GURU: MENGAPA ‘TEPAK’ DIHULUR
SELEPAS KEMUNCULAN DYANA SOFEA
Sudah kedengaran pelawaan agar kaum guru tampil
semula menceburkan diri dalam politik. Politik UMNO (BN) agaknya. Dan tidak
dijelaskan pula samada kaum guru dibolehkan bergiat dalam politik pembangkang. Aku
yakin pihak tertentu tidak akan membenarkan kaum guru terlibat dalam politik
pembangkang. Telah dilaporan bahawa ada kaum guru yang ‘ditegur’ oleh pegawai
kementerian kerana memasukkan gambar Dyana Sofea dalam facebooknya.Atas dasar itulah
aku rasakan bahawa kaum guru yang ‘dipelawa’ untuk bergiat dalam politik itu
hanya untuk memenuhi kehendak politik BN sahaja.
Dulu-dulu sememangnya ramai kaum guru menyertai
politik UMNO. Dan kaum gurulah yang mewarnai medan perjuangan menentang penjajahan
yang diperjuangkan oleh UMNO. Dan kaum gurulah yang ‘bertungkus lumus’ berjuang
menentang British dengan cara menerajui UMNO, memegang jawatan penting di
bahagian-bahagian dan cawangan UMNO di seluruh negara. Dalam hal yang sebegini
tentulah tidak dilupakan sumbangan Tun Ghaffar Baba bekas Timbalan Perdana
Menteri yang merupakan bekas seorang guru.
Dulu perjuangan dan ‘berhempas-pulasnya’ guru
berjuang dalam UMNO adalah untuk mencapai kemerdekaan negara. Tetapi kini
apakah pula matlamat perjuangan guru sekiranya mereka ‘berhempas-pulas’
menyertai UMNO? Kaum guru pada tahun-tahun 1920an, 30an,40an, 50an, 60an,70an
mengabdikan diri kepada UMNO kerana mereka yakin bahawa UMNO merupakan wadah
yang mampu melakukan sesuatu demi untuk negara, bangsa dan agama Islam. Dan
kini apakah kaum guru yakin bahawa perjuangan UMNO yang sedemikian rupa masih
diteruskan.
Pastinya kaum guru sedang memikir dan
mencari-cari rasional mengenai pelawaan yang telah dibuat terhadap mereka untuk
menyertai UMNO. Untuk apa? Pasti ramai yang akan tertanya-tanya. Dan mengapa
pula dengan tidak semena-mena pihak pengurusan UMNO memikirkan tentang guru.
Mengapa pula ‘hujan tidak, ribut pun tidak’ mereka teringatkan kaum guru yang
pernah pada suatu ketika dulu telah memberikan sumbangan yang begitu besar
kepada perjuangan membebaskan tanah air dari penjajah British. Apakah mereka
baru sedar bahawa kaum guru yang telah ‘diketepikan’ oleh golongan korporat
dalam UMNO telah mula disedari tentang ‘kegunaan’nya. Atau apakah keadaan dalam
UMNO sudah begitu ‘teruk’ sekali ‘sakitnya’ sehingga memerlukan kaum guru untuk
‘mengubatinya’. Apakah betul anggapan aku itu?
Sebenarnya guru yang mengajar matapelajaran
Sejarah disekolah menengah di Malaysia amat ‘terluka’ dengan tindakan pihak
kementerian pelajaran yang tidak memasukkan langsung peranan guru-guru Melayu
dalam menuntut kemerdekaan tanah air dalam buku teks sejarah Tingkatan Lima
yang ada sekarang. Guru sejarah ‘terluka’ dengan perbuatan sedemikian sedangkan
mereka tahu bahawa kaum guru, khususnya guru-guru Tanjung Malimlah yang
berjuang berhabis-habisan menyedarkan masyarakat Melayu menentang penjajahan.
Misalnya kisah Ibrahim Yaakub yang menubuhkan Kesatuan Melayu Muda dikatakan
sebagai wartawan akhbar ‘Majlis’ sedangkan pejuang ini adalah guru lepasan
SITC. Apakah ‘agenda’ penulis buku berkenaan yang cuba ‘melenyapkan’ peranan
guru itu?
Kini baru pihak kepimpinan negara teringat dan
terlintas kepada kaum guru. Seingat aku kaum guru mula ‘diketepikan’ dari arus
perjuangan UMNO ialah apabila muncul satu fenomena baru dalam UMNO yang
dinamakan ‘politik wang’. “Wabak’ ini merebak apabila para pemimpin UMNO sudah
‘pandai’ menggunakan wang untuk mendapatkan undi dalam setiap pertandingan
merebut sesuatu jawatan dalam UMNO. Ketika inilah kaum guru dengan sendirinya
terpaksa berundur disebabkan ketiadaan wang untuk menandingi golongan korporat
( yang juga ciptaan UMNO) yang sudah menggunakan wang secara berleluasa untuk
memenangi sesuatu jawatan dalam parti.
Apakah dengan ‘mempelawa’ kemasukan semula kaum
guru dalam UMNO juga merupakan satu usaha UMNO untuk membendung kegiatan
politik wang yang sudah tidak begitu terkawal dalam parti UMNO kini. Ataupun
mungkinkah dengan cara ‘menjemput’ kaum guru menyertai UMNO ini akan meredakan
sedikit penentangan dari golongan ini terhadap UMNO. Mungkin…
Aku tidak dapat meramalkan apakah tujuan
sebenarnya kepimpinan UMNO ‘menghantar tepak sirih’ kepada kaum guru dalam
saat-saat begini, terutamanya selepas PRK Telu Intan yang mana telah
memperlihatkan kemunculan Dyana Sofea yang seolah-olah telah dapat
‘menggoncang’ suasana politik tanah air dengan caranya yang tersendiri. Apakah
betul tanggapan sedemikian?
Walau apa pun alasan dan matlamatnya, namun aku
sangsi kemampuan kaum guru kini dapat memainkan peranan sepertimana peranan yang
telah dimainkan oleh mereka pada tahun-tahun perjuangan menuntut kemerdekaan.
Suasana telah berubah dan keadaan masyarakat di Malaysia juga sudah berubah.
Dan ‘tempo’ dalam politik UMNO juga sudah banyak berubah. Justeru berkemungkinan
tidak dapat lagi kaum guru memainkan peranan sebagaimana peranan yang telah
dimainkan oleh mereka dalam zaman penjajahan dulu.
Kemungkinan juga sudah dapat dicium oleh
kepimpinan UMNO bahawa kaum guru sudah menampakkan ‘belang’ mereka selepas
kemunculan Dyana di Teluk Intan baru-baru ini dan dengan kemunculan ribuan
facebook yang mempamerkan tentang wajah Dyana Sofea. Dyana sudah diiktiraf
sebagai icon walaupun tewas dalam PRK Teluk Intan. Beliau sebenarnya menang dan
bertakhta di hati kebanyakan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Telah muncul
seorang wanita Melayu yang menjadi icon kepada rakyat Malaysia.
Apakah betul begitu keadaannya yang menyebabkan
kepimpinan UMNO tidak semena-mena mengubah haluan dengan mempelawa kaum guru
supaya aktif dalam politik UMNO? Mungkin….
abuhassanadam
4 Jun 2014
" Dan kaum gurulah yang mewarnai medan perjuangan menentang penjajahan yang diperjuangkan oleh UMNO''. Ayat ni silap kerana tiada orang UMNO termasuk guru yang berjuang menentang penjajahan. Orang UMNO hanya melawan orang ( PUTERA-AMCJA) yang menentang penjajahan. Selepas kemerdekaan diberi oleh British kepada UMNO maka guru-guru pun sibuk berlakon konon mereka adalah pasak/sauh/tiang seri yang berjuang untuk pembangunen pascakemerdekaan dan mereka pun agak berkesan juga sehingga terbentuk mitos yang guru-guru UMNO yang oporcunis itu adalah pejuang kemerdekaan sebelum muncul kroni kapitalisme yang mencorak pembanguNEN negara dan juga membuat guru-guru dah tak laku lagi dalam percaturan politik negara/UMNO.Kini mungkin para usahawan tak berkesan lalu terfikir untuk mengguna para guru yang dibiayai oleh wang rakyat itu untuk membodek semula UMNO dan klentong para pelajarlah..
ReplyDelete