teluk Intan baru-baru ini dan dengan kemunculan ribuan facebook yang mempamerkan tentang wajah Dyana Sofea. Dyana sudah diiktiraf sebagai icon walaupun tewas dalam PRK Teluk Intan. Beliau sebenarnya menang dan bertakhta di hati kebanyakan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Telah muncul seorang wanita Melayu yang menjadi icon kepada rakyat Malaysia.

Apakah betul begitu keadaannya yang menyebabkan kepimpinan UMNO tidak semena-mena mengubah haluan dengan mempelawa kaum guru supaya aktif dalam politik UMNO? Mungkin….

abuhassanadam

4 Jun 2014

Tuesday, June 3, 2014

MORRIS MINOR BAHSIN

‘Morris Minor’ adalah jenama kereta buatan British. Entah ada lagi ke atau tidak kini kereta yang berjenama sedemikian aku tidak berapa tahu. Di Malaysia kini sudah tidak lagi kelihatan kereta berjenama sedemikian. Namun waktu dulu-dulu, dalam tahun-tahun 50an dan 60an, jenama ‘Morris Minor’ sangat terkenal di Malaya, terutama zaman sebelum negara ini mencapai kemerdekaan.

Bahsin pula nama orang. Aku panggil Pak Bahsin. Pelik juga nama itu. Orang kampung aku sememangnya suka memanggil nama yang pelik-pelik, walaupun dalam daftar kelahiran seseorang itu memiliki nama yang mirip nama-nama yang berunusr keislaman. Maka terdapatlah nama-nama seperti Kun ( atuk aku sebelah bapa), Putih (atuk aku sebelah emak) Pandak Kunut, Uda Dasar, Yeop Kentin, Pandak Iring, Tek Putik, Kontak, Pandak U, Ngah Saja dan banyak lagi. Jadi Bahsin adalah nama gelarannya di kampung. Dan aku tidak tahu pula nama sebenarnya.

Pada awal 1950an, yang ada memiliki kereta di kampung aku (sebenarnya bukan kampung aku pun) ialah Pak Bahsin. Dia memiliki Morris Minor. Yang aku dapat bayangkan sehingga kini ialah keretanya beratapkan kain dan dindingnya hanya separuh sahaja. Roda keretanya seperti roda basikal. Maksud aku berjejari. Bukan seperti kereta sekarang ini. Bayangkanlah…..

Aku tidak pernah menaiki kereta Pak Bahsin. Mendekatinya pun aku ‘takut’ kerana Opah melarang aku berbuat demikian, takut tercalar ataupun rosak keretanya nanti. ‘Kita bukan ada duit nak ganti’ kata Opah. Dan Pak Bahsin boleh dikatakan orang berada di kampung Sungai Ati. Berniaga. Dia ada sebuah kedai runcit dan di situlah orang kampung mendapatkan barang keperluan. Ini termasuklah para penduduk dari kampung aku yang bersebelahan dengan Kampun Sungai Ati.

Tidak seorang pun penduduk kampung aku yang memiliki kereta, walaupun seperti kereta Pak Bahsin. Miskin belaka. Mungkin ada juga agaknya yang mampu membeli kereta tetapi disebabkan ketiadaan jalan merentasi kampung aku, maka tentulah tidak ada penduduk kampung aku yang menggunakan kereta. Jalan yang ada pada ketika itu hanyalah jalan untuk pejalan kaki ataupun boleh digunakan oleh basikal. Dan secara kebetulan pada ketika itu, basikal pun belum banyak digunakan di kampung aku. Kebanyakan orang kampung berjalan kaki sekiranya untuk pergi ke bandar yang berhampiran, Padang Rengas. Di Perak ler tu..

Seingat aku jalan yang berturap tar, hanya sampai ke stesyen keretapi Padang Rengas ( kini sudah tiada lagi). Tidak ada jalan bertar untuk pergi ke kampung-kampung seperti kampung Lalang, Sungai Ati, Keroh Hilir, Keroh Hulu, Paya Lintah, Laneh, Labu Kubung. Pak Bahsin menggunakan jalan tanah merah untuk membawa keretanya ke kampungnya. Jikalau musim hujan mungkin keretanya akan terpaksa ‘berteduh’ di rumah buat beberapa lama.

Aku dan kawan-kawan merasa begitu seronok dan gembira sekiranya dapat menaiki kereta lembu kepunyaan seorang Benggali di pekan padang Rengas. Kebiasaanya kami merasa begitu lega apabila dapat menaiki kereta lembu berkenaan ( cara curi) ketika pulang dari sekolah. Biasanya ‘pemandu’ kereta lembu berkenaan akan melarang kami menaiki keretanya. Maklumlah tentu akan menyusahkan lembunya untuk menarik kereta yang dipenuhi dengan ‘penumpang’ seperti kami. Walau bagaimana pun kami tahu tektik dan teknik untuk jadi ‘penumpang’ kereta lembu berkenaan. Itu semua ‘rahsia’ yang masih tersimpan.

Aku akan tersenyum bersendirian mengenangkan peristiwa berkenaan.

Kenderaan berenjin yang pernah memasuki kampung aku pada awal tahun 1950an adalah motosikal Cikgu Mansor yang berjenama ‘Norton’. Gemuk orangnya. Berasal dari Kampung Lalang. Beliau selalu datang ke kampung kami untuk menziarahi bapak saudaranya, Tokki Anjang Dahaman. Akan merupakan satu pesta pula menyambut kehadiran Cikgu Mansor dengan motorsikal ‘Norton’nya. Apa tidaknya.

Sekumpulan budak-budak kampung ( termasuk aku ler tu) akan berlari mengekori motorsikal Cikgu Mansor melalui jalan kampung kami. Tentulah tidak boleh dibawa dengan laju. Jalan sempit yang hanya digunakan pejalan kaki atau pun basikal sahaja. Oleh itu motorsikal Cikgu Mansor tidak boleh dipandu laju. Dengan demikian dapatlah kami mengekorinya. Seronok betul rasanya berbuat demikian.

Dan apabila motorsikal Cikgu Mansor di ‘park’ berhampiran dengan rumah Tokki Anjang Dahaman, maka kami akan berkumpul disekeliling motorsikal berkenaan, ‘memerhatikan’ motorsikal berkenaan. Kagum!!..Ada di antara kami yang menyentuh motorsikal berkenaan. Ramai juga yang tidak berani berbuat demikian. Takut rosak!!....Aku ingat sentiasa pesan Opah,’kita tidak ada duit nak bayar …”

Begitulah ‘rendah dirinya’ orang Melayu di kampung-kampung pada ketika itu disebabkan himpitan kemiskinan. Sentiasa dalam ‘ketakutan’ walaupun tidak ada alasan untuk berkeadaan demikian. Apakah masih begitu keadaan orang Melayu di kampung-kampung kini? Apakah orang Melayu kampung awal Kurun ke 21 masih bersikap ‘tolol’ dan ‘tongong’ seperti orang Melayu tahun-tahun 1950an? Apakah orang Melayu masih boleh dibeli dengan harga yang begitu murah sehingga sanggup menggadaikan hak dan perjuangan diri.

Dan yang lebih penting ialah orang Melayu seharusnya tahu menilai yang mana baik dan buruk dan seharusnya jangan tertipu dengan kata-kata manis. Berfikirlah sebelum bertindak.

abuhassanadam
3 Jun 2014


Sunday, June 1, 2014

DYANA TERBABIT DALAM ‘THE CLASH OF CIVILIZATION’

Pengundi kawasan Teluk Intan telah memberikan ‘jawapannya’. Apakah ‘jawapan’ yang diberikan itu sama dengan ‘jawapan’ pengundi di tempat lain tentulah tidak dapat dipastikan. Mungkin boleh juga dibuatkan perbandingan antara PRK Teluk Intan dengan PRK Gelugur atau pun mungkin juga boleh dibuatkan perbandingan dengan PRK Kajang.

Daripada beberapa ‘jawapan’ yang terdedah menampakkan bahawa ‘jawapan’ yang diberikan oleh PRK Teluk Intan itu tidak sama dengan ‘jawapan’ yang diberikan oleh pengundi di kawasan PRK Gelugur atau pun pengundi PRK Kajang. Apa tidaknya. Jikalau dikatakan bahawa kekalahan Dyana di Teluk Intan disebabkan oleh ‘kulit sawo matang’nya telah menyebabkan pengundi Cina ‘lari’ dari DAP, maka tentulah keadaan sedemikian tidak berapa tepat jika ditinjau di Kajang dimana kaum Cina tetap memberikan undi kepada DS Wan Azizah. Dan begitu juga pengundi Cina telah memberikan undi yang memberangsangkan kepada Ram Karpal Singh. Oleh itu untuk dinayatakan bahawa pengundian berlandaskan kaum dan bangsa tentula tidak begitu tepat. Dan sememangnya kita tidak mahu pun ‘landasan’ itu digunapakai di Malaysia pada abad ke 21.

Berasaskan kepada beberapa analisis yang telah dibuat oleh penganalisis, hujah yang boleh dikira relevan ialah apabila ada yang mengatakan bahawa ‘acuan’ yang digunakan oleh DAP di Teluk Intan ialah ‘acuan’ yang lebih kurang sama dengan ‘acuan’ yang dipakai oleh Rafizi di Pandan ataupun yang digunapakai oleh Nurul Izzah di Lembah Pantai. Jelas menunjukkan bahawa acuan sedemikian tidak boleh digunakan sepenuhnya di Teluk Intan.

Teringat aku kepada apa yang berlaku kepada Margaret Thatcher yang tewas dalam pilihan raya di Great Britiain suatu ketika dulu.
Lester Thurow dalam bukunya, “ HEAD to  HEAD’ ada mengatakan, “ In the spring of 1991 British prime minister Margaret Thatcher lost her job. She had not lost an election. It was not obvious that she would. She lost her job because she insisted on palying the old twentieth-century economic game. She simply would not recognize that the world had changed and that she would have to change with it. She would not play the twenty-first century’s economic game”

Itu kata Lester Thurow. Jikalau mengikut fahaman aku pula ialah Margaret Thatcher kalah dalam pilihanraya di Great Britain kerana dia tak ikut zaman. Ketinggalan zaman. Berfikir cara lama, sedangkan dunia sudah berubah. Orang lain dah mula berfikir cara Kurun ke 21, sedangkan dia masih merangkak cara berfikir Kurun ke 20.

Tetapi hakikat yang berlaku di PRK Teluk Intan itu ialah DAP dan calonya Dyana Sofea telah mendahului zaman sedangkan analogy yang digunakan oleh Lester Throw kepada Margaret Thatcher ialah bahawa beliau ketinggalan zaman. DAP mungkin terlupa bahawa masyarakat dan pengundi yang berada di Teluk Intan itulah dari kawasan ‘semi-urban’ yang masih ramai lagi penduduknya menjalankan pekerjaan berasaskan pertanian. Masih lagi ramai lagi pengundi Melayu dari kawasan kampung-kampung  dan masih ada lagi kaum Cina yang mengerjakan tanah pertanian cara lama. Bagitu juga dengan kaum India yang masih ramai bekerja di estet-estet di kawasan Teluk Intan.

Tentu sekali amat jauh berbeza cara berfikir pengundi sedemikian dengan pengundi yang berada di kawasan Gelugur ataupun di kawasan Pandan atau Kajang. Mungkin kesilapan yang tidak disengajakan oleh DAP ialah bahawa mereka telah menggunakan cara yang agak tersilap apabila berhadapan dengan pengundi di kawasan Teluk Intan, terutama apabila berhadapan dengan pengundi-pengundi di kawasan-kawasan luar bandar.

Dyana tentunya tidak ada masalah langsung berinteraksi dengan  penduduk di bandar Teluk Intan samada dari keturunan Melayu atau Cina ataupun India kerana ‘budaya’ yang dilalui oleh Dyana ataupun Tony Pua adalah lebih kurang sama dengan budaya yang mereka lalui saban hari. Tetapi apabila berhadapan dengan keadaan penduduk luar bandar tentulah memerlukan pendekatan yang berbeza. Inilah agaknya yang merupakan faktor ‘utama’ yang menyebabkan kekalahan DAP di PRK Teluk Intan walaupun faktor-faktor lain yang tidak boleh dikesampingkan. Mungkin.

Rakyat Malaysia terutama golongan muda agak kecewa dengan kekalahan Dyana Sofea. Mereka telah menaruh sepenuh harapan agar beliau akan membawa’obor’ perjuangan politik baru ke arena politik Malaysia bersama-sama dengan pemimpin muda lain. Mereka telah menaruh sepenuh harapan yang beliau akan termampu untuk menukar landskap politik Malaysia ke suatu era yang sesuai dengan perkembangan politik abada ke 21.

Sebenarnya Dyana hanya kalah di PRK Teluk Intan tetapi telah memenangi hati ramai rakyat Malaysia yang tidak mengira bangsa dan kaum. Anak muda pastinya menaruh harapan menggunung kepada Dyana Sofea. Teruskan perjuangan murni itu.

Abuhassanadam

1 Jun 2014